08 September 2010

SIASAT SEGERA!

Salam 2 all.

Saya khuatir membaca kenyataan YBhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara yang dijadualkan bersara Ahad ini. Pendedahan beliau mengenai adanya "campurtangan pihak ketiga" dalam urusan kepolisian negara adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Apa yang lebih mengejutkan ialah pendedahan beliau menyebut antara pihak ketiga tersebut adalah Kementerian Dalam Negeri sendiri!! Saya meminta YBhg Tan Sri KPN supaya menamakan siapakah pihak-pihak ketiga yang beliau maksudkan itu dan apakah jenis campurtangan yang membabitkan pihak ketiga tersebut?

Saya sendiri semasa mengendalikan beberapa kes habeas corpus khususnya membabitkan mereka yang dikenakan tahanan daerah (buang daerah) pernah dimaklum bagaimana beberapa "runner" dan "balaci" yang menjalankan kegiatan bagi pihak-pihak tertentu kononnya untuk mendapatkan pembebasan mereka yang ditahan ini. Malahan dikalangan mereka yang biasa mengendalikan kes-kes habeas corpus pasti akan mendengar cerita bagaimana Orang-Orang Kena Tahan ini boleh mendapatkan pelepasan dengan membayar kepada "runner-runner" dan "balaci-balaci" ini, konon ceritanya untuk dibayar kepada "pihak atasan tertentu". Kekadang jumlahnya mencecah sampai RM25,000-00 seorang!! Itu cerita tahun 1980an dan 1990an. Agaknya jumlahnya berapa lah sekarang ini!!

Saya sendiri tidak tahu samada perkara ini benar-benar berlaku atau tidak, kerana mereka yang terlibat akan membuat deal terus dengan pihak berkenaan tanpa melalui peguam. Yang kita tahu bila pergi ke Mahkamah, kadang-kadang dokumen yang difailkan tak cukup atau cacat, atau Afidavit yang difailkan tidak memenuhi kehendak perundangan, dan kerap juga kes-kes habeas corpus ini dimenangi atas-atas sebab teknikal sahaja! Samada kesilapan teknikal itu disengajakan oleh pihak berkenaan atau tidak, atau kerana bayaran yang telah dibuat atau tidak, itu saya tidak dapat nak sahihkan. Apa yang saya tahu, pernah klien saya memberitahu saya "semua sudah setel bos"!

Apa pun, saya berpendapat pendedahan yang dibuat oleh YBhg Tan Sri KPN adalah sangat serius kerana ianya dibuat oleh orang nombor satu PDRM sendiri, oleh itu ianya wajib disiasat. Seingat saya sudah beberapa kali beliau menyebut isu ini secara terbuka. Saya berharap isu ini tidak disapu kebawah karpet, dinafikan dengan kenyataan sahaja! Sebaliknya tindakan yang lebih konkrit dan berintegriti perlu diambil demi menjaga nama baik dan integriti pasukan PDRM yang telah banyak berjasa kepada negara.

Adios amigos.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
29 Ramadhan 1431
08 Sept 2010

0 komentar: