18 March 2011

TumPAS JUGA AKHIRNYA!

(Bila agaknya nak menjadi Abdul KY Lee ni yop)

Salam 2 all.

Teman antara orang paling kecewa dengan keputusan Kerajaan Kelantan mengkaji pengharaman judi loteri. Kenyataan akhbar YAB Menteri Besar Kelantan melalui Setiausaha Akhbar beliau Ahmad Fadhli Shaari semalam menyatakan bahawa kerajaan negeri akan meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengkaji pengharaman tersebut.

Kenyataan ini dibuat tidak beberapa hari selepas manusia yang ditabal isterinya sebagai anugerah tuhan mengkritik Tok Guru Nik Aziz mengenai pengharaman tersebut, dengan meminta Tok Guru merujuk kepada kepimpinan Pakatan termasuk DAP yang menentang keras tindakan Kerajaan Kelantan yang mengharamkan judi loteri di Kelantan. Yang lebih malang, kritikan dan teguran Anwar itu dibuat dalam sidang akhbar yang dihadiri juga oleh segelintir kepimpinan PAS & DAP.

Tok Guru Nik Aziz membuat kenyataan untuk mengkaji pengharaman judi loteri tersebut setelah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan DAP & PKR di Kota Bharu. Semalam Karpal, Pengerusi DAP menyelar tindakan Kerajaan Kelantan dan memberi amaran akan mengambil tindakan penentangan jika Kerajaan Tok Guru meneruskan pengharaman tersebut (lihat kenyataan dibawah).

Kajian pengharaman judi loteri ini memberi persepsi dan gambaran seolah-olah jika Pakatan pembangkang menjadi Kerajaan, semua dasar dan perlaksanaan syariat dan undang-undang Islam hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat anggukan, perkenan dan "patwa" daripada kepimpinan DAP!!! Na'uzubillah!!!

Walaupun teman berharap dan berdoa moga Tok Guru Nik Aziz akan istiqomah mempertahankan Islam, namun teman faham dengan kedudukan Tok Guru Nik Aziz. Beliau berada didalam keadaan tersepit dan terkepit. Tok Guru telah "dikunyitkan" oleh manusia yang ditabal oleh bininya sebagai anugerah tuhan yang disanjung tinggi oleh Tok Guru sendiri.; malah Tok Guru pernah berharap semoga Anwar menjadi Perdana Menteri bagi beliau!!

Dan lebih malang tindakan Tok Guru yang cuba melaksanakan hukum Islam itu tidak dipertahankan oleh segelintir kepimpinan PAS yang lain. Jadi apa pilihan yang ada pada Tok Guru, kalau orang yang Tok Guru angkat sebagai calon Perdana Menteri beliau sendiri dan segelintir kepimpinan parti beliau sendiri bukan sahaja tidak mempertahankan beliau, malah mendesak beliau untuk mengkaji pengharaman tersebut. Teman mengasihani Tok Guru, dan memahami dilema beliau.

Teman percaya ramai ulama', ilmuan, para ustad, dan ahli akar umbi PAS sangat sedih dengan perkembangan ini. Ini kerana selama ini ada dikalangan mereka begitu lantang memaki hamun dan menyumpah seranah orang lain dalam isu judi, arak dan lain-lain. Lihatlah semasa isu judi bola Piala Dunia, maki hamun dema naik ketor lutut kita dengor yop. Sampai ada yang memunafikkan dan mengkapiorkan orang lain, hanya kerana tidak bersetuju dengan isu judi bola itu, walaupun sebenarnya Kerajaan belum pun buat keputusan. Dan ternyata mereka silap, bila YAB Dato' Sri Najib mengambil tindakan tegas mengharamkan judibola tersebut. "Kini pulang paku buah keras. Paku dulang paku serpih, ngata orang mike yang lebih yop".

Kisahnya macam orang tengok bola lah yop. Bila duduk dekat bangku stadium tu memerhati perlawanan bola, mike dengar sendiri maki hamun sumpah seranah penonton yang menyaksikan. Semuanya tak kena. Semua kena ikut cara dema. Sebab dema seronoklah tengok bola sambil makan kacang minum air tebu. Cuba suruh dia turun padang pakai jersi tengok, silap-silap berpeluh pitam sebelum referee tiup wisel permulaan lagi!

Sebenarnya inilah realiti politik yang sedang dihadapi oleh umat Islam didalam negara ini. Semuanya kerana gara-gara kita tidak mengerti bersatu suara didalam berhadapan dengan isu yang menjadi kepentingan umat Islam. Lihat sahaja isu bibel versi Bahasa Indonesia. Amat malang bila PAS dan PKR turut mendesak Kerajaan menarik balik larangan kemasukan bibel tersebut, walaupun ianya sesuatu yang bukan sahaja mencabul Perlembagaan, malahan menghina Islam dan umat Islam!

Sebagaimana Kerajaan Tok Guru Nik Aziz tiada pilihan terpaksa mengkaji semula larangan judi loteri di Kelantan, begitulah Kerajaan Dato' Sri Najib Razak tiada pilihan melainkan terpaksa mengkaji semula kemasukan bibel Indon ini. Walaupun mereka berdua, Tok Guru dan YAB PM, cuba mempertahankan Islam dan maruah umat, namun ketiadaan perpaduan dan satu suara dikalangan umat Islam sendiri akhirnya menyebabkan yang tewas ialah umat Islam.

Persoalan besarnya ialah mengapa kita umat Islam, Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat & Satu Aqidah; tetapi gagal menjadi Satu Umat dengan Satu Suara walaupun bila berdepan dengan serangan musuh Islam.

Tepuk dada tanya imanlah yop. Teman sudah cuba sedaya upaya mengikut kemampuan teman untuk bersuara. Teman istiqomah dan konsisten dalam hal ini. Teman tahu ianya tidak cukup; tetapi jika teman perlu berperang dengan mana-mana kafir dan munfaik hipokrit yang menentang Islam, teman akan lakukannya walaupun berseorangan yop. Itu sumpah teman kepada ALLAH, itu janji teman kepada Rasulullah saw.

Semoga ALLAH menyelamatkan aqidah kita yop!!! Gempa di Timur dah belaku, gempa di Barat dah berlaku, hanya tinggal gempa di Tanah 'Arab aje yop; walaupun pemberontakan sudah pun berlaku sebagaimana yang disabdakan Rasulullah saw sebagai tanda-tanda akhir zaman!!! Na'uzubillah!!

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & Wassalam.


Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 Rabi'ul Akhir 1432
19 Mac 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran media portal pro-pembangkang Malaysian Insider hari ini 19.03.2011)

DAP akan tentang larangan loteri di Kelantan, kata Karpal

March 19, 2011

SEREMBAN, 19 Mac — Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh memberi PAS amaran bahawa pihaknya akan menentang rakan komponen Pakatana Rakyat (PR) itu jika terus berkeras dengan larangan jualan loteri di Kelantan.

Dilihat sebagai kata dua kepada PAS, Karpal meminta parti Islam itu supaya “tidak bermain dengan undang-undang”, sebaliknya mahu ia menghormati hak bukan Islam di negeri tersebut.

“Apa jua tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, kami akan bertindak bertentangan dengan (pendirian) PAS,” kata beliau pada majlis makan malam sambutan 45 tahun DAP di sini malam tadi.

Kerajaan PAS Kelantan berhadapan dengan kritikan parti-parti yang mewakili kaum Cina dari kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) ekoran larangan menjual loteri.

Para pemerhati melihat larangan itu sebagai usaha PAS mengembalikan undi Melayu, yang kini kelihatan sudah kembali kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil sejak awal tahun lalu.

Kenyataan Karpal (gambar), yang juga ahli Parlimen dan seorang peguam, seolah-olah menggambarkan semula pendirian beliau dalam isu dasar negara Islam yang hendak dibawa PAS.

Bagaimanapun pada konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu, Karpal berkata, isu itu boleh dibincangkan dan perlu diselesaikan dengan segera agar tidak dieksploitasikan oleh BN.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Penasihat Undang-Undang negeri mengkaji semula pengharaman loteri ‘big sweep’ selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Lok Siew Fook; ahli jawatankuasa DAP pusat Liew Chin Tong; Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PKR Dr Mohd Nor Manuty bagi membincangkan isu judi tersebut.

Isu pengharaman loteri itu timbul berikutan Majlis Perbandaran Kota Baru - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah melakukan serbuan ke atas dua buah kedai buku dan merampas tiket loteri tersebut pada bulan lepas.

No comments:

Post a Comment

Komen yang mengandungi unsur fitnah, pembohongan, penipuan, mencarut, hasutan, menghina agama, bersifat anti-perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Terima Kasih.