17 March 2011

1-MALAYSIA

(Bersama Sheikh Dr. Yusuf Islam melawat Parlimen Malaysia semalam)

Salam 2 all.

Hari ini teman membangkitkan isu konsep 1-Malaysia didalam Parlimen melalui Soalan Lisan. Soalan teman, yang disenaraikan dalam no.2, berbunyi saperti berikut:

a. adakah Kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1-Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai; dan

b. adakah Kerajaan bercadang membuat re-branding kepada konsep saperti Malaysian-First dengan prinsip "Negara DiDahulukan, Rakyat DiUtamakan" dimana setiap rakyat mendahulukan negara dan Kerajaan pula mengutamakan rakyat dalam semua dasar dan perancangan.

Agak mengejutkan kerana soalan teman itu dijawab sendiri oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Namun kalangan di Parlimen menyatakan kesediaan YAB Dato' Sri Najib menjawab sendiri soalan ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam isu berkaitan konsep 1-Malaysia (sila lihat dibawah untuk intipati jawapan YAB Perdana Menteri)

Sebenarnya teman mengemukakan soalan ini atas beberapa sebab.

1. Konsep 1-Malaysia ini telah dikelirukan, kekadang sehingga ke peringkat begitu serius. Contohnya iklan Hari Raya yang cacamerba, iklan Lebai Santa. Sambutan 'ibadah 'eidulfitri dengan Tok Lebai kayuh basikal terbang macam santa dengan bunga lotus dan pelita. Rojak habis sehingga ke peringkat menghina Islam.

2. Kekadang, iklan televisyen itu sehingga menjadi "plastik". Contohnya iklan dimana 3 sekawan Melayu, Cina & Punjabi ke warung rakan mereka seorang India. Pakej 1-Malaysia cantik punya. Siap order teh-tarik 1-Malaysia. Bila si melayu minta tolong rakan punjabinya dengan kata "kita kan kawan", terus sipunjabi jawab "siapa kata kita kawan, kita adik beradik". Aisey yop, kot ya pun nak bodek janganlah over sangat. Satu senario yang tak realistik langsung..satu plastik!

3. Konsep 1-Malaysia ini juga telah melahirkan terlalu banyak persepsi. Contohnya bagi kalangan orang Melayu, 1-Malaysia bermaksud tiada lagi sekolah aliran Cina, Tamil dan lain-lain contohnya. Bagi bukan Melayu pula, 1-Malaysia bermakna tiada lagi hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 patut dihapuskan. Samarata, samarasa!

Begitulah kekeliruan dan cacamerba yang lahir akibat kekeliruan terhadap konsep 1-Malaysia. Dan teman menyatakan kepada YAB Perdana Menteri bahawa Konsep 1-Malaysia telah gagal melahirkan warganegara dan rakyat yang sayang dan cintakan negara.

Contohnya masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang masih memburuk-burukkan negara semasa berada diluar negara. Malahan ada yang sampai berbohong. Semasa teman ke beberapa negara contohnya di Washington, New York menghadiri Perhimpunan Agong Bangsa-Bangsa Bersatu, lawatan kerja di Turkey dan lain-lain. Teman terperanjat mendengar dari beberapa pemimpin negara tertentu yang jelas telah dibohongi dengan beberapa fakta yang tidak betul, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan dan negara kita.

Sedangkan yang teman hairan, mengapa kita tidask boleh mengambil YBM Tengku Razaleigh Hamzah, yang tidak pernah memburukkan negara semasa berada diluar walaupun beliau pernah ada krisis besar dengan mantan PM sehingga negara hampir pecah dua! Beliau berlawan didalam negara, sehingga UMNO pernah diisytiharkan haram. tetapi bila YBM Ku Li berada diluarnegara, beliau tetap mempertahankan negara dan kepimpinan negara.

Selanjutnya kenapa kita tidak mengambil contoh daripada bekas Presiden Israel Moshe Kastav ataupun Perdana Menteri Itali Berlusconi, yang walaupun berhadapan dengan tuduhan merogol atau punya hububngan sulit dengan gadis bawah umur, mereka melawan di Mahkamah negara masing-masing. Kita tidak pernah pulak mendengar Kostav atau Berlusconi berkempen keluar negara meminta bantuan Amerika atau Australia, apatah lagi Yahudi (walaupun Kostav adalah Presiden Israel sebuah negara Yahudi).

Jadi rumusannya, teman mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri supaya Kerajaan mengkaji semula konsep 1-Malaysia ini supaya bersesuaian dengan konsep "Malaysian-First", dengan prinsip "Negara DiDahulukan, Rakyat DiUtamakan".

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Khamis

12 Rabi'ul Akhir 1432

17 Mac 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Jawapan YAB Perdana Menteri kepada isu diatas)

Ada pihak bimbang kejayaan 1Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penerimaan rakyat yang semakin meningkat terhadap gagasan 1Malaysia menyebabkan ada pihak bimbang dan sentiasa mencari muslihat untuk menimbulkan penafsiran yang berbeza serta mengelirukan mengenainya.

Perdana Menteri berkata, pihak tersebut juga akan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta, mengaburkan perkara yang jelas dan menggelapkan yang terang demi mewujudkan modal politik yang boleh ditabur kepada rakyat.

"Sudah tentu kejayaan gagasan 1Malaysia kurang disenangi oleh pihak tertentu yang hanya memikirkan manfaat politik yang dapat diraih apabila berlaku persengketaan dan perselisihan faham antara kaum.

"Golongan ini tidak perlu dipedulikan, yang jelas sebilangan besar rakyat menerima 1Malaysia sebagai konsep yang mengeratkan talian muhibah di kalangan semua kaum selain menyemarakkan semangat cinta kepada negara. Inilah matlamat utama gagasan ini diperkenalkan," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai.

Perdana Menteri menambah, sejak pelancaran gagasan 1Malaysia sebaik sahaja beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, penerimaan rakyat terhadap gagasan itu amat memberangsangkan.

"Pada peringkat awal ada pihak yang cuba memanipulasikan 1Malaysia bagi mewujudkan polemik demi kepentingan politik mereka, namun dengan penjelasan yang terperinci di pelbagai peringkat, penerimaan yang amat baik jelas kelihatan di kalangan rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zulkifli yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat penjenamaan 1Malaysia kepada konsep Malaysian-First dengan slogan 'Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan', Perdana Menteri berkata, penjelasan lebih terperinci mengenai 1Malaysia perlu diberi keutamaan.

"Saya anggap walaupun kita telah banyak beri penjelasan dan penerimaan pun semakin ketara, tetapi penjelasan demi penjelasan perlu diberikan supaya kita sampai ke satu peringkat di mana gagasan ini difahami sepenuhnya," katanya.

Perdana Menteri berkata, pemahaman terhadap 1Malaysia perlu dihubungkaitkan dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' iaitu prinsip yang boleh membawa kekuatan kepada negara.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah kerajaan bagi menghadapi pihak-pihak yang mahu menjejaskan perpaduan negara, Najib berkata, golongan itu tidak dapat dielakkan.

"Dalam sebuah masyarakat yang begitu kompleks, memang akan ada masalah. Sebab itu kita ada 1Malaysia iaitu nilai yang boleh dihayati setiap rakyat untuk mengurangkan masalah antara kaum," katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.