06 June 2014

PRK TELUK INTAN: ANTARA KACA DAN PERMATA


Salam 2 all.

Saya merujuk kenyataan Gobind Singh Deo anak lelaki mendiang Karpal Singh yang mendakwa kekalahan DAP di Teluk Intan adalah kerana isu hudud PAS.

Ternyata Gobind mengambil sikap selektif menyalahkan hudud PAS hanya untuk menyembunyikan hakikat rakyat sebenarnya menolak keegoan dan keangkuhan politik DAP untuk memperkaldaikan orang Melayu.

Adakah Gobind lupa adik beliau sendiri Ramkarpal baru sahaja memenangi PRK Bkt Gelugor dengan majoriti yang besar walaupun ditentang oleh calon bebas ahli PAS Mohamed Nabi Bux yang membawa perjuangan hudud?

Sekiranya benar dakwaan Gobind kekalahan di Teluk Intan adalah kerana hudud PAS, mana mungkin adiknya boleh mendapat undi yang besar menentang calon ahli PAS yang membawa isu hudud! Itupun dengan Ramkarpal mendapat bantuan dan sokongan jentera dan kepimpinan PAS!

Hakikatnya ialah rakyat menolak keangkuhan politik perkauman dan cauvinisma yang dibawa oleh DAP terutamanya dibawah kepimpinan Dinasti Lim.

Cubaan menggunakan calon Melayu yang menentang hukum agama sendiri dan memperlekeh institusi bangsa sendiri menyebabkan pengundi menolak DAP. Melayu, Cina dan India mempunyai alasan tersendiri masing-masing untuk menolak DAP di Teluk Intan seperti berikut:

1. Bagi  pengundi Melayu yang menyokong pembangkang, terutama dikalangan ahli PAS, kenyataan pertama Dyana yang menegaskan akan menentang pembentangan RUU Hudud PAS Kelantan sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan dilihat sebagai anti-Islam dan memusuhi PAS!

2. Ini ditambah dengan kenyataan Dyana mahukan sebuah universiti khas untuk kaum Cina seperti UiTM, dan sikap beliau memperlekeh UiTM sebagai institusi pengajian tinggi anak-anak Melayu dilihat sebagai si-tanggang yang lupa daratan. Ini kerana Dyana sendiri adalah seorang graduan lulusan UiTM. Sikap sebegini dilihat seperti kencing atas bangsa sendiri.

3. Bagi masyarakat Cina pula, mereka melihat Dyana sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai kerana ibunya Yammy Samat bukan sahaja seorang ahli UMNO, malah merupakan Ketua Wanita Perkasa yang pertama. Mereka melihat kepimpinan DAP dibawah Dinasti Lim sebagai cakap tak serupa bikin, disatu sudut menghentam dan mengutuk Perkasa sebagai sebuah pertubuhan rasis dan perkauman, tetapi diwaktu yang sama meletakkan anak pimpinan Perkasa sebagai calon!

4. Mereka juga melihat Dyana sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai kerana Dyana Sofya adalah seorang berbangsa Melayu beragama Islam tetapi menentang hukum agamanya sendiri! Kalau agama dia pun dia berani tentang, apatah lagi kepentingan kaum Cina?

Semangat mendiang Karpal  masih tebal dalam DAP!
5. Begitu juga kredibiliti Dyana tercalar dikalangan masyarakat Cina kerana mereka melihat Dyana sebagai tidak tahu mengenang budi. Setelah menikmati kehidupan dan kejayaan hasil pengorbanan dan sumbangan institusi Melayu seperti UiTM, Dyana sanggup memperlekeh tempat cari makan sendiri. Ini satu pantang besar  kaum Cina yang telah dilanggar oleh Dyana.

6. Bagi ahli akar umbi dan kepimpinan DAP yang lain terutama di Teluk Intan, mereka melihat pemilihan Dyana, seorang bukan anak tempatan yang baru seputik jagung didalam DAP tetapi mendapat tempat hanya kerana menjadi pegawai khas Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah. Sedangkan lebih ramai lagi ahli yang berkelayakan dan telah lama berjuang didalam DAP diketepikan;

7. Bagi kaum India pula, mereka tidak nampak calon DAP ini berminat untuk membantu mereka. Kenyataan Dyana mencadangkan sebuah IPTA untuk kaum Cina dibina seperti UiTM langsung tidak membantu kerana dilihat terlalu memperjuangkan nasib kaum Cina, sedangkan nasib kaum India juga perlukan pembelaan!

Kesemua faktor ini menyumbang kepada kekalahan mengejut DAP di kubu kuat mereka!

Malahan kalau dilihat dari segi undi, DAP hanya mendapat 19,919 undi sedangkan dalam PRU-13 (Mei 2013), mereka mendapat 27,399 undi. Maknanya DAP kehilangan 7,480 undi dalam tempoh setahun!

Dan kebetulan jumlah pengundi yang tidak turun mengundi dalam PRK ini ialah 7,409 berbanding PRU-13!

Jumlah kehilangan undi dan pengundi tidak turun yang hampir sama ini memberi gambaran bahawa terdapat undi protes secara pukal (enbloc protest voting) terhadap calon DAP!

Sebab itu dakwaan Gobind Singh Deo bahawa hudud PAS punca kekalahan mereka adalah tidak berasas.

Apatah lagi kepimpinan dan jentera PAS sendiri termasuk Presiden Datuk Seri Hadi Awang turun membantu sepenuhnya Dyana Sofya walaupun mereka tahu Dyana akan menentang RUU Hudud PAS bila dibentangkan di Parlimen nanti.

Walaupun dilihat seperti satu tindakan bodoh dan mempunyai ciri-ciri 'bahalul siasi', namun kepimpinan PAS terus menerus mengenepikan prinsip perjuangan parti dan tuntutan agama mereka dengan membantu dan menyokong calon DAP yang secara terang-terang menentang hudud PAS!

Sehubungan dengan itu, PAS sewajarnya membuka mata dan jiwa mereka kepada hakikat bahawa DAP memang langsung tidak menghormati dan menghargai PAS. Walaupun PAS bertungkus lumus membantu dan menyokong Dyana Sofya sehingga terpaksa mengenepikan prinsip perjuangan parti dan tuntutan agama Islam, namun ianya umpama papatah habis madu sepah dibuang.

Kenyataan Gobind Singh Deo menyalahkan hudud PAS sebagai punca kekalahan Dyana di Teluk Intan sekadar membuktikan sikap cauvinistik, angkuh dan ego DAP memperlekeh dan memandang rendah kepada PAS!

Pada saya, kekalahan DAP di kubu kuat mereka walaupun berjaya mengemukakan calon Melayu yang menentang hukum agama dan institusi bangsanya sendiri adalah satu 'undi tidak percaya' kepada kepimpinan Dinasti Lim dalam DAP.

Sebab itu saya mencabar Kitsiang dan anaknya Guaneng mengambil tanggungjawab akan kekalahan ini dengan meletakkan semua jawatan dalam parti.

Itu sahaja 'kamikaze politik' yang bermaruah untuk Kitsiang dan anaknya Guaneng untuk menebus keaiban yang ditanggung oleh DAP kerana kehilangan kerusi kubu kuat mereka di Teluk Intan!

Diwaktu yang sama, BN juga tidak wajar meraikan kemenangan Datuk Mah Siew Keong sebagai tanda bukti konon pengundi Cina sudah kembali kepada BN.

Ini kerana Datuk Mah hanya mendapat tambahan undi sebanyak 71 sahaja. Dalam PRU-13, beliau tewas dengan memperolehi undi sebanyak 20,086, manakala dalam PRK ini beliau memperolehi 20,157 undi sahaja.

Ini hanyalah penambahan 71 undi.

Cuba perhatikan tabulasi undi perbandingan PRU-13 dan PRK dibawah ini:

PARTI
PRU-13
PRK 2014
PENAMBAHAN /
PENGURANGAN
BN
20,086
20,157
+ 71
DAP
27,399
19,919
- 7,480
MAJORITI
7,313 - DAP
238 - BN
- 7,075
UNDI ROSAK

543

PENGUNDI TURUN
47,485
40,619
- 7,409

Kita jangan lupa kerusi Parlimen Teluk Intan pernah dimenangi oleh Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti sebanyak 2,783 (PRU-10 1999) dan 10,041 (PRU-11 2004), sebelum tewas kepada calon DAP M.Manogaran yang mendapat majoriti sebanyak 1,470 (PRU-12 2008) dan 7,313 (PRU-13 2013).

Tanpa menafikan komitmen dan dedikasi Datuk Mah Siew Keong sebagai Presiden Gerakan dan pemimpin akar umbi yang hebat, namun pada saya Datuk Mah sangat bernasib baik dalam pertandingan di PRK Teluk Intan ini kerana Dinasti Lim telah tersilap memilih calon DAP bagi PRK ini.

Saya cukup yakin suasana akan jadi berbeza andai kata DAP meletakkan calon bukan Melayu didalam PRK ini.

Jadi sebarang kenyataan konon kemenangan di Teluk Intan satu bukti kembalinya pengundi Cina kepada BN dan satu kebangkitan bagi Parti Gerakan dan MCA adalah satu ilusi politik dan angan-angan yang tidak berasas sama sekali. Saya berharap kepimpinan BN terutamanya UMNO tidak terbuai-buai dialam mimpi dengan kemenangan ini.

Apa yang jelas bagi PRK Teluk Intan, orang Melayu membuktikan mereka tidak rela dan tidak redha diperkaldaikan oleh DAP. Ini satu mesej kepada UMNO bahawa orang Melayu masih mempunyai semangat nasionalisma dan keagamaan yang kuat – satu sikap yang sepatutnya diberi fokus oleh UMNO untuk memastikan kesinambungan talian hayat politik UMNO terus kukuh untuk menghadapi PRU-14.

Sekian terima kasih.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
08 Sya'ban 1435
06 Jun 2014

No comments: