26 November 2013

MENGHITUNG HARI!

Bila Izrail datang memanggil, jasad terkujur di pembaringan - rumah kata pi, kuboq kata mari!

Salam 2 all.

Hitler dan Menteri Propaganda Nazi Goebler pernah berkata, 'the bigger the lie, the more people will believe it - lebih besar sesuatu pembohongan itu, lebih mudah orang percaya'.

Masih ingat lagi kisah dongeng pembohongan 16 Sep 2008? Konon cerita lebih 30 Ahli Parlimen BN akan melompat ke pembangkang. Dan Kerajaan BN akan jatuh. Dan 16 Sep 2008 akan menyaksikan Kerajaan baru pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dengan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri!

Kalau itu bukan satu pembohongan dan putar belit, apa namanya tu yop?

Masih ingat lagi janji kepada penduduk Kg. Buah Pala di Pulau Pinang semasa kempen PRU-12 tahun 2008. 'Ane, ini hari kasi undi sama kita, lagi dua minggu geran kasi mari'. Tak berapa hari menang Pulau Pinang dan membentuk Kerajaan DAP, penduduk Kg. Buah Pala menerima kedatangan traktor dan jentolak merobohkan rumah mereka dan dihalau keluar!

Kalau itu bukan satu pembohongan dan putar belit, apa namanya tu yop?

Masih ingat lagi sebelum PRU-13, 'jika pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS tewas dalam PRU-13, saya akan bersara dan mungkin menjadi pensyarah'. Tetapi sehingga hari ini bukan sahaja tidak berhenti dan bersara, malah terbaru dibawa usul dalam Kongres PKR baru ini supaya Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Presiden PKR daripada isterinya Wan Azizah!

Kalau itu bukan satu pembohongan dan putar belit, apa namanya tu yop?

Masih ingat cerita jam Omega? Masih ingat lagi cerita sakit belakang? Masih ingat lagi cerita Lynas? Masih ingat lagi cerita Felda bankrap? Masih ingat lagi cerita China-Doll? Masih ingat lagi banyak lagi kisah dan cerita yang dibawa oleh pembangkang - yang semuanya akan membuatkan Goebel senyum meleret, yang akan membuatkan Hitler terkedu!

Baru-baru ini Dato' Sri Najib mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh setelah menghadiri Sidang CHOGM di Sri Lanka. Sekembalinya daripada lawatan itu, Dato' Sri Najib ditanya tentang misi lawatan yang pertama oleh beliau sebagai PM Malaysia ke Bangladesh. Jawab PM,

Misi lawatan ini alhamdulillah telah membuka era baru dalam hubungan Malaysia - Bangladesh. Namun misi kedua saya telah gagal!

Ramai wartawan terkejut, apa misi kedua yang gagal tu Dato' Sri, tanya para wartawan. Dengan penuh selamba Dato' Sri Najib menjawab;
Misi kedua saya ialah untuk mencari 40,000 pengundi Bangladesh yang didakwa mengundi dalam PRU-13, tetapi gagal. Malah Sheikh Haseena Perdana Menteri Bangladesh menggelengkan kepala bila diberitahu tentang dakwaan 40,000 pengundi Bangladesh konon mengundi didalam PRU-13!

Sebaik sahaja kenyataan PM tersebut disiarkan media, tak pasal-pasal Anwar membuat kenyataan bahawa dia tidak pernah menuduh BN bawa masuk 40,000 Bangla semasa PRU-13.

Media-media portal pro Kerajaan kemudian mendedahkan beberapa siri berita yang disiarkan media pembangkang termasuk di laman twit dan lain-lain dimana pembangkang membuat dakwaan konon ujud para pengundi Bangla dalam PRU-13, termasuk kisah sedih seorang penyokong pembangkang sendiri yang diserang dan dihalang mengundi pada pagi 05.05.2013 kerana dituduh sebagai Bangla!

Pada saya, politik pembohongan dan putar-belit pembangkang adalah satu jenayah demokrasi yang harus dibenteras segera. Jika tidak dibendung, ianya akan memudaratkan dan mengancam keselamatan dan keharmonian negara!

Kepada pembangkang DAP-PKR-PAS, saya nasihatkan berhentilah daripada politiking kotor dan jijik ini! Politik berteraskan pembohongan, putar belit, matlamat menghalalkan cara, menimbulkan kontroversi, memecahbelahkan perpaduan negara dan keharmonian antara kaum dengan sikap cauvinis, extremis, pelampau bukan warisan yang mahu kita tinggalkan kepada generasi akan datang.

Melabel kakitangan kerajaan yang kebanyakannya berbangsa Melayu dengan tuduhan mereka anjing Kerajaan dan sekadar kucing kurap jalanan bukan jenis politik yang boleh diterima oleh rakyat!

Dan kepada Anwar, sudah-sudahlah tu. Umur awak pun dah masuk rumah kata pergi, kubur kata mari. Tuhan pun dah bagi subsidi empat tahun mengikut ukuran umur Rasulullah saw.

Elok tunaikan janji nak berhenti dan berundur, jadilah pensyarah kat mana-mana. Kalau tak dapat mengajar di Oxford Universiti, mengajar ajelah di UniSel. Saya pasti Tan Sri Khalid akan berikan tempat walaupun mungkin slow sikit keputusan dia.

Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS yang baru ditabalkan pun dah tegaskan supaya PAS mendesak jawatan calon Perdana Menteri bagi pembangkang diberikan kepada Datuk Seri Hadi Awang. Bermakna PAS pun dah tak mahu kat hang lagi dah.

PKR pun dah makin kelam kabut. Dua ADUN PKR Sabah dah meninggalkan kemungkaran kembali kepada kebenaran. 11 Ketua Cabang PKR Sabah pun sudah angkat kaki dan mengisytiharkan sokong BN. Bos-bos PKR di Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna semua dah mengikrarkan sokongan kepada Dato' Sri Najib dan BN.

Jadi eloklah membuat persediaan untuk menerima kedatangan Izrail - jangan salah faham Israel pula! Perbanyakkan dengar nasyid Selimut Putih. Dan sebelum Izrail datang memanggil, dan jasad hang terbujur di pembaringan, eloklah habiskan masa dengan cucu-cucu tu.

Sentiasa ingat pesan ALLAH, kullun nafsil zaa ikatul mawt - tiap jiwa pasti mati. Macam mana manusia berusaha untuk berawet muda, berapa banyak manusia berusaha untuk membotoxkan diri, akan datang nanti satu masa satu ketika satu detik hukum ALLAH pasti berlaku - hang pasti mati!

Dan pastikan soalan pertama di alam barzakh nanti boleh dijawab - maarobbukaa - jawapannya ALLAH Hu Ahad, bukan Allah-Hus-Salis seperti yang dituntut kristian!

Moga ALLAH memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua, dan semoga ALLAH menunjukkan kebenaran, dan menganugerahkan kita aqidah dan keimanan yang benar -  ameen!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
22 Muharram 1434
26 Nov 2013

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.