Semalam Ahad 06 Zulqaedah 1430 / 25 Okt 2009 saya menghadiri majlis Haul Imam Al Hadad di Masjid Al Bukhory, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur. Ini adalah acara kemuncak kepada hari haul tersebut yang diadakan tiga hari berturut-tirit iaitu di Masjid Al Falah, USJ 9 (Jumaat 23.10) dan Masjid Baitul Aman, Jalan Damai off Jalan Ampang (Sabtu 24.10).
Hari haul Imam Al Hadad adalah sempena memperingati pemergian Al Imam Qutub Al Irshad Al Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad Al Haddad (1066H-1132H). Pada tahun ini, hari haul Imam Al Hadad bertumpu kepada persoalan "Akhlaq & Adab".
Antara yang hadir adalah Habib Mohsen bin Hamed Al Haddad (Naib Munsib Al Haddad, Hawi, Tarim, Hadramaut), Habib Munzir bin Fuad Al Musawa (Jakarta, Indonesia), Habib Hussain bin Alawy bin Aqiel (Malang, Indonesia), Habib Abdul Rahman bin Hussain Asseqaf (Pasuruan, Indonesia), Habib Hood bin Muhammad Bagir Al Attas (Jakarta, Indonesia), Habib Ali bin Hassan Al Bahar (Jakarta, Indonesia), Syeikh Afifudin Al Gaylani (Baghdad, Iraq) dan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki (Rembau, Malaysia).
Dalam ceramahnya, Habib dari Solo menyentuh tentang 4 adab terhadap ALLAH yang perlu diberi fokus untuk mengembalikan kekuatan tauhid kepada ALLAH.
1. Penyerahan diri secara total kepada ALLAH iaitu dengan bermohon kepadaNya dalam apa jua perkara sebelum meletakkan harapan kepada perkara lain. Hari ini kata beliau, kita umat Islam terlalu bergantung kepada
hal lain dahulu, ALLAH sebagai "last hope". Contohnya kalau sakit, kita meletakkan diri kepada doktor dan ubat dahulu, apabila sudah tiada harapan, barulah kita memohon kepada ALLAH, barulah kita sibuk nak pergi umrah. Kalau kita berhutang, kita akan kelamkabut cari bank, Ah Long atau kekawan. Bila dah sesak, barulah kita kelam kabut cari 'ulama atau ustadz mohon hajat kepada ALLAH.
2. menyucikan hati dan diri untuk ALLAH. Iaitu dengan memasukkan sifat-sifat mahmudah dan membuang sifat-sifat mazmumah.
3. Meluruskan dan memperbetulkan 'amal 'ibadah kita termasuk dikalangan ahli keluarga dan sahabat taulan kita. Ini adalah dengan cara menghadiri majlis-majlis 'ilmu dan pengajian.
4. Mencari rezeki yang halal, dan menjauhkan yang haram.
Al Habib juga menyentuh beberapa perkara yang suka saya berkongsi dengan sdr/i. Beliau menasihatkan kita supaya menghisab diri sendiri dan banyak-banyak bertawadhu'.
Antaranya kata beliau, bila melihat orang yang lebih tua daripada kita, anggaplah dia lebih baik daripada kita kerana dengan 'umur yang lebih daripada kita, mungkin 'amalnya lebih daripada kita. Dan apabila melihat orang yang lebih muda daripada kita, anggaplah dia lebih daripada kita kerana dengan 'umur yang kurang daripada kita, maka dosa yang dilakukannya mungkin lebih kurang berbanding kita.
Memang menghadiri majlis-majlis 'ilmu saperti ini akan mendekatkan kita lagi kepada ALLAH. Buat makluman sdr/i, pihak penganjur menyatakan bahawa program bulanan bacaan kitab-kitab Al Imam Al Habib Abdullah bin Alawi Al Haddad.
1. Di Masjid Baitul Aman, Jalan Damai off Jalan Ampang diadakan bacaan kitab Nasihat Agama & Wasiat Iman dan Dakwah Yang Sempurna oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid pada tiap Sabtu ketiga (selepas magrib) dan oleh Ustadz Syed Najmudin pada tiap Ahad ketiga (selepas magrib). Lazimnya pada hari Sabtu program akan diikuti oleh tazkirah yang disampaikan oleh As-Sh Afeefudin Al Jilani. Makan malam secara berdulang juga disediakan;
2. Di Madrassah An Nur, Pantai Dalam diadakan program mingguan pada setiap hari Ahad (jam 12.00 - 02.00ptg) dimana beberapa kitab akan dibaca selama 20 minit setiap kitab iaitu kitab Tafsir Ibnu Kathir oleh Ustadz Azlan, Ustadz Syed Najmudin memimpin kitab Tajrid As-Shorih, Kitab Tanbih (Feqah) oleh Habib Ali Zainal Abidin Ali dan Kitab Nasihat Agama & Wasiat Iman (Tassawwuf) bersama Ustadz Azhar Hashim. Majlis biasdanya akan ditutup dengan bacaan Yaasin, doa khatam dan bacaan beberapa Qasidah, dan ditutup dengan solat zohor. Makan tengahari juga disediakan;
3. Masjid Al Bukhory, Jalan Hang Tuah diadakan program bacaan Asma-ul-Husna pada hari Ahad Kedua dan Keempat (antara magrib-isya). Kebiasaannya majlis dimulakan sebelum magrib dengan bacaan wirdul latif, diikiuti dengan solaty magrib, bacaan Asma-ul-Husna, ratib Al Attos dan diakhiri dengan tazkirah ringkas oleh penceramah jemputan. Makan malam secara berdulang juga disediakan.
Insyallah bagi sdr/i yang berkelapangan marilah bsama-sama kita hadir meng'imarahkan majlis-majlis ini, moga ALLAH memberikan kita nur hidayah dan keimanan dan istiqomah dalam 'amalan kita..ameen.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
06 Zulqaedah 1430 / 25 Okt 2009
1 komentar:
Salam,
Hebat.. hebat.. sollu 'ala hadratunNabi wa alihi wa sohbihi ajma'in..
BarakaLlahu fiik ya Syaikh Zul..
Post a Comment