Salam 2 all.
Akhir-akhir ini, kelihatan saperti ada suatu kekeliruan dikalangan umat Islam mengenai hukum arak, terutama dari segi hasilnya. Samada kekeliruan ini adalah kerana kejahilan (yang boleh diperbetulkan dengan ilmu), atau kerana kepentingan tertentu tidaklah saya ketahui.
Apa yang saya ingat, dahulu kita bergegar menyatakan kalau hari ini kita memerintah, esok kilang arak kita akan tutup. Sehingga jualan arak dikedai runcit dan serbanika pun kita nak halang. Malahan saya masih ingat semasa mengendalikan kes Al Maunah (yang majoritinya adalah anggota Unit Amal), antara sasaran mereka ialah memembak dan cuba memusnahkan sebuah kilang arak. Malahan kita pernah menuntut supaya syarikat penerbangan MAS menghentikan penjualan arak didalam penerbangan termasuk kepada penumpang bukan Islam.
Ini semua berlaku kerana kefahaman kita ialah "alkhamru ummul qoba'is", arak itu ibu segala maksiat. " Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan." (Kitab Sunan Ibnu Majah jilid 3, kitab memabukkan, Bab 30, Hadis no. 3371).
Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.
Sesungguhnya arak itu terlalu banyak keburukan dan kemudaratan kepada manusia, di antaranya :-
1. Merosakkan akal fikiran dan kesihatan
2. Merosakkan akhlak dan akidah seseorang
3. Memalingkan manusia daripada ingatkan Allah dan daripada mengerjakan solat
4. Membawa manusia ke arah kemurkaan Allah
5. Boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia
6. Memporak-perandakan rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maa’idah : ayat 90).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda:“ "Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit." (Kitab Sunan Ibnu Majah Jilid 3, Kitab memabukkan , Bab 30, hadis No. 3392)".
Dari Annas bin Malik katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai arak :-
1. pembuatnya,
2. pengedarnya,
3. peminumnya,
4. pembawanya,
5. pengirimnya,
6. penuangnya,
7. penjualnya,
8. pemakan wang hasilnya,
9. pembayarnya
10. dan juga pemesannya.” (Hadis Riwayat Imam Tirmidhi).
Inilah tarbiyyah yang kita semua terima sejak dahulu, sehingga kita memandang arak dengan begitu jijik. Dan memang itulah sepatutnya pun. Dan saya antara orang yang cukup konsisten dan istiqomah dalam hal ini. samada masa ceramah atau tazkirah. Malah sebaik menjadi Ahli Parlimen, samada semasa bersama Pakatan mahupun sebagai MP Bebas, banyak usul yang saya kemukakan untuk mengharamkan arak ini. Hansard dan rekod Parlimen membuktikan pendirian konsisten saya itu sehingga kehari ini.
Dan bila bercakap tentang arak, saya pasti akan teringat kepada Almarhum Dato' Ishak Baharom, yang tidak pernah lekang daripada multnya dalam setiap ceramah, kuliah atau tazkirah Almarhum mengingatkan kita tentang bahaya arak sebagai ibu segala maksiat.
Tetapi hari ini ada diantara kita mengubah haluan dan menyatakan bahawa hasil dan cukai arak kita boleh ambil dan guna. Kita kata kita tidak boleh halang orang bukan Islam daripada meminum arak. Bahawa hasil dan cukai keatas arak halal buat kita.
Dan yang paling teruk, ada diantara kita menghalalkan tindakan kita dengan berselindung dibalik dakwaan hanya agama Islam mengharamkan arak, tetapi agama lain membenarkannya.
Samada yang bercakap itu hipokritus aljahlunus, ataupun jahlun alhipokritus!
Pertama, kita umat Islam tahu bahawa semua kitab agama wahyu yang ada hari ini telah diselewengkan atau diputarbelitkan. Maka tidak ada sebab kita nak mempercayai kitab-kitab mereka.
Kedua, adalah jelas agama-agama lain, kalau tidak mengharamkan arak pun, sangatlah tidak menggalakkan peminumannya. Tetapi apa yang jelas, semua agama mengharamkan pemabukan. Agama Buddha mengharamkan alkohol/ arak termasuk pemabukan. Agama Kristian umumnya mengharamkan pemabukan walaupun memberikan pengecualian sedikit arak saperti wine diminum untuk majlis-majlis keagamaan tertentu. Agama Yahudi/ Judaism mengharamkan paderinya daripada mengendalikan sebarang upacara agama kalau si paderi tersebut meminum arak walau setitik. Agama Hindu juga mengharamkan pemabukan. Manakala agama Sikhism (Punjabi) mengharamkan sebarang bentuk minuman yang memabukkan. Jadi dimana bukti dakwaan yang kata kononnya agama lain menghalalkan arak? Hanya kerana penganutnya minum tanpa batas bukan bermakna agamnya membenarkan.
Tiba-tiba ada pak janggoat mendakwa agama lain menghalalkan arak. Oleh itu cukai dan hasil daripada arak ini halal buat kita orang Islam ambil dan gunakan. Sedangkan hadis Rasulullah saw diatas jelas bahawa diantara sepuluh golongan yang dilaknat ALLAH berkaitan arak ialah "pemakan wang hasilnya"!! Apakah mengutip cukai dan menggunakan hasil arak itu tidak termasuk golongan "pemakan wang hasilnya"!!
Saya teringat sebuah buku risalah mengenai arak ini yang pernah diterbitkan oleh penulis sebuah parti politik tertentu bertajuk "Banjir Arak"! Jelas didalamnya menegaskan hasil dan cukai arak adalah haram!!!
Sebab itu Rasulullah pernah bersabda, "aamantu billah summastaqim" - aku beriman kepada ALLAH, dan aku beristiqamah. Mendapat iman adalah satu anugerah, tetapi hendak memelihara iman dan aqidah serta beristiqamah dengannya adalah suatu jihad dan perjuangan, dan ianya bukan mudah.
Berdoalah kita kepada ALLAH moga kita bukan sahaja diberi keimanan dan aqidah yang mantap, tetapi juga beristiqamah dengannya. Ianya bukan mudah, tetapi boleh dilakukan.
Yang baik dan benar itu daripada ALLAH, yang tidak itu adalah kelemahan saya sendiri. Ini adalah pandangan dan pendapat saya, tetapi sekiranya terbukti pandangan saya ini bercanggah dengan mana-mana ayat Al Quran mahupun hadis Rasulullah saw, maka pendapat saya ini adalah terbatal dengan sendiri dan Al Quran dan Sunnah itulah yang wajib kita ikuti, dan saya pohon keampunan ALLAH atas kelemahan dan kesilapan saya itu.
Selamat menyambut bulan sya'ban, dan bersedialah kita untuk menyambut Ramadhan. Dan saya berdoa semoga ALLAH memberikan saya dan semua umat islam yang beriman peluang untuk menjalani 'ibadah puasa dibulan penuh keberkatan ini. Ameen.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Sya'ban 1431
13 Julai 2010
2 comments:
Bagus En Zul berkenaan pendapat ni...saya juga keliru dengan pendirian PAS mengenai perkara ini..
Saya turut tidak faham mengenai pakatan mereka bersama DAP dan PKR..Padahal kita tahu mereka tidak akan dapat membawa islam dengan baik bersama parti-parti tersebut..
org kelate,nak minum arak gi golok je. tapi kena ingat Allah Taala di golok sama dgn di Malaysia...
Post a Comment