02 October 2015

AL-AQSA MENANGIS DARAH!

Bersama Syeikh Yusuf Abu Sunainah - Imam Masjid Al-Aqsa As-Syarief, Baitula-Maqdis

AL-AQSA MENANGIS DARAH!!!*

Al-Aqsa
Bumi para anbiya
Kelahiran para syuhada
Tanah yang diberkati
Langit yang menjadi saksi
Mukjizat Rasul & Nabi

Al-Aqsa
Bumi mu berdarah
Peluru dimuntah
Umat dimamah
Tanah merekah merah
Di baham zionis haram jadah

Al-Aqsa
Bumi mu menangis darah,
Angkara zionis,
Anak-anak mu ditumis
Tanah mu berkudis
Umat mu habis di gilis

Mana saudara se-kiblat mu?
Mana jiran se-kitab mu?
Mana pembela se-aqidah mu?

Mana warisan ‘Umar Al Khattab?
Mana warisan Ali Abi Tolib?
Mana warisan Salahudin Al Ayyubi?
Mana warisan Muhammad Al-Fateh?
Dimana mereka…..Al-Aqsa
Dimana?

Aduhai Al-Aqsa
Kau bersendirian
Sekadar batu dan lastik
Sekadar doa dan semangat
Kau bangkit berjihad
Intifadah menjadi pengubat

Jiran mu yang semut berjuta
Saudara mu yang qorun-raya
Sekadar mampu menghantar doa
Diiringi baju selimut gebar
Hanya mampu mengutuk zionis
Sambil memuntah asap rokok Yahudis!

Aduhai Al-Aqsa
Kau jadi cermin umat masakini
Dayus, bacul menjubah diri
Ukhwah perpaduan diterajang ke-tepi
Angkara gila kuasa..gila kerusi
Terpukau perangkap
Barat Yahudi

Namun Al-Aqsa
Suatu hari bumi ini pasti meledak,
Langit terbelah
Gelombang umat yang marak
Berang lasykar  terbakar ke puncak
Bukan  sekadar menjadi penyalak
Sekadar muffler melilit tengkok

Umat kini sudah tidak gentar
Pada peluru zionis yang ketar
Kami mendengarmu Al-Aqsa
Dan kami tetap akur mendengar

Intifadah..intifadah..intifadah !!!

Kesetiap penjuru tak bertepi
Kami bukan sekadar pandir
Mengiya fitnah parasit hanyir
Penyujud na’am zionis kafir

Kerana kami lasykar Yang Maha Esa
Kerana kami sol-jah Maha Pencipta
Umat yang mengenal si-kitol derhaka
Antara parasit berserban lilit
Antara pak yangoat berjubah meleret

Nanti waris kami bersoaltanya
Di atas kuburan merah menyala

Mengapa Al-Aqsa di biar sendirian
Tanpa pembelaan
tanpa penentangan

Ramai umat bak buih dilautan
Sekadar ramai bertakbir sakan
Tapi berpecah tanpa sempadan
Mengejar kilauan kalkatu kerakusan
Yang batil yang palsu menjadi idaman

Namun intifadah itu mutlak
Akan menjadi keramat yang hak
Biar disekat biar dihambat
Parasit zionis kalkatus keparat

Kami bersama mu Al-Aqsa
Dan kami adalah lasykar
Kami adalah sol-jah
Bersama mu menegakkan

Intifadah..intifadah..intifadah..!!!

Biar dipagar tembok dan besi
Zionis yang makin menikus
Dikelilingi parasit yang rakus

Menentang arus hangat semangat jihad
Jiwa umat yang lama tersekat
Pasti bangkit menentang keparat

Mahkamah ALLAH menjadi penyukat
Menghakimi antara pejuang dan petualang
Antara lasykar dan parasit
Antara mujahid dan mujahat
Antara sol-jah dan penderhaka
Antara yang betul dengan si-kitol

Kami mendengar mu Al-Aqsa
Kami bersama mu Al-Aqsa

ALLAH hu akbar! ALLAH hu akbar! ALLAH hu akbar!

**************************************

ZULKIFLI BIN NOORDIN
 Kuala Lumpur
Jumaat
18 Zul-Hijjah 1436
02 Okt 2015


*Olahan semula sajak KAMI BERSAMA MU GAZA yang dideklamasikan pada di Malam Pop-Fest Selamatkan Gaza, UiTM Seksyen 7, Shah Alam pada hari Ahad 09 Safar 1434 bersamaan 23 Disember 2012.

06 June 2015

BANGSAKU KIAN ME-LAYU

Kekuatan Melayu pada agamanya
Tanpa Islam tiadalah Melayu
Apabila agama & Tuhan digadai bangsa
Hilanglah Melayu terus melayu


BANGSAKU KIAN ME-LAYU

Bangsaku Melayu
Sejarahnya tidak kaku
Budibahasanya nomor satu
Akhlaknya dicemburu
Tolak ansurnya tak pernah jemu

Dia perjuangkan kemerdekaan
Dia menjadi kerajaan kedaulatan
Dia beri imigran kewarganegaraan
Dia menjadi asykar pertahanan
Dia polis menjaga keamanan
Dia pegawai dasar kenegaraan
Dia kerani melaksanakan
Dia juga cikgu mencerdikkan

Tapi dia bergaduh bercakaran
Menikam merobek menelanjangkan
Amanah pusaka warisan diqorunkan
Bangsa sendiri menjadi sasaran

Kawan dijadikan lawan
Lawan dijadikan kawan
Bangsa lain diselimut bantalkan
Kaum lain disahabat-taulankan

Habis dijual agama & Tuhan

Memang Melayu tak hilang didunia
Tetapi Melayu akan hilang tanahairnya
harga diri & maruah bangsa

Hanya kerana gilakan kuasa

Melayu akan melayu
di Tanah Melayu
akhirnya!


Zulkifli Bin Noordin
Rabu
16 Sya'ban 1436
03 Jun 2015

24 March 2015

KECUT HUDUD?

Bang Non, kita dok bantah hudud, tapi awat Bang Non mintak Saiful dikenakan hudud qazaf? Ini namanya politik kong-kalikong, cakap tak serupa bikin Bang Non! Fenin Jah...fenin!


KENAPA KECUT HUDUD?

Kenapa
bila dengar saja hudud
kau jadi kecut?

Laa ila ha illallah

Hudud hukum Allah
Kenapa kau bantah?

Hudud Syurb untuk pemabuk
Kenapa kau sibuk?

Hudud Zina untuk penzina
Kenapa kau hina?

Hudud Qazaf untuk pemfitnah
Kenapa kau gundah?

Hudud Sariqah untuk pencuri
Kenapa kau irihati?

Hudud Hirabah untuk perompak
Kenapa kau gempak?

Hudud Bughah untuk penderhaka
Kenapa kau mengata?

Hudud Riddah untuk si murtad
Jangan sampai kau sesat!

Adakah kau pemabuk?
Adakah kau penzina?

Adakah kau pemfitnah?
Adakah kau pencuri?

Adakah kau perompak?
Adakah kau penderhaka?

Adakah kau si murtad?
 
Sudah lupakah kau
janji kepada Ilahi

Sesungguhnya
Solatku, Ibadahku
Hidupku, Matiku

Hanyalah untuk Allah!


Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Jamadil Akhir 1436
23 Mac 2015

12 March 2015

NURUL IZZAH - KEKEBALAN AHLI PARLIMEN!


alt
Kenyataan media selepas selesai membuat lapuran polis Dang Wangi Repot No. 006551/15 terhadap Nurul Izzah Anwar di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengahari tadi!
Salam 2 all.

Pada hari ini Khamis 21 Jamadil Awal 1436 bersamaan 12 Mac 2015, saya telah membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berkaitan ucapan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Binti Anwar didalam sidang Dewan Rakyat pada 10.03.2015.

Ucapan itu berkaitan dengan keputusan lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah pada 10.02.2015 menolak rayuan bapanya Anwar Bin Ibrahim dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Bin Azlan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun keatasnya. 

Butiran ucapan beliau itu ada dilampirkan dibawah ini.

Pada saya ucapan Nurul Izzah Binti Anwar ini bukan sahaja menghina Hakim-Hakim tersebut, malahan berbaur dengan unsur hasutan kerana akan menyebabkan rakyat dan orang awam membenci Hakim-Hakim tersebut dan institusi kehakiman negara.

Walaupun ramai beranggapan seseorang Ahli Parlimen itu kebal daripada sebarang tindakan perundangan, namun itu adalah persepsi yang salah.

Memang benar Perkara 63 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan memberikan imuniti kepada Ahli Parlimen untuk bebas bercakap apa sahaja didalam Dewan dan diberi kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang, namun Perkara 63 Fasal 4 memperuntukkan bahawa kekebalan itu tidak terpakai bagi sebarang kesalahan dibawah Akta Hasutan.

Ini disahkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan didalam kes Datuk Mark Koding -v- Pendakwaraya [1982] 2 MLJ 120 FC bilamana Datuk Mark Koding dikenakan tindakan pendakwaan menghasut dibawah Akta Hasutan walaupun ucapan beliau itu dibuat didalam sidang Dewan Rakyat!

Saya berharap pihak polis akan segera menjalankan siasatan dan jika didapati ada kes, saya mendesak Peguam Negara supaya segera mengambil tindakan pendakwaan terhadap Nurul Izzah Binti Anwar sebagai pengajaran kepada Ahli Parlimen bahawa mereka tidak boleh bercakap sesuka hati konon kerana mereka ada kekebalan undang-undang! 

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
21 Jamadil Awal 1436
12 Mac 2015

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
LAPURAN POLIS
Oleh ZULKIFLI BIN NOORDIN
Balai : Jalan Dang Wangi
Daerah : Dang Wangi
Kontinjen : Kuala Lumpur
No Repot : Dang Wangi/006551/15
Tarikh : 12.03.2015
Waktu : 14.14hrs
Pengadu : Zulkifli Bin Noordin

Pengadu Menyatakan:

Semasa saya berada di pejabat di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100 Kuala Lumpur semalam 11 Mac 2015, saya telah menerima satu link videoklip YouTube beralamat di https://youtu.be/RbSMNVMhD0. Setelah membukanya saya dapati ianya adalah satu petikan ucapan Nurul Izzah Binti Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai semasa menyampaikan ucapan dalam Bahas Titah DiRaja dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Mac 2015 yang telah membuat ucapan kononnya atas alasan membaca teks kenyataan bapanya Anwar Bin Ibrahim seperti berikut:

Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, Hakim-Hakim menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman. Mereka menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan”.

Mereka diberi peluang untuk menebus diri dengan bertindak membetulkan kesilapan badan kehakiman yang lampau, mengembalikan kemuliaan dan mengukir nama baik sebagai pembela sebenar keadilan. Sebaliknya mereka memilih untuk kekal dalam kegelapan”.

Dan selepas beliau ditegur Tuan YDP Dewan mengenai Peraturan 36 (8) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Nurul Izzah Binti Anwar menyambung:

“Saya hargai, kerana itu saya akan menunggu, apabila Ahli Parlimen Padang Serai membawa usul untuk membahaskan perilaku jahat Hakim-Hakim dalam Mahkamah Persekutuan yang saya harap akan diluluskan oleh pihak Yang DiPertua”.

Saya percaya Nurul Izzah Binti Anwar membuat kenyataan ini dalam konteks mempertikai penghakiman lima (5) orang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah pada 10.02.2015 menolak rayuan bapanya Anwar Ibrahim dan mensabitkan beliau dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan mengekalkan hukuman penjara selama 5 lima (5) tahun.

Saya sesungguhnya percaya kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar ini bukan sahaja menghina dan mencera Yang Arif Hakim-Hakim tersebut dan merupakan suatu kenyataan yang “highly contemptuous”, malah ianya berbaur hasutan kerana boleh membawa kepada rakyat dan orang ramai mempertikai dan memandang hina, dan mencurigai integriti, kewibawaan dan kredibiliti Hakim-Hakim Mahkamah tersebut kerana dituduh sebagai:

1. tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik;
2. menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman;
3. menjual diri mereka kepada syaitan;
4. memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan;
5. memilih untuk kekal dalam kegelapan;
6. usul perilaku jahat Hakim-Hakim dalam Mahkamah Persekutuan.

Saya percaya kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar itu tidak dilindungi oleh kekebalan sesorang Ahli Parlimen seperti diperuntukkan dibawah Perkara 63 Fasal (2) Perlembagaan berdasarkan Perkara 63 Fasal (4) Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa kekebalan seseorang Ahli Parlimen dibawah “Fasal (2) tidak terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan dibawah Akta Hasutan 1948”; dan ini disahkan oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes Datuk Mark Koding v. Pendakwaraya [1982] 2 MLJ 120 FC.

Saya dengan ini memohon pihak Polis untuk menjalankan siasatan terhadap Nurul Izzah Binti Anwar dan memohon pihak Pendakwa Raya mengambil tindakan pendakwaan sekiranya didapati ucapan Nurul Izzah Binti Anwar ini sememangnya melanggar mana-mana peruntukkan dibawah Akta Hasutan 1948.

Saya sesungguhnya membuat lapuran ini untuk memastikan integriti dan kewibawaan badan kehakiman dan Hakim-Hakim Mahkamah terpelihara dan terbela.

Sekian lapuran saya.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
21 Jamadil Awal 1436 / 12 Mac 2015

27 February 2015

YB BANDUAN?


Tabik spring kat hang Jah! Hang hebat, Bang Non yang disabit meliwat Saiful, hang pulak yang mohon keampunan! Mana Jam Omega Jah ooiii?

Salam 2 all.

Saya agak pelik kenapa beberapa pemimpin Kerajaan kelihatan terlalu apologetik dan melatah dengan begitu cepat apabila ada suara sumbang mendesak Anwar dibenarkan hadir sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 09 Mac ini.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan daripada termasuk daripada Timbalan Menteri KDN yang berjanji 'akan mempertimbangkan sebarang permohonan' sehingga kepada Menteri KDN sendiri dengan kenyataan 'akan merujuk kepada Peguam Negara'.

Jelas jawapan yang tidak seragam ini membuktikan tahap melatah yang kronik.

Pada saya desakan sumbang ini wajib ditong-sampahkan sahaja! Tanpa perlu dipertimbangkan langsung!

Adakah wajar seorang banduan dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat?

Habis lepas ini CEO syarikat akan minta hadir mesyuarat Lembaga Pengarah, pengerusi PIBG akan minta hadir mesyuarat PIBG, presiden kelab bola akan minta hadir final bolasepak kelabnya...dan lagi...dan lagi...dan lagi!!!

Jadi bahan lawak senario lah kita! Mr Bean pun mungkin menangis tengok sarkis ini!


HILANG KELAYAKAN & HAK HADIR SIDANG DUA PERKARA BERBEZA!

Desakan sumbang ini dibuat atas dasar konon proses rayuan pengampunan keatas Anwar yang disabit dengan kesalahan meliwat dan dihukum 5 tahun penjara sudah bermula dengan penyerahan petisyen oleh isteri & anak-anak Anwar kepada wakil Istana Negara liwat petang Isnin 24 Feb.

Sejurus selepas media pro pembangkang memainkan isu ini, kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Tan Sri Speaker Dewan Rakyat memaklumkan kedudukan kerusi Permatang Pauh kekal sehingga keputusan petisyen pengampunan itu diputuskan.

Atas dasar itu, timbul suara-suara sumbang dikalangan pembangkang mendesak Anwar dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat konon kerana statusnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang masih kekal.

Untuk menjawab desakan bodoh ini, saya berikan satu perumpamaan.

Katalah seorang Presiden sebuah syarikat konglomerat disabit dengan kesalahan merogol setiausahanya dan dihukum 5 tahun penjara. Dan Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen itu. Lalu dia memfailkan petisyen rayuan pengampunan.

Namun sementara itu, mungkin kerana kehebatannya, pihak syarikat konglomerat itu masih mengekalkan beliau sebagai Presiden dan beliau dianggap masih sebagai Presiden syarikat!

Adakah pihak syarikat boleh memohon kepada pihak penjara supaya membenarkan dia keluar daripada tahanan dan menghantar dia bekerja dan menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah atas alasan proses rayuan pengampunan sedang berjalan; jadi sebagai Presiden syarikat dia berhak terus pergi ke pejabat tiap hari dan hadir mesyuarat Lembaga Pengarah sehingga proses pengampunan itu selesai?

Budak Tadika pun tahu jawapannya tidak boleh!


STATUS BANDUAN KEKAL

Kenapa? Kerana statusnya sebagai BANDUAN tetap kekal walaupun sedang menanti proses rayuan pengampunan.

Proses pendakwaan, perundangan dan kehakiman telah selesai dan muktamad apabila Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 MENSABITKAN Anwar dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan dan dijatuhkan HUKUMAN penjara 5 tahun berkuatkuasa serta merta.

Berkuatkuasa mulai 10.02.2015, status Anwar ialah seorang BANDUAN yang telah DISABIT dengan kesalahan jenayah dan DIHUKUM dengan penjara 5 tahun. Tempat dia menjalani hukuman mulai 10.02.2015 ialah di Penjara Sg. Buloh!

Walaupun proses pengampunan dikatakan sudah bermula pada 24.02.2015 lalu, ini tidak membatalkan statusnya sebagai BANDUAN. Dan memandangkan dia belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana proses pengampunan itu, dia adalah YB BANDUAN!!!


PERKARA 48 HANYA MENYENTUH SOAL HILANG KELAYAKAN AHLI PARLIMEN

Perkara 48 (1) (e) bercakap tentang keadaan dimana seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen - bukan tentang hak kehadiran sidang Dewan sebagai Ahli Parlimen!

Antaranya, Perkara 48 (1) (e) memperuntukkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen jika dia telah

a. "disabit" dengan suatu kesalahan oleh sesuatu Mahkamah; dan

b. "dihukum" penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang RM2,000-00; dan

c. ia tidak mendapat ampun.

Dalam kes Anwar, dia telah:

a. Disabit dengan suatu kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhari dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan; dan

b. Dihukum penjara 5 tahun.

Jadi Anwar memenuhi 2 syarat untuk hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Namun isterinya Wan Azizah dikatakan telah memfailkan petisyen untuk pengampunan. Oleh itu syarat ketiga belum dipenuhi.

Apa maksudnya? Maksudnya Anwar kekal dengan status sebagai Ahli Parlimen! Kerusi P-044 Permatang Pauh tidak boleh diisytiharkan kosong! SPR tidak boleh mengadakan suatu Pilihanraya Kecil untuk kerusi Permatang Pauh!

Itu sahaja kesan pemfailan petisyen bagi pengampunan dibawah Perkara 48 (1) (c)!


KEAMPUNAN HANYA PADA HUKUMAN BUKAN SABITAN KESALAHAN

Jadi kita pergi ke syarat ketiga, "ia tidak mendapat ampun".

Apa maksud "mendapat ampun"?

Untuk mengetahuinya, kita kena baca Perkara 42 Perlembagaan.

Dibawah Perkara 42, "YDP Agong adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan segala HUKUMAN mengenai segala kesalahan yang dilakukan...".

Ini bermakna kuasa dan bidangkuasa Tuanku YDP Agong untuk "memberi ampun" hanyalah berkaitan HUKUMAN bukan SABITAN KESALAHAN!

Ini kerana kuasa dan bidangkuasa mensabitkan seseorang dengan sesuatu kesalahan jenayah adalah dibawah MAHKAMAH yang disebut di Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan.

Maknanya, apa juga status rayuan pengampunan Anwar, kedudukan beliau sebagai seorang yang telah DISABITKAN DENGAN SUATU KESALAHAN JENAYAH MELIWAT kekal, dan ini tiada kena mengena dengan proses rayuan.

Bermakna dalam apa keadaan pun, Anwar kekal SEORANG BANDUAN YANG TELAH DISABIT DENGAN SUATU KESALAHAN MELIWAT!


HAK BANDUAN ADALAH DIBAWAH UNDANG-UNDANG PEMENJARAAN

Dan sebagai Banduan, undang-undang yang tertakluk keatas Anwar ialah Akta Penjara dan segala peraturan yang dibuat dibawahnya.

Dan dibawah undang-undang penjara, seseorang Banduan hendaklah terus dikekalkan didalam tahanan penjara menjalani hukumannya melainkan dalam keadaan terhad dia boleh dibawa keluar dengan kawalan ketat dan tanpa dibebaskan, antaranya:

1. Jika dia perlu dibawa ke Hospital untuk menjalani rawatan yang tidak boleh disediakan oleh Penjara;

2. Menghadiri perbicaraan Mahkamah setelah Mahkamah yang berbidangkuasa mengeluarkan sapina kehadiran;

3. Lain-lain keadaan yang dibenarkan dibawah undang-undang Penjara.

Tapi ini tidak termasuk menghadiri sidang Dewan Rakyat, menghadiri perkahwinan anak walaupun sebagai wali, menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat, apa lagi kalau sekadar nak keluar untuk menonton Final Piala Malaysia walaupun dia mungkin Presiden Kelab Bola Banduan!


HAK BANDUAN TIDAK TERMASUK MENGHADIRI SIDANG

Oleh itu, persoalan samada Anwar berhak hadir atau tidak dalam sidang Dewan Rakyat tidak sepatutnya timbul dan pihak Kementerian Dalam Negeri mahupun Parlimen sepatutnya tidak melayan pun desakan bodoh ini.

Apa yang terhak kepada Anwar selagi proses pengampunannya berjalan hanyalah hak menerima elaun wakil rakyat, dan hak kerusinya kekal dan tiada Piliharaya Kecil boleh diadakan.

Itu sahaja!

Saya berharap penjelasan ini memberi gambaran jelas kedudukan isu sebenar.

Hakikatnya walaupun Tuanku YDP Agong mempunyai kuasa dan bidangkuasa memberi pengampunan kepada Anwar, ia hanyalah berkaitan soal HUKUMAN penjara 5 tahun itu sahaja. Itupun hanya kuasa meremit, mengurang atau menggantung HUKUMAN!

Namun Tuanku YDP Agong tiada kuasa dan bidangkuasa membatalkan SABITAN KESALAHAN MELIWAT dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan!

Bermakna Anwar kekal sebagai seorang BANDUAN yang telah DISABIT DENGAN SUATU KESALAHAN JENAYAH meliwat pembantunya Saiful Bukhari di bawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan!

Dan sebagai seorang BANDUAN yang telah DISABIT DENGAN SUATU KESALAHAN JENAYAH, Anwar wajib kekal menjalani hukuman penjara sehinggalah keputusan rayuannya diputuskan oleh Tuanku YDP Agong, dan dia hendaklah tetap dilayan sebagai seorang BANDUAN yang tertakluk kepada undang-undang penjara!

Wallahua'lam & wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
08 Jamadil Awal 1436
27 Feb 2015

25 February 2015

AMPUUUN PAK! AMPUUUN!

Awat hang pi fail rayuan pengampunan untuk aku Jah? Hang caya aku meliwat ke Jah? Eleh...Jah risau Bang Non kena gigit nyamuk di Sg Buloh tu...entah-entah Najib & Rosmah hantar nyamuk aids...eh...nyamuk aedes kedalam Sg Buloh tu Bang Non...fenin Jah aih!
Salam 2 all.

Saya agak kaget dan pelik dengan penyerahan permohonan rayuan pengampunan keatas Banduan bernama Anwar Ibrahim oleh isterinya Wan Azizah semalam di Istana Negara! Siap bawak anak cucu sekali! Dah macam drama minggu ini pulak dah!
 
Kaget dan pelik kerana Wan Azizah sendiri tidak membantu Anwar dalam perbicaraan di Mahkamah; Wan Azizah tidak dipanggil memberi keterangan sebagai saksi alibi didalam perbicaraan bagi Banduan tersebut semasa di Mahkamah Tinggi walaupun namanya ada dalam senarai saksi untuk Banduan. Kalau di Mahkamah pun dia tidak dipanggil membantu Banduan, mengapa kini dia pula yang sibuk mohon pengampunan bagi Banduan?

Persoalan yang berlegar dalam fikiran rakyat dan ramai penyokong pembangkang ialah adakah Wan Azizah menerima dan mengakui sabitan kesalahan meliwat keatas Banduan sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10.02.2015 lepas?

Ini kerana elemen dan syarat bagi sesuatu permohonan rayuan pengampunan ialah mengakui kesalahan, menyesal atas kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi!

Adakah Wan Azizah cuba memberi mesej bahawa dia mengakui sabitan kesalahan Banduan, menyesal dengan kesalahan meliwat yang Banduan lakukan terhadap pembantunya Saiful Bukhari, dan memberi akujanji bahawa Banduan tidak akan lagi meliwat dimasa akan datang?

Eloklah Wan Azizah memberi penjelasan tentang niat sebenar dia memfailkan rayuan pengampunan tersebut.

Persoalan kedua yang berlegar di fikiran rakyat dan ramai penyokong pembangkang ialah kenapa Banduan sendiri tidak membuat permohonan rayuan untuk pengampunan? Mengapa isterinya pulak yang membuat rayuan tersebut? Adakah Banduan cuba menyembunyikan sesuatu?

Apa pun bagi saya, permohonan Wan Azizah ini wajib ditolak atas alasan:

1. Permohonan pengampunan keatas Banduan bernama Anwar Ibrahim oleh isterinya Wan Azizah wajib ditolak kerana ianya dibuat tanpa persetujuan, kebenaran dan/ atau pengetahun Banduan sendiri. Banduan sendiri tidak pernah membuat kenyataan samada melalui dirinya sendiri mahupun peguamnya yang beliau mengizinkan atau membenarkan sebarang permohonan rayuan pengampunan dibuat bagi pihaknya. Selagi tidak ada pengesahan daripada Banduan, maka Tuanku YDP Agong hendaklah menganggap tiada permohonan "rayuan pengampunan" dibuat oleh Banduan untuk dipertimbangkan dibawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

Malahan Banduan agak konsisten dengan pendirian tidak mahu membuat permohonan rayuan pengampunan! Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan beberapa pimpinan pembangkang daripada parti Banduan sendiri!

Adakah Wan Azizah membuat permohonan ini tanpa pengetahuan atau persetujuan Banduan? Kalau benar Wan Azizah membuat permohonan rayuan pengampunan ini tanpa pengetahuan atau persetujuan Banduan, ini adalah satu penghinaan terhadap pendirian Banduan tersebut!

2. Asas kepada sebarang permohonan pengampunan ialah pengakuan salah kepada kesalahan yang disabit, penyesalan atas perlakuan kesalahan itu dan akujanji tidak akan mengulanginya lagi;

3. Jika sekiranya ketiga-tiga elemen dan syarat permohonan rayuan pengampunan ini tidak ada dalam permohonan Wan Azizah maka ianya wajib ditolak;

4. Sebaliknya kalau kita mengikuti kenyataan pimpinan parti Banduan, Wan Azizah mengemukakan rayuan pengampunan itu atas dakwaan "sistem kehakiman yang tidak telus". Jika ini benar, bermakna Wan Azizah cuba mempermainkan institusi pengampunan DiRaja. Ini satu penghinaan keatas institusi pengampunan dan wajib ditolak dan dikenakan tindakan sewajarnya!

6. Permohonan ini juga pada saya adalah suatu penghinaan kepada institusi kehakiman yang dilantik dan bernaung dibawah Tuanku YDP Agong kerana menjadikan alasan "kehakiman tidak telus" sebagai alasan permohonan pengampunan, sekaligus meletakkan Tuanku YDP Agong dalam keadaan perlu menimbang dan mungkin juga terpaksa mempertikaikan penghakiman dan keputusan yang sudah pun dibuat oleh Mahkamah Persekutuan jika bersetuju dengan desakan mereka untuk memberi pengampunan kepada Banduan;

7. Kebiasaannya hanya mereka yang dijatuhkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat yang akan memohon pengampunan bagi tujuan pengurangan hukuman. Bagi seorang yang disabitkan kesalahan meliwat dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun adalah sesuatu yang agak "luar biasa" untuk memohon pengampunan atas hukuman, apatah lagi bagi Banduan ini yg selalu melalak dengan slogan "Lawan Tetap Lawan".
 
Persoalannya selepas ini adakah semua banduan perogol, peliwat, perompak, penyamun dan lain-lain akan dan boleh membuat permohonan yang sama?

Atau adakah Wan Azizah dan keluarga Banduan membuat permohonan pengampunan kerana Banduan dikatakan tidak mampu melawan nyamuk-nyamuk yang didakwa menganggu Banduan didalam penjara seperti yang diadukan oleh isterinya Wan Azizah?
 
Atau yang lebih serius, adakah Wan Azizah membuat permohonan ini untuk memastikan kelayakan Banduan sebagai Ahli Parlimen tidak terbatal menurut Artikel 48 (1) (c), sekaligus status Banduan sebagai Ketua Pembangkang kekal; dan ini sekali gus akan menghalang Azmin untuk dilantik menjadi Ketua Pembangkang menggantikan Banduan.
 
Kita sedar Wan Azizah kempunan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor; dan kini hanya menjadi ADUN biasa sahaja di DUN Selangor. Dan Bos dia adalah Azmin Ali sebagai MB Selangor. Sekarang Azmin pulak nak naik jadi Ketua Pembangkang? No way man!!!

Perlu diingat sesi sidang Parlimen akan bermula pada 09 Mac dan jika sah kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen terbatal, maka kerusi Ketua Pembangkang juga akan ada kekosongan.

Orang yang dilihat layak untuk menggantikan tempat Ketua Pembangkang ialah Azmin Ali setelah Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan tidak berminat dengan jawatan itu. Azmin Ali dilihat sebagai calon paling layak bukan sahaja kerana dia Ahli Parlimen Gombak, dia juga adalah Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR!
 
Jadi, adakah rayuan pengampunan Banduan ini satu usaha Wan Azizah untuk menghalang Azmin Ali daripada menjadi Ketua Pembangkang? Kita tunggu dan lihat drama selanjutnya!

Sebenarnya pada saya, adalah lebih baik dan afdhal bagi Banduan memohon keampunan daripada Allah setelah dia memohon maaf secara terbuka & peribadi kepada Saiful Bukhari Azlan! Kesalahan yang dilakukan ialah meliwat yang jelas bercanggah dengan hukum Allah, dan Saiful adalah mangsanya.
 
Nasihat saya kepada Banduan, mohonlah keampunan kepada Allah dan mohonlah kemaafan kepada Saiful, dan terimalah hukuman yang dijatuhkan Mahkamah sebagai ruang dan peluang untuk beristighfar dan bertaubat sebanyak mungkin sebelum malaikat maut menjemput!
 
Wallahua'lam & Wassalam.

Adioa amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
06 Jamadil Awal 1436
25 Feb 2015