26 October 2010

PENGKHIANAT KEWANGAN


Salam 2 all.

Saya terkejut apabila membaca Lapuran Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen semalam yang saperti biasa mengandungi pelbagai butiran tentang salahlaku kewangan, penyalahgunaan dan penyelewengan, dan kadang-kadang penipuan wang rakyat oleh beberapa jabatan dan agensi kerajaan. Apa yang saya kesalkan penyalahgunaan, penyelewengan, penipuan dan lain-lain ini kadang-kadang sehingga memudharatkan rakyat. Dan ini antara punca menimbulkan kebencian rakyat kepada Kerajaan!

Contohnya sekretariat Konsensus Bebas telah meneliti Lapuran Audit Negara 2009 dan mendapatiadanya kes-kes melibatkan beberapa syarikat pembekal makanan swasta yang didapati membekalkan makanan dan bahan makanan yang tidak menepati piawaian dan spesifikasi kontrak. Kes-kes tersebut membabit pembekalan makanan kepada murid-murid sekolah di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT), hospital dan kem tentera.

Beberapa buah sekolah telah dibekalkan makanan yang kualitinya tidak mematuhi spesifikasi kontrak, manakala beberapa hospital pula telah dibekalkan makanan yang kualitinya, menurut laporan audit tersebut, boleh membawa keracunan makanan dan lain-lain penyakit. Di kem tentera pula, bahan makanan yang dibekalkan sudah basi atau kuantiti yang berlebihan telah dipesan.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya sikap tamak dan tidak bermoral pembekal-pembekal yang terbabit. Kanak-kanak sekolah diberikan makanan yang tidak berkhasiat, pesakit di hospital yang masih belum pulih dan menghadapi penyakit berisiko tinggi disuap makanan yang boleh menyebabkan keracunan, dan anggota tentera yang kita harapkan untuk bergadai nyawa demi kedaulatan negara telah diberi layanan yang sungguh buruk dengan dibekalkan makanan basi.

Konsensus Bebas juga mengkritik pihak pengurusan di sekolah, hospital dan kem tentera yang terbabit, yang sepatutnya memastikan bekalan yang diterima memenuhi spesifikasi pesanan. Perkara ini dikesan oleh Jabatan Audit Negara apabila mendapati pihak pengurusan tidak menjalankan kewajipan mereka untuk menjaga kebajikan anak murid, pesakit dan perajurit dari segi kualiti makanan. Sikap lepas tangan dan sambil lewa ini mestilah dihenti dan dibasmikan mulai sekarang.

Kementerian-kementerian Pelajaran, Kesihatan dan Pertahanan mestilah mengambil langkah serta-merta untuk menyiasat dan menghukum sesiapa yang telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam perkara ini. Di samping itu, semua sekolah di bawah RMT, hospital dan kem tentera mestilah diperiksa untuk memastikan kes yang serupa tidak terjadi. Murid-murid sekolah, pesakit hospital dan anggota tentera kita semuanya mestilah diberi makanan yang berkhasiat dan baik kualitinya. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan menjadi mangsa ketamakan sesetengah pihak. Tidak ada gunanya Ketua Audit Negara membuat laporan sekiranya tidak ada apa-apa tindakan susulan oleh pihak-pihak yang berwajib.

Kami juga mengucapkan syabas kepada Ketua Audit Negara kerana tekad dan ikhlas dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk mengutarakan apa-apa kepincangan yang didapati dalam sektor awam.

Kami di Konsensus Bebas juga berharap pihak berkuasa saperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan meneliti lapuran tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke Mahkamah untuk dikenakan hukuman setimpal. Pada saya, mereka yang terlibat ini adalah pengkhianat negara yang perlu dikenakan hukuman berat.

Hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana pengkhianat-pengkhianat dan penyangak-penyangak ini, kelak nanti rakyat akan menghukum Kerajaan di pilihanraya nanti. Oleh sebab itu, adalah penting Kerajaan memberi perhatian serius kepada penyalahgunaan dan penyelewengan wang negara ini dan jangan sampai rakyat seolah-olah Kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa, dan lebih malang jika ianya menimbulkan persepsi Kerajaan bersekongkol dengan pengkhianat-pengkhianat dan penyangak-penyangak ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa

17 Zul Qaedah 1431

26 Okt 2010

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.