30 August 2013

NASIHAT PERKASA

Najib menjadi pemimpin bukan Arab pertama menjejakkan kaki ke bumi Gaza
Salam.

Saya ingin buat kenyataan untuk memperjelaskan bahawa saya mahupun Perkasa tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Wirawan Perkasa saudara Irwan Fahmi yang mendesak YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib meletakkan jawatan (www.irwanfahmi.blogspot.com).

Perkara ini tidak pernah dibincangkan, apatah lagi dipersetujui oleh Dewan Tertinggi Perkasa.

Itu adalah pendirian peribadi saudara Irwan yang tidak ada kena mengena dengan Perkasa.

Saya juga ingin menegur saudara Irwan Fahmi supaya tidak membuat sebarang kenyataan polisi atau dasar membabitkan Perkasa kecuali sebagaimana yang dipersetujui oleh Dewan Tertinggi Perkasa.

Saya menasihatkan saudara Irwan Fahmi supaya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada YAB Perdana Menteri dan Presiden serta kepimpinan Perkasa.

Walaupun saya menghargai kegusaran dan kekhuatiran yang dirasai oleh saudara Irwan terutama mengenai agenda Islam dan Melayu pasca PRU-13, namun perkara ini sudahpun dibincang dan dibahaskan secara panjang lebar dan terperinci oleh kepimpinan Perkasa semua peringkat dalam Retreat Kepimpinan Perkasa di Ulu Kelang sebaik sahaja PRU-13 selesai.

Dan jelas daripada Retreat Kepimpinan tersebut bahawa kepimpinan Perkasa buat masa ini mengambil sikap meminta semua pihak supaya memberi ruang dan peluang kepada YAB Perdana Menteri menggunakan mandat yang baru diperolehinya untuk melaksanakan dasar-dasar yang bersesuaian termasuk Dasar dan Tindakan Afirmatif untuk mempertahankan dan membela kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu saperti mana yang termaktub didalam Perlembagaan tanpa menafikan hak kaum lain saperti yang diperuntukkan.

Kepimpinan Perkasa juga telah bersetuju mengambil pendirian jika setelah ruang dan peluang diberi secukupnya dan masih tiada sebarang Dasar dan Tindakan Afirmatif  yang diambil yang boleh dilihat membela dan mempertahankan kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu secara berkesan sebagaimana yang diperuntukkan didalam Perlembagaan barulah kepimpinan Perkasa akan membincang dan menimbang langkah selanjutnya yang wajar diambil jika perlu.

Apa yang ingin saya tegaskan ialah soal meminta Dato Sri Najib meletakkan jawatan tidak pernah menjadi dasar atau pilihan bagi kepimpinan Perkasa buat masa ini.

Sekian terima kasih.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Naib Presiden Perkasa
Jumaat
23 Syawal 1434
30 Ogos 2013

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.