26 November 2009
KHUTBAH 'EIDUL ADHA
Assalammu'alaikum warohamtullah hiwaba rokaatuh.
Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..
Segala puji bagi ALLAH, Raja segala raja, Tuhan empunya seluruh Kerajaan, Tuhan yang tiada sekutu bagiNya.
Saya menyeru diri saya dan diri saudara-saudari semua supaya bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa kepada ALLAH.
ALLAH berfirman bahawa "kamu umat Islam akan menjadi umat ikutan contoh bagi manusia apabila kamu menyeru kepada yang ma'aruf, mencegah kemungkaran, dan beriman kepada ALLAH".
Namun hari ini hakikat yang tiada keraguan bahawa umat Islam adalah umat paling terhina dan dipandang rendah oleh dunia.
Hari ini, diwaktu kita umat Islam berhimpun ramai memenuhi ruang masjid, bertakbir raya mengagungkan kalimah ALLAH, kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa bila disebut sahaja perkataan Muslim, maka sudah pasti ianya dikaitkan dengan keganasan, terorisma, kacau bilau, kebuluran, kemiskinan, kesengsaraan, dan kemunduran.
Pakistan, yang dikenali sebagai negara nuklear, namun kini berdepan dengan risiko menjadi negara yang gagal akibat daripada kemiskinan, amalan rasuah, pergaduhan dan kegagalan pentadbiran.
Dubai, negara yang dikatakan mencipta keajaiban ekonomi kini menanggung hutang berjumlah lebih RM200 billion dan terpaksa mengemis tangguhan untuk membayar hutangnya.
Negara-negara 'Arab dan Teluk, walau diberi kekayaan melimpah ruah, namun menjadi hamba tambatan barat dan Yahudi!
Turki, yang dilihat sebagai negara contoh umat Islam lebih bangga dikaitkan dengan Eropah daripada dunia Islam. Malah mereka lebih bangga mengaitkan kejayaan dan pembangunan mereka dalam banyak bidang kepada fahaman sekular dan bukan pengaruh Islam.
Mereka lebih rela menjadi pariah dan balaci Eropah daripada perisai barisan depan umat Islam.
Malahan kebanyakan negara umat Islam kelihatan mundur dari segi sains dan teknologi?
Persoalannya ialah mengapa kita yang disebut didalam Al Quran sebagai umat contoh dan ikutan manusia tetapi kini menjadi umat paling mundur dan terhina.
Sebaliknya golongan kafir pula yang kini menjadi umat hebat dan mencapai banyak kejayaan duniawi dalam pelbagai lapangan dan bidang?
Sangatlah menghairankan bagaimana bangsa kuffar dan atheis saperti di negara China, yang hampir mencecah 1.5 billion orang, tetapi mencapai tahap pembangunan dan kejayaan yang paling tinggi didunia, sehingga pernah mencapai tahap 13% pada satu ketika, satu kejayaan yang luarbiasa.
Ini ditambah dengan hakikat bahawa negar kuffar dan atheist ini telah berjaya menembusi dan menakluk hampir setiap biji rumah di seluruh pelusuk dunia.
Seorang pegawai tinggi negara China pernah mendabik dada menyatakan: " Sebenarnya China lah yang sedang menakluk dunia, bukan Amerika". Malahan beliau bangga menyatakan bahawa bendera besar Amerika yang berkibar megah diatas Rumah Putih juga dibuat di China!".
Kebanyakan pakar menjangka dalam masa terdekat ini hampir separuh daripada produk yang akan dijual di dunia akan di keluarkan oleh negara China.
Cuba bayangkan tikar sejadah, kopiah, telekung, tasbih dan segala macam cenderahati dan segala macam ole-ole yang kita bawa balik dari Mekah diperbuat di negara China.
Cuba kita melihat kaum Hindu di negara India. Mereka golongan yang menjadikan patung sembahan mereka, lembu haiwan suci mereka. Tetapi lihat bagaimana mereka kini menjadi pencabar Amerika dalam industri komputer. Sehingga seorang pujangga Amerika Thomas Friedman pernah melahirkan kekhuatiran kemungkinan Lembah Silikon akan berpindah daripada Amerika ke India!
Memang benar terdapat negara umat Islam saperti Malaysia yang mencapai sedikit kemajuan, tetapi hakikatnya kalau bukan kerana sumbangan masyarakat minoriti Cina dalam bidang ekonomi, kewangan dan perdagangan kemungkinan kita tidak akan mencapai apa yang telah kita capai.
Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..
Dalam erti kata lain, golongan yang dilabel sebagai kuffar, atheist, penyembah patung dan haiwan adalah golongan yang menjadi contoh dan ikutan, menjadi bangsa yang maju dan progresif.
Sedangkan kita umat Islam masih sibuk dengan hal remeh temeh, melabel golongan itu dan ini sebagai kafir, sesat dan lain-lain.Mendabik dada kita lah golongan yang betul dan masuk syurga, orang lain semua tak betul belaka dan masuk neraka.
Alangkah baiknya jika kita mempelajari daripada bangsa China dan India dan lain-lain. Ini bukan bermakna kita mengagung-agungkan bangsa kuffar, tetapi Rasulullah sendiri mewasiatkan kepada kita agar menuntut 'ilmu walaupun sampai kenegara China!
Apa jua pun, ALLAH menjanjikan kita sebagai umat contoh. Bukan kerana kita hebat, bukan kerana kita kaya. Bukan kerana kita punya bangunan tertinggi, punya jambatan terpanjang, mobil yang canggih. Tetapi kerana kita adalah umat Islam.
Ingatlah pesan Saidina 'Umar ra kepada bala tentera Islam yang menuju medan jihad, "kamu dimuliakan bukan kerana kamu bangsa 'Arab, tetapi kerana kamu adalah umat Islam. Selagi kamu tidak bermaksiat dan mungkar, insyallah ALLAH akan membantu kamu".
Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..
Saya menyeru diri saya dan tuan/puan semua, marilah kita kembali kepada ketaqwaan sebenar kepada ALLAH. Berusahalah kita menjadi umat yang menyeru kepada yang ma'ruf, mencegah kemungkaran, dan beriman dengan sebenar-benarnya kepada ALLAH.
Insyallah kelak nanti kita nanti akan menjadi umat contoh dan ikutan manusia. Dan yang lebih penting, kita akan mendapat keredhoan ALLAH swt.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
10 Zulhijjah
27 Nov 2009
*Ini adalah versi bertulis sebahagian daripada khutbah 'Eidul Adha yang telah disampaikan tanpa teks sempena sambutan 'Eidul Adha 1430/ 2009. Semua teks asal ayat Al Quran dan Hadis tidak disebut didalam tulisan ini. Segala rukun khutbah adalah dipenuhi insyallah. Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 komentar:
info tentang kebaikan cara sembelih Islam kat sini - Kelebihan Menyembelih Binatang
Mengapa islam belum maju?
Tuhan hanya membantu orang2 yang bertaqwa.ini janji tuhan.
kalau setakat meninggalkan maksiat dan buat apa yang disuruh itu belum mencapai taqwa. orang islam belum lagi bertaqwa di dunia ini.orang islam bukan dibantu kerana dia islam.
Post a Comment