Showing posts with label Azizah. Show all posts
Showing posts with label Azizah. Show all posts

28 September 2014

SANDIWARA - 2A?

Batteri 3A hidup lagi yop?
Salam 2 all.

Saya perturunkan dibawah link tulisan bernas saudara Datuk Zaini Hassan dalam kolum Cuit-Cuit Utusan Malaysia pada hari Rabu 24 Sept lepas. Terpulanglah kepada saudara semua untuk menilai analisa beliau mengenai kemelut MB Selangor.

Cuma saya agak kaget melihat adengan pada hari Isnin 23 Sept lepas!

Dalam tempoh tak sampai 6 jam Istana Selangor mengumumkan nama ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR termasuk Azizah membuat u-turn menerima pencalonan tersebut!

Tak sampai pun suku hari, kita melihat adengan yang boleh menyebabkan ada orang  boleh jadi tiga-suku!

Azmin menerima pencalonan sebagai MB dalam keadaan Saifudin Nasution, SUA PKR menegaskan bahawa PKR masih mencalonkan Azizah sebagai MB. Malahan dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Sivarasa menegaskan bahawa mereka tetap mempertahankan pendirian menamakan Azizah sebagai calon!

Jangan lupa Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat atas alasan tidak akur kepada keputusan parti menamakan Azizah sebagai calon tunggal sebagai MB.

Jadi apa yang menyebabkan pencalonan Azmin Ali, yang telah tandatangan Akuan Sumpah terima Azizah sebagai MB, tiba-tiba diterima oleh PKR sebagai calon MB sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dalam keadaan yang sama senarionya; kedua-duanya tidak akur kepada kepada arahan parti menamakan Azizah sebagai calon?

Sebab itu kupasan saudara Datuk Zaini Hassan sangat menarik dan relevan - tambahan lagi jika kita mahu meneroka lebih lanjut kepada senario yang bakal terjadi di negeri Selangor dan Malaysia terutama dalam menghadapi kes rayuan Anwar meliwat Saiful di Mahkamah Persekutuan pada 28 Okt ini; dan dalam menghadapi PRU-14!

Jika analisa Datuk Zaini ini tepat, adakah kita semua, sudah terpedaya dan tertipu dengan sandiwara politik 2A ini?

Kalau kita tersilap congak, jangan terkejut Anwar sendiri dimahkotakan di Putrajaya selepas PRU-14. Kalau Langkah 2A boleh berjaya, takat Langkah 1A dah jadi kacang putih - cut & paste je yop.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
04 Zul-Hijjah 1435
28 Sept 2014




@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Misteri MB Azmin: Langkah 2A, kisah 2 Tan Sri dan RM3.2b

Oleh Zaini Hassan

RAMAI yang terkejut Langkah Kajang berakhir dengan Azmin dan bukannya Azizah sebagai MB Selangor.

Bagi sesiapa yang mengetahui 'keakraban' Anwar-Azmin memang daripada awal menjangkakan sebenarnya Langkah-2A adalah untuk Azmin.

Begitu kelicikan politik Anwar-Azmin yang langsung tidak dihidu oleh sesiapa kecuali mereka yang kenal benar dengan 2A ini.

Anwar sanggup 'mengatur' perang dengan Pas dan Istana, sementara membisukan Azizah dengan strategi licik.

Anwar tahu jika dia terus mengumumkan Azmin pengganti Khalid, Azizah akan membantah keras.

Kelicikan Anwar ialah dia tahu mana isu itu akan 'landing'.

Dia tahu Azizah tidak akan diterima sebagai MB sama ada oleh Istana mahupun Pas.

Jadi dia menunjukkan kesungguhan mengumumkan Azizah sebagai calon MB dengan pengetahuan bahawa ia akhirnya akan ditolak, sambil memberitahu Azmin supaya 'play cool'.

Sebab itu usaha dibuat supaya Pas yang menamakan Azmin bukan PKR. Dan Pas terperangkap dengan mainan itu apabila Hadi Awang sendiri yang mengusulkan nama Azmin.

Sebab itu kaum Anwarinas bertakbir sakan apabila Hadi yang usulkan nama Azmin dalam mesyuarat Pas Pusat.

Sekarang Azizah tak boleh merajuk sebab Anwar nampak sudah berusaha keras untuk menamakan dia sebagai MB.

DAP pula menarik nafas lega! Daripada bagi ustaz Pas jadi MB lebih baik Azmin.

Kelicikan Langkah Kajang ialah apabila mereka berjaya meyakinkan UMNO bahwa kalau bubar DUN pun UMNO tidak akan menang, malahan mungkin hilang banyak kerusi lagi.

Ini menyebabkan UMNO memberi isyarat bahawa ia tidak bersedia menghadapi PRN!

Dan piala terbesar Langkah 2A ini ialah apabila pimpinan tertinggi UMNO berjaya diyakinkan bahawa Azmin adalah calon terbaik untuk penyelesaian kemelut Selangor.

Penglibatan dua orang bergelar Tan Sri yang dikatakan mempunyai talian dengan Istana melobi keras untuk Azmin menjadi MB dikatakan pengunci Langkah 2A.

Kononnya, perjumpaan mereka dengan pimpinan tertinggi UMNO Khamis lepas membawa mesej bahawa Putrajaya tidak ada bantahan jika Azmin yang dilantik sebagai MB.

Jadi pihak Istana sudah tiada pilihan. Sebenarnya Istana sudah melakukan yang terbaik.

Maklumat sahih memberitahu Tuanku telah memberi tawaran kepada ADUN Pas untuk menerima lantikan sebagai MB.

Seorang kononnya berkata semasa diinterview: "Patik ada penyakit dan tak boleh menghadapi tekanan" dan seorang lagi memberi alasan "tak sanggup terima cabaran".

Bagi Tuanku sifirnya mudah. Perkara 53 memberi kuasa kepada Tuanku melantik MB daripada mereka yang pada pandangan Tuanku mendapat sokongan majoriti ADUN.

Pas mempunyai 15 ADUN. Dan dengan sokongan ADUN UMNO (12 orang) dicampur Bebas (Tan Sri Khalid) menjadikan 28 orang. PKR pula ada 13 dicampur DAP 15 juga menjadi 28.

Tetapi jika undi dibuat, gabungan PKR-DAP akan tinggal 27 kerana Hannah Yeoh sebagai Speaker tidak boleh mengundi.

Atas dasar itu, tawaran dikemukakan kepada ADUN Pas. Malangnya, mereka mahu mendapat mandat jelas daripada muktamar agung. Sebab itu tarikh pengumuman dibuat hanya selepas muktamar.

Malangnya Muktamar Agung Pas tidak memberi mandat yang jelas dan tegas untuk ADUN mereka menerima jawatan MB.

Walaupun ada cubaan daripada Dewan Ulama untuk usul itu dibahas dan diluluskan, namun perwakilan gagal memberikan mandat yang diperlukan.

Sebaliknya menyerahkan kepada Tuanku untuk memutuskannya, ditambah dengan kenyataan jawatan MB Selangor adalah hak PKR.

Sebab itu Tuanku tiada pilihan. Azizah tidak boleh diterima. Pas sendiri tidak tegas dan jelas. UMNO pula tidak bersedia.

Dan Putrajaya pula, kononnya atas usaha gigih dua Tan Sri itu, memberi mesej boleh menerima Azmin.

Maka Tuanku berakhir dengan kedudukan tiada pilihan melainkan terpaksa melantik juga Azmin sebagai MB.

Sebab itu saya tidak terkejut setelah berhempas pulas berbulan lamanya menamakan Azizah, setelah berperang dengan Istana dan Pas, setelah memecat Tan Sri Khalid kerana tidak akur arahan parti memberi laluan kepada Azizah, akhirnya dalam tempoh tak sampai 12 jam pengumuman oleh Istana menamakan Azmin, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat dipengerusikan Anwar membuat U-Turn menerima pelantikan Azmin.

Dan yang paling klasik, Azizah membuat kenyataan menarik balik pencalonan dirinya sebagai MB.

Begitu liciknya Langkah 2A!

Dan sekarang, sudah pasti Azmin akan melantik semula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Dan sudah pasti mereka akan memerah fikiran bagaimana wang simpanan tunai RM3.2 bilion yang dikumpul oleh Tan Sri Khalid mahu dibelanjakan.

Dan yang pastinya, 2A ini mempunyai matlamat yang jelas - Anwar tidak boleh masuk penjara, dan Anwar mesti jadi PM ke-7.

Yang akan termenung dan ternganga nanti ialah UMNO, Pas dan Azizah!

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140924/re_06/Misteri-MB-Azmin-Langkah-2A-kisah-2-Tan-Sri-dan-RM32b#ixzz3EDtyu92S
© Utusan Melayu (M) Bhd
 


16 August 2014

ANWAR-AZIZAH BUAT TAIK, PAS YANG KENA?

Anwar terang-terang melanggar ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS melarang kristian menyalah-guna kalimah Allah, tetapi langusng tiada tindakan tegas daripada PAS! Kini PAS pulak dipersalahkan atas kemelut jawatan MB Selangor yang Anwar-Azizah sendiri cetuskan - dema buat taik, PAS yang kena balun!!!
Salam 2 all.

Pelik bin ajaib! Anwar dan Wan Azizah buat taik, Datuk Seri Hadi Awang dan PAS yang kena!

Sekarang ini gambaran diberi dalam krisis MB Selangor seolah-olah Datuk Seri Hadi dan PAS yang jahat! Khianat pakatan! Tiada semangat setiakawan! Pecah amanah perjanjian persefahaman! Dan macam-macam lagi tohmahan dan fitnah dilemparkan kepada Datuk Seri Hadi dan PAS.

Helo...helo...siapa yang buat taik? Siapa yang khianat? Siapa yang tidak amanah? Siapa yang tiada semangat setiakawan?

Bukan Anwar-Azizah yang buat taik? Bukan Anwar-Azizah yang khianat? Bukan Anwar-Azizah yang tidak amanah? Bukan Anwar-Azizah yang tiada semangat setiakawan?

Tan Sri Khalid Ibrahim, sebelum menyertai PKR dan menyokong Anwar-Azizah adalah seorang tokoh korporat yang berjaya. Kehebatan beliau diakui bukan sahaja oleh Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa. Cuba dengar sendiri ucapan-ucapan Anwar, Azizah dan ramai pemimpin PKR semasa Pilihanraya Kecil Ijok dan PRU 12 dan PRU 13 - bergantang-gantang pujian mereka terhadap ketokohan Tan Sri Khalid.

Beliau arkitek pembangunan ekonomi dan kewangan Melayu semasa menerajui Permodalan Nasional Berhad. Dibawah kepimpinan beliau, ekonomi dan kedudukan kewangan Melayu melalui sekim-sekim PNB seperti ASB, ASN, dan banyak lagi tabung amanah berkembang hebat.

Semasa menerajui Kumpulan Guthrie, beliau berjaya membawa Guthrie daripada sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor perladangan kepada konglomerat pembangunan hartanah. Lihat sahaja pembangunan Bukit Jelutong Shah Alam. Berapa ramai anak Melayu berjaya memiliki hartanah bernilai tinggi hasil perancangan hebat Tan Sri Khalid.

Namun Tan Sri Khalid meninggalkan itu semua untuk memberi sokongan kepada Anwar-Azizah yang pada masa itu sudah tercungap-cungap. Atas semangat setiakawan dan persahabatan, Tan Sri Khalid bersama seorang lagi tokoh korporat Datuk Seri Zahrain Hashim (Pengerusi Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang masa itu) meninggalkan kemewahan dunia korporat dan bergelumang bersama Anwar-Azizah.

Pada masa itu, iaitu pasca PRU 11 - 2004, PKR dipukul teruk dalam PRU. Gelombang kebangkitan UMNO-BN dibawah pimpinan Tun Abdullah menyebabkan PKR hanya tinggal satu kerusi - Permatang Pauh. DAP juga bungkam dengan Karpal dan Kitsiang juga tinggal menggigit gusi dan gigi.

Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan menghadapi PRU 12 - 2008, Anwar-Azizah dan pembangkang perlukan suntikan baru. Kemasukan Tan Sri Khalid dan Datuk Seri Zahrain melonjakkan keyakinan rakyat bahawa ada harapan dengan pakatan pembangkang.

Maka PKR bersama PAS dan DAP menyertai PRU 12 - 2008 dengan menukar nama baru daripada Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat dengan membawa slogan Harapan Baru.

Dibawah kepimpinan Tan Sri Khalid di Selangor dan Datuk Seri Zahrain Hashim di Pulau Pinang, PKR bersama Pakatan Pembangkang berjaya dalam PRU 12 -2008 dengan menawan Selangor daqn Pulau Pinang dengan majoriti selesa walaupun tidak dua pertiga.

Tan Sri Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor dengan kepimpinan ala-korporat yang berjaya mebawa keyakinan rakyat Selangor khususnya dunia korporat bahawa ada harapan untuk maju di Selangor.

Kepimpinan Tan Sri Khalid telah berjaya mengemudi PKR dan pembangkang di Selangor sehinggakan dalam PRU 13 - 2013 pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS berjaya memenangi kembali Selangor dengan majoriti melebihi dua pertiga. Mereka memenangi 44 kerusi daripada 56, dengan BN hanya mendapat 12 kerusi melalui UMNO. Dan MCA, MIC serta Gerakan bungkus kosong di bumi Selangor.

Sekali lagi Tan Sri Khalid dilantik menjadi Menteri Besar bagi penggal kedua, sehingga ke PRU 14 yang akan diadakan paling lewat pada 2018.

Dibawah kepimpinan Tan Sri Khalid, Selangor berjaya meningkatkan simpanan rizab tunai melebihi RM3 billion yang diletakkan dibawah Perbadanan Menteri Besar (PMB-MBI). Dan bagi memastikan rizab tunai RM3 billion itu selamat, Tan Sri Khalid melantik pegawai khasnya Faekah Husin, seorang no-nonsense lady, dan adik kepada bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (Datuk Zaki Husin) sebagai Pengarah Urusan PMB-MBI.

Tetapi tidak sampai setahun memegang jawatan MB bagi penggal kedua sejak Mei 2013, pergolakan bermula. Para parasit mula mengimpikan jawatan MB Selangor, dan Tan Sri Khalid mula diserang. Awalnya beliau dimaki hamun secara tertutup, tetapi akhirnya beliau dimaki nista secara terbuka - bukan oleh UMNO, bukan oleh BN, tetapi oleh PKR dan kepimpinan mereka sendiri.

Serangan makin menjadi-jadi sejak Tan Sri Khalid menolak cadangan pembangunan pembinaan pusat penternakan babi di Sepang bernilai RM100 juta. DAP mendakwa Tan Sri Khalid sengaja melengah-lengahkan pembinaan pusat ternakan babi RM100 juta itu.

Keadaan menjadi makin serius bila pemimpin DAP mempersoalkan tindakan Exco dibawah pimpinan Tan Sri Khalid konon sengaja melengah-lengahkan pemberian geran RM2 juta kepada tiap sekolah aliran cina di Selangor.

Dan keputusan Tan Sri Khalid mematuhi titah Tuanku Sultan Selangor dengan enggan mengarahkan MAIS-JAIS memulangkan kembali 300 naskah bibel versi bahasa Melayu kepada Bible Society Malaysia merupakan fakta yang mematahkan tulang unta!

Paku terakhir keranda karier politik Tan Sri Khalid terjadi bila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun keatas Anwar kerana meliwat pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan pada 07.05.2014.

Untuk kesinambungan dan talian nyawa politik Anwar, maka dia tiada pilihan lain melainkan bini dia sendiri Azizah mesti menjadi MB Selangor. Penetapan tarikh bicara oleh Mahkamah Persekutuan pada 28-29 Oktober 2014 sekadar menjadi pelengkap bahawa Tan Sri Khalid mesti dipecat dan Azizah mesti menjadi MB - tiada tolehan ke belakang lagi bagi Anwar!

(Persoalan kenapa Anwar beriya-iya mahu Azizah menjadi MB Selangor akan dikupas dalam satu tajuk lain tidak lama lagi insyallah).

Paluan gendang perang dan peliwatan terhadap Tan Sri Khalid dimulakan oleh segala anjing-anjing salakan PKR. Kitab 50 Dalil mengapa Tan Sri Khalid wajib dipecat disebarkan. Tan Sri Khalid ditelanjangkan dan dilondehkan oleh parti sendiri!

Dalam keadaan itu, siapa sebenarnya yang khianat? Siapa sebenarnya yang tidak amanah? Siapa sebenarnya yang tiada semangat setiakawan?

Sebab itu tindakan Majlis Syura' Ulama PAS membuat ketetapan menolak cadangan Anwar mencalonkan bini dia Azizah sebagai MB adalah tepat dan benar.

Sebab itu pendirian Datuk Seri Hadi Awang menolak pencalonan Azizah dan menyokong pengekalan Tan Sri Khalid sebagai MB adalah tepat.

Sebab itu ketegasan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyokong pendirian Datuk Seri Hadi untuk menolak Azizah dan mengekalkan Tan Sri Khalid adalah tepat.

Sebab itu keputusan Badan Perhubungan PAS Selangor menyokong ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS adalah tepat.

Sebab itu keputusan empat Exco PAS menyokong Tan Sri Khalid dan kekal didalam pentadbiran beliau adalah tepat.

Sebab itu pendirian Datuk Ahmad Yakob, Datuk Nik Amar, Nasharudin Hasan Tantawi, Nik Abduh, dan ramai lagi pemimpin ulama PAS menolak pencalonan Azizah dan menyokong pengekalan Tan Sri Khalid adalah tepat.

Saya hairan bagaimana kumpulan Anwarinas dan para parasit boleh menyokong pemecatan Tan Sri Khalid dan menerima cadangan Anwar mencalonkan bini dia sebagai MB?

Kalau kita melihat isu pemecatan Nizar Jamaludin sebagai MB Perak dan pencalonan Zambry Kadir sebagai ganti, kumpulan Anwarinas dan para parasit mengambil sikap dan pendirian yang berbeza!

Mereka mempertikaikan pemecatan Nizar Jamaludin walaupun Zambry menerima sokongan majoriti ADUN Perak termasuk 3 anggota DUN PKR dan DAP. Kononnya tidak sah kerana lompatan 3 ADUN PKR-DAP itu mengkhianati prinsip demokrasi, konon Zambry melanggar asas demokrasi, konon Almarhum Tuanku Sultan Perak tidak sepatutnya menerima mengadap Zambry mempersembahkan nama kesemua ADUN Perak yang menyokong beliau menjadi MB.

Mereka hingga sanggup berguling atas jalan, menderhaka kepada Tuanku Sultan, memperlekeh institusi Di-Raja Perak; malah hingga sanggup membuat persidangan bawah pokok!

Sekarang mereka patut bertanya, adakah sah lompatan oleh dua ADUN PAS yang menyokong usaha Anwar-PKR memecat Tan Sri Khalid dan menerima Azizah menjadi MB?

Sedangkan lompatan ADUN PKR-DAP dalam krisis Perak mereka kata haram, sehingga sanggup buat solat hajat untuk melaknat mereka; bagaimana pula dengan lompatan dua ADUN PAS menyokong Azizah sehingga melanggar ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS dan pendirian PAS Selangor dan pendirian Presiden Datuk Seri Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz?

Jika mesyuarat AJK PAS PUSAT esok membuat keputusan menerima cadangan Anwar mencalonkan bini dia sebagai MB Selangor dan mengesahkan pemecatan terhadap Tan Sri Khalid, ini akan menjadi satu amalan precedent yang bukan sahaja sangat bercanggah dengan pendirian mereka dalam krisis Perak, malah lebih serius ianya memberi mesej yang salah kepada ahli akar umbi dalam perkara prinsip kepimpinan dan perjuangan PAS sendiri!

Seolah-olah lompat sokongan kepada Anwar-Azizah oleh ADUN mereka okay walaupun bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS!

Seolah-olah ketetapan Majlis Syura' Ulama' PAS, badan pembuat dasar tertinggi dalam PAS boleh disanggah dan dilanggar!

Seolah-olah pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, pemimpin tertinggi PAS boleh disanggah dan dilanggar!

Seolah-olah pendirian Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, pemimpin tertinggi badan eksekutif PAS boleh disanggah dan dilanggar!

Seolah-olah pendirian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, badan tertinggi PAS bagi peringkat negeri boleh disanggah dan dilanggar!

Seolah-olah bai'ah yang diikrarkan oleh semua calon pilihanraya dan kepimpinan PAS boleh disanggah dan dilanggar!

Pada saya, sekiranya Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat esok menerima cadangan Anwar mencalonkan bini dia sendiri Azizah sebagai MB dan mengesahkan pemecatan Tan Sri Khalid, ianya adalah secara efektifnya suatu undi tidak percaya kepada Majlis Syura' Ulama PAS, suatu undi tidak percaya kepada Mursyidul Am PAS, suatu undi tidak percaya kepada Presiden PAS, suatu undi tidak percaya kepada Badan Perhubungan PAS Selangor!

Sebab itu saya berdoa, dan menyeru Datuk Seri Hadi Awang supaya bertegas mempertahankan ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS, pendirian Mursyidul Am dan beliau sendiri sebagai Presiden, dan pendirian Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dan empat orang Exco PAS dalam Kerajaan Selangor.

Saya sedar ianya sesuatu yang sangat sukar bagi Datuk Seri Hadi Awang kerana Jawatankuasa PAS pusat dikuasai oleh kumpulan Anwarinas dan para parasit.

Malahan ada maklumat menyatakan ada puak dalaman dengan sokongan pihak luar PAS sedang berusaha supaya mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok bukan sahaja akan menolak ketetapan Majlis Syura' Ulama PAS dan menolak pendirian Mursyidul Am dan Presiden; malah mereka mahu Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan menerima cadangan Anwar mencalonkan bini dia Azizah sebagai MB dan mengesahkan pemecatan Tan Sri Khalid.

Malah lebih biadap dan kurang ajar, mereka mahu Jawatankuasa PAS Pusat memberi amaran dan kata dua kepada Datuk Seri Hadi Awang supaya toe the line, akur kepada kehendak mereka atau beliau sendiri menghadapi kemungkinan disingkir dan dipecat sebagai Presiden PAS, na'uzubillah.

Semoga Allah memberi Datuk Seri Hadi Awang dan kepimpinan ulama' PAS kekuatan iman, quwwah dan istiqomah dalam perjuangan yang penuh fitnah dan ranjau duri kedajjalan ini.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
20 Syawal 1435
16 Ogos 2014