24 July 2010

AL-FATIHAH WAK

(Bersama keluarga Allahyarham Wak Izir di Kg. Pasir, Rantau (dari kanan) Zafar, Norzi, Ismadi, Fudzail, saya (sambil memeluk anak Allahyarham Ibrahim & Adam), Helmi Had, Rosaini, Juliana, Yati (isteri Allahyarham), Siti Aisyah (tshirt kuning), Siti Habsah (tshirt merah) sambil mendukung anak bongsu Allahyarham Siti Khadijah (10 bulan) berserta anak-anak saudara Allahyarham)

Salam 2 all.

Pagi tadi sebelum solat Jumaat sedang saya berbual dengan sahabat saya Fudzail di pejabat kami mendapat berita mengejutkan mengenai pemergian seorang sahabat kami Izir ke rahmatullah tengahari semalam.

Izir, atau lebih kami kenali sebagai Wak Izir adalah pelajar Auckland University, New Zealand dan kami bersama dalam Alumni NZ. Wak adalah batch ketiga sementara saya dari batch pertama. Antara mereka yang sama batch dengan Wak ialah penyanyi Aishah (Aishah & The Fan Club). Walaupun berbeza batch, namun hubungan saya dengan junior batch sangat rapat kerana jumlah pelajar New Zealand yang sedikit.

Semasa di New Zealand dahulu Wak memang dikenali sebagai seorang yang cukup mudah ketawa. Semua hal "no problem punya". Dan yang paling mengagumkan kami, Wak ni "friends always first", apa hal pun kawan didahulukan.

Macam mana sibuk atau letih pun, malah kekadang demam pun, tapi kalau kawan minta tolong Wak tak pernah "say no".

Bila mendapat berita sedih itu pagi tadi, saya dan Fudzail bersama sahabat lain iaitu Helmi Had dan isteri Juliana, Norzi, Zafar dan Rosaini terus ke Seremban. Tiba disana kami bertemu seorang sahabat lagi Ismadi di kedai minyak Shell Seremban (dia punya tu).

Dari situ kami menuju ke Kg. Pasir, Rantau kerana Wak dikebumikan disitu.

Sebaik sampai, azan Jumaat sudah berkumandang di Masjid Jamik Rantau. Setelah solat Jumaat kami menuju ke Kg. Pasir. Alhamdulillah seorang Pakcik sudi menunjukkan kami jalan ke rumah Wak.

Sebenarnya Wak ni asalnya orang Muar, dan Kg. Pasir ni rumah mertuanya. Wak mengajar di Seremban (saya lupa nama sekolah dia sebelah TKC). Isteri Wak juga seorang guru dan mereka tinggal di Seremban 2.

Sebaik sampai kerumah mertua Wak, kami disambut oleh isteri Wak serta anak-anak Wak.

Sedih juga kami melihat anak-anak Wak ni yang masih kecil dan sangat memerlukan kasih sayang seorang bapa. Yang sulong Siti Aisyah baru Darjah 6 dan akan mengambil UPSR tak lama lagi. Kedua Siti Habsah (8 tahun rasanya). Kemudian anak lelaki Adam dan Ibrahim. Yang paling kecil Siti Khadijah baru berusia 10 bulan.

Isteri Wak sebenarnya masih sedih dan terkejut dengan pemergian Wak. Mana taknya, Wak pergi tanpa disangka-sangka.

Kata isteri Wak, Rabu malam Wak berasa sesak nafas dan tak sedap badan. Jadi Wak beritahu isterinya dia nak ke Hospital Seremban untuk periksa. Wak pergi memandu sendiri dengan kereta Proton dia.

Kata isteri Wak, lebih kurang jam 5 pagi Wak telefon kata dia kena admitted, tapi jangan risau, "no problem" kata Wak.

Jam 10 pagi Khamis Wak telefon isteri dia bagitahu dia ok dan masih dihospital untuk buat pemeriksaan lanjut. Kebetulan sepupu isteri Wak pun ada ke Hospital Seremban untuk ambil barang dan ternampak Wak turun berjalan ke keretanya mungkin untuk mengambil sesuatu. Tetapi mereka tak sempat bertemu.

Isteri Wak beritahu kata nak pergi ziarah Wak, tapi Wak kata melalui telefon tak payah datang, lebih baik jaga budak-budak.

Tau-tau pada pukul 01 tengahari pihak Hospital telefon memaklumkan Wak telah meninggal dunia akibat sakit jantung pada jam 12.45 tengahari.

Macam manalah tak terkejut isteri Wak mendapat berita tersebut. Baru je bercakap dengan Wak sekejap tadi and saperti biasa Wak kata "no problem"!!

Kata isteri Wak, dia terus ke Hospital Seremban dan jenazah Wak dimandi dan dikafankan, kemudian dibawa balik ke Kg. Pasir untuk dikebumikan selepas waktu 'asar.

Kebetulan kata isteri Wak dia melihat nombor telefon dalam handphone Wak pagi tadi dan menghubungi seorang sahabat Alumni kami Zaini @ Jono yang kemudiannya terus memaklumkan berita sedih tersebut kepada kami semua.

Kami agak terkilan kerana tidak sempat melihat jenazah Wak dan menyembahyangkan beliau. Solat jenazah dibuat di Surau Lebai Hassan yang terletak berdepan dengan rumah mertua Wak.

Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, kami sempat singgah ke kubur Wak. Tanahnya masih merah, dan kesedihan benar-benar meresapi kami akan kehilangan seorang rakan dan sahabat yang sangat baik orangnya.

Melihat peristiwa ini, jelas terbayang kepada kami bahawa umur kita makin meningkat. Tiap detik berlalu mendekatkan kita lagi kepada satu kepastian..iaitu maut yang pasti akan menjemput kita. Ia tidak mengenal usia, dan tidak ada belas kasihan. Bila ia datang, tiada yang boleh menghalang. Wak hanya berusia 45 tahun, dan anak-anaknya masih kecil.

Dalam keadaan begini, saya menginsafi bahawa keutamaan dalam hidup kita adalah ahli keluarga kita, terutamanya anak-anak kita, ibubapa kita dan isteri kita. Merekalah yang akan mendapat kesan secara langsung sekiranya apa-apa berlaku kepada kita. Sebab itu berilah keutamaan kepada mereka. Kebetulan pulak khutbah Jumaat di Masjid Jamik Rantau tadi megupas persoalan tanggungjawab anak kepada ibubapa!

Semoga ALLAH memberikan rahmat dan keampunan kepada Allahyarham, melapangkan kuburnya, menjauhkan dari segala siksa dan 'azab, dan memasukkan Allahyarham dalam golongan yang diredhoiNya dan dianugerahkan syurga.

Semoga ALLAH memberikan kesabaran kepada isteri dan anak-anak Allahyarham, serta ketabahan dalam mengharungi kehidupan ini tanpa Allahyarham bersama.

Selamat tinggal Wak, semoga dikau selamat di alam barzakh sana. Yang pastinya kami akan menyusul engkau Wak, cuma masa dan tika nya sahaja yang kami tidak ketahui. Kami mohon kepada ALLAH apa jua pun, sudahkanlah kehidupan kami kelak dalam keadaan husnul khatimah, dan jauhkan pengakhiran kehidupan kami dari bisuu-il khatimah.

Amin dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
11 Sya'ban 1431
23 Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.