14 October 2011

SYEIKH ALI JUM'AH: SAKSI HUDUD

Salam 2 all.

Teman ucapkan ribuan terimakasih kepada sahabat* yang mengirim artikel dibawah mengenai ulasan Allamah Syeikh Ali Juma'h, Mufti Besar Mesir (gambar sebelah) mengenai perlaksanaan hudud. Ini artikel yang teman rasa sangat relevan buat masa ini dalam kita membicarakan isu perlaksanaan hudud. Semoga ianya memberi menafaat kepada kita.

Kepada penulisnya, (teman tak pasti siapa dan sumber blognya, walaupun tercatat nama "Shamsul Muda di www.warisansemasa.blogspot.com daripada Universiti Yarmouk, Jordan), teman doakan rahmat dan barakah dianugerahkan kepada mike atas daya usaha yang sangat memberi menafaat kepada teman dalam memahami isu perlaksaan hudud ini.

Kepada mike semua, bacalah dengan berlapang dada, dan berdoalah moga diberi petunjuk dan hidayah daripada ALLAH. Nasihat teman bila nak membaca, buang segala assobiyah kepartian dan politik partisan, sebaliknya bacalah dengan harapan dan jiwa yang mahukan 'ilmu dan bimbingan. Tafaddhal masykuro:

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Thursday, 29 September

Dalam memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, satu perkara asas mesti dimaklumi semua pihak, iaitu Syariat Islam telah meletakkan beberapa syarat yang perlu ada sebelum sesebuah negara melaksanakan hudud. Justeru, apabila dikatakan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, ia bermakna syarat-syarat perlaksanaan hudud itu belum mengcukupi.

Kenyataan ini sama sekali tidak bermaksud hukum hudud itu sendiri ada kelemahan atau kecacatan, sehingga ia tidak boleh dilaksanakan dalam suasana semasa. Hukum hudud adalah sempurna dan lengkap. Cuma suasana semasa tidak memiliki syarat yang ditetapkan yang membolehkan ia dilaksanakan.

Ringkasnya, kenyataan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, bukan mempertikaikan kesempurnaannya dan kewajipan melaksanakannya. Ia sebaliknya berkenaan ‘ketidaksempurnaan’ suasana semasa. Iaitu tidak memiliki syarat yang ditetapkan bagi membolehkan hukum itu dilaksanakan.

Antara syarat tersebut ialah kewujudan saksi-saksi yang berwibawa.

Bagi mensabitkan jenayah hudud (zina, qazaf, minum arak, mencuri, hirabah dan kesalahan murtad), saksi yang bersifat adil (‘adalah) diperlukan. Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah (Rujuk Feqh al-Manhaji, jld. 3, ms.569)

Ketiadaan saksi yang memenuhi piawaian yang dinyatakan, akan mengakibatkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.

Zaman ketiadaan saksi

Persoalannya di sini, wujudkah saksi-saksi seperti yang dinyatakan pada masa sekarang? Jika diambil kira kenyataan sesetengah ulama dahulu kala, boleh dikatakan kita mempunyai jawapan yang hampir pasti bagi persoalan ini.

Dalam karyanya, Nisywarul Muhadharah, Al-Qadhi Al-Tanukhi (356-446 Hijrah) ada memperkatakan tentang realiti manusia di zaman beliau dan zaman sebelumnya. Beliau mencatatkan dalam karyanya itu, “sesungguhnya hakim [pada zaman sebelum ini], ketika memasuki sesuatu tempat atau kampung, dia [boleh] menemui 40 orang saksi yang kita perakui [kewibawaan mereka] dari segi ‘adalah (sifat adil) dan ketepatan (accuracy). [Tapi] sekarang, [iaitu pada zaman beliau] seseorang hakim, apabila memasuki sesebuah negeri, dia tidak [dapat] menemui melainkan seorang atau dua orang [yang layak menjadi] saksi”.

Demikian realiti manusia pada zaman Al-Tanukhi, iaitu sekitar 980 tahun yang lampau. Jika pada zaman beliau tidak boleh ditemui melainkan 1 atau 2 orang yang layak menjadi saksi bagi mensabitkan kes-kes hudud, maka apakah pada zaman kini-yang disifatkan sebagai akhir zaman yang penuh dengan kerosakan-saksi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan syarak itu, mudah didapati?

Jawapannya ada pada Mufti Mesir yang diperakui kemantapan ilmu dan kewarakannya, Al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah (juga ditulis sebagai Ali Gomaa).

Setelah menukilkan kata-kata Al-Tanukhi diatas, Syaikh Ali Jum’ah dengan jelas menyatakan bahawa, “zaman kita secara umumnya, boleh disifatkan sebagai [zaman] yang kehilangan kesaksian [saksi-saksi yang berwibawa]”.

(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)

Dalam erti kata lain, zaman ini ialah zaman dimana kita sudah kehilangan saksi-saksi yang berwibawa pada nilaian syarak, yang boleh diterima kesaksian mereka dalam perbicaraan membabitkan kes-kes hudud. Dalam realiti Negara Mesir, fenomena ketiadaan syarat yang mencukupi bagi melaksanakan hudud, sebenarnya telah lama berlaku, iaitu sejak sekitar 1000 (seribu) tahun yang lampau. Ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Ali Jum’ah.

Oleh sebab itu, jelas beliau, Negara Mesir, sejak lebih kurang 1000 (seribu) tahun yang lampau, tidak pernah melaksanakan hudud disebabkan fenomena yang dinyatakan.

Hudud bukan keutamaan

Oleh kerana zaman kini tidak memiliki ‘kelayakan’ untuk melaksanakan hudud, antaranya kerana tidak memiliki saksi-saksi yang berwibawa, maka menurut Mufti Mesir ini lagi, persoalan hudud bukan sesuatu yang mendesak dan bukan suatu keutamaan.

Lebih dari itu, menurut beliau, membangkitkan isu hudud pada masa sekarang (iaitu tahun 2006, tahun beliau menyatakan pandangan) mendatangkan mudarat dan tidak memberi manfaat.

(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)

Sebagai penutup, perlu dinyatakan di sini, Syaikh Ali Jum’ah tidak menyatakan secara jelas bahawa zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud, seperti yang terpapar pada tajuk tulisan ini. Tajuk itu sebaliknya adalah rumusan dan kesimpulan penulis daripada dua kenyataan beliau.

Pertama, beliau menegaskan bahawa zaman kini boleh disifatkan sebagai zaman yang ketiadaan saksi yang boleh diterima bagi mensabitkan hukum hudud (seperti yang telah dinyatakan); dan kedua, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman syubhah (penuh keraguan). Manakala prinsip yang terpakai dalam hukum hudud ialah ‘hukuman hudud diabaikan disebabkan kewujudan syubhah’.

Prinsip ini diambil daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, ‘abaikanlah [hukuman] hudud dengan sebab [adanya] syubhah’. Jika demikianlah keadaan zaman kini menurut kaca mata Syaikh Ali Jum’ah, maka bolehlah disimpulkan, perlaksanaan hukum hudud pada zaman kini tidak kondusif disebabkan dua sebab yang dinyatakan.

Pandangan beliau ini secara tindak langsung memberi ‘signal’ amaran kepada semua pihak, agar tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka dalam soal perlaksanaan hudud.


**********************************
Komen teman:

Setelah membaca artikel diatas, teman terfikir, adakah saksi yang sebegitu lagi dikalangan kita. Umat Islam terutama bangsa Melayu di Malaysia kini sudah sampai keperingkat tenat aqidah dan akhlaknya.

Kes buang bayi, perzinaan yang berleluasa, liwat yang tidak mengenal mangsa, anak bunuh mak, bapa bunuh anak, suami isteri curang dengan orang lain, hubungan seks tanpa batasan, penjualan arak yang tidak terkawal, gejala murtad makin meningkat, fahaman sesat bercambah-cambah, maki hamun terhadap para ulama' yang soleh, kemunculan ulama' suk dan jahat, munculnya kepimpinan songsang dan buruk akhlak, dan banyak lagi gejala akhlak yang membuktikan keruntuhan tamaddun samawi di negara ini!

Begitu juga kita langsung tidak mengikut Al Quran dalam soal perpaduan dan kesatuan contohnya. ALLAH perintahkan kita sesama Islam sebagai saudara, tetapi kita memilih kafir (dan ada yang memilih kafir harbi) sebagai rakan sekatil! Sedangkan Tuhan kita Satu, Nabi kita Satu, Kitab kita Satu, Qiblat kita Satu; mengapa kita tidak boleh menjadi Satu Ummah!!!

Ada kalangan kita sampai menjual kalimah ALLAH demi kepentingan politik, menggadai anak isteri sebagai bahan sandaran politik, mengidolakan komunis atheist yang tidak percayakan tuhan, mengangkat kafir harbi sebagai kalipah, menerima penganut fahaman pluralisma sebagai pemimpin, menolak segala bukti dan keterangan yang jelas dan sarih hanya kerana kiblat politik kepartian, sampai keperingkat menolak perjuangan menegakkan negara Islam kerana mendakwa ianya tidak ada dalam Al Quran. Lebih parah sampai ada yang bukak dada sanggup mati demi kafir harbi! Na'uzubillah min zalik!!!


Memang benar kata Syeikh Ali Al Jum'ah
; kita sudah hilang kelayakan untuk menjadi saksi untuk membolehkan hudud dilaksanakan. Malahan persaksian kita bahawa "aku naik saksi tidak ada tuhan yang disembah melainkan ALLAH" juga boleh dipersoalkan, kerana ada kalangan kita yang mengiktiraf dan redho adanya ALLAH dalam bentuk triniti Tuhan Bapak-Tuhan Anak-Roh Suci saperti yang di i'tiqadkan oleh kristian la'natullah.

Moga ALLAH memberikan keampunan kepada kita, moga ALLAH memberikan kita petunjuk dan hidayahNya, moga ALLAH memelihara iman dan aqidah kita didalam zaman syubhah dan fitan ini.

Tidak ada tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa, aku ikhlas beragama Islam kerana Mu Ya ALLAH, walaupun kafir, musyrikin dan munafiq tidak menyukainya. ALLAH itu benar, Nabi saw itu benar, Al Quran itu benar, Mati itu benar, Barzakh itu benar, Mahsyar itu benar, Akhirat itu benar, Syurga itu benar, Neraka itu benar! Bantulah kami Ya ALLAH, sebagaimana telah Kau bantu Rasulullah, para sahabat dan golongan siddiqin, syuhada dan solihin.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
16 ZulQaedah 1432
14 Okt 2011

*Terimakasih kepada saudara Anuar Bin Sahudin & Datuk Zaini Bin Hassan yang mengirim artikel ini. Teman pohon izin untuk siarkan artikel ini yang sangat memberi menafaat dalam memahami isu perlaksanaan hudud.

No comments: