Salam 2 all.
Tepat jam 06.35pm Sabtu 08 Jamadil Akhir 1431 bersamaan 22 Mei 2010, sepupu saya Nafisah Ahmad Tajuddin (atau dikenali dengan nama manjanya Adik sebagai anak bongsu) kembali kerahmatullah setelah menderita penyakit kanser payudara untuk beberapa ketika.
Seluruh keluarga termasuk ayah dan ibu Adik, abangnya Mail, Zuki, Basri dan kakaknya Faizah berserta ibu saya, adik beradik saya dan kaum keluarga terdekat tak lupa suaminya Azahari serta anak-anak semuanya berada disisi Adik semasa beliau pergi buat selama-lamanya.
Saya ada menulis tentang Adik dalam entri "Bila Masa Terhenti" pada hari Jumaat 25 Jamadil Awal 1431 bersamaan 07 Mei 2010. Sewaktu itu, kami dimaklum bahawa Adik punya masa dalam 48-76 jam sahaja untuk hidup. Malahan doktor menyarankan supaya kami membawa Adik balik supaya dia dapat pergi dalam keadaan baik dirumahnya.
Namun kekuatan Adik memang luarbiasa. Setelah beberapa hari dalam keadan nazak, tiba-tiba Adik kelihatan sihat dan cergas. Siap boleh bangun duduk dan mandi, serta makan. Puaslah kami bersembang semasa itu. Macam-macam cerita kami ingatkan kembali, nostalgia semasa kecil di Kg. Batu 42, Carok Bemban, Baling. Kebetulan Adik lahir dirumah yang sama saya dilahirkan. Hari ini kalau ke Baling, kita akan dapat melihat Dewan Sekolah Agama di batu 42, itulah tapak rumah kampung kami. Dan seluruh sekolah itu dahulu kebun getah, tempat keluarga menoreh mencari rezeki.
Sempat juga Adik melahirkan hasrat untuk mengerjakan umrah. Saya segera menghubungi seorang rakan yang sudah bersiap sedia dengan notis 24jam untuk menghantar Adik ke Mekah sekiranya keadaan kesihatannya mengizinkan.
Namun saya masih teringat peristiwa yang berlaku kepada biras saya sendiri. Bilamana dalam keadaan sakit yang tenat, tetiba dia boleh bangun sihat walafiat. Seorang sahabat 'ulama memberitahu bahaw ada kemungkinan itu peluang ALLAH beri untuk mereka yang terpilih untuk menyelesaikan beberapa perkara, dan memohon keampunan dan bertaubat kepada ALLAH dan sesama manusia.
Itulah yang telah dilakukan oleh Adik. Beliau sempat memohon ampun dan maaf daripada kedua ibubapanya dan kaum keluarga semua. Sempat juga dia berwasiat tentang beberapa perkara termasuk sekiranya dia pergi, dia mahu dikebumikan dikampung halamannya di Baling, Kedah. Yang paling sedih melihat Adik memerhati anak-anaknya yang masih kecil, yang sulong anak perempuan bernama Iliyah (13), Ilhan, Irfan dan yang bongsunya perempuan baru berumur dua tahun.
Saya melihat mata Adik merenung masa depan anak-anak kecil ini tanpa ibu yang tersayang.
Pandangan mata Adik yang begitu mendalam dan jauh saya fahami. Mungkin terdetik dihati Adik bagaimana masa depan anak-anak yang masih kecil ini, terutama si bongsu yang masih menyusu. Tanpa saya sedari, airmata saya sendiri turut mengalir berkongsi rasa dengan Adik.
Ada satu waktu suboh dimana sedang orang lain masih tidur, saya tinggal berdua dengan Adik. Banyak perkara yang diluahkan, perasaan hatinya dan kerisauan Adik tentang anak-anaknya. Adik meminta saya menjanjikan kepadanya supaya sentiasa mengingati anak-anaknya, dan menjaga keperluan mereka. Adik juga meminta saya supaya sentiasa mengingatkan anak-anaknya supaya mendoakan dia bila Adik tiada nanti, dan jangan lupakan ibu mereka. Saya telah berjanji kepada Adik yang saya akan tunaikan permintaannya. Adik juga meminta supaya saya melaksanakan ibadah haji ganti buat dia, dan saya berjanji insyallah saya akan tunaikan.
Kesihatan Adik yang kelihatan pulih tiba-tiba menurun minggu lepas. Pada hari Isnin, doktor menasihatkan supaya dilakukan pembedahan untuk membuang air yang telah memenuhi paru-paru Adik. Setelah berbincang, kami sekeluarga bersetuju dengan syarat tidak dilakukan pembiusan menyeluruh, cukup sekadar pembiusan setempat kerana kami khuatir nanti Adik tidak sedar dari pembiuasannya.
Pembedahan berjalan baik, namun kasihatan Adik makin menurun. Adik dipindahkan ke Wad CCU, dan kami tidak dibenarkan melawat Adik untuk membolehkan dia pulih segera. Setelah agak reda, Adik dipindahkan ke Bilik 3, Wad Sutera, Tingkat 7 HUKM. Disitu, keadaan Adik makin serius. Adik sudah tidak boleh bercakap walaupun menyedari dan memahami apa yang kami perkatakan kepadanya.
Dalam pukul 3.50ptg, sedang saya bermesyuarat, saya menerima panggilan yang keadaan Adik makin tenat. Lantas saya terus meninggalkan mesyuarat dan bergegas dengan motor kapcai saya ke HUKM. Perjalanan lebih 20km itu terasa terlalu lambat. Hujan pulak ditengah jalan. Terasa saya mahu terbang saja ke HUKM.
Setiba di Wad Sutera, saya tengok ahli keluarga semua sudah berkumpul. Saya terus menjengah kebilik dan melihat ibu serta kakak Adik sedang melafazkan kalimah La ila ha illallah ketelinga Adik. Adik kelihatan tercungap dengan topeng oksigen. Jelas kelihatan Adik sedang bertarung dengan nyawa.
Setelah selesai mengerjakan solat 'asar, saya terus duduk disebelah Adik. Sebagaimana yang telah saya pelajari, saya mememgang kaki Adik dan saya dapati ianya sudah jatuh lurus dan sejuk. Dari apa yang saya pelajari, saya tahu itu adalah tanda sakaratul sudah bermula. Saya terus membaca surah Yaasin dengan diselangselikan bacaan kalimah La ila ha illallah setiap 2-3 ayat. Sehabis surah Yaasin, saya melihat perut dan dada Adik bergelora, tanda sakaratul sudah hampir dekat. Saya mengulangi surah Yaasin dan diselangselikan dengan kalimah toyyibah, sambil mengambil beberapa titis air kemulut Adik. Kakaknya membasahkan kepala Adik dengan air dan ibunya mengusap belai manja.
Saya ulangi bacaan surah Yaasin kali ketiga dengan diselangselikan kalimah toyyibah. Kelihatan Adik makin kelemahan. Mata Adik mula terbuka sedikit melihat keatas. Dari apa yang saya pelajari, inilah sa'at paling penting kerana Adik sudah dapat melihat rohnya keluar sedikit demi sedikit, dan diwaktu yang sama bertarung dengan para iblis dan syaitan. Saya terus ketelinga Adik dan membisikkan kalimah toyyibah. Saya beritahu Adik pergilah dalam keadaan tenang dan redho kepada ALLAH. Yakinlah dengan janji ALLAH. Saya sempat memberitahu Adik kedua ibu dan ayahnya telah mengampun dia dan menghalalkan segala makan minumnya. Saya beritahu Adik suami dan anak-anaknya, serta ibu dan adik beradiknya semua berada disitu. Saya bacakan surah Al Fajr dan surah Al Qodr. Dan saya ucapkan "salaamun qaulam mirrobbirrohim" kepada Adik. Saya bisikkan sekali lagi "La ila ha illallah". Lalu saya kucup dahi Adik.
Saya terus keluar memberitahu kepada pakcik saya ayah Adik supaya segera masuk kerana waktu sakaratul dah terlalu dekat. Setelah beberapa ketika, tepat jam 06.35pm, sepupu saya Nafisah kembali ke rahmatullah dalam keadaan aman, dengan seluruh keluarga dan sahabat handai disitu mengiringi pemergian Adik.
Alhamdulillah jenazah Adik dapat diselenggarakan dengan baik dan cepat. Setelah persetujuan dicapai oleh seluruh ahli keluarga dan suami Adik untuk menunaikan hajat Adik untuk dikebumikan di kampung halamannya di Baling Kedah, urusan memandi dan mengafankan Adik berjalan baik. Saya ucapkan terimakasih kepada Kak Jah dan petugas di bilik jenazah HUKM yang telah menyempurnakan urusan mandi dan kafan dengan sangat baik.
Kami kemudian menyembahyangkan jenazah Adik di bilik jenazah. Alhamdulillah permintaan Adik untuk solat jenazahnya di imamkan oleh seorang ustadz dari Taman Melati (saya tidak ingat namanya) telah dapat ditunaikan. Saya ucapkan berbanyak terimakasih kepada Ustadz tersebut, walaupun jauh dan terpaksa meninggalkan jemaah disurau, kesudian Ustadz menunaikan hajat Adik sangat saya hargai.
Setelah selesai semuanya, jenazah dibawa ke Baling dengan van jenazah daripada Masjid Ar Ridhuan Hulu Kelang. Jenazah diiringi oleh ibu adik, abangnya Basri dan ibu saya. Pemandu van jenazah, iaitu Abang Jo telah melaksanakan tugas beliau dengan sangat baik. Jam 10 malam van bertolak diiringi oleh beberapa kenderaan lain termasuk ayah adik, adik beradik dan kaum keluarga, suami dan anak-anak serta rakan yang berkesempatan.
Perjalanan ke Baling mengikut Lebuhraya Utara Selatan melalu Seberang Jaya sebelum menyusur keluar mengikut Lebuhraya Butterworth-Grik. Setibanya di Kampung Jerai, Kupang, Baling jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Liang sudah pun digali. Tetapi kerana masih awal, jenazah dibawa kerumah. Tuan imam kemudian membuat keputusan mendirikan solat suboh berjemaah dirumah Adik. Setelah fardhu suboh, solat jenazah didirikan. Kemudian jenazah dibawa ke perkuburan Kg. Tanjung, sebuah perkuburan yang berhampiran, hanya perlu berjalan kaki beberapa minit sahaja.
Alhamdulillah, jenazah Adik selamat disemadikan jam 07.00 pagi. Diwaktu pemergiannya, Adik berumur 41 tahun hijriah, dan 40 tahun masehi. Adik lahir pada hari Rabu 01 Rejab 1390. Ulangtahun Adik menurut tahun hijrah adalah pada 13 Jun depan, genap 01 Rejab 1431. Menurut tahun masehi, Adik lahir pada 02 September 1970, di Kg. Batu 42, Baling, Kedah. Adik meninggalkan Ayahnya Tuan Haji Tajuddin (adik kepada ibu saya), ibunya Cik Yah, abangnya Ismail, Marzuki dan Basri, dan kakaknya Faizah. Adik juga diwaktu pemergiannya meninggalkan suami Azahari, dan empat orang anak yang masih kecil. Anak sulun Adik bernama Iliyah, kini baru berumur 13 tahun dan belajar di Pondok Yayasan Khairiah, Kupang, Baling Kedah, tidak jauh dari perkuburan Adik. Moga Iliyah akan selalu menziarahi Allahyrahamah ibunya.
Saya mendoakan semoga Adik diletakkan didalam golongan solehah, yang dipanggil ALLAH dalam keadaan jiwa yang tenang, setenang wajah Adik semasa dikafankan. Semoga Adik diredhai ALLAH, dimasukkan dalam golongan hambaNya, diterangluaskan kuburnya, dan dimasukkan kedalam rahmat dan syurga ALLAH.
Melihat kepada peristiwa sakaratul dihadapan mata, melihat ketidak upayaan kita melakukan apa-apa, sedar dan insaf saya betapa kerdilnya kita dihadapan ALLAH. Semasa itu, baru saya tersedar betapa kita selalu silap meletakkan keutamaan didalam hidup. Kita menjalani kehidupan seolah-olah kita tidak akan mati. Kita berhempas pulas mengejar hidup keduniaan. Kita hdup mengumpul benda yang akan kita tinggalkan. Yang paling malang, dalam mengejar habuan keduniaan, kita ketepikan segala perintah ALLAH. Al Quran sekadar menjadi penghias bibir. Teriakan takbir sekadar slogan memikat manusia. Serban sekadar penghias kehipokritan, janggoat sekadar penutup segala kepalsuan; songkok sekadar penghalal kemungkaran!
Saya tertanya diri sendiri, agaknya dikala sakaratulmaut itu kita cuba menyebut kalimah ALLAH, saya khuatir kelak nanti malaikal-maut akan bertanya, ALLAH mana yang kamu sebut itu? Mengenangkan itu, saya bertaubat dan gerun dengan segala kebesaran ALLAH Yang Maha Esa. Saya mendoakan moga ALLAH memelihara iman dan aqidah saya dikala fitnah dan pancaroba besar sedang melanda umat. Saya mengucapkan selamat tinggal dan salam kepada Adik, dan saya tahu kita semua akan menuruti Adik dan ramai lagi arwah di alam barzakh, samada kita suka atau tidak, samada kita bersedia atau belum. Moga ALLAH mengampuni Adik dan kita semua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan. Amin ya rabbal 'alamin.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
08 Jamadil Akhir 1431
22 Mei 2010
Al-fatihah
ReplyDeletesemoga Roh arwah ditempatkan dikalangan golongan org2 yg beriman
salam,
ReplyDeleteINNALILLAHIWAINNAILAIHIRAAJI'UUN...
takziah saya ucapkan kepada keluarga arwah & saudara sendiri, semuga kesedihan dapat digantikan dengan zikr serta menginsafi kematian yg bakal menenti kita pula, InsyaAllah.
Bagi yang telah pergi kita hadiahkan Al-Fatihah.
ReplyDeleteBagi yang masih hidup, marilah kita istiqamah dalam perjuangan dan jangan khianati rakan dan pengundi.
Innalillahi Wa'inna Ilaihirrojioun dan AlFaatihah untuk Allahyarhamah..
ReplyDeleteSalam YB,
ReplyDeleteSemoga roh Adik di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan di rahmati Allah.
Salam & ucapan takziah saya kepada kaum keluarga Adik. Semoga Allah merahmati dan memberikan kekuatan kepada anak-anak nya yang masih kecil untuk menempuh hidup yang bakal di hadapi nanti tanpa ibu tersayang di sisi.
Al-Fatihah.
Allahumma hisaban yasira...
ReplyDeleteAl-Fatihah buat Adik. Semoga Allah memilih Adik menjadi penghuni salah satu SyurgaNya. Amin ya Rabbal 'Alamin...
Moga Allah curahkan rahmat ke atas roh beliau..
ReplyDeleteSama-sama doa semoga beliau ditempat dikalangan orang beriman.
Salam YB,
ReplyDeleteMoga roh Adik di tempatkan dikalangan para syuhada dan para sahabat rasullallah. Mpoga ahli keliuarga terutama anak-anak tabah menghadapi qada' dan qadar dari ilahi. Al-fatihah
Takziah saya ucapkan kepada keluarga arwah, semoga beliau ditempatkan dalam golongan orang2 beriman. Cuma peringatan buat saudara, walaupun saudara menganggap arwah sebagai adik sendiri, berdasarkan peristiwa dibawah, hakikatnya beliau masih bukan muhrim saudara:
ReplyDelete1."Ada satu waktu suboh dimana sedang orang lain masih tidur, saya tinggal berdua dengan Adik"
2."..... saya mememgang kaki Adik ..."
3."Lalu saya kucup dahi Adik"
Semoga roh arwah bersama dengan golongan yg beriman. Takziah untuk sdr dan keluarga arwah.
ReplyDeletetakziah atas kematian sepupu anda, saya doakan mudah2an anda dpt menyelesaikan pesanan almarhum dgn baik terutama hal anak2nya, kesian sunggguh, mudah2an Allah sentiasa mudahkan urusan mereka.
ReplyDeletetapi saya hairan, anda dan sepupu bukanlah muhrim, dia perempuan pulak, kenapa boleh sentuh dan kucup dahi pulak? boleh ke? maaf jika anda seibu susuan ke tak tau lah...
Dari Allah kita datang dan kepadaNYAlah kita akan dikembalikan...
ReplyDeleteAl Fatihah
C++
CipanTapirTenuk.Blogspot
Al-Fatihah. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang2 beriman & sentiasa dicucuri Rahmat.Amin.
ReplyDeletep/s : Disini saya ingin mengambil kesempatan meminta izin utk'copy&paste' nukilan ini di facebook saya sebagai tanda kenangan. Allahyarhamah adalah org yg paling rapat dgn saya suatu ketika dulu. Kak Sha dalam kenangan.
saya hadiahkan al-fatihah buat yang telah pergi...
ReplyDeletetapi penat aku dok komen kt Tepuk Dada Tanya Iman!
Tapi satu pun tak keluaq...
Tak berani kot mamat nie.
Tu la orang suruh belajaq kt pondok tk nk, DEGIL!!
Asyik nk dok pelaga org je....
Innalillaahi Wa'inna Ilaihirrojiuun dan AlFatihah untuk Allahyarhamah.
ReplyDeleteSalam takziah buat YB sekeluarga.
My Deepest condolences to the family, YB. May she find eternal peace and joy in the kingdom of the Almighty. May her family continue to be strong in this difficult time.
ReplyDeleteSy baru d sini ttp memandangkn isu kalimah ALLAH yg YB fikirkn tambahan pula sakaratulmaut brlaku d depan mata YB, sy hadirkn juga diri sy d sini walaupun brlainan parti skrg ni. Sebenarny yg perlu kita prtahankn perkataan ALLAH ini adalah dlm tulisan arab tu & bukanny dlm bahasa kita. Kitab trjemahan Al-Quran adalah utk pemahaman kita ttp tulisan arab itulh yg boleh mmbakar iblis & syaitan. Wallahualam.
ReplyDeleteNasihat sy jadilh org yg sentiasa baik sangka pd org lain & jauhkn diri dari kelompok yg nyata mmbuat fitnah.
Innalillahi Wa'inna Ilaihirrojioun dan AlFaatihah untuk Allahyarhamah.
ReplyDeleteSemoga Roh arwah ditempatkan dikalangan golongan org2 yg beriman.
Amin
Semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang2 yang dicintai Allah. Takziah dari saya buat YB dan keluarga.. Al Fatihah..
ReplyDeleteسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿١﴾ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٢﴾ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿٣﴾ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ﴿٤﴾ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ﴿٥﴾ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
ReplyDeleteMr Zulkifli Mohd Noordin, champion of Islam, companion of Najib in USA trip, independent MP, why so quiet about Barisan approval of Football gambling? Where are your Islamic principles bro? you make so much noise about Allah issue. Hello, bro, crawl out from underneath the rock. You have no shame, no morals and no integrity. Just take the miilions Najib gave you in New York and disappear. Enjoy, but please don't come back or your people will spit on your face.
ReplyDeleteTo Hamsor,
ReplyDeleteYB just lost his cousin. Why can't you just put aside whatever differences you have with him..like what the others did. If you're a Muslim, at least you can do is to sedekah Al-Fatihah for his cousin. You better look at yourself in mirror .. You think you're so good hah ? Shame on you ..!! You're the one who actually has no moral and integrity. Go back to school and learn what moral and civic is all about.
To YB,
Just ignore the comment posted by this USELESS HAMSOR..! He's just another immoral & sarcastic jerk..!
Hamsor... tak baca ke komen YB Zul pada 7May lagi ?... Tu la... kemaruk sangat nak condem oghang... gajah depan mate pun tak nampak ! Ingatkan Tuhan Sor... Kita ni bukanya nak nongkat langit....Wa Calo....
ReplyDeleteTo Hamsor
ReplyDeleteko baca ni?
lain kali jangan buat kerja bodoh,
http://zul4kulim.blogspot.com/2010/05/bola-judi.html
slm semua umat islam..
ReplyDeleteBersatu kita demi kebangkitan Islam..
kelemahan islam kerana pertelingkahan sesama Islam,
yg tergadai maruah Islam kerana politik,bersatu lah demi masa depan Islam .biar berlainan politik ,tetapi Islam tidak diperalatkan untuk menghancurkan sesama agama Islam...
slm umat islam...
ReplyDeletetak kisah lah apa pun bahasa,Perkataan ALLAH tetap dipertahankan..beri pendapat bkn mengikut ckp2 politik.atau logik...tp megikut Alquran dan Hadis.Hukum tetap hukum...
Allah tetp besama org yg bnar.