19 November 2010
MEMALI
Salam 2 all.
Pagi 19 Nov 1985, di sebuah perkampungan kecil di panggil Memali, Baling, berlaku satu peristiwa hitam dalam sejarah negara. 14 orang awam penduduk kampung ditembak mati oleh pasukan keselamatan. Empat anggota FRU turut terkorban. Banyak versi yang kita dengar, dan banyak cerita yang disampaikan, tetapi hakikatnya ia satu peristiwa yang boleh dielakkan.
Saya sendiri semasa itu baru sahaja tamat pengajian dari Victoria University Wellington. Sebaik mendapat berita dan maklumat mengenai kejadian tersebut, saya telah membuat satu komen mengenainya, dan disiarkan disebuah akhbar di Wellington, tidak silap saya akhbar The Herald. Kebetulan semasa kejadian saya sedang bersiap-siap untuk pulang ketanah air. Sebaik tiba, saya terus pulang ke kampung yang terletak tidak jauh daripada Kg. Memali. Saya sempat melihat kesan-kesan insiden tersebut, dan saya sempat ke perkuburan syuhada yang terletak tidak jauh daripada bulatan Parit Panjang.
Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa itu. Setakat yang saya tahu, kejadian bermula kononnya kerana Kerajaan pada masa itu berpendapat Assyahid Ustadz Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Ustadz Ibrahim Libya (atau nama betulnya Ustadz Ibrahim Bin Mahmud) adalah seorang lulusan Universiti Tripoli, Libya (itu sebab beliau dipanggil Ustadz Ibrahim Libya). Beliau pada mulanya bertugas sebagai pegawai pendakwah dan penceramah bagi Bahagian Hal Ehwal Islam JPM (BAHEIS-sekarang Jakim).
Namun semangat menyebarkan dakwah menyebabkan beliau membuat keputusan pulang ke kampung halaman dan membuka sebuah madrasah dipanggil Madrasah Islahiah Ad Diniah. Disitu pengaruh Ustadz Ibrahim Libya makin kuat dan Assyahid menyertai PAS dan bertanding dalam beberapa pilihanraya (dimana walaupun tewas tetapi dengan majoriti yang kecil sahaja). Saya masih teringat satu tulisan terpampang dirumah Assyahid dengan ayat "perjuangan itu adalah perlaksanaan kata-kata". Itu adalah "tagline" Assyahid yang cukup terkenal terutama bagi kami orang Baling.
Setakat yang saya tahu, perjuangan Assyahid Ustadz Ibrahim adalah untuk mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, qisas dan ta'zir. Itu yang beliau selalu ucapkan. Malahan itu adalah antara sebab utama Assyahid menentang UMNO pada masa itu. Beliau malah beranggapan berjuang menubuhkan sebuah negara Islam yang melaksanakan hudud, qisas & ta'zir adalah satu jihad! Sebab itu Assyahid menyertai PAS, kerana pada masa itu perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan syariat hudud, qisas & ta'zir cukup jelas.
Malahan baru beberapa tahun sebelum itu Amanat Haji Hadi disampaikan di Terengganu, amanat yang cukup jelas dan matlamat dan perjuangannya. Matlamat yang menarik perhatian ramai anak muda Islam memilih untuk menyertai PAS, termasuk saya. Matlamat yang tumbuh subur searus dengan gelombang kebangkitan Islam yang divetuskan oleh revolusi Iran pada masa itu. Tapi itu PAS pada masa itu, PAS yang disokong dan didokong oleh ramai anak muda yang dahagakan pengembalian pemerintahan Islam!
Saya tidak tahu apa agaknya tanggapan Assyahid jika melihat keadaan PAS sekarang. PAS yang sedia bersekongkol dengan kafir harbi DAP. PAS yang sanggup mengadakan perjanjian persefahaman penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat bersama DAP/PKR yang tidak menerima undang-undang Islam dan menolak perlaksanaan hudud, qisas & ta'zir. PAS yang membenarkan nama ALLAH digunakan secara syirik oleh kumpulan Kristian. PAS yang membenarkan tempat sujud ruku' umat Islam dicemari oleh kaki kafir harbi yang tidak menghormati hukum berpakaian Islam. PAS yang menghalalkan penggunaan hasil arak untuk pembangunan. PAS yang membenarkan anak isteri dijadikan bahan gadai politik dengan bai'ah talaq tiga. PAS yang membenarkan kuil hindu dibina dikawasan perumahan orang Islam. PAS yang bersedia meletakkan calun kafir bertanding atas tiket PAS. PAS yang bersekongkol dengan Anwar Ibrahim!!
Malah saya terkejut apabila diberitahu Anwar adalah salah seorang jemputan khas perayaan anjuran PAS untuk sambutan jubli perak 25 tahun memperingati peristiwa Memali. Mungkin PAS lupa bahawa Anwar pada masa kejadian adalah Ketua Pemuda UMNO, parti yang dituduh menjadi "pembunuh syuhada' Memali". Mungkin PAS lupa Anwar adalah anggota kabinet Kerajaan Barisan Nasional yang dituduh merancang pembunuhan Memali. Mungkin PAS lupa Anwar bukan sahaja tidak berbuat apa-apa, malahan bersekongkol dengan Kerajaan UMNO pada masa itu. Hari ini manusia bernama Anwar itu dijulang sebagai hero oleh PAS dan dijemput sebagai tetamu mengenang peristiwa Memali. Pada saya ini satu penghinaan besar kepada para syuhada dan mangsa Memali!!
Apa yang menjadi kekhuatiran saya ialah peristiwa Memali ini dipolitikkan untuk kepentingan sempit puak-puak tertentu. Tetapi kebajikan dan kepentingan keluarga dan mangsa Memali tidak diberi keutamaan. Saya tahu secara peribadi ramai ahli keluarga dan mangsa yang merungut tentang isu Tabung Kebajikan Memali. Mana pergi kutipan dan sumbangan yang dibuat? Mana akaunnya, mana auditnya. Siapa yang mendapat habuan dan menafaat? Setahu saya ada kalangan anak-anak Memali terpaksa memohon ihsan pihak lain untuk mendapat bantuan pengajian contohnya. Malahan ada lapuran polis dibuat mengenai isu ini. Apa statusnya kita pun tidak tahu. Yang saya tahu setiap kali menziarahi keluarga Memali, sudah pasti isu ini akan ditimbulkan. Wallahua'lam.
Apa pun, peristiwa yang berlaku 25 tahun lepas itu wajar dijadikan iktibar oleh kita. Pihak keselamatan contohnya sepatutnya bertindak dengan lebih berhemah dan mesra rakyat. Pada saya, tindakan gopoh pihak keselamatan, dan kekaburan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri pada masa itu Tan Sri Musa Hitam (yang memangku jawatan Perdana Menteri kerana Tun Mahathir ke negara China pada masa itu) merumitkan keadaan.
Pada saya arahan yang diberi kepada pihak polis supaya menembak orang kampung adalah satu arahan yang tidak sewajarnya dibuat. Banyak lagi alternatif yang boleh diambil pada masa itu, contohnya mengepung kawasan yang begitu kecil. Menggunakan kereta perisai untuk berdepan dengan orang kampung yang hanya ada parang dan sabit, dengan gabungan polis, pasukan Senoi Praq, PPH, FRU dan UTK bersenjata lengkap hanya memberi gambaran ada pihak mahu menghapuskan Assyahid Ustadz Ibrahim Libya. Malahan operasi hari itu dinamakan sebagai "Ops Angkara!".
Hari ini kerajaan yang terlibat dengan peristiwa Memali dah tiada. Ada pemimpin yang terlibat kehilangan anak dalam peristiwa keruntuhan bangunan. Seorang anggota kabinet telah dipecat dalam keadaan yang mengaibkan. Kerajaan BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen. Adakah mereka membayar harga Memali? Wallahua'lam, hanya ALLAH sahaja yang tahu.
Namun kematian Assyahid Ustadz Ibrahim Libya serta 13 lagi anak murid beliau telah difatwakan sebagai syahid. Malahan Kebawah Duli Tuanku Kedah telah memperkenan Duli melawat kubur Memali dan menziarahi mereka yang terlibat. Saya masih ingat ketegasan Tuanku pada masa itu, "mereka juga adalah rakyat Beta!".
Kubur para syuhada terus diziarahi bertali arus. Kawasan semak sekeliling kubur sudah membangun. Masjid berdekatan sudah tersergam indah. Kampung Memali makin membangun. Jalanraya ke Memali sedang dibesarkan oleh Kerajaan. Pembangunan pelancungan air panas Legong makin terkenal. Anak-anak syuhada ada yang sudahpun menuntut di universiti, termasuk di Al Azhar dan lain-lain.
Pada saya, Kerajaan pada hari ini sepatutnya mengambil inisiatif untuk membantu keluarga dan mangsa Memali, termasuk anak-anak mereka. Adalah wajar Kerajaan memohon maaf atas insiden yang tidak sepatutnya berlaku. Dan berikanlah kepada mangsa dan keluarga keadilan yang telah lama dinafikan kepada mereka.
Semoga roh mereka yang terlibat, termsuk 14 orang penduduk kampung dan 4 anggota polis yang turut terbunuh diberikan rahmat oleh ALLAH, dimasukkan dalam golongan soleh dan diberi kelapangan barzakh, dan dimasukkan kedalam syurga ALLAH.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
12 Zulhijjah 1431
19 Nov 2010
No comments:
Post a Comment
Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.