07 March 2010

SUCI ATAU MULIA: DR ASRI

Ulama: Dimuliakan atau disucikan?
Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

7 MAC — Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-’ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-’ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.

Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.

Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.

Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.

Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.

Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.

Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.

Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.

Mereka ini kadang-kala cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan nabi dan para wali. Ceritanya itu mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menjawab golongan sufi yang seperti itu di zamannya, kata beliau:

“Dalam kalangan mereka (golongan sufi) ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan telah lama mati. Lalu dia (jelmaan itu) berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”. Ulas Ibn Taimiyyah lagi : « Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak tahu dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Akulah Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad” ».

Kata Ibn Taimiyyah lagi : “Aku tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada hujrah (bilik persemadian atau kubur) baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menganggap ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut: “Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (ilmuwan agung Andalus, minggal 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (para sahabat Nabi s.a.w yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah telah bercanggah pendapat (selepas kewafatan Nabi s.a.w) dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda, adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399, Riyadh: Maktab al-`Abikan).

Namun, malang sekali sepanjang sejarah, masih ada yang termakan dengan perkara-perkara yang seperti ini disebabkan mereka gagal membezakan antara menghormati tokoh agama dan mensucikannya. Cenderungan sesetengah penceramah agama melarang fikiran kritis dan akal yang aktif umat Islam, amat bercanggah dengan ajaran Islam.

Mereka itu sering berkata: “terima sahaja apa yang ulama atau tok guru cakap, jangan banyak fikir, Islam bukan ikut akal”. Islam mana yang tidak berteraskan akal yang matang dan benar?! Tok guru mana pula yang maksum semua cakapnya?! Ini akibat pembolotan kuasa pengaruh atas nama agama dan kegagalan umat membezakan antara menghormati dan mensucikan.
Dr. Asri Zainul Abidin
(drmaza.com)
Ahad
21 Rabi'ul Awal 1431
07 Mac 2010

11 komentar:

hafszach said...

Buat Saudara Zulkifli..

Sebagaimana umat Islam merasa terhina bila Natrah dibicarakan oleh hakim Inggeris, dan kes kalimah ALLAH dibicarakan oleh hakim bukan Islam! Saya berasa terhina dihadapkan ke panel yang bukan Islam untuk membicarakan aqidah, kepercayaan dan agama saya!

Wow..!! Cantik ayat2 serta hujah2 saudara di atas.. tak mahu kes saudara seperti kes Natrah di singapura dahulu berulang kembali bila mana org inggers yg menjadi hakim dalam kes tersebut..

Knp saudara tak pertikaikan pulak bila kes Kalimah Allah ni dibicarakan oleh seorang hakim bergangsa cina dan beragama kristian.. wakaka,,

Sebenarnya saudara dan ramai lagi yg terperangkap dgn mainan politik kotor UMNO.. selaku seorang islam yg menjunjung agamanya saudara sepatutnya lebih cerdik menilai segala mainan munafik dalam UMNO ni..

Saya benar2 kecewa bila mengetahui saudara dgn gopoh cuba tampil sebagai jaguh bagi mempertahankan kalimah Allah, setiap perkata yg berlaku seharusnya dinilai dgn akal yg bersendikan kitabullah bukannya dgn nafsu dgn bersendikan sifat amarah..

Sorang muslim yg cerdik ialah bila mana dapat mentafsir apa yg tersurat dan apa yg tersirat disebalik setiap apa yg berlaku..

Apasalahnya jika terdapat 2 atau 3 org yang bukan islam menjadi panel, sekurang2nya mereka akan mengerti mengapa saudara berjuang mempertahankan kalimah Allah..

jgn jadi seperti UMNO yg tidak boleh diajak berbincang tetapi terus menerus menyerang membabi buta sehinggakan menyerlahkan imej keburukan akhlak mereka di mata bukan islam..

* Sedarlah manusia yang bijak adalah manusia yg memuliakan dan meletakkan akal lebih tinggi dari hawa nafsu..

Ikhwan said...

Salam perjuangan,

Saya bukannya ahli politik tetapi saya mengikuti perkembangan YB semenjak saudara terlibat dengan demo terhadap Majlis Peguam dulu. Saudara seorang yang berkebolehan dan mempunyai pendirian yang jelas dalam perjuangan saudara. Sekiranya saudara memang ikhlas untuk berjuang demi Islam maka meninggalkan PKR adalah yang terbaik buat saudara. Saya sudah semakin ragu dengan dengan matlamat perjuangan PKR yang tak perlu saya ulas mengapa. Jangan seali2 sudara menyertai UMNO kerana fitnah yang lebih besar akan menimpa saudara. Pejuang yang tulen memang sentiasa terpaksa membayar harga yang mahal untuk terus istiqamah dalam prinsip perjuangannya. Pejuang selebriti pula bagaikan penghibur yang menyanyi dan menari mengikut rentak peminatnya walaupun irama serta lagunya sebenarnya sumbang. Wallahua'lam

Invictus said...

YB, istiqomah dengan perjuangan, insyaallah yang membantu bukan parti tapi Allah.

syed said...

Kenapa Dr. Asri nak cakap pasal isu ni?. Apa maksudnya mau cerita isu ni?. Ianya bukanlah satu isu yang sesuai untuk keseluruh golongan masyarakat di Malaysia. Saya rasa ada udang di sebalik mi ni. Ada yang dia tak puas hati kat sapa-sapa ni. Ada baik sekiranya Dr. Asri bercakap pasal kemajuan ekonomi orang Islam khususnya orang Melayu.Kita dah ketinggalan. Soal agama ajar yang asas dulu dah la. Yang asas pun ramai yang tak berapa tau, kita dah cakap pasal ulama-ulama. Ini yang buat mat rempit celaru. Ustaz dia ajar Z dulu. A sampai Y dia tak tau.

syed said...

Pandangan mengenai topik ini memang bagus tetapi seperti menegur sesetengah individu yang ada kaitan secara langsung dengan Dr. Asri sahaja. Alangkah baik sekiranya artikel yang ditulis oleh Dr. Asri menjurus kepada soal yang boleh membangunkan umat Islam khususnya orang Melayu di Malaysia. Soal ekonomi kita dah jauh ketinggalan dari bangsa lain. ekonomi tak kuat agama pun tak kuat la.

Local Fighter said...

Itulah dilemma masyarakat kita hari ini..YB,

Tidak dapat menilai yang mana hak yang mana batil bilamana berhadapan dengan orang yang mengaku dirinya tok guru dan ilmuan agama!

Jika apa yang diucapkannya dtg daripada ilmu bukan daripada emosi dan sikap 'double standard', kita akur..

'Fatwa' hanya berpihak kepada kelompok tertentu!

Bila orang tidak mengikut atau menyanggah mereka akan dicop sebagai munafiq, sesat dan lain - lain gelaran yang menjijikkan.

Adakah mereka itu lebih hebat daripada Abu Bakar r.a., Umar al Khattab r.a., dan sahabat - sahabat Baginda?

Rasulullah tidak pernah mengajar sahabat baginda untuk mendoakan kecelakaan umat Islam yang lain walaupun orang itu berlainan pendapat!

Ini ada di Malaysia, orang yang mendakwa ulama' nak jatuh hukum kepada orang yang tidak ikut dia!

Celaka sungguh orang macam ni!

p/s: bagaimana pula dengan 'keberkatan' seseorang itu? sehinggakan ada kes orang curi selipar sebab nak ambil berkat..?

Abi Qalam said...

Salam,

Saya kira niat Dr Asri ni baik untuk menyampaikan berkenaan isu wala' pada ulama', tetapi malangnya,kelihatan kurang adab dan bercampur baur dengan taqlid buta dan hentaman terhadap sufi-tasawwuf.

Dan seperti biasa, golongan tariqah dan tasawwuf menjadi mangsanya tanpa membezakan tasawwuf asli dan sufi yang tipu.. Inilah tipikal Dr Asri dan pendokong Najdiyyun. Dan genelization macam ni yang kita tentang.

Isu yang ditonjolkan bukan isu baharu, kerana didalam pelajaran aqidah Asya'ariyyah dah diterangkan hukum akal dan adat serta sifat makhluq. Cumanya saya nampak didalam artikel ini cubaan untuk mengaitkan wala' kepada guru dan taqlid buta tanpa haq dan kemudian mengenepikan unsur spiritual yang menjadi ruh kepada islam itu sendiri. Sikap menghina tarbiyyah tariqah dan tasawwuf perlulah dibuang..

Bukan Ibn Taimiyyah seorang sahaja Ulama', jangan lupa Syaikh Habib AbduLlah Al Haddad, Syaikh As Syazili, Syaikh Ar Rifa'ie, Syaikh Al Jilani, Syaikh Ahmad Idrisi dan lain-lainnya.
Seperkara lagi, dalam menuntut, hubungan murid-guru bukan sekadar transmisi ilmu macam didalam institusi sekular. Tetapi, hubungan murid-guru mementingkan jalinan kasih sayang (emosi) dan akhlaq terpuji (spiritual) yang akan mendatangkan barokah dari Allah, saya kira Dr Asri tidak mengambil kira ini didalam artikelnya..

Abi Qalam

Terongpipit said...

Salam YB Zul,

Awat hang tak jadi macam idola hang, AnWar.... tak payah jadi ahli PKR tapi jadi de' facto leader PKR.
Hang memang berserabut... tak tau mana satu nak pilih. Munkin itu satu pemberian Allah pada hang!

Shah Qamary said...

ade pengikut wali selipar yg terasa hati dgn artikel ni. rilek la. artikel ni tak sebut pun mana2 nama. tu pun nak terasa ke? atau kalian semua sedar hal yg sebenar, tetapi tetap juga terasa hati?

jgn disalahkan pula YB zul. dia hanya menyebarkan ilmu agama, juga utk kebaikan umat Islam di Malaysia ni. terasa atau tidak pihak yg membaca tu, terpulang kpd apa yg mereka lakukan sebelum2 ni. kalau tak bersalah, buat apa nk terasa? fikirkan saja mungkin tuju arah artikel ini pd individu lain.

tp kalau sosok dan character wali selipar menepati sosok ulama songsang yg disebutkan, maka hindarilah dari memperbodohkan diri.

Shahrul Idzham said...

Abi Qalam dan Syed,

Ilmu tidak menjadikan manusia itu angkuh. Tapi manusia angkuh dengan ilmunya. Manusia itu pelbagai dan dipengaruhi akal dan nafsu. Itulah yang membentuk sifat manusia. Persoalan asas sebagai mana yang Syed sentuh perlu ada ilmunya, amalinya bukan sekadar kata - kata kosong. Islam itu syumul. Tapi kita buta dan menghalalkan cara. Adanya prinsip ekonomi Islam, perundangan, hubungan sosial, peribadatan, kerajaan, dasar pemerintahan dan sebagainya. Sepertimana yang saya katakan kita ini buta. Amalan demokrasi bukannya datang dari Allah. Konsep demokrasi dan asas demokrasi berbeza dari asas Islam. menghalalkan cara dengan mengatakan demokrasi terkandung di dalam Islam adalah peminjaman kata - kata sahaja. Kenapa perlu menyamakan sistem ciptaan manusia dgn Islam? Adakah hebat sangat hamba berbanding Maha Pencipta? Suara ramai membentuk undang2, majority above minority does not mean that the minority is wrong or at fault. Asasnya apa? Bacalah doa Iftitah. Fahamilah.. dan fahamilah bahawa yang memasukkan hamba-hamba yang hina - dina ke Syurga hanyalah Allah. Tak layak utk seorang hamba menilai ganjaran amalan yang layak utknya. Ko rasa la Syed, hamba itu seharusnya diperlaku sebagaimana? Fikirlah...

Abi Qalam.. marah juga nafsu.. tapi kekadang manusia ni secara tak sengaja berbicara menegakkan sesuatu yang disangkakan wajar utk memuaskan hatinya. Kita ni umat yang jauh dari zaman Rasulullah dan sahabat2. umat akhir zaman. Umat yang tidak mengerti maksud Islam. Umat yang dikaburkan pemahamannya dan disogok dengan idea pemikiran dan amalan2 baru. Umat yang memuliakan keturunan Nabi, yang mana nabi sendiri seorang yg rendah diri. Hebat mana keturunan? hebat mana ilmu? Ketahuilah bahawa sekitaran kamu anak2 muda goyah dgn kehidupan seronoknya, maksiat dan dosa bergelinang di dalam masyarakat dan kamu masih lagi membahaskan tentang perkara individualistic? Dan kamu rasa kamu akan memperoleh makrifat atas usaha kamu sedangkan tanggungjawab keilmuwan kamu kepada hubungan dgn manusia dan alam tidak kamu penuhi? Islam bukan utk individu dan diturunkan bukan utk individu. Sebab tu encik syed dan encik Zulkifli, asas Islam itu memerlukan khalifah, ukhwah memerlukan khalifah, perlaksanaan hukum hakam memerlukan khalifah.. aku peduli apa dgn demokrasi kamu, bila semua boleh berhujah tanpa asas, bila semua kata2 dusta boleh dikatakan benar, bila kebenaran boleh ditangguh2? Inilah rojak yang dicipta di M'sia bila yang Islamnya adalah negara bukan kerajaannya.

Wallahualam.

Mohd Nasir said...

Masyarakat Islam makin bercelaru ramai sangat yang menganggap diri mereka alim ulama. Ada alim ulamak yang nak tunjuk merekalah yang paling pandai. Ada alim ulamak politik segala haram halal ikut arus politik. ada alim ulamak yang memang msata duitan, jika undangan dibuat tak cukup "rate" akan ditolak.

Please la, para alim ulamak baliklah kepada fundamental Islam ajaran para nabi. Islam makin tertindas, apa paraulamak nak berpolimik lagi. di mana amanah Allah kepada anda?