31 March 2014

KARPAL GANTUNG DIRI?



Salam 2 all.

Saya merujuk kepada kenyataan Karpal Singh pada 29.03.2014 yang menyebut bahawa dia menggantung sendiri jawatannya sebagai Pengerusi DAP berkuatkuasa serta-merta sehingga tamat semua proses rayuan kes sabitan hukuman RM4,000-00 yang dikenakan keatasnya oleh Mahkamah Tinggi pada 14.03.2014 atas kesalahan menghina dan menghasut kedudukan Tuanku Sultan Perak.

Alasan yang diberikan kononnya dia telah disabitkan dengan kesalahan jenayah menghasut kedudukan Tuanku Sultan Perak dan di hukum denda RM4,000-00; maka dia tidak layak menduduki apa-apa jawatan dalam politik.

Saya berasa agak pelik dengan kenyataan Karpal Singh ini kerana sebab-sebab berikut:

1. Mengapa hanya selepas 18 hari baru Karpal buat kenyataan ini, sedangkan hukuman sudah dijatuhkan pada 14.03.2014? Dan pengumuman Karpal ini dibuat bersamaan dengan hari Anwar Ibrahim yang juga anakguamnya memfailkan Borang Permohonan menentang isterinya Wan Azizah sebagai Presiden PKR dalam pemilihan PKR Mei depan?

2. Kedudukan Karpal sebagai Pengerusi DAP masih belum diiktiraf ROS kerana aduan rasmi yang dibuat oleh ahli DAP yang mempertikaikan keputusan Mesyuarat Agong Khas DAP. Oleh itu tidak timbul soal penggantungan jawatan yang tidak ujud!

3. Karpal masih didalam proses rayuan ke Mahkamah Rayuan;

4. Mengapa Karpal hanya menggantung jawatan sebagai Pengerusi DAP dan semua jawatan parti? Bagaimana pula dengan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Menghormati prinsip konsistensi, bermakna Karpal sewajarnya menggantung semua jawatan sebagai Ahli Parlimen dan apa-apa jawatan politik berkaitan dengannya termasuk menduduki mana-mana Jawatankuasa Terpilih Parlimen;

5. Apa pun, saya rasa adalah lebih baik Karpal menasihatkan anakguamnya Anwar Ibrahim supaya tidak bertanding jawatan Presiden PKR menentang isteri sendiri dalam pemilihan PKR Mei ini.

Ini adalah kerana kedudukan Karpal dan Anwar sama sahaja; iaitu dua-duanya adalah penjenayah yang sudah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah dan dihukum.

Karpal disabit kerana menghasut kedudukan Tuanku Sultan Perak dan dihukum denda RM4,000-00; manakala Anwar sendiri telah disabitkan dengan kesalahan meliwat stafnya Saiful dan dihukum penjara 5 tahun. Dan kedua-duanya dalam proses merayu terhadap hukuman masing-masing.

Jadi logiknya kalau Karpal rasa dia wajib menggantung sendiri jawatannya sebagai Pengerusi DAP, sepatutnya Anwar juga tidak boleh bertanding jawatan Presiden PKR!

Saya berharap Karpal jangan jadi cakap tak serupa bikin sebagaimana pada 22 Okt 1997 apabila dia mendakwa Anwar peliwat, tetapi tiba-tiba sekarang menjadi lawyer Anwar bagi kes meliwat pula!

Sebagai rakan sekutu dan juga peguam Anwar, sewajarnyalah Karpal menasihatkan Anwar untuk menarik balik permohonan untuk menentang Presiden PKR yang juga isterinya!

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.
 
 Zulkifli Bin Noordin
Ahad
28 J'Awal 1435
30 Mac 2013
Kuala Lumpur

30 March 2014

SANDIWARA TERBARU?

Karpal Singh kata dia gantung sendiri jawatan sebagai Pengerusi DAP sebab dihukum denda RM4,000-00; tapi Bang Non dah kena hukum 5 tahun penjara sebab liwat Saiful boleh pulak failkan borang nak lawan Jah jawatan Presiden...fenin Jah pikiaq Bang Non oooiii!



Salam 2 all.

Pelik bin ajaib!

Di hari Karpal Singh menggantung sendiri semua jawatan termasuk sebagai Pengerusi DAP kerana sabitan kesalahan jenayah menghasut, di hari yang sama Anwar Ibrahim yang disabit dengan kesalahan jenayah meliwat stafnya Saiful memfailkan borang bertanding jawatan Presiden PKR menentang Wan Azizah isterinya sendiri?

Sandiwara terbaru ini sekadar memperkuatkan lagi persepsi bahawa PKR adalah parti anak-pinak hanya dengan matlamat untuk memperjuangkan kepentingan keluarga mereka. Itu sahaja!

Pada saya, pengumuman pembangkang bahawa Anwar akan menentang Wan Azizah bagi jawatan Presiden PKR sekadar susulan daripada Sandiwara Kajang yang dipersembahkan dengan hebat baru-baru ini.

Skrip yang bermula dengan kerusi DUN Kajang dikosongkan kononnya untuk membolehkan Anwar bertanding menjadi ADUN Selangor dan MB berakhir dengan Wan Azizah isterinya yang juga Presiden PKR menjadi YB dan calon untuk MB Selangor!

Yang ternganga ialah Azmin Ali.

Walaupun adalah pepatah Melayu berkata ­tidak mungkin dipatuk ular dua kali, namun nampaknya kali ini Azmin mungkin terkena patuk sekali lagi.

Skrip terkini bermula setelah pengumuman Azmin untuk mencabar Wan Azizah untuk jawatan Presiden, namun semuanya hangus semalam apabila Anwar mengumumkan akan mencabar Wan Azizah dan mengemukakan borang pencalonan jawatan Presiden PKR.

Akhirnya Azmin yang dianggap sebagai anak emas Anwar membuat keputusan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan dicabar oleh orang kanan Wan Azizah, Tan Sri Khalid Ibrahim, dan dua orang kanan Anwar iaitu Saifuddin Nasution dan Tianchua.

Pada saya, ini adalah mainan politik licik mereka yang mahu menyekat Azmin daripada mencabar Wan Azizah bagi jawatan Presiden; kerana dalam apa keadaan pun insurans politik & talian hayat-politik terbaik dan terbukti berkesan bagi Anwar ialah Wan Azizah.

Azmin memang anak emas Anwar, tetapi Azizah lebih boleh dipercayai.

Jadi untuk memastikan Azmin tidak mencabar Wan Azizah, diberitakan bahawa Anwar menawarkan diri konon untuk lawan Azizah dalam keadaan ada kemungkinan Anwar tidak layak bertanding akibat sabitan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat Saiful.

Saya cukup yakin mereka akan beritahu Azmin 'don't worry, let Anwar fight Wan Azizah, you fight Khalid'.

Tetapi sebenarnya mereka tidak mahu kedudukan Wan Azizah dicabar.

Dalam keadaan sekarang bila kedudukan Wan Azizah sebagai Presiden sudah terjamin, saya cukup yakin dalam kepala otak mereka sekarang pasti sedang mencari jalan keluar, 'a politically covenient way out'.

Dan dalam konteks inilah saya nampak para pencatur politik PKR akan memperkudakan ROS & KDN sebagai kambing hitam.

Mereka menjangkakan ROS atau KDN akan buat kenyataan menegaskan Anwar tidak layak bertanding sebab sudah ada sabitan jenayah; sama seperti apa yang telah dibuat oleh Karpal Singh semalam yang mengumumkan penggantungan jawatan sebagai Pengerusi DAP kerana sabitan denda RM4,000-00 kerana menghina dan menghasut kedudukan Tuanku Sultan Perak.

Saya pun agak hairan mengapa Karpal mahu membuat kenyataan tersebut semalam 29.03.2014 sedangkan dia disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11.03.2014, iaitu lapan belas hari yang lalu.

Lagipun, kedudukan Karpal Singh sebagai Pengerusi DAP masih lagi dipertikaikan akibat aduan oleh ahli DAP kepada ROS mempertikaikan Mesyuarat Agong Khas DAP, mengakibatkan ROS tidak mengiktiraf kedudukan semua perlantikan CEC DAP termasuk Karpal Singh. Ini menjadikan pengumuman Karpal Singh itu lebih bersifat ­retorik politik.

Lagiun Karpal masih didalam proses rayuan ke Mahkamah Rayuan!

Ini menimbulkan syak kepada saya bahawa ada political ploy yang sedang dirancang. Mungkin Karpal sendiri tidak menyedari sandiwara terbaru ini!

Karpal adalah peguam Anwar Ibrahim. Jika Karpal mengambil tindakan menggantung dirinya sendiri daripada jawatan Pengerusi DAP akibat sabitan jenayah, adalah sangat pelik jika Karpal tidak menasihatkan Anwar anakguamnya supaya jangan bertanding jawatan Presiden PKR akibat sabitan jenayah meliwat stafnya Saiful?

Adakah pencatur politik pembangkang sedang memancing ROS untuk membuat kenyataan menghalang Anwar daripada bertanding jawatan Presiden PKR?

Jika itu berlaku, saya cukup yakin mereka akan segera ambil peluang dan menuduh 'Najib & BN zalim kerana menggunakan jentera kerajaan untuk menghalang demokrasi dalam PKR. Anwar bukan jenis takut bini, tapi ada orang yang menggunakan jentera Kerajaan untuk halang Anwar'.

Saya yakin inilah skrip mereka nanti jika ROS atau KDN campurtangan.

Sebab itu saya menasihatkan ROS atau KDN supaya tidak terjebak ke dalam sandiwara politik terbaru pembangkang ini.

Lagi pun soal kelayakan banduan mahu bertanding jawatan parti sementara proses rayuan berjalan masih kabur dan belum ada kata putus jelas daripada mana-mana Mahkamah.

Apa pun ROS hanya boleh bertindak jika ada aduan rasmi daripada ahli berdaftar PKR dan selepas pemilihan berlangsung. Sebab selagi pemilihan belum berlaku, Anwar belum lagi melanggar apa-apa peraturan ROS. Setakat menghantar borang pencalonan bukanlah suatu kesalahan undang-undang pertubuhan!

Pada saya elok kita biarkan sandiwara ini berterusan.

Saya cukup yakin apa pun akhirnya nanti Anwar akan menarik diri sebelum pemilihan.

Dan para pencatur pembangkang akan berselindung disebalik kenyataan lebih kurang seperti berikut:

"Anwar telah dinasihatkan oleh peguam bahawa dia tidak boleh bertanding jawatan Presiden kerana sabitan hukuman 5 tahun penjara kerana meliwat stafnya Saiful. Ini semua adalah muslihat Najib & BN menghalang proses demokrasi yang. subur didalam PKR. Sesudah menghalang Anwar daripada bertanding dalam PRK Kajang, kini Anwar dihalang melaksanakan demokrasi dalam parti sendiri!".

Sebab itu saya menasihatkan ROS & KDN supaya tidak terperangkap dan diperkudakan dalam sandiwara politik terbaru ini.

Apa pun saya bersimpati kepada Azmin Ali. Sudahlah impian menjadi MB terbantut akibat mainan politik licik dalaman PKR; sekarang harapan Azmin untuk mencabar Wan Azizah turut terhalang sekali lagi kerana mainan licik sandiwara politik machiavelli ini.

Saya berharap Azmin akan segera sedar daripada sandiwara ini dan menolak pakatan Anwar-Azizah sebelum bertambah parah.

Once bitten, twice shy! You have been bitten many times my friend!

Dan kepada media arus perdana, saya rasa mungkin sudah tiba masanya semua media tidak memberi sebarang liputan kepada sandiwara politik pembangkang ini. Kekadang disebabkan liputan media arus perdana menjadikan sandiwara seperti ini satu bahan sensasi.

Apa kata kali ini buat 'total media black-out'. Jangan ada sepatah pun keluar berkenaan pembangkang terutamanya berkenaan proses pemilihan PKR ini. Kita tengok nanti apa jadi. Saya cukup percaya silap haribulan kemungkinan kerusi mesyuarat perwakilan pun akan jadi kosong!

Give it a try yop!

 Wallahua’lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
28 Jamadil Awal 1435
30 Mac 2014

28 March 2014

KAJANG SATU MUHASSABAH




Politik 3A-Anwar, Azizah & Azmin kembali menghantui PKR dan Kerajaan Selangor. Adakah masa depan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB kini bagai telur dihujung tanduk? Adakah Selangor bakal bakal mencatat sejarah mendapat MB wanita bukan anak negeri yang pertama?

Salam 2 all.

PRK DUN N.25 Kajang telah berakhir dengan kemenangan calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 5,379, mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA.

Berikut adalah carta keputusan PRK Kajang pada 23.03.2014 dan statistik terdahulu sebagai perbandingan.

DUN N.25 – KAJANG
JUMLAH PENGUNDI – 38,965
Melayu : 48.48%;  Cina : 40.46%;  India : 10.15%;  Lain-lain : 0.91%

PARTI/ STATUS
Undi PRK
Undi PRU-13
PERBEZAAN
PKR
16,741
19,571
- 2,830
BN
11,362
12,747
- 1,385
Undi Rosak
176
681
- 605
Jumlah Turun Undi
28,279
34,430
- 6,151
Majoriti
5,379
6,824
- 1,445
Undi Bebas
-tiada-
1,431
-tiada-
  • Jumlah tidak turun mengundi dalam PRK ialah 10,686 atau 27% daripada jumlah pengundi;
  • Dalam PRU-12 tahun 2008, calon PKR Lee Kim Sin menang majoriti 3,268;
  • Dalam PRU-13, tiga calon bebas Melayu memperolehi 1,346 undi;
  • Manakala calon bebas bukan Melayu (Ong Yan Foo) mendapat 85; 
Saya melihat kebanyakan penganalisa pro-kerajaan termasuk media memainkan isu konon PKR tidak mendapat sokongan berdasarkan majoriti yang diperolehi oleh Wan Azizah berkurangan sebanyak 2,830 (atau 15%) berbanding yang diperolehi oleh Lee Chin Cheh pada PRU-13. Wan Azizah mendapat 16,741 berbanding Lee Chin Cheh mendapat 19,571.

MCA pula dalam kenyataan segera sebaik sahaja kemenangan Wan Azizah diumumkan memberi gambaran seolah-olah mereka ‘menang dalam kalah’; kononnya mereka berjaya menurunkan undi majoriti PKR, dan sokongan kaum Cina sudah kembali kepada MCA. Malah ada yang membuat kenyataan bahawa sokongan orang Melayu berkurangan dan mnunjuk jari kepada UMNO ‘untuk menyelesaikannya’.

Pada saya ini satu analisa yang menipu diri sendiri. Satu rumusan untuk menyedapkan hati sendiri, satu ulasan yang menafikan realiti sebenar!

Hakikatnya MCA kalah dalam PRK Kajang! Faktanya MCA gagal mendapat sokongan pengundi Cina! Realitinya MCA gagal berfungsi sebagai parti komponen yang boleh membantu UMNO dalam menghadapi senario politik yang makin mencabar!

Jangan lupa calon BN Chew Mei Fun, yang juga Naib Presiden MCA hanya mendapat 11,362 undi, berbanding Lee Ban Seng, calon BN-MCA dalam PRU-13 yang mendapat 12,747 undi. Ini adalah kekurangan undi sebanyak 1,385 atau 10%.

Beberapa faktor perlu diambil kira didalam membuat analisa PRK Kajang ini. Yang paling ketara ialah jumlah pengundi yang turun dalam PRK ini sangat berkurangan berbanding dengan PRU-13. Menurut SPR, jumlah peratus turun mengundi bagi PRU-13 ialah 88.4%, manakala bagi PRK Kajang jumlah turun mengundi hanya 72%; iaitu kekurangan lebih kurang 6,151 undi atau 16%, satu jumlah yang agak besar.

Manakala jumlah yang tidak turun mengundi berbanding dengan jumlah daftar pengundi ialah 10,686 atau 27%. Ini satu jumlah yang sangat besar dan perlu diambil kira dalam menganalisa PRK Kajang.

Pada saya, penurunan jumlah turun mengundi adalah kerana pelbagai faktor. Antaranya kerana mereka sudah yakin PKR akan menang, kedua kerana faktor merasakan PRK Kajang tidak perlu, ketiga kerana faktor pengundi luar tidak balik mengundi, keempat kerana isu MH370 yang masih menyelubungi negara mempengaruhi mood tidak mahu mengundi, kelima kerana silent-protest.

Begitu juga kemungkinan besar pengundi Melayu terutamanya dikalangan ahli dan penyokong PAS kurang turun mengundi mungkin kerana faktor menolak politiking melampau PKR.

Apapun yang jelas, sebenarnya dan pada hakikatnya PRK Kajang membuktikan tiada sebarang perubahan dari segi trend mengundi samada kepada pembangkang mahupun kepada BN sejak daripada PRU-13 yang dilabel sebagai tsunami Cina.

Setelah 10 bulan PRU-13 berlalu dimana BN berhadapan dengan senario tsunami politik Cina yang menolak BN, saya melihat PRK Kajang memberi gambaran sebenarnya tiada sebarang perubahan trend pengundian dikalangan pengundi.

Kita perlu ingat dalam PRK ini ada beberapa faktor yang memihak kepada MCA dan BN iaitu:

1. sabitan kesalahan jenayah liwat tehadap Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan pada 07.03.2014 yang menghukum Anwar dengan 5 tahun penjara;

2. politik kronisma yang jelas diamalkan PKR bilamana Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR dipilih sebagai calon menggantikan Anwar;

3. isu kehilangan MH370 yang sepatutnya melahirkan rasa simpati rakyat dan sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN sebagai sokongan moral kepada Kerajaan;

4. tiadanya bantuan aktif daripada jentera PAS kawasan mahupun pusat dalam kempen, malahan Datuk Seri Hadi Awang hanya turun sekali sahaja;

5. persepsi bahawa Anwar mengkhianati Tan Sri Khalid Ibrahim dengan perancangan untuk menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang menjadi darling MB kepada masyarakat korporat dan peniaga Cina.

Diwaktu yang sama, calon BN bukan calang orang. Chew Mei Fun adalah Naib Presiden MCA, dan dilihat sebagai seorang yang berprinsip apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan semua jawatan dalam MCA kerana tidak bersedia bersekongkol dengan bekas Presiden Datuk Seri Chua Soi Lek yang diselubungi dengan masalah moral yang serius.

Sebagai perbandingan, Wan Azizah pula dilihat sebagai calon yang tidak berprinsip, contohnya kegagalan Wan Azizah menunjukkan jam Omega yang dikaitkan dengan skandal Anwar-ChinaDoll. Kenyataan Wan Azizah bahawa jam itu ada dalam simpanannya bercanggah dengan bukti yang dikemukakan oleh Datuk Eskay yang telah menyerahkan jam tersebut kepada pihak Polis.

Isu ini menumbulkan persoalan kewibawaan dan integriti yang serius terhadap Wan Azizah; siapa yang berbohong, Wan Azizah atau Eskay?

Malah tag-line kempen BN dalam PRK Kajang ini ialah antara Chew Mei Fun sebagai calon berprinsip dengan Wan Azizah yang Ketua Pemuda UMNO labelkan sebagai calon puppet.

Jentera BN diturunkan sepenuhnya diketuai oleh Tmbalan Presiden UMNO sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan Pengarah Jentera Pilihanraya diamanahkan kepada Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Tidak seperti jentera PKR dan pembangkang yang hanya berbekalkan air-liur politik sahaja dan modal ceramah, jentera BN turun dengan segala bentuk persiapan dan bekalan; selain ceramah.

Saya memang dari awal tidak menjangkakan BN boleh memenangi kerusi Kajang ini. Namun saya berpandangan jika kena strategi dan perancangan, BN mampu mengurangkan dengan serius majoriti PKR terutama dikalangan pengundi Melayu.

Ternyata pada hakikaktnya tiada sebarang perubahan dalam trend mengundi didalam PRK Kajang ini. Malahan trend tsunami politik Cina masih berterusan.

Pada saya, MCA masih gagal untuk menjadi relevan dan diterima oleh masyarakat Cina. Walaupun sudah berubah kepimpinan, namun ia tidak berjaya memberi keyakinan kepada pengundi Cina untuk mengubah trend politik mereka.

Dan saya percaya sampai bila pun MCA (dan Gerakan) akan gagal; kerana apa yang dimahukan oleh pengundi Cina terutama dikalangan cauvinis ialah kekuasaan pemerintahan Kerajaan Pusat dibawah cengakaman cauvinis Cina, sesuatu yang hampir mustahil untuk MCA dan Gerakan tawarkan kecuali mereka bergabung wadah dengan DAP menentang UMNO!

Jika PRK Kajang boleh dijadikan cermin untuk PRU-14, dan sewajarnya ia diambil sedemikian, saya melihat bahawa BN, terutamanya UMNO perlu mengubah strategi dan pendekatan politik mereka dalam menghadapi PRU-14 nanti.

Mengakui dan menyedari bahawa trend tsunami politik Cina bukan sahaja tidak akan berubah, malah akan bertambah parah dalam PRU-14, saya sarankan kepada UMNO supaya kembali kepada undi-asas atau vote-base mereka, iaitu pengundi Melayu.

Saya berpegang kepada pendapat bahawa kuasa politik Malaysia masih lagi berpaksi kepada bangsa Melayu sebagai tulang belakang pemerintahan. Mana-mana juga parti yang dilihat mendapat sokongan jitu bangsa Melayu akan muncul sebagai tunggak mana-mana Kerajaan yang dipilih.

Inilah rahsia kepada survival politik UMNO dan BN selama ini, termasuk dalam menghadapi PRU-14. Sokongan dan undi Melayu menjadi paksi kepada kesinambungan politik UMNO.

Bagaimanapun, UMNO perlu menyedari bahawa politik bangsa Melayu tidak seperti dahulu.

Dan inilah yang sudah Presiden UMNO Dato' Sri Najib Tun Razak seringkali sebut dan peringatkan kepada ahli dan kepimpinan UMNO sejak tsunami 2008 - UMNO mesti dan wajib berubah!

Ini adalah kerana hakikatnya bangsa Melayu kini sudah berubah.

Retorik politik bahawa Melayu perlukan UMNO sudah tidak relevan. Hakikatnya sekarang ialah UMNO perlukan Melayu.

Dan itulah pendekatan dan strategi yang perlu dirangka semula oleh kepimpinan UMNO.

Selagi UMNO merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi itulah kepimpinan dan ahli UMNO akan berada di zon-selesa dan mengambil mudah kepentingan dan perjuangan bangsa Melayu.

Tetapi jika mereka merasakan bahawa UMNO memerlukan bangsa Melayu, saya yakin seluruh kepimpinan dan ahli UMNO akan mengubah pendekatan dengan memberi keutamaan kepada perjuangan dan kepentingan bangsa Melayu.

Memang kita tidak nafikan jasa, perjuangan dan pengorbanan UMNO sejak sebelum merdeka dalam mengangkat martabat dan memperkasa bangsa Melayu dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain sangat besar. Tetapi orang Melayu yang lahir daripada pengorbanan dan jasa UMNO ini kini sudah berubah.

Bangsa Melayu baru, terutama Gen-Y bukan sahaja pandai makan nasi lauk asam pedas dengan sambal belacan campur ikan masin; mereka juga sekarang sudah pandai lunch di Starbuck dan dinner di Victoria Station; mereka bukan sahaja pandai berpantun bersajak, mereka juga dah pandai berwhatsapp, berinstigram, berfacebook, bertwitter dan macam-macam lagi.

Mereka sudah muncul menjadi golongan kelas pertengahan yang kritikal dan tidak mudah disogok dengan retorik dan slogan. Mereka mahu perubahan yang serius, mereka mahukan kualiti dan nilai kehidupan yang lebih baik dan sempurna, tidak hanya bertumpu kepada sogokan wang dan material.

Salah satu pendekatan yang serius yang perlu dilakukan oleh UMNO ialah soal pertanggungjawaban pemerintahan - dalam konteks transparen, akauntabiliti dan amanah; dan tegas memerangi unsur-unsur salahguna kuasa dan korupsi.

Soal kenaikan harga, soal pengenaan cukai baru GST dan lain-lain bukan isu besar bagi golongan Melayu kelas pertengahan ini. Persoalannya ialah ketirisan, pembaziran dan salahguna perbelanjaan Kerajaan.

Soal adanya perlantikan individu-individu politik ke jawatan-jawatan amanah yang langsung tidak wajar; dilihat lebih sebagai perlantikan habuan bukannya perlantikan strategik untuk memartabat dan memperkasa bangsa Melayu. Malah timbul persepsi mereka yang tidak berkelayakan dilantik ke jawatan yang memerlukan integriti, kewibawaan dan amanah.

Bak kata pepatah Melayu, seperti menyuruh kucing menjaga lauk ikan!

Ini adalah antara faktor yang membuatkan orang Melayu, khususnya kelas pertengahan meluat dengan pemerintahan UMNO.

Bukan kerana mereka suka dan menyokong pembangkang. Sebaliknya mereka berterusan mengundi UMNO kerana ujudnya fear-factor dikalangan orang Melayu jika pembangkang DAP-PKR-PAS diberikan mandat pemerintahan negara.

Mereka pun tahu penyakit pembangkang; dengan ujudnya segelintir kepimpinan yang langsung tidak bermoral dan berakhlak rendah, ditambah dengan kesediaan menggadai agama dan bangsa demi memuaskan nafsu politik mereka menyebabkan orang Melayu menolak mereka; ini dicampur dengan kesediaan kepimpinan Melayu pembangkang mengangkat cauvinis Cina sebagai pemimpin tertinggi negara menimbulkan fear-factor kepada bangsa Melayu.

Ini semua faktor yang menyebabkan orang Melayu, terutama diluar bandar memberi sokongan kepada BN dalam PRU-13. Faktor utamanya pada pandangan saya ialah kerana ujudnya kekhuatiran dikalangan pengundi Melayu yang tidak mahu pemimpin bermasalah moral dan akhlak rendah, dan cauvinis Cina menjadi pemimpin negara. Itu sahaja.

Dalam konteks itulah saya lihat salah satu pendekatan yang paling berkesan bagi UMNO dalam menghadapi PRU-14 ini ialah dengan melipatgandakan usaha untuk menyatukan umat Melayu-Islam terutama dari segi politik.

Pemimpin UMNO serta jenteranya harus berusaha keras untuk merapatkan perbezaan dengan PAS. Suka tak suka, PAS adalah parti alternatif bagi orang Melayu.

Cuma kerana kepimpinan mereka yang lemah, terlalu taksub dengan Anwar dan kesediaan berkompromi melampau dengan cauvinis DAP sehingga sanggup menggadai agama dan perjuangan menjadi penghalang untuk orang Melayu memberi sokongan penuh kepada PAS.

UMNO masih bernasib baik kerana kepimpinan PAS masih ditahap kurang cerdik politik; dan terlalu taksub mahukan kekuasaan sehingga mereka menjadi pekak, bisu dan buta terhadap realiti keperluan dan survival politik umat Melayu-Islam.

Jika kelak satu hari mereka tersedar, dan membuang Anwar dan membatalkan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya menghadapi PRU-14 bersendirian dengan perjuangan asal mereka untuk sebuah Negara Islam dan pemerintahan yang tawadhuk, dan taqwa kepada Allah; saya kira waktu itu UMNO hanya tinggal membilang hari sahaja.

Tetapi masih belum terlambat. UMNO perlu segera sedar daripada zon-selesa mereka dan bangkit kembali ke perjuangan mengangkat martabat dan memperkasa umat Melayu-Islam dalam semua aspek termasuk agama, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.

UMNO juga perlu menjadi parti yang inklusif. Ini termasuk mendekati NGO-NGO dan pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam. UMNO tidak wajar merasakan ia boleh hidup sendiri dibawah tempurung kekuasaan yang ada dengan mengenepikan peranan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam.

Malah tidak sepatutnya UMNO menjadikan NGO-NGO dan pertubuhan Melayu-Islam sebagai saingan, apatah lagi musuh. UMNO sepatutnya bekerjasama seiring-sejalan dan komplimentari dengan pertubuhan Melayu-Islam.

Dan UMNO wajib membuka ruang dan peluang kepada pimpinan pelapis dikalangan generasi muda, terutama mereka yang professional dan berpendidikan tinggi. Saya melihat trend ekslusiviti dan elitis masih ujud didalam UMNO, sehingga tidak dapat menerima penyertaan generasi muda Melayu ke dalam struktur kepimpinan UMNO semua peringkat.

Keberanian Presiden UMNO mengambil tindakan diluar kotak, dengan mengambil pimpinan pelapis dikalangan generasi muda dan professional, termasuk daripada luar UMNO, dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka samada didalam saf pimpinan atau sebagai barisan depan (frontliner) UMNO seharusnya dipuji dan diberikan sokongan sepenuhnya.

Begitu juga keberanian Dato’ Sri Najib menawarkan ruang dan peluang kepada pimpinan PAS dan lain-lain kepimpinan bukan-UMNO untuk duduk didalam saf kepimpinan UMNO mahupun Kerajaan bukti bahawa satu transformasi politik yang serius sedang diusahakan beliau. Ini wajar diberi sokongan sepenuhnya oleh ahli dan kepimpinan UMNO yang lain.

Perlantikan pendakwah terkenal yang juga ahli PAS Ustaz Mohd. Kazim Elias ke MT UMNO, Datuk Seri Zahrain M. Hashim sebagai Duta Besar ke Indonesia, Dr. Mohd. Asyraf Wajdi Dasuki dan Dr. Mohd. Yusri Mohamad (bekas Presiden ABIM) sebagai YDP dan Timbalan YDP YADIM, Senator Mohd. Ezam Md. Nor sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan dan lain-lain adalah bukti bahawa Dato’ Sri Najib memang seorang pemimpin berfikiran diluar kotak dan serius dalam usaha transformasi politiknya.

Sebab itu saya berani mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya segera menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Kabinet untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan sistem perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir. Saya cukup yakin penubuhan jawatankuasa seumpama ini akan dialu-alukan oleh kepimpinan dan ahli PAS kerana Hudud adalah mantera harian PAS, survival politik PAS dalam penentangan terhadap UMNO adalah hudud!

Kita sedia maklum bahawa dibawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tiada kuasa untuk melaksanakan perundangan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir kerana hal-ehwal Islam terletak dibawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.

Tetapi tidak ada salahnya Kerajaan Pusat dibawah pimpinan UMNO memberikan kerjasama dan bantuan samada dari segi kepakaran, logistik dan teknikal untuk membantu Kerajaan PAS Kelantan melaksanakannya.

Tetapi syarat besarnya ialah PAS mesti mendapat persetujuan dan sokongan golongan parasit didalam PAS sendiri dan rakan sekongkolannya terutama Mursyidul Am DAP Karpal Singh dan Ketum PKR Anwar Ibrahim! Kalau ahli dan rakan sekongkol sendiri pun tidak bersetuju, sudah tentu sukar bagi UMNO untuk membantu PAS melaksanakan perundangan hudud di Kelantan!

Saya cukup yakin jika pendekatan berhemah dan bertolak ansur dengan PAS ini diambil, lambat-laun kepimpinan dan ahli PAS akan lebih terbuka untuk menerima dan mengujudkan kerjasama politik dengan UMNO demi memartabatkan dan memperkasa perjuangan politik Melayu-Islam dalam negara ini.

Akhir kata, saya merumuskan bahawa PRK Kajang merupakan satu cermin istimewa untuk UMNO melihat ke hadapan. Tiada guna kita terus hidup membohongi diri sendiri daripada menerima hakikat bahawa survival kesinambunagn politik Melayu-Islam terletak ditangan pengundi Melayu, terutama didalam menghadapi PRU-14.

Selagi UMNO masih didalam sindrom penafian ini, selagi UMNO masih didalam zon selesa mereka merasakan Melayu perlukan UMNO, selagi UMNO tidak berubah menjadi parti yang meletakkan kualiti dan nilai pemerintahan berteraskan amanah, transparen dan akauntabiliti dan tegas memerangi unsur rasuah atau salahguna kuasa, selagi UMNO tidak berusaha menjadi parti yang inklusif dan terbuka dalam melakukan transformasi politik yang serius; selagi itulah UMNO akan terus ketinggalan dalam arus politik perdana yang makin mencabar.

Malah jika UMNO tidak mahu berubah, dan tidak juga berubah, kemungkinan untuk UMNO dan BN menjadi pembangkang selepas PRU-14 adalah satu kebarangkalian yang harus diambil serius oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO!.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
26 Jamadil Awal 1435
28 Mac 2014



27 March 2014

HUDUD LIWAT ANWAR?

Keadilan untuk Anwar? Bagaimana keadilan untuk Saiful?
Salam 2 all.

Rupanya ada juga pasrasit yang membaca tulisan saya semalam berkaitan hudud qazaf Saiful dan bertanya soalan; mengapa Anwar tidak dikenakan pertuduhan mengikut undang-udang hudud kerana meliwat Saiful?

Mereka yang menimbulkan persoalan ini cuba menimbulkan persepsi bahawa jika Anwar dikenakan pertuduhan hudud kerana meliwat Saiful, pasti dia akan dibebaskan kerana Saiful tiada empat (4) saksi. Itu tujuan dan maksud mereka.

Persoalan yang sama pernah dibangkitkan oleh kaum aktivitis womens lib yang mendakwa ketiadaan empat (4) orang saksi akan menyebabkan wanita teraniaya dan dizalimi kerana mereka tidak akan dapat mengemukakan empat (4) orang saksi bagi membuktikan sebarang pertuduhan merogol terhadap mereka.

Malah bukan itu sahaja, kaum wanita akan teraniaya kerana akan dikenakan pula tindakan qazaf kerana menuduh seorang lelaki merogol mereka tanpa empat (4) saksi!

Atas sebab inilah para pejuang kebebasan wanita, women's liberator, mendakwa undang-undang Islam zalim dan tidak melindungi dan menghormati hak wanita.

Pada saya, kedua-dua kenyataan diatas, samada oleh pasrasit ataupun women's lib, dibuat atas sebab kejahilan dan kurangnya mendalami perundangan Islam.

Tidak bermakna apabila tiada empat (4) saksi, maka kes pertuduhan zina, rogol atau liwat tidak boleh dibawa; atau jika dibawa tertuduh akan dibebaskan, dan mangsa akan dikenakan tindakan qazaf.

Perundangan Islam tidaklah sebodoh dan sejelik itu. Undang-undang ALLAH ini cantik, yang memperhodoh dan memperbodohkan ialah golongan yang jahil sahaja.

Dalam keadaan seseorang pengadu, samada wanita (mengadu dirogol) atau lelaki/wanita (mengadu diliwat) tidak dapat mengemukakan empat (4) orang saksi, ini hanya membawa kesan si-perogol atau si-peliwat itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Itu sahaja.

Ini bukan bermakna dia terlepas dan dibebaskan.

Ini bermakna pertuduhan hendaklah dibawa mengikut peruntukkan ta'zir, dimana pembuktian tidak lagi memerlukan empat (4) orang saksi, tetapi berdasarkan keterangan dan pembuktian qarinah. Peruntukkan paling terdekat dengan qarinah dalam bahasa undang-undang sibil dipanggil circumstantial evidence.

Ini bermakna pembuktian liwat atau zina boleh dibuat berdasarkan  keterangan seperti DNA, video, rakaman, persaksian termasuk oleh saksi doktor, pakar forensik, polis, orang awam dan lain-lain, sampel darah, pakaian, dan pelbagai lagi cara pembuktian dan keterangan.

Dalam konteks ini, kenyataan yang menyatakan rakaman video adalah bukti besi dan tidak boleh dipakai sebagai bukti adalah kenyataan yang terlalu dangkal dan tidak memahami undang-undang Islam!

Apa yang penting dibawah pertuduhan ta'zir ialah keterangan qarinah itu, atau rumusan keterangan membawa kepada satu perkara, bahawa perbuatan liwat atau rogol itu berlaku!

Cuma jika pembuktian itu dibuat berdasarkan keterangan atau pembuktian qarinah, maka si-peliwat atau si-perogol tidak boleh dikenakan hukuman hudud, sebaliknya dihukum ta'zir; iaitu hukuman yang akan ditentukan oleh pemerintah melalui undang-undang yang dibuat, seperti Kanun Kesiksaan.

Sebenarnnya kalau kaum pasrasit ini membaca undang-undang hudud ciptaan PAS sendiri, mereka akan dapati didalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 (yang mana Enakmen Jenayah Hudud & Qisas Kelantan mempunyai peruntukkan yang sama) memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 50: Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hudud kerana...keterangan yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud (contohanya seperti ketiadaan 4 orang saksi),  maka tertuduh hendaklah dihukum dengan hukuman ta'zir; dan Mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.

Jadi tidak sepatutnya kaum pasrasit menimbulkan persoalan mengapa Anwar tidak dikenakan pertuduhan mengikut hudud; dan mendakwa Anwar wajib dibebaskan kerana Saiful tidak ada empat (4) orang saksi.

Pada saya ini adalah kenyataan paling hipokrit dan mempermainkan hukum ALLAH semata-mata untuk kepentingan politik mereka!

Apa yang jelas, Anwar telah dikenakan pertuduhan meliwat Saiful menurut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan, keterangan dan pembuktian melalui qarinah telah didengar dan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ta'zir 5 tahun penjara tanpa sebatan.

Apa yang penting ialah Mahkamah Rayuan tidak menjatuhkan hukuman hudud iaitu rejam keatas Anwar, kerana ketiadaan empat (4) orang saksi yang melihat perlakuan liwat dia terhadap Saiful!

Akhir kalam, apa yang penting ialah selain memastikan keadilan untuk tertuduh, Islam juga menjamin dan menjaga keadilan untuk mangsa.

Didalam kes kita, saya pelik mengapa kaum pasarasit hanya memperkatakan tentang keadilan untuk Anwar? Bagaimana pula keadilan untuk Saiful? Adakah Saiful tidak mempunyai sebarang hak?
 
Sebenarnya gelagat kaum pasrasit inilah yang menyebabkan undang-undang Allah yang cantik menjadi hodoh dan jelik!
 
Wallahua'lam dan Wassalam.
 
Adios amigos, grasias.
 
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
25 Jamadil Awal 1435
27 Mac 2014

26 March 2014

HUDUD QAZAF TERHADAP SAIFUL?

Sumpah Laknat Saiful Bukhori Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan
Pada hari ini, Khamis 13 Sya'ban 1429, bersamaan 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687) dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:
"A'uzubillahi minas syaitonirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.
Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat.

Wallahualam.

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan dakwaan segelintir pasrasit dikalangan pembangkang bahawa Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan hudud dengan mengambil contoh pertuduhan liwat oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar Ibrahim.

Mereka mendakwa konon Saiful wajar dikenakan pertuduhan qazaf dibawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Mereka mendakwa kegagalan Saiful mengemukakan 4 orang saksi sepatutnya menyebabkan bukan sahaja Saiful wajib dikenakan hukum hudud qazaf, malah pertuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim di bawah Seksyen 377B (dibaca dengan Seksyen 377A Kanun Kesiksaan) wajib digugurkan atau ditarik balik; dan hukuman penjara 5 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 07.03.2014 lepas dibatalkan!

Pada saya, ini adalah hujah paling dangkal dan menggambarkan golongan yang langsung tidak memahami undang-undang; malah menunjukkan mereka langsung tidak membaca. Ringkasnya, ini adalah hujah paling bodoh daripada golongan jahil muraqqab!


1. QAZAF

Apa sebenanrnya pengertian qazaf mengikut undang-undang?

Seksyen 41 Akta 559 memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 41 Qazaf - Kecuali didalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain dengan tuduhan zina tanpa mengemukakan empat (4) orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan kesalahan (qazaf).

Adalah jelas Seksyen 41 merujuk kepada tuduhan zina!


2. ZINA

Dan apa sebenarnya pengertian zina mengikut undang-undang?

Seksyen 2 Akta 559 menafsir zina sebagai "persetubuhan diantara leleaki dengan perempuan tanpa nikah".

Jadi hukum qazaf hanya boleh dikenakan terhadap seseorang yang menuduh seseorang lelaki Islam lain dengan tuduhan melakukan persetubuhan dengan seorang wanita yang bukan isterinya yang telah dinikahi dengan sah disisi hukum syarak.

Persoalannya, adakah para pasrasit ini menganggap Saiful Bukhari Azlan seorang perempuan? Kecuali tahap kebodohan mereka sudah sampai ketahap muraqqab melampau, adalah jelas Saiful adalah seorang lelaki dan bukannya perempuan.

Oleh itu, undang-undang qazaf seperti peruntukkan Seksyen 41 Akta 559 tidak terpakai bagi pertuduhan meliwat terhadap Anwar Ibrahim.


3. UNDANG-UNDANG HUDUD PAS

Apa yang peliknya ialah, kaum pasrasit ini dengan sengaja memutarbelitkan hukum tanpa membaca dan cuba pula mahu memperbodohkan orang lain.

Sedangkan undang-undang hudud ciptaan PAS sendiri pun begitu jelas menyatakan qazaf hanya untuk tuduhan zina sahaja, tidak termasuk liwat!

Cuba kita lihat Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang digubal oleh Kerajaan PAS semasa menjadi Kerajaan Terengganu.

Seksyen 7 Enakmen Hudud PAS memperuntukkan bahawa "Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat (4) orang saksi lelaki terhadap seseorang Islam yang mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina".

Dan didalam Seksyen 12 Enakmen Hudud PAS, dinyatakan dengan jelas "zina ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan diantara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan pasanagna suami isteri...".

Jelas Seksyen 7 dan Seksyen 12 Enakmen Hudud PAS sama dengan Seskyen 41 dan Seskyen 2 Akta 559 diatas.

Dan peruntukkan yang sama boleh dilihat didalam Enakmen Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Kelantan yang digubal oleh Kerajaan PAS Kelantan!


4. LIWAT BUKAN ZINA

Samada didalam Akta 559 Wilayah Persekutuan, mahupun Undang-Undang Hudud PAS Kelantan atau Terengganu, apa yang jelas ialah sabitan kesalahan qazaf hanya boleh dikenakan terhadap orang yang menuduh seseorang Islam lain dengan tuduhan zina, iaitu melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan yang bukan isterinya yang dinikah secara sah mengiktu hukum syara'!

Saiful tidak pernah menuduh Anwar melakukan persetubuhan dengan mana-mana wanita yang bukan isterinya. Dan Saiful sendiri bukan seorang wanita!

Saiful mendakwa bahawa Anwar Ibrahim telah meliwatnya pada 26.06.2008 disebuah kondominium. Malah Sumpah Laknat Saiful yang dibuat pada 14.08.2008 di Masjid Wilayah Persekutuan, dan kemudiannya di ulangi di hadapan Ka'bah di Masjidil Haram Mekah pada 09.04.2012 adalah sangat jelas, yang lafaznya adalah seperti berikut:


"Pada hari ini, Khamis 13 Sya'ban 1429, bersamaan 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan (Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687) dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:


"A'uzubillahi minas syaitonirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat.

Wallahualam".

Adalah jelas tuduhan Saiful terhadap Anwar Ibrahim tidak termasuk didalam kategori qazaf samada mengikut Akta 559 Wilayah Persekutuan mahupun Undang-Undang Hudud PAS Kelantan  dan Terengganu.
Saya pun tidak pasti dimana para pasrasit ini mendapat wahyu mendakwa tuduhan Saiful termasuk didalam qazaf. Agaknya mereka terlalu taksub dan terpengaruh dengan Kitab Jinggay ciptaan mereka sehingga bukan sahaja menjadi bodoh, malah cuba memperbodohkan orang lain!


5. LIWAT SUKA SAMA SUKA

Satu perkara yang saya mahu sebut, dan saya cabar para pasrasit ini menyatakan pendirian mereka tentang kenyataan rasmi Presiden Majlis Peguam Christopher Leong pada 09.03.2014 dilaman sesawang Majlis Peguam yang menegaskan bahawa 'the Malaysian Bar is deeply troubled by the conviction and sentence of five years imprisonment of Anwar Ibrahim by the Court of Appeal, for what was essentially consensual sex between two adults'.
Majlis Peguam, yang merupakan penyokong kuat pembangkang menegaskan dengan jelas bahawa perbuatan liwat diantara Anwar dan Saiful adalah atas dasar suka sama suka.
Agak menghairankan sehingga kini para pasrasit ini memilih untuk menjadi syaitan bisu tanpa sebarang komen terhadap kenyataan Majlis Peguam ini? Adakah para pasrasit ini bercadang mahu mengenakan pertuduhan qazaf terhadap Christopher Leong  dan Majlis Peguam berdasarkan Kitab Jinggay mereka?
Berhentilah daripada terus menjadi bodoh dan memperbodohkan orang lain!
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
24 Jamadil Awal 1435
26 Mac 2014