Alhamdulillah semalam Rabu 11 Jamadil Awal 1435 bersamaan 12 Mac 2014 saya berkesempatan untuk menghadiri sesi penerangan oleh delegasi Muslim-UPRo di UKM.
Alhamdulillah sesi sebegini sepatutnya dilipatgandakan dan diperluaskan kepada kumpulan sasaran supaya gelagat pertubuhan haram bernama Comango dengan tuntutan yang boleh merosakkan akidah, syariat dan akhlak umat Islam dan keharmonian serta kehidupan pelbagai agama dan kaum di negara ini dapat didedahkan seluas mungkin.
Antara lain tuntutan kumpulan haram ini ialah untuk menghalalkan seks songsang dan luar tabi'e melalui amalan Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender, perkahwinan sesama jenis, membenarkan umat Islam murtad, menghalalkan penyalah-terjemahan kalimah ALLAH oleh kristian di Malaysia, menghapuskan perundangan syariah dan pemansuhan hak istimewa Melayu & bumiputera.
Apa yang menghairankan saya ialah adakah badan-badan agama dan kelab sosial seperti persatuan guru, persatuan penduduk dan lain-lain yang menganggotai Comango ini menyokong tuntutan luar tabi'e dan luar batasan kemanusiaan ini?
Adakah mana-mana agama yang menyokong seks bebas, seks songsang dan luar tabi'e, perkahwinan sama jantina dan lain-lain? Kalau ada saya kira itu bukanlah satu agama; kerana agama sepatutnya mengajar kita hidup seperti manusia, bukan menjalani kehidupan yang haiwan dan binatang sendiri tidak lakukan!
Apapun, saya perturunkan dibawah kenyataan daripada delegasi Muslim-UPRo seusai wacana semalam untuk membantu sebaran perjuangan kita umat Islam yang masih punya sedikit keimanan.
Wallahua'lam dan Wassalam.
Adios amigos, grasias.
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
12 Jamadil Awal 1435
13 Mac 2014
*Nota: penyiaran kenyataan dibawah dibuat dengan izin daripada saudara Azril Mohd Amin (Pengerusi Delegasi Muslim-UPRo ke Geneva) dan saudara Abdul Karim Omar (Muafakat - lamanweb www.akarimomar.wordpress.com)
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
New post on Karim's Blog (www.akarimomar.wordpress.com) |
Kenyataan Media MuslimUPRo 12 Mac 2014by akarimomar |
KENYATAAN MEDIA DELEGASI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM DI DALAM SEMAKAN BERKALA SEJAGAT (MUSLIMUPRO)
12 Mac 2014 │ 10 Jamadil Awal 1435 │ Bangi, Selangor Darul Ehsan
Kenyataan media ini dikeluarkan bersempena Seminar Islam dan Hak Asasi Manusia: Cabaran Tuntutan COMANGO dan Masa Depan Malaysia, yang dianjurkan sebagai penzahiran kerjasama MuslimUPRo,
Fakulti Usuludin dan Falsafah, Jabatan Pengajian Islam, UKM dan Yayasan
Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM). Seminar yang dianjurkan ini
berhasrat memperhalusi kajian tema-tema penting di sekitar isu-isu HAM
menurut pandangan Islam dan juga sebagai medan untuk MuslimUPRo dan
pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) berkongsi idea dan
pengalaman semasa sesi UPR dan mendapatkan respons serta pandangan arah
tuju perjuangan HAM menurut perspektif Islam.
Seminar
ini juga ingin meneruskan sebahagian inisiatif penyelidikan dan
penerbitan sebagai sumbangan terhadap kegiatan ilmiah di dalam bidang
kajian Islam dan HAM serta memperkasa wacana Islam dan HAM di peringkat
nasional, serantau dan antarabangsa dengan pendedahan isu-isu mutakhir
serta kupasan cabaran-cabaran yang melatari perkembangan perbahasan
Islam dan HAM di pelbagai peringkat. Selain itu, seminar ini juga ingin
mengenal pasti di kalangan ahli akademik dan aktivis NGI yang boleh
diketengahkan untuk memperkasa agenda memperjuangkan isu-isu HAM dari
peringkat serantau dan antarabangsa termasuk di dalam proses UPR.
Pihak
MuslimUPRo juga ingin mengumumkan penghantaran delegasi rasmi ke sesi
penerimaan muktamad (final adoption) di Geneva, Switzerland yang akan
diadakan pada 20 Mac 2014 di Majlis Hak Asasi Manusia. Delegasi seramai
enam orang terdiri daripada Azril Mohd Amin (Pengerusi/ Ketua Delegasi
MuslimUPRo), Ustaz Nasharuddin Mat Isa, (Pengerusi Yayasan Nassar), Dr.
Yusri Mohamad (Presiden, Institut Kajian Islam & Strategik
– ISSI), Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz (Pengerusi, Majlis Ittihad
Ummah), Haji Aminuddin Yahaya (Timbalan Presiden, Ikatan Muslimin
Malaysia (ISMA) merangkap Setiausaha ACCIN dan Mohamed Hafiz bin Mohamed
Nordin, (Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA).
Fokus
misi delegasi MuslimUPRo pada kali ini adalah untuk terus memantau
perkembangan syor-syor yang telah dikemukakan terhadap kerajaan Malaysia
semasa sesi pusingan kedua Semakan Berkala Sejagat berlangsung pada
bulan Oktober lalu. Sebanyak 232 syor-syor telah dikemukakan oleh
negara-negara anggota Majlis HAM. Sementara pihak MuslimUPRo menerima
saranan-saranan pembaikan HAM di dalam pelbagai bentuk sebagaimana yang
telah dikemukakan di dalam deraf laporan UPR Malaysia yang terdahulu,
MuslimUPRo tetap tegas menolak enam tuntutan kontroversi yang terkandung di dalam Laporan COMANGO bertarikh 11 Mac 2013
yang telah menjadi asas pada semakan situasi HAM di Malaysia semasa
sesi UPR. Tertakluk pada kebenaran akreditasi yang diberikan Majlis HAM,
MuslimUPRo akan menyatakan pandangan lisan secara rasmi di dalam sesi
penerimaan tersebut untuk menzahirkan pendirian pertubuhan-pertubuhan
Islam terhadap laporan akhir UPR Malaysia. MuslimUPRo juga akan
meneruskan beberapa siri penerangan serta engagement dengan
misi-misi kedutaan asing dan NGO-NGO HAM di Geneva bagi bertukar-tukar
pandangan mengenai inisiatif pembaikan HAM di Malaysia serta
interaksinya dengan realiti, latarbelakang serta sejarah Islam.
MuslimUPRo
seterusnya ingin memaklumkan bahawa untuk strategi jangka panjang,
seminar seumpama yang diadakan pada hari ini akan diperluaskan dengan
institusi-insitusi akademik dan kemasyarakatan yang lain di dalam jangka
waktu terdekat. Selain itu, MuslimUPRo juga akan memulakan inisiatif
memilih daripada kalangan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI)
aktivis-aktivis yang berpotensi untuk menjalani Zamalah Islam dan Hak
Asasi Manusia, termasuk peluang untuk dihantar ke Geneva bagi mendapat
latihan serta pendedahan terhadap mekanisme dan sistem HAM di peringkat
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, MuslimUPRo juga
telah memulakan usaha penyelidikan untuk menghasilkan laporan interim
situasi HAM di Malaysia menurut kacamata Islam yang akan dikumpulkan
untuk membentuk laporan stakeholder bagi sesi pusingan ketiga
Semakan Berkala Sejagat pada tahun 2017 kelak. Usaha ini dijalankan
dengan kerjasama pelbagai NGI yang bergabung dengan MuslimUPRo serta
dengan NGI lain yang berperanan serta berkedudukan strategik memberikan
respons terhadap situasi HAM di Malaysia secara bertanggungjawab serta
tidak melanggar lunas-lunas kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
Pihak
MuslimUPRo ingin memohon doa daripada rakyat Malaysia agar Kerajaan
Malaysia meneruskan pendirian tegas menolak mana-mana tuntutan HAM yang
melanggar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan kesucian Islam di
Negara ini. Melalui kacamata antarabangsa, Malaysia mampu menawarkan
penyelesaian strategik terhadap isu-isu kontroversi melibatkan
tuntutan-tuntutan HAM, seperti isu kebebasan beragama, LGBT serta
isu-isu di sekitar mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan
melalui model kesederhanaan yang ditampilkan kepimpinan YAB Perdana
Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.
Seterusnya,
kepimpinan Malaysia sangat diperlukan di dalam arena antarabangsa untuk
membentuk acuan tuntutan HAM yang munasabah serta tidak melampaui batas
kemanusiaaan, seperti yang dizahirkan beberapa Negara barat yang
ghairah memperjuangkan tuntutan HAM mengikut pandangan liberal-sekular
mereka sehingga boleh membawa kehancuran pada tamadun kemanusiaan.
Peranan Malaysia dilihat sebagai mampu menawarkan artikulasi
alternatif terhadap fahaman HAM kontemporari, serta berupaya memperkasa
Negara-negara yang bergabung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di peringkat antarabangsa.
MuslimUPRo
akan terus menyokong inisiatif murni dan hasrat mempertahankan dan
memperbaiki keadaan HAM di Malaysia. Penglibatan MuslimUPRo sebagai
suara masyarakat sivil diharap dapat terus memberikan impak serta kesan
jangka panjang di dalam usaha memperbaiki keadaan HAM di Malaysia tanpa
berkompromi terhadap isu-isu yang mencabar kesucian Islam dan kedaulatan
Perlembagaan Persekutuan yang kita hormati.
Azril Mohd Amin │ Pengerusi MuslimUPRo
No comments:
Post a Comment
Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.