16 September 2011

AKHIRNYA ISA PERGI JUA...

Salam 2 all.

Tahniah kepada YAB PM atas keberanian mengambil langkah untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau lebih popular dengan nama glamernya I.S.A, dengan sinonim Ikut Suka Aku. Ini adalah hadiah sambutan Kemerdekaan & Hari Malaysia yang cukup bermakna bagi rakyat dan negara ini.

Pada teman, ini satu langkah yang bukan sahaja berani, malah tidak ada kaitan dengan mana-mana motif politik. Ini bukan langkah populis, kerana buat masa ini langsung tidak ada isu umum berkenaan ISA. Tidak ada sebarang tekanan politik. Tidak ada pekikan kaum PaLut. Malah ramai rakyat dan ahli politik terkejut dengan pengumuan YAB PM malam semalam, yang disiarkan secara langsung oleh media utama. Kecoh dimajlis-majlis rumah terbuka 'Eidulfitri malam semalam dengan topik pemansuhan ISA ini.

Teman mengalu-alukan pengumuman ini. Teman sendiri pernah ditahan dibawah ISA ini. Teman beberapa kali sudah nyatakan supaya ISA ini dimansuhkan, samada sebelum atau semasa menjadi Ahli Parlimen. Malah teman antara Ahli Parlimen yang konsisten dalam isu ini. Tercatat dalam hansard Parlimen, dan ucapan-ucapan teman, dalam bahas, soal dan usul, teman mendesak supaya ISA dimansuhkan. Dalam satu rekod teman menyebut:

"ISA mesti dimansuhkan. Penahanan tanpa bicara sangat bertentangan dengan prinsip asas keadilan Islam, dan setiap nilai hak dan kemuliaan kemanusiaan. Walaupun saya mengakui perlunya sistem perundangan yang tegas untuk menentang kegiatan saperti subversif dan terorisma, namun ISA bukan jawapannya. Kita boleh menggubal undang-undang baru yang bersesuaian untuk berdepan dengan elemen saperti subversif dan terorisma. tanpa mengorbankan keadilan Islam, hak asasi dan kemuliaan kemanusiaan".

Akta Keselamatan Dalam Negeri bukanlah langsung tidak berguna. Malah teman berani katakan penggunaan ISA dalam menentang penentangan komunis dahulu adalah sangat berkesan. Malah penggunaan ISA dalam beberapa insiden yang menggugat keselamatan negara dan keharmonian agama dan kaum dalam negara ini ternyata berjaya mencegah kepada meletusnya keadaan yang lebih serius yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Disini yang perlu kita faham. Penentangan terhadap ISA bukan kerana intipati pencegahan itu. Teman menegaskan bahawa kita memang memerlukan undang-undang pencegahan. Undang-undang sedia ada tidak cukup atau tidak bersesuaian untuk mencegah kepada perlakuan saperti subversif, terorisma, sabotaj dan lain-lain. Saperti kata pepatah warisan, mencegah lebih baik daripada mengubati!

Kita dapat melihat contoh saperti di Amerika Syarikat. Apabila seorang paderi merancang untuk membakar Al Quran secara terbuka disebuah gereja di Florida, ancaman yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan Amerika Syarikat, yang boleh menimbulkan kekacauan dan rusuhan; namun Kerajaan Amerika tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka terpaksa menunggu sehingga dia benar-benar membakar Al Quran itu, barulah mereka boleh bertindak. Mike boleh bayang yop kalu dia benar-benar laksanakan pembakaran Al Quran itu. Sudah pasti akan berlaku kekacauan, mungkin rusuhan. Pada masa itu, menyesal pun tak berguna.

Dan itulah yang ALLAH tunjukkan kepada kita dalam peristiwa rusuhan terburuk dalam sejarah Britain. Satu himpunan yang didakwa aman, daripada satu bantahan kecil dihadapan sebuah balai polis yang kecil, tiba-tiba merebak menjadi rusuhan yang merebak kebandar-bandar utama, sehingga menyebabkan kerosakan dan kecelakaan yang serius dan parah. Malah seorang anak Melayu yang tidak berdosa pun menjadi mangsa. Sehingga kini Asyraf menghadapi trauma bila melihat himpunan.

Begitu juga di Indonesia, bilamana sebuah kumpulan kecil yang menamakan diri mereka Bandera cuba mencetuskan provokasi terhadap Malaysia dengan cuba mengancam Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Mereka bersedia dengan buluh runcing, panah api dan lain-lain untuk menakutkan anggota Kedubes kita. Tetapi Kerajaan Indonesia tidak mampu berbuat apa-apa kerana selagi puak Bandera itu tidak melaksanakan ancaman mereka, Polri hanya mampu melihat dan memantau.

Namun di Malaysia, kita bernasib baik adanya ISA. Kerana kalau bukan kerana ISA, perancangan untuk menjatuhkan kerajaan melalui politik jalanraya pada tahun 1998 boleh mengubah lanskap negara. Namun perancangan itu semua gagal. Kerana ISA. Pihak keselamatan yang mungkin telah menghidu perancangan tersebut telah melakukan operasi tangkapan ISA serta merta. Operasi yang dinamakan "Ops-Dalil" dilaksanakan malam itu juga dan beberapa hari selepas itu, bermula dengan penahanan Anwar dan hampir 17 orang "kepala reformasi" waktu itu, termasuk Datuk Seri Zahid Hamidi (masa itu Ketua Pemuda UMNO), Datuk Kamarudin Jaafar (Ketua Bahagian UMNO Tumpat), Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, 4 orang pimpinan ABIM, Roslan Kasim termasuk juga teman (sebagai peguam Anwar masa itu).

Tiada pimpinan PAS atau DAP yang ditahan pada masa itu. Semuanya pimpinan UMNO kecuali teman dan pimpinan ABIM. Jadi kalau ada badut yang dakwa UMNO tak kena ISA tu maknenya tak sekolah lah tu. Jangan lupa pulak masa Anwar kena ISA tu pun dia adalah Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri yop. Kaum Anwarinas belum ujud lagi masa tu, malah bulu hidung pun tak nampak. Mereka tak ada masa zaman susah itu. Mereka muncul macam cendawan beracun selepas hujan, hanya setelah keadaan tenang dan tiada masalah.

Jadi pada teman, penahanan untuk tujuan pencegahan itu penting. Dan teman percaya rakyat juga memahami akan keperluan adanya undang-undang pencegahan. Saperti yang pernah teman sebut, dalam soal keselamatan dan keamanan rakyat dan negara, hak umum mengatasi hak individu. Jangan kita sampai jadi saperti di negara-negara barat yang terlalu mempertuhankan hak individu, sehingga hak umum tercabar dan terancam.

Apa yang menjadi isu ialah prosedur dan mekanisma perlaksanaan undang-undang pencegahan itu. Terutamanya hak membela diri dan hak serta kemuliaan individu yang ditahan.

Perlu ada satu mekanisma untuk memastikan sesiapa yang ditahan tahu mengapa dia ditahan. Dia juga perlu diberi hak memaklumkan kepada mana-mana orang saperti ahli keluarga, rakan atau peguam mengenai penahanannya dan lokasi penahanan. Kita memahami pihak keselamatan perlu mendapatkan inteligen dan maklumat daripada orang yang ditahan (dalam bahasa ISA disebut "Tajuk"). Jadi tempoh masa yang menasabah perlu diberi kepada pihak keselamatan untuk mengumpul inteligen. Ini penting kerana dengan inteligen itu pihak keselamatan boleh mengambil tindakan susulan saperti merampas bahan bukti atau menahan orang lain daripada melaksanakan ancaman yang dirancang.

Itu tidak menjadi masalah. Alangkan sekarang pun pihak polis dibenarkan menahan saspek selama 14 hari tanpa bicara. Mungkin kita berikan masa saperti 21 hari atau 30 hari untuk pihak keselamatan menahan sebarang Tajuk. Cuma teman berpendapat selepas hari ke 14, Tajuk wajib dibawa kehadapan seorang majistret untuk dipastikan keadaan Tajuk dan untuk membolehkan Tajuk membuat sebarang aduan (jika ada). Pada hari ke 21 atau 30, Tajuk wajib dilepaskan atau dikenakan pertuduhan di Mahkamah. Sekiranya pihak berkuasa merasakan Tajuk perlu ditahan lanjut (mungkin untuk tempoh masa tidak kurang 3 bulan dan tidak lebih 24 bulan), maka pihak keselamatan wajib membentangkan kepada seorang Hakim Mahkamah Sesyen alasan perlanjutan penahanan. Jika mahkamah berpuashati ujud elemen yang mewajarkan perlanjutan, bolehlah Mahkamah memerintahkan perlanjutan penahanan.

Yang menjadi masalah sekarang dibawah ISA, keputusan perlanjutan atau sebarang tindakan lanjut dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, yang beliau adalah seorang ahli politik. Sudah pasti akan ujud persepsi (salah atau betul) yang beliau akan menyalahgunakan kedudukan dan kuasa itu untuk menahan seteru politiknya. Dan ini memang pernah berlaku sebelum daripada ini.

Jadi teman berpendapat, tindakan memansuhkan ISA ini sangatlah wajar dan tepat pada masanya. Namun satu undang-undang baru untuk langkah-langkah pencegahan membabitkan keselamatan dan keamanan rakyat dan negara ini, terutamanya daripada anasir subversif, terorisma, sabotaj dan atau pelampau agama/ perkauman perlu digubal, dengan syarat prosedur dan mekanisma perlaksanaannya mengambilkira hak asasi dan kemuliaan kemanusiaan, dengan meletakkan kepentingan umum mengatasi kepentingan individu; dan hendaklah mematuhi sistem keadilan Islam dan sejagat.

Apa pun, tahniah kepada YAB PM. Teman angkat tabik kepada Dato' Sri Najib. Ternyata beliau PM yang jenis janji ditunai, kata dikota.

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
18 Syawal 1432
16 Sept 2011

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.