28 November 2010

SHEIKH YUSUF ISLAM

(Sheikh Dr. Yusuf sedang menyampaikan tazkirah di Masjid UIA dengan kehadiran ribuan jemaah termasuk teman yang duduk sebelah kanan Sheikh Yusuf)

Salam 2 all.

Alhamdulillah lawatan singkat Sheikh Dr. Yusuf Islam ke Kuala Lumpur (24-27 Nov 2010) telah dapat disempurnakan dengan beberapa program yang diatur khas. Ketibaan Sheikh Yusuf bersama isteri Puan Fawzia Mubarak Ali pada pagi Rabu 17 Zulhijjah 1431/ 24.11.2010 di KLIA disambut oleh YBhg Datuk Yeop Adlan Che Rose (Pengerusi Peace Train Malaysian Chapter), Sdr. Fudzail Mohd. Nor (Pengurus) dan teman sendiri yang diamanahkan menjadi hos lawatan Sheikh Yusuf. Turut sama ialah Sdr Rusdi Shamsudin bertindak sebagai pengiring.

Alhamdulillah Sheikh Yusuf dan isteri telah berkesempatan mengadap YDP Agong Tuanku Mizan dan Permaisuri Tuanku Nur Zahirah pada hari Khamis 25.11.2010. Pertemuan lebih sejam itu membawa satu lembaran baru bagi Sheikh Yusuf dan isteri. Kami baru tahu rupanya lagu "I Look I See" yang terkenal itu dicipta oleh Sheikh Yusuf semasa melawat Trengganu beberapa tahun lepas. Pada sebelah malamnya kami sempat mengadakan rakaman untuk Sheikh Yusuf ditemubual oleh pihak TV3 bagi rancangan MHI yang disiarkan pada pagi Jumaat.

Sheikh Yusuf juga sempat mengadakan kunjungan hormat ke YAB Dato' Sri Najib dan isteri YABhg Datin Sri Rosmah Mansur pada hari Jumaat. Dalam kunjungan di Seri Perdana itu, Sheikh Yusuf dan isteri telah bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama umat Islam.

Sebelum itu Sheikh Yusuf sempat mendirikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah UIA, dan sempat menyampaikan tazkirah ringkas mengenai soal Islam & Keamanan. Teman diamanahkan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan dimana teman mengingatkan para jemaah antara lain satu perikan kata-kata Sheikh Yusuf yang sangat bermakna iaitu "manusia tanpa 'ilmu adalah manusia yang sangat berbahaya".

Sheikh Yusuf dan isteri telah berlepas ke Melbourne Australia pada pagi semalam dengan diiringi oleh Datuk Yeop Adlan, Datin Mimi, Sdr. Fudzail, Sdr. Rusdi dan teman sendiri. Kata Sheikh Yusuf dan isteri mereka sangat gembira dan berterimakasih dengan layanan baik dan mesra yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sepanjang berada di Kuala Lumpur. Walaupun singkat namun ianya membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Teman bertanya kepada Sheikh Yusuf samada beliau ada memikirkan untuk menjadikan Malaysia tempat tinggalnya. Beliau dan isteri membalas dengan memberi senyuman yang sangat bermakna. Insyallah jika tiada aral kami telah bercadang untuk mengadakan satu Konsert Tribute untuk Sheikh Yusuf di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
21 Zulhijjah 1431
28 November 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran akhbar Berita Harian 27.11.2010)

Konsep keamanan, kedamaian perlu dilihat secara mendalam

KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah antarabangsa, Dr Yusof Islam, berkata konsep keamanan dan kedamaian adalah perkara yang perlu dilihat secara mendalam dan menyeluruh kerana menjadi matlamat kesejahteraan kehidupan manusia.

Sambil merujuk dirinya, bekas penyanyi popular Britain pada 1970-an dan lebih dikenali sebagai Cat Stevens sebelum memeluk Islam, berkata demi mencari perdamaian, beliau memilih jalan dakwah kerana melaluinya persepsi yang salah terhadap Islam, khususnya yang dilemparkan Barat, dapat diperbetulkan.

“Pandangan serong itu perlu diperbetulkan. Ada lagi yang berpandangan Islam adalah musuh kepada agama lain kerana persepsi salah yang sengaja digembar-gemburkan.
“Justeru, bagi saya dakwah adalah senjata bagi menangkis tohmahan itu. Dakwah juga sebahagian daripada Islam kerana kita mengajak manusia ke arah kebaikan. Mesej Islam adalah benar dan ajarannya cukup harmoni.

“Tetapi apabila berdakwah kita perlu bercakap kepada masyarakat Islam terlebih dulu sebelum mengajak yang lain kerana itu menjadi keutamaan kerana ia akan menggalakkan perkongsian ilmu dan interaksi sesama Muslim,” katanya ketika menyampaikan tazkirah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dekat sini, semalam.

Yusof bersama isteri, Fauzia Mubarak Ali juga berkesempatan bertemu Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, kelmarin, selain turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Putrajaya, semalam.

Terdahulu ketika ditemuramah pada program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen TV3 pagi semalam, Yusof turut memberikan pandangan beliau mengenai konsep hiburan mengikut perspektif dalam medium dakwah.
Katanya, muzik itu adalah sesuatu yang cukup harmoni dan ia membentuk kedamaian dan keindahan hidup di dunia ini kalau digunakan dengan cara yang betul.

“Ketika ini masyarakat dunia sudah mulai bosan dengan peperangan dan bosan dengan isu politik dan untuk itu nilai muzik yang harmoni perlu ada,” katanya.

No comments: