21 June 2009

Bapa dalam ingatan

Salaam 2all,

Pagi ni Ahad 27 Jamadil Akhir 1430/ 21 Jun 2009 saya terima sms dari insan paling istimewa, iaitu anak sulong saya Aqila Zulaiqha:

"Happy Fathers Day!

Sms ini dikhaskan utk bapa2 yg spesel sahaja!
Of coz la utk bapa Z, Aisya, Amirul, ngan Azrul!

Jasamu dhargai! We will always pray 4 u!

1,2,3...
Kami sayang ayah!

:-).:-D.;-).:-P.;->.:-*.B-)

From Aqila Zulaiqha".


Untuk para bapa dimana sahaja mereka berada, saya yakin kita bukan mahukan jamtangan Rolex, atau makan steak di Ritz Garden, atau baju Versace dari gedung Harrods, atau serba aneka prezen dan hadiah.

Saya cukup yakin doa dan ingatan dari anak yang soleh adalah lebih kita hargai.

Saya teringat Allahyarham bapa saya yang telah kembali kerahmatullah 9 tahun lepas. Walaupun hanya berpangkat rendah dalam pasukan polis (FRU actually), namun beliau tak pernah saya dengar merungut dalam membesarkan kami 8 orang adik beradik. Gaji pun bukan besar mana. Tapi tiap kali balik mesti ada ole-ole yang dia bawak. Kalau tak kueh pau, dia bawak buah lai.

Tapi yang paling saya nanti ialah hari Jumaat. Saya akan dibawa ke Masjid Negeri Perak di Ipoh naik motor. Saya dok depan, abang saya dok belakang. Tengah jalan mesti kami singgah pasar beli pisang dua tiga sikat untuk disedekahkan kepada jemaah Jumaat.

Kaum bapa dikalangan umat Islam dipesan oleh ALLAH supaya menjaga diri dan ahli keluarganya daripada api neraka. "Ya aiyuhal lazi na aamanu ku anfusakum wa ahlikum naaro".
Itulah tanggungjawab besar seorang bapa dalam Islam. Memastikan keluarganya selamat dunia akhirat. Dan tanggungjawab besar adalah menyemai dan menjaga keimanan anak-anak-jangan sekali-kali mensyirikkan ALLAH. Saya cadangkan kepada para bapa yang ada diluar sana supaya membaca surah Al Luqman. Disana terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil untuk panduan mengenalpasti tanggungjawab kita sebagai bapa.

Saya teringat pesanan Allahyarham bapa saya supaya dalam keadaan apa pun solat jangan tinggal. Biarlah sibuk macam mane pun jage solat, dan kalau boleh biar solat berjemaah.
Dalam kita menyambut hari bapa ini, sudah tentu kita mengharapkan supaya anak kita akan menjadi anak yang soleh.

Saya yakin sesiapa juga yang kini bergelar bapa menjadi impian dia mendapat anak yang beriman lagi soleh. Sejuk hati kalau melihat anak kita tunduk sujud kepada ALLAH.
Seorang rakan saya pernah menceritakan bagaimana dia tidak sabar menunggu tiap pagi untuk menghantar anak dia kesekolah, hanya kerana dia gembira bila anaknya mencium tangan dan pipinya sebelum kesekolah. Kata dia itulah saat yang paling membahagiakan. Sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Diwaktu yang sama, jangan lupe kita juga adalah seorang anak kepada seorang ayah. Ingatlah pesan ALLAH dalam surah Al Isra':
"Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibubapa mu. Jika salah seorang dari keduanya atau keduanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun dengan perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua ibubapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah "wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kecil".


Begitulah Islam mengajar kita memuliakan dan mendokan kedua ibubapa kita.

Mengapa ALLAH meminta kita mendoakan mereka dikasihani sebagaimana mereka mengasihani kita semasa kecil? jawapannya antara lain adalah kerana diwaktu kita kecil, kasih sayang ibubapa kepada kita tiada batasnya.

Kita pernah mendengar kisah seorang bapa yang sanggup mati lemas kerana menyelamatkan anak kecil yang sedang kelemasan.

Saya pernah melihat beberapa tahun yang lampau seorang bapa yang baru sahaja menghantar anaknya kesekolah, tiba-tiba sedang anak kecil itu melintas jalan, sebuah kereta datang meluru kearah anaknya. Tanpa sedikit pun memikirkan keselamatannya, sibapa terus menerpa kearah anaknya dan sempat menolaknya sebelum beliau sendiri dilanggar oleh kenderaan tersebut..mati seorang bapa demi kasih kepada anaknya.

Juga disebuah klinik, saya melihat seorang bapa mendukong anak kecil yang merengek menangis kerana selsema. Saya lihat sendiri bagaimana sibapa menghisap hingus anak kecil itu dengan mulutnya tanpa sikit pun rasa jijik.

Semalam anak saudara saya, iaitu anak angkat yang diambil oleh adik saya Norriza & suaminya Mohd. Nasir dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan yang serius. Umar Hamzah, itu nama yang diberi kepada baby ini. Diambil oleh adik saya sejak bayi untuk dipelihara sebagai anak sendiri. Tanpa adik saya sedari, rupenya Umar semasa diambil waktu bayi lagi mengidap penyakit 'incongenital brain disorder'. Hanya setelah dia berumur tiga bulan baru penyakit itu dikesan. Itupun setelah kepalanya membengkak dan membesar. Kepalanya terpaksa dibedah.

Kalau ikut logik akal, adik saya boleh saja memulangkan balik Umar kepada keluarga asal. Namun rasa kasih & kasihan menyebabkan adik saya terus membela Umar. Berpuluh ribu ringgit duit telah habis dibelanjakan untuk rawatan Umar, dan banyak kesabaran dan ketabahan diperlukan untuk menjaga Umar yang tidak boleh melihat dan tidak boleh berfikir. Anak yang kepalanya sudah ditebuk. Anak kecil yang hanya tahu merengek dan menangis bila kesakitan atau kelaparan. Anak kecil yang tidak diberikan harapan tinggi oleh para doktor. Namun saya dapat melihat ketabahan dan kesabaran adik saya Norriza dalam terus memberikan kasih sayang tak berbelah bagi kepada Umar Hamzah. Hanya ALLAH sajalah yang boleh membalas segala pengorbanan beliau. Begitu secebis kisah kasih sayang kepada seorang bayi kecil bernama Umar Hamzah yang kini berumur 1 tahun. Semoga anakanda Umar Hamzah diberi semangat kepahlawanan Saidina Umar dan Saidina Hamzah dalam mengharungi kehidupan akan datang yang tiada sebarang kepastian lagi buatnya.

Sebenarnya banyak kisah yang boleh dipaparkan tentang ibubapa yang sanggup berkorban harta malahan nyawa demi rasa kasih dan kasihan kepada anak kecilnya.
Begitulah ALLAH mengajar kita supaya mendoakan semoga ALLAH mengasihani kedua ibubapa kita sebagaimana kita dikasihani mereka semasa kecil. Dan kita digalakkan mendoakan mereka sekurang-kurangnya lima kali sehari setiap kali selesai solat fardhu.

Malahan Rasulullah mengajar kita bahawa tiada yang turut serta dengan seseorang ibubapa ke alam barzakh kecuali anak yang soleh & solehah yang mendoakan dia, selain ilmu beliau yang dimenafaatkan orang dan amal jariah yang disumbangkan. Kita juga diajar supaya meneruskan hubungan silaturrohmi dengan rakan dan sahabat arwah ibubapa kita, dan ini akan membantu mereka di alam akhirat. Kita juga disuruh memperbanyakkan sedekah dan sumbangan atas nama arwah ibubapa kita.

Tiada agama yang mengajar dan menyuruh kita dan menyediakan kita dengan mekanisma memperingati kedua ibubapa kita sebagaimana Islam mengajar kita. Apa yang perlu, kita buktikan kasih sayang kita kepada mereka dengan cara yang diajar Islam.
Bagi kita umat Islam, kita tidak mengenang ibubapa kita hanya sehari setahun pada tiap 21 Jun, tetapi kita mengingati mereka dengan doa tiap hari tiap masa 365 hari setahun sekurang-kurangnya 5 kali sehari semalam. Bagitu indah risalah Islam ini.

Kepada anak-anak saya Aqila Zulaiqha, Amirul Muqmin, Azrul Muqmin & Aisya Zafira..moga kalian semua diberi keberkatan dan petunjuk oleh ALLAH.

Ya ALLAH, pelihara anak-anak ku, jadikanlah mereka anak yang soleh dan solehah, ta'at, beriman, bertaqwa, mujahid, sihat walafiat & sempurna sifatnya. Dan jadikanlah mereka anak-anak yang membawa kebaikan & keberkatan kepada ku baik didunia apatah lagi diakhirat.
Berikanlah mereka kejayaan yang sempurna dunia & akhirat. Ampunilah dosa dan kesalahan serta kesilapan mereka..ameen".

"Ya ALLAH, ampunilah dan kasihanilah Kepada Allahyarham bapaku Tuan Haji Noordin bin Yahaya sebagaimana ia mengasihani aku semasa kecil. Masukkanlah ia kedalam golongan hambaMu yang solleh, jauhkanlah ia daripada siksa kubur dan api neraka Mu, lapangkanlah kubur ia, terangkanlah kubur ia, dan masukkanlah ia kedalam syurgaMu..ameen ya robbal 'alamin.


Zulkifli Bin Noordin
Ahad
27 Jamadil Akhir 1430
21 Jun 2009
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

4 komentar:

Bulan Penuh 2012 said...

Salam ziarah,

Terima kasih.

Bulan Penuh 2012

Ampun Tuanku said...

YB zul...saya menitik air mata baca yb zu tulis.maghrib tadi saya call ayah ucap selamat hari bapa.ayah saya kata ada ka hari bapa. dia tak tahu sebab ini kali pertama saya sebut.saya sebut "ayah terima kasih banyak-banyak"lidah jadi kelu sebab tidak biasa.tapi dalam hati saya sayangkan ayah.

Abdul Azeez Abdul Rahim said...

Penolakan Kerajaan Perpaduan, Mengapa Salah UMNO Pulak?

http://www.malaysia-instinct.com/english/index.php?option=com_content&view=article&id=8548:penolakan-kerajaan-perpaduan-mengapa-salah-umno-pulak&catid=51:berita-tempatan&Itemid=83

Sang Kancil said...

Ketua Pemuda Gerakan ketinggalan zaman, kata MB Kedah
ALOR SETAR, Jun 25 — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyifatkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang ketinggalan zaman apabila terus mengajak orang menyertai BN.

"Semua sekarang nak tinggalkan Umno dan BN untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat. Tiba-tiba dia pula ajak masuk BN, pelik sungguh," kata Azizan kepada media dalam satu majlis di Gurun hari ini.

Azizan mengulas gesaan Tan yang meminta DAP dan PKR menyertai BN bagi membentuk kerajaan baru di Kedah dengan meninggalkan PAS.

Ini kerana, kata Tan, kerajaan Kedah dibawah pimpinan PAS sekarang meminggirkan orang bukan Melayu di Kedah.

Menurut Azizan, Tan ketinggalan dalam banyak hal termasuk isu kouta 50 peratus untuk orang Melayu apabila tanah rezab Melayu diambil untuk projek perumahan di bandar Alor Setar.

Tan juga, kata Azizan, ketinggalan dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong.

Sebelum ini, Azizan berkata, yang tidak adil adalah kerajaan BN sebelum ini yang telah meluluskan tanah rezab Melayu untuk projek perumahan tetapi menetapkan hanya 20 peratus sahaja kouta untuk orang Melayu.

"Ini tanah rezab Melayu, bukan tanah pegangan bebas. Untuk tanah pegangan bebas, mana ada syarat itu," katanya.

Dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong pula, pusat yang terletak di Pasar Mergong ini, walaupun telah bergerak selama lebih 30 tahun, namun ia tidak pernah mempunyai lesen yang sah dari pihak berkuasa tempatan.

Aktivitinya pula mendapat bantahan orang Melayu yang turut ke pasar ini kerana bahan-bahan buangannya dibuang dalam tong sampah yang sama dengan penggunaan lain dan sebahagiannya dialirkan ke sungai berdekatan.

Ekoran bantahan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar telah mengarahkan pusat penyembelihan ini dipindahkan ke tempat lain.

Ekoran itu, persatuan peniaga babi ini telah membuat rayuan kepada Menteri Besar Kedah untuk memberikan tempoh kepada mereka sebulan untuk mendapatkan tempat baru.

"Menteri Besar telah menulis surat kepada Datuk Bandar Alor Setar agar rayuan mereka ini diterima. Jika selepas sebulan mereka tidak dapat kawasan baru, itu masalah mereka kerana mereka yang meminta tempoh sebulan," kata Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid yang dihubungi hari ini.

Menurut Helmi, satu kawasan baru telah dikenalpasti untuk dijadikan tempat penyembelihan babi ini iaitu di satu kawasan dalam Kampung Cina Pendang.

"Pejabat MB telah bersetuju dengan tapak baru ini jika mendapat kelulusan khasnya dari Jabatan Veterinar. Surat juga telah dihantar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang agar permohonan ini diluluskan jika mendapat sokongan dari jabatan-jabatan berkaitan," beritahu Helmi.

Sementara itu, hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah sangat baik, kata anggota Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

"Oleh itu, saya yakin pancingan Tan itu tidak akan dimakan oleh sahabat-sahabat saya dalam PKR atau DAP. Orang sekarang nak tinggal BN dan nak masuk Pakatan," kata beliau.

Tentang isu-isu yang dibangkitkan, Firdaus yakin ia akan adapat diselesaikan dengan baik Oleh MB Kedah.

"Sabarlah, isu babi ini sensitif dan tidak siapa mahu babi diternak atau disembelih di sebelah rumah mereka sekarang dengan wabak selsema babi ini. Jadi kena bersabarlah supaya kawasan yang dijadikan kawasan ternak dan sembelih itu nanti benar-benar sesuai," katanya.
Dipetik dari Malaysia Insider