14 January 2014

YA RASULULLAH!


Salam 2 all.

Hari ini Selasa 12 Rabi'ul Awal 1435, bersamaan 14 Januari 2014, adalah hari kita memperingati kelahiran insan agong kekasih ALLAH, iaitu Nabi Muhammad saw.

Nabi Muhammad saw dilahirkan 1475 tahun yang lepas di bumi Makkah. Dilahirkan tanpa ayahnya Abdullah Abdul Mutallib yang pergi meninggalkannya semasa masih didalam kandungan, dan membesar tanpa kasih sayang ibunya Aminah yang meninggal semasa Baginda masih kanak-kanak berumur 6 tahun.

Nabi Muhammad dilahirkan dalam suasana umat manusia berada didalam kekufuran dan kesyirikan yang serius terhadap ALLAH Maha Esa.

Sebenarnya risalah mentauhidkan ALLAH swt bermula sejak zaman Nabi Adam a.s lagi. iaitu sejak keujudan kemanusiaan itu sendiri. Sejak zaman Nabi Adam a.s, berturut-turut risalah mentauhidkan ALLAH swt dilaksanakan menerusi pengutusan para Rasul dan Nabi, yang berjumlah lebih-kurang 124,000 orang.

Tiap Rasul dan Nabi diutuskan untuk hanya satu tujuan, mengembalikan manusia kepangkal jalan, iaitu mentauhidkan ALLAH swt. Mengesakan ALLAH swt. Mencegah manusia daripada kekufuran dan kesyirikan. Itulah mesej kerasulan.

Dan atas sebab itu jugalah Nabi Muhammad saw diutus oleh ALLAH swt, sebagai khatamul anbiya - penutup segala Nabi dan Rasul.

Sebelum Nabi Muhammad saw diutus, manusia terbahagi kepada 3 kelompok besar. Pertama golongan yang kufur kepada ALLAH, dengan mendakwa ALLAH ada anak. Sepertimana Yahudi mendakwa Uzair sebagai anak ALLAH; sebagaimana Nasara mendakwa Isa sebagai anak ALLAH.

Kedua golongan yang mensyirikkan ALLAH, dengan mendakwa ALLAH ada sekutu. Seperti kaum Quraisy, yang mendakwa Latta wal 'Uzza sebagai sekutu ALLAH. Dan diujudkan patung dan lembaga untuk dijadikan penyembahan Latta wal 'Uzza sebagai perantaraan untuk sampai kepada ALLAH.

Ketiga golongan yang kufur dengan menafikan keujudan ALLAH, sebaliknya mengiktiraf dan menjadikan makhluk sebagai tuhan sembahan mereka. Ini termasuk kaum Majusi, termasuk bangsa Rom masa itu yang menjadikan matahari sebagai sembahan mereka. Dan kaum Parsi, yang menjadikan Api sebagai sembahan mereka.

Hanya tinggal sedikit sahaja manusia yang terus mengesakan ALLAH sebagai Tuhan Yang disembah; yang masih meneruskan syariat Ibrahim a.s. Kaum ini dipanggil sebagai kaum Hanafi.

Dalam keadaan kekufuran, kesyirikan dan kerosakan manusia dalam mempertuhankan ALLAH inilah Nabi Muhammad saw diutus. Nabi diutus bukan untuk mendapat kuasa, Nabi bukan diutus untuk mengumpul kekayaan, dan Nabi bukan diutus untuk mendapat nikmat dunia.

Sebab itu semasa kemuncak penentangan kaum Quraisy terhadap Rasulullah saw, setelah mereka gagal mengekang kebangkitan risalah ketauhidan ALLAH yang dibawa Rasulullah saw; pimpinan Quraisy menawarkan kepada Muhammad saw;

Wahai Muhammad, kalau kekuasaan yang engkau mahu, kami akan lantik kamu sebagai Ketua segala ketua; King of the Kings;

Wahai Muhammad, kalau kekayaan yang engkau mahu, kami akan himpunkan segala kekayaan kami, dan memberikan engkau emas sebesar Gunung Uhud;

Wahai Muhammad, kalau nikmat dunia yang engkau mahu, kami akan pilih wanita yang tercantik dikalangan kami, dan akan kami jadikan dia suri untuk mu;

Kalau lah maksud dan tujuan Nabi untuk takhta, harta dan wanita, sudah tentu Nabi akan menerima tawaran tersebut. Namun Nabi menolak dengan satu jawapan yang sangat jelas;

Kalau lah kamu hadiahkan aku matahari disebelah tangan kanan ku, dan kamu menghadiahkan bulan ditangan kiri ku, pasti aku akan menolaknya!

Begitu tegas jawapan Nabi menolak tawaran Tiga-Ta mereka; Takhta, Harta dan Wanita!

Persoalannya mengapa? Bukankah itu yang dikejar manusia?

Kerana bukan itu tujuan Nabi diutus. Itu bukan risalah Nabi. Itu bukan matlamat Nabi.

Nabi diutus untuk memperbetulkan kekufuran terhadap ALLAH;

Nabi diutus untuk memperbetulkan kesyirikan kepada ALLAH;

Nabi diutus untuk memperbetulkan aqidah dan kepercayaan manusia yang sudah terpesong kerana mendakwa ALLAH ada anak, ALLAH ada sekutu, mendakwa Tuhan ialah makhluk seperti bulan dan matahari.

Nabi Muhammad saw diutus untuk memperbetulkan kekufuran, kesyirikan dan kemurtadan terhadap kalimah ALLAH Maha Esa oleh manusia yang sudah sesat dan kufur!

Risalah Nabi Muhammad ialah Laa ila ha illallah - tidak ada tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa!

Sebab itu dalam menghayati Maulidur-Rosul, kita perlu melihat semula kedalam cermin, menilai masyarakat kita hari ini.

Apabila pendakyah kristian menuntut hak menterjemah secara salah kalimah ALLAH sebagai terjemahan perkataan Eli dan God, dengan membawa maksud ALLAH itu juga adalah ALLAH-Hus-Salis, Allah Tiga Dalam Satu, Allah Bapak, Allah Putera & Allah Ruh Suci, sebenarnya mereka mahu  membawa kita kembali ke zaman jahiliyah, zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw.

Mereka mahu kalimah ALLAH sebagai tuhan yang disyirikkan dengan mempunyai anak bernama Jesus; mereka mahu kalimah ALLAH sebagai tuhan yang disekutukan dengan mempunyai sekutu bernama Ruh Suci; mereka mahu kalimah ALLAH diberhalakan dengan patung salib simbol agama mereka. Mereka mahu mengkufurkan dan mensyirikkan kalimah ALLAH!

Dan dengan bersekongkol dengan mereka, kita akan mendapat 3-Ta. Kita akan mendapat Putrajaya berserta dengan kekuasaan, jawatan, kedudukan, habuan dan kenikmatan duniawi. Hanya kita perlu menggadai kalimah ALLAH kepada mereka untuk disyirikkan dan dikufurkan!

Dan ada antara kita yang terpukau dengan tawaran itu; ada antara kita menjadi kalkatu yang terpukau dengan gemerlapan cahaya Putrajaya; politikus rakus yang sanggup menggadai aqidah dan keimanan mereka; melongkangkan dan mentong-sampahkan ketauhidan ALLAH semata-mata untuk 3-Ta itu!

Oleh itu sempena dengan menyambut Maulidur-Rosul ini, saya menyeru diri saya dan semua para muqmin dan muslimin; kembalilah kita ke jalan ALLAH. Kembalilah kita mentauhidkan ALLAH. Ambillah sunnah dan perjuangan Rasulullah saw; dengan tegas mmpertahankan kalimah ALLAH dengan menjawab;

Kalaulah kamu hadiahkan aku Putrajaya di tangan kanan ku, dan kamu hadiahkan kekuasaan kerajaan ditangan kiri ku, pasti aku akan menolaknya. Kerana sesungguhnya hidupku, matiku, solatku, 'ibadahku, dunia dan akhiratku, hanyalah dengan mempertuhankan ALLAH Maha Esa, ALLAH Yang Satu.

 Selamat menyambut Maulidur-Rosul 1435. Semoga ALLAH memelihara iman dan aqidah kita, dan menjauhkan kita daripada fitnah kehidupan, fitnah duniawi dan fitnah akhir zaman ini.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
12 Rabi'ul Awal 1435
14 Januari 2014

Nota: hari ini 14 Januari 2014 juga adalah hari ulangtahun pemergian pemimpin negara kita Almarhum Tun Abdul Razak bin Hussein, yang kembali ke rahmatullah 38 tahun lepas pada 14 Januari 1976. Semoga ALLAH mencucuri rahmat dan keampunanNya keatas Allahyarham. Al-Fatihah!

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.