07 November 2013

KARPAL LAGI?

Karpal dengan berani mencadangkan parti berteraskan agama seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah itu cara DAP menghargai sumbangan PAS kepada DAP dalam usaha menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO?
Salam 2 all.

Adakah Karpal bersetuju dengan cadangan supaya semua sekolah berasaskan perkauman dihapuskan; termasuk sekolah vernakular yang berteraskan perkauman wajar ditutup?

Adakah Karpal juga mahu supaya pertubuhan seperti Dong Zhong diharamkan?

Pada saya, itulah kesan kenyataan Karpal Singh yang mencadangkan supaya parti politik dan pertubuhan yang berasaskan agama atau perkauman dibatalkan atau diubahsuai untuk menerima kemasukan atau keahlian penganut agama lain ataupun kaum lain.

Mesej Karpal adalah jelas. Bermakna parti politik seperti PAS atau UMNO, atau pertubuhan seperti Perkasa dan lain-lain elok dibatalkan pendaftaran; maknanya diharamkan!

Malah Karpal secara spesifik menyebut nama parti PAS rakan sekongkol yang telah bertungkus lumus membanting tulang empat kerat bersama Karpal untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO!

Kerana apa?

Kerana mempunyai nama yang mewakili agama atau bangsa, dan secara legal mewakili kepentingan agama atau bangsa!

UMNO yang berteraskan Melayu Islam sudah menjadi tunggak pemerintahan selama lebih setengah abad. Dan UMNO berjaya membangunkan rakyat dan negara ini tanpa mengira agama dan bangsa; semuanya berasaskan kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontrak-sosial diantara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Begitu juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara - tujuan dan matlamat serta perjuangannya adalah untuk memartabatkan, membela dan memperkasa bangsa dan institusi Melayu-Islam berasaskan kepada kerangka Perlembagaan tanpa menafikan, apatah lagi menzalimi atau merampas hak kaum atau penganut agama lain.

Sebenarnya itulah asasnya. Selagi semua rakyat dan warganegara Malaysia ini menjunjung tinggi dan menghormati serta akur kepada persefahaman, semangat dan hidup dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, selagi itulah keamanan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai agama dan kaum akan terus berkekalan.

Didalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dinafikan Islam dan Melayu memang diletakkan ditempat yang lebih istimewa dan berbeza daripada agama dan kaum lain. Dalam lain perkataan, hakikatnya Perlembagaan Persekutuan memang bersifat diskriminatori, atau apa yang saya sebutkan sebagai diskriminatori positif (positive discrimination).

Islam dan Melayu memang diberi tempat dan kedudukan istimewa didalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, mana-mana pihak, samada dalam bentuk parti politik, pertubuhan, badan bukan kerajaan, kelab sosial, universiti, kementerian, jabatan kerajaan, agensi kerajaan, GLC dan lain-lain; yang memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Islam dan Melayu adalah berbuat sedemikian dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan.

Oleh itu, sebarang cadangan atau rancangan untuk mengharamkan sebarang parti politik, pertubuhan, persatuan, jabatan dan agensi kerajaan, NGO, GLC dan lain-lain daripada memperjuangkan, memartabat atau memperkasa hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah bercanggah sama sekali dengan peruntukkan Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui.

Dan Karpal Singh sebagai seorang peguam veteran sepatutnya dan wajar mengetahui perkara ini!!!

Malah kalau Karpal mengkaji sejarah dunia Islam, akan jelas terbukti mana-mana pemerintahan yang berteraskan Islam akan bersikap adil dan saksama. Peristiwa pembukaan Kota Jerusalem oleh Sultan Salahudin Al-Ayubi, pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh adalah bukti keadilan dan kesaksamaan Islam yang tidak boleh dinafikan.

Tetapi lihat bagaimana sejarah serangan dan penaklukan Kota Jerusalem oleh tentera salibiah dalam Perang Salib sebagai bukti jelas bagaimana umat Islam, termasuk juga penganut kristian yang tidak sehaluan dengan mereka, diperlakukan dengan begitu kejam!

Lihat bagaimana perlakuan rejim zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin!

Ini semua bukti sejarah yang tidak boleh dinafikan lagi!

Saya juga menyarankan kepada Karpal Singh supaya mencerminkan diri dan parti dia sendiri! Adakah parti DAP itu sendiri bukan sebuah parti yang secara substantif berteraskan sikap rasis, extremis dan bersifat pelampau perkauman? Masih ingat catatan sejarah peristiwa 13 Mei 1969?

Sepatutnya Karpal dan partinya DAP membuat kajian adakah keujudan sistem pendidikan vernakular yang berteraskan kepada perkauman dan etnik tertentu yang menjadi punca kepada masalah perkauman yang menjadi semakin kronik dan serius?

Cuba kaji mengapa generasi muda dari kaum tertentu semakin menebal sifat perkauman mereka; malah sampai ke peringkat begitu biadap dan secara terbuka mempersoalkan perkara-perkara fundamental yang menjadi teras kepada keharmonian antara kaum dan agama dalam negara ini?

Apapun, persoalan yang mahu saya lontarkan terutama kepada sahabat dan kepimpinan PAS khususnya para ulama yang ada; berapa lama PAS mahu bertahan dengan karenah pimpinan DAP termasuk Karpal Singh? Tidakkah PAS merasa tercabar dengan sikap rakan sekongkol mereka yang kelihatan langsung tidak menghargai sumbangan PAS dalam persekongkolan untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi UMNO?

Cuba lihat kerajaan DAP Pulau Pinang; walaupun hanya ada seorang sahaja ADUN PAS iaitu Datuk Ustaz Saleh Man, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang dan ADUN Permatang Pasir, namun langsung tidak diberi tempat dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang. Tidakkah itu satu gambaran jelas dimana letaknya PAS dikacamata DAP?

Terkini Pengerusi DAP Karpal sendiri begitu jelas dan terbuka tanpa sedikit keraguan mencadangkan parti seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah pimpinan PAS masih mahu berselindung disebalik jawapan standard 'itu pendirian peribadi Karpal bukan pendirian DAP?'.

Islam itu tinggi dan mulia. Yang merendahkan Islam, yang meletak Islam ketempat yang hina ialah manusia, bukan Islam itu sendiri! Islam akan terus mulia dan a'laa, yang rendah dan hina ialah penganutnya sendiri!

Wallahua'alamdan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
04 Muharram 1435
07 November 2013

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.