|
Politik 3A-Anwar, Azizah & Azmin kembali menghantui PKR
dan Kerajaan Selangor. Adakah masa depan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB
kini bagai telur dihujung tanduk? Adakah Selangor bakal bakal mencatat
sejarah mendapat MB wanita bukan anak negeri yang pertama?
|
Salam 2 all.
PRK DUN N.25 Kajang
telah berakhir dengan kemenangan calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
dengan majoriti 5,379, mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga
Naib Presiden MCA.
Berikut adalah carta
keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai
perbandingan.
DUN N.25 – KAJANG
JUMLAH
PENGUNDI – 38,965
Melayu
: 48.48%; Cina : 40.46%; India : 10.15%; Lain-lain : 0.91%
PARTI/ STATUS
|
Undi PRK
|
Undi PRU-13
|
PERBEZAAN
|
PKR
|
16,741
|
19,571
|
- 2,830
|
BN
|
11,362
|
12,747
|
- 1,385
|
Undi
Rosak
|
176
|
681
|
- 605
|
Jumlah
Turun Undi
|
28,279
|
34,430
|
- 6,151
|
Majoriti
|
5,379
|
6,824
|
- 1,445
|
Undi
Bebas
|
-tiada-
|
1,431
|
-tiada-
|
- Jumlah tidak turun mengundi
dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi;
- Dalam PRU-12 tahun 2008,
calon PKR Lee Kim Sin menang majoriti 3,268;
- Dalam PRU-13, tiga calon
bebas Melayu memperolehi 1,346 undi;
- Manakala calon bebas bukan
Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85;
Saya melihat
kebanyakan penganalisa pro-kerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR
tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah
berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin
Cheh pada PRU-13. Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat
19,571.
MCA pula dalam
kenyataan segera sebaik sahaja kemenangan Wan Azizah diumumkan memberi gambaran
seolah-olah mereka ‘menang dalam kalah’;
kononnya mereka berjaya menurunkan undi majoriti PKR, dan sokongan kaum Cina
sudah kembali kepada MCA. Malah ada yang membuat kenyataan bahawa sokongan
orang Melayu berkurangan dan mnunjuk jari kepada UMNO ‘untuk menyelesaikannya’.
Pada saya ini satu
analisa yang menipu diri sendiri. Satu rumusan untuk menyedapkan hati sendiri,
satu ulasan yang menafikan realiti sebenar!
Hakikatnya MCA kalah dalam PRK Kajang! Faktanya
MCA gagal mendapat sokongan pengundi Cina! Realitinya MCA gagal berfungsi
sebagai parti komponen yang boleh membantu UMNO dalam menghadapi senario
politik yang makin mencabar!
Jangan lupa calon BN
Chew Mei Fun, yang juga Naib Presiden MCA hanya mendapat 11,362 undi,
berbanding Lee Ban Seng, calon BN-MCA dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini
adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.
Beberapa faktor
perlu diambil kira didalam membuat analisa PRK Kajang ini. Yang paling ketara
ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding
dengan PRU-13. Menurut SPR, jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah
88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu
kekurangan lebih kurang 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.
Manakala jumlah yang
tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi ialah 10,686 atau
27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisa
PRK Kajang.
Pada saya, penurunan
jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya kerana mereka
sudah yakin PKR akan menang, kedua kerana faktor merasakan PRK Kajang tidak
perlu, ketiga kerana faktor pengundi luar tidak balik mengundi, keempat kerana
isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi,
kelima kerana silent-protest.
Begitu juga
kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dikalangan ahli dan penyokong PAS
kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau PKR.
Apapun yang jelas, sebenarnya dan pada
hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend
mengundi samada kepada pembangkang mahupun kepada BN sejak daripada PRU-13 yang dilabel sebagai tsunami Cina.
Setelah 10 bulan
PRU-13 berlalu dimana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina
yang menolak BN, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada
sebarang perubahan trend pengundian dikalangan pengundi.
Kita perlu ingat
dalam PRK ini ada beberapa faktor yang memihak kepada MCA dan BN iaitu:
1. sabitan kesalahan
jenayah liwat tehadap Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan pada 07.03.2014 yang
menghukum Anwar dengan 5 tahun penjara;
2. politik kronisma
yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden
PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;
3. isu kehilangan
MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya
diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada
Kerajaan;
4. tiadanya bantuan
aktif daripada jentera PAS kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk
Seri Hadi Awang hanya turun sekali sahaja;
5. persepsi bahawa
Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk
menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada
masyarakat korporat dan peniaga Cina.
Diwaktu yang sama,
calon BN bukan calang orang. Chew Mei Fun adalah Naib Presiden MCA, dan dilihat
sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan
Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan
bekas Presiden Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi dengan masalah moral
yang serius.
Sebagai
perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip,
contohnya kegagalan Wan Azizah menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan
skandal Anwar-ChinaDoll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam
simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang
telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak Polis.
Isu ini menumbulkan
persoalan kewibawaan dan integriti yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang
berbohong, Wan Azizah atau Eskay?
Malah tag-line kempen BN dalam PRK Kajang ini ialah antara Chew
Mei Fun sebagai calon berprinsip dengan
Wan Azizah yang Ketua Pemuda UMNO labelkan sebagai calon puppet.
Jentera BN
diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Tmbalan Presiden UMNO sendiri Tan Sri
Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihanraya diamanahkan kepada Datuk
Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor.
Tidak seperti
jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air-liur politik sahaja dan
modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan;
selain ceramah.
Saya memang dari
awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya
berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan
serius majoriti PKR terutama dikalangan pengundi Melayu.
Ternyata pada hakikaktnya
tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi didalam PRK Kajang ini. Malahan
trend tsunami politik Cina masih berterusan.
Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh
masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya
memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.
Dan saya percaya sampai bila pun MCA (dan
Gerakan) akan gagal; kerana apa yang dimahukan oleh pengundi Cina terutama
dikalangan cauvinis ialah kekuasaan pemerintahan Kerajaan Pusat dibawah
cengakaman cauvinis Cina, sesuatu yang hampir mustahil untuk MCA dan Gerakan
tawarkan kecuali mereka bergabung wadah dengan DAP menentang UMNO!
Jika PRK Kajang
boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, dan sewajarnya ia diambil sedemikian, saya
melihat bahawa BN, terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan
politik mereka dalam menghadapi PRU-14 nanti.
Mengakui dan
menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan
berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, saya sarankan kepada UMNO
supaya kembali kepada undi-asas atau vote-base mereka, iaitu pengundi Melayu.
Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada
bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang
dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak
mana-mana Kerajaan yang dipilih.
Inilah rahsia kepada
survival politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14.
Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO.
Bagaimanapun, UMNO
perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu.
Dan inilah yang sudah Presiden UMNO Dato' Sri Najib Tun Razak seringkali sebut dan peringatkan kepada ahli dan kepimpinan UMNO sejak tsunami 2008 - UMNO mesti dan wajib berubah!
Ini adalah kerana hakikatnya bangsa Melayu kini sudah berubah.
Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO
sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.
Dan itulah
pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.
Selagi UMNO
merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan
berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa
Melayu.
Tetapi jika mereka
merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan
dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada
perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.
Memang kita tidak
nafikan jasa, perjuangan dan pengorbanan UMNO sejak sebelum merdeka dalam mengangkat martabat dan memperkasa
bangsa Melayu dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain
sangat besar. Tetapi orang Melayu yang lahir daripada pengorbanan dan jasa UMNO
ini kini sudah berubah.
Bangsa Melayu baru, terutama Gen-Y bukan sahaja pandai makan nasi lauk asam pedas dengan sambal belacan campur ikan masin; mereka juga sekarang sudah pandai lunch di Starbuck dan dinner di Victoria Station; mereka bukan sahaja pandai berpantun bersajak, mereka juga dah pandai berwhatsapp, berinstigram, berfacebook, bertwitter dan macam-macam lagi.
Mereka sudah muncul
menjadi golongan kelas pertengahan yang kritikal dan tidak mudah disogok dengan
retorik dan slogan. Mereka mahu perubahan yang serius, mereka mahukan kualiti
dan nilai kehidupan yang lebih baik dan sempurna, tidak hanya bertumpu kepada
sogokan wang dan material.
Salah satu
pendekatan yang serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal
pertanggungjawaban pemerintahan - dalam konteks transparen, akauntabiliti dan
amanah; dan tegas memerangi unsur-unsur salahguna kuasa dan korupsi.
Soal kenaikan harga,
soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan
Melayu kelas pertengahan ini. Persoalannya ialah ketirisan, pembaziran dan
salahguna perbelanjaan Kerajaan.
Soal adanya perlantikan
individu-individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar;
dilihat lebih sebagai perlantikan habuan bukannya perlantikan strategik untuk
memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Malah timbul persepsi mereka yang
tidak berkelayakan dilantik ke jawatan yang memerlukan integriti, kewibawaan
dan amanah.
Bak kata pepatah
Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan!
Ini adalah antara
faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat dengan
pemerintahan UMNO.
Bukan kerana mereka
suka dan menyokong pembangkang. Sebaliknya mereka berterusan mengundi UMNO
kerana ujudnya fear-factor dikalangan
orang Melayu jika pembangkang DAP-PKR-PAS diberikan mandat pemerintahan negara.
Mereka pun tahu
penyakit pembangkang; dengan ujudnya segelintir kepimpinan yang langsung tidak bermoral dan
berakhlak rendah, ditambah dengan kesediaan menggadai agama dan bangsa demi
memuaskan nafsu politik mereka menyebabkan orang Melayu menolak mereka; ini
dicampur dengan kesediaan kepimpinan Melayu pembangkang mengangkat cauvinis
Cina sebagai pemimpin tertinggi negara menimbulkan fear-factor kepada bangsa Melayu.
Ini semua faktor
yang menyebabkan orang Melayu, terutama diluar bandar memberi sokongan kepada
BN dalam PRU-13. Faktor utamanya pada pandangan saya ialah kerana ujudnya kekhuatiran dikalangan pengundi Melayu yang tidak
mahu pemimpin bermasalah moral dan akhlak rendah, dan cauvinis Cina menjadi
pemimpin negara. Itu sahaja.
Dalam konteks itulah
saya lihat salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO dalam menghadapi
PRU-14 ini ialah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat
Melayu-Islam terutama dari segi politik.
Pemimpin UMNO serta
jenteranya harus berusaha keras untuk merapatkan perbezaan dengan PAS. Suka tak
suka, PAS adalah parti alternatif bagi orang Melayu.
Cuma kerana
kepimpinan mereka yang lemah, terlalu taksub dengan Anwar dan kesediaan
berkompromi melampau dengan cauvinis DAP sehingga sanggup menggadai agama dan
perjuangan menjadi penghalang untuk orang Melayu memberi sokongan penuh kepada
PAS.
UMNO masih bernasib
baik kerana kepimpinan PAS masih ditahap kurang cerdik politik; dan terlalu taksub
mahukan kekuasaan sehingga mereka menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti
keperluan dan survival politik umat Melayu-Islam.
Jika kelak satu hari
mereka tersedar, dan membuang Anwar dan membatalkan kerjasama politik dengan
DAP, sebaliknya menghadapi PRU-14 bersendirian dengan perjuangan asal mereka
untuk sebuah Negara Islam dan pemerintahan yang tawadhuk, dan taqwa kepada
Allah; saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari sahaja.
Tetapi masih belum
terlambat. UMNO perlu segera sedar daripada zon-selesa mereka dan bangkit
kembali ke perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam
dalam semua aspek termasuk agama, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.
UMNO juga perlu
menjadi parti yang inklusif. Ini termasuk mendekati NGO-NGO dan
pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam. UMNO tidak wajar merasakan ia boleh hidup
sendiri dibawah tempurung kekuasaan yang ada dengan mengenepikan peranan
NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam.
Malah tidak
sepatutnya UMNO menjadikan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam sebagai saingan,
apatah lagi musuh. UMNO sepatutnya bekerjasama seiring-sejalan dan
komplimentari dengan pertubuhan Melayu-Islam.
Dan UMNO wajib
membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dikalangan generasi muda,
terutama mereka yang professional dan berpendidikan tinggi. Saya melihat trend
ekslusiviti dan elitis masih ujud didalam UMNO, sehingga tidak dapat menerima
penyertaan generasi muda Melayu ke dalam struktur kepimpinan UMNO semua
peringkat.
Keberanian Presiden
UMNO mengambil tindakan diluar kotak, dengan mengambil pimpinan pelapis
dikalangan generasi muda dan professional, termasuk daripada luar UMNO, dengan
memberi ruang dan peluang kepada mereka samada didalam saf pimpinan atau
sebagai barisan depan (frontliner)
UMNO seharusnya dipuji dan diberikan sokongan sepenuhnya.
Begitu juga
keberanian Dato’ Sri Najib menawarkan ruang dan peluang kepada pimpinan PAS dan
lain-lain kepimpinan bukan-UMNO untuk duduk didalam saf kepimpinan UMNO mahupun
Kerajaan bukti bahawa satu transformasi politik yang serius sedang diusahakan
beliau. Ini wajar diberi sokongan sepenuhnya oleh ahli dan kepimpinan UMNO yang
lain.
Perlantikan
pendakwah terkenal yang juga ahli PAS Ustaz Mohd. Kazim Elias ke MT UMNO, Datuk
Seri Zahrain M. Hashim sebagai Duta Besar ke Indonesia, Dr. Mohd. Asyraf Wajdi Dasuki dan Dr. Mohd. Yusri
Mohamad (bekas Presiden ABIM) sebagai YDP dan Timbalan YDP YADIM, Senator Mohd.
Ezam Md.
Nor sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan dan lain-lain adalah bukti
bahawa Dato’ Sri Najib memang seorang pemimpin berfikiran diluar kotak dan
serius dalam usaha transformasi politiknya.
Sebab itu saya
berani mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya segera menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Peringkat Kabinet untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan untuk
melaksanakan sistem perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir. Saya
cukup yakin penubuhan jawatankuasa seumpama ini akan dialu-alukan oleh
kepimpinan dan ahli PAS kerana Hudud adalah mantera harian PAS, survival
politik PAS dalam penentangan terhadap UMNO adalah hudud!
Kita sedia maklum
bahawa dibawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk
melaksanakan perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir kerana
hal-ehwal Islam terletak dibawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.
Tetapi tidak ada
salahnya Kerajaan Pusat dibawah pimpinan UMNO memberikan kerjasama dan bantuan
samada dari segi kepakaran, logistik dan teknikal untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan
melaksanakannya.
Tetapi syarat besarnya ialah PAS mesti mendapat persetujuan dan sokongan golongan parasit didalam PAS sendiri dan rakan sekongkolannya terutama Mursyidul Am DAP Karpal Singh dan Ketum PKR Anwar Ibrahim! Kalau ahli dan rakan sekongkol sendiri pun tidak bersetuju, sudah tentu sukar bagi UMNO untuk membantu PAS melaksanakan perundangan hudud di Kelantan!
Saya cukup yakin
jika pendekatan berhemah dan bertolak ansur dengan PAS ini diambil, lambat-laun
kepimpinan dan ahli PAS akan lebih terbuka untuk menerima dan mengujudkan
kerjasama politik dengan UMNO demi memartabatkan dan memperkasa perjuangan
politik Melayu-Islam dalam negara ini.
Akhir kata, saya
merumuskan bahawa PRK Kajang merupakan satu cermin istimewa untuk UMNO melihat
ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada
menerima hakikat bahawa survival kesinambunagn politik Melayu-Islam terletak
ditangan pengundi Melayu, terutama didalam menghadapi PRU-14.
Selagi UMNO masih
didalam sindrom penafian ini, selagi UMNO masih didalam zon selesa mereka
merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang
meletakkan kualiti dan nilai pemerintahan berteraskan amanah, transparen dan
akauntabiliti dan tegas memerangi unsur rasuah atau salahguna kuasa, selagi
UMNO tidak berusaha menjadi parti yang inklusif dan terbuka dalam melakukan
transformasi politik yang serius; selagi itulah UMNO akan terus ketinggalan
dalam arus politik perdana yang makin mencabar.
Malah jika UMNO
tidak mahu berubah, dan tidak juga berubah, kemungkinan untuk UMNO dan BN
menjadi pembangkang selepas PRU-14 adalah satu kebarangkalian yang harus
diambil serius oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO!.
Wallahua’lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
26 Jamadil Awal 1435
28 Mac 2014