Showing posts with label Aziz Bari. Show all posts
Showing posts with label Aziz Bari. Show all posts

08 October 2013

WASILAH PERJUANGAN

Ketegasan Tuanku dalam mempertahankan Islam dikagumi rakyat dan umat Islam
Salam 2 all.

Kes perbicaraan saman fitnah Aziz Bari terhadap saya dan Utusan Malaysia berkaitan isu titah Tuanku Sultan Selangor mengenai kes murtad di DUMC sepatutnya dibicarakan mulai Isnin 07 Okt sehingga Rabu 09 Okt. Saya dan para peguam saya saudara Hasnul Redzua Merican dan saudara Ruzaini Zulkifli sudah bersiap sedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.

Kes ini berkisar kepada satu kenyataan saya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 18.10.2011 mengenai titah Tuanku Sultan Selangor dalam isu berkaitan usaha pendakyahan dan pemurtadan oleh DUMC yang berlaku dalam bulan Ramadhan 1432 iaitu 03 Ogos 2011 yang di katakan sebagai Majlis Makan Malam 'Thanksgiving Dinner' di Dewan 3, Kompleks Dream Center, Seksyen 13, Petaling Jaya, atau lebih dikenali sebagai Damansara Utama Methodist Church.

Ringkasnya pihak JAIS telah mendapat aduan adanya beberapa orang Islam cuba didakyahkan dan dimurtadkan di premis tersebut pada hari itu, lalu telah pergi membuat siasatan dan pemeriksaan dan beberapa tindakan susulan telah dibuat.

Siasatan dan tindakan JAIS itu kemudian disensasikan oleh pembangkang sebagai 'pencerobohan keatas sebuah gereja', walaupun sebenarnya ianya bukan satu 'pencerobohan', hanyalah siasatan dan pemeriksaan oleh JAIS (yang kemudiannya didapati DUMC adalah sebuah gereja haram kerana tidak ada kelulusan PBT).

YB Datuk Dr. Hasan Ali, EXCO Selangor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam telah mempertahankan tindakan JAIS tersebut (Datuk Dr. Hasan Ali akhirnya dipecat daripada PAS dan sebagai EXCO Agama Islam Selangor).

Tuanku Sultan Selangor yang prihatin terhadap isu ini kemudiannya bertitah pada 10.10.2011 bahawa tindakan pihak JAIS adalah betul dan memang terdapat bukti usaha pendakyahan itu; cuma kekurangan keterangan untuk dibawa pendakwaan.

'Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta lapuran penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di Kompleks Dream Center, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Beta telah meneliti lapuran tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Selangor ini.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil. Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak.

Walaubagaimanapun, Beta menitahkan JAIS memberikan kaunselling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipulihkan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini".

Itulah antara lain petikan titah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor bertarikh 10.10.2011 yang dikeluarkan daripada Istana Mestika, Shah Alam (bagi yang berminat sila dapatkan teks penuh titah Tuanku Sultan Selangor dilaman sesawang JAIS).

Apa yang jelas daripada titah Tuanku Sultan Selangor ialah keyakinan Baginda berlakunya usaha dakyah dan memesongkan aqidah umat Islam oleh gereja terbabit; dan adanya umat Islam yang terlibat dan perlu diambil tindakan kaunselling sebagai susulan.

Sebuah portal pro-pembangkang MalaysiaKini pada 11.10.2011 kemudiannya menyiarkan kenyataan Aziz Bari yang antara lain dilapurkan seperti berikut (bagi yang berminat dengan teks penuh lapuran ini sila layari www.malaysiakini.com/news/178282):

"Pakar Perlembagaan Prof Dr. Abdul Aziz Bari berkata tindakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu yang lazim.

Menurutnya, sebagai Ketua Agama Islam dinegeri itu, Baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Lebih-lebih lagi, campurtangan Istana dalam Perlembagaan negara amat jarang sekali. Apa yang berlaku di Selangor hari ini bukan sesuatu yang lazim.

Sehubungan dengan itu, menurut Aziz yang telah menghasilkan tesis, buku dan artikel mengenai peranan monarki dalam Islam dan demokrasi, beliau sependapat dengan biskop katolik Paul Tan Chee bahawa jika tiada bukti, maka kes berkenaan perlu ditutup.

"Dibawah undang-undang atau sistem undang-undang mana-mana sekalipun, jika tiada bukti, kes ditutup. Tohmahan dan dakwaan lanjut dan sebagainya, mesti dielakkan, khususnya dinegara seperti Malaysia," katanya.

Menurut Aziz, walaupun Sultan Selangor dilihat melaksanakan kuasanya, namun tindakan Baginda dilihat tidak konsisten (dan beliau memberikan contoh kes SUK)".

Kenyataan Aziz yang disiarkan oleh portal pro-pembangkang MalaysiaKini ini telah mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, YB Senator Ezam Mohd. Nor, termasuk dibangkitkan dalam Dewan Rakyat yang kebetulan sedang bersidang; juga termasuk beberapa lapuran polis telah dibuat.

Dalam kekecohan isu tersebut, saya adalah antara mereka yang telah mengkritik Aziz Bari. Dalam satu kenyataan di lobi Parlimen yang kebetulan sedang bersidang waktu itu, saya ditanya tentang isu ini dan kenyataan saya telah disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 18.10.2011 seperti berikut:

"Kuala Lumpur - 17 Okt: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin hari ini menyahut cabaran Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk berdebat secara terbuka dalam isu Perlembagaan selepas pensyarah kontroversi itu mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Menurut Zulkifli, dia bersedia untuk berdebat di mana-mana sahaja yang boleh mendatangkan keselesaan kepada kepada Abdul Aziz, sama ada di hadapan pelajarnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau dihadapan ribuan penyokong pembangkang.

Bagaimanapun beliau menegaskan debat itu hanya akan menjadi kenyataan jika pensyarah undang-undang tersebut memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor terlebih dahulu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat biadap dan kurang ajar.

'Saya sedia sahut cabaran dia untuk berdebat dimana sahaja dia hendak. Cuma satu sahaja yang perlu beliau lakukan, minta maaf dengan Sultan Selangor dahulu sebab majoriti berpendapat kenyataan beliau mempertikai titah Tuanku sebagai kurang ajar dan biadap.

Malah saya sendiri masih dengan pendirian bahawa kenyataan Abdul Aziz itu bukan sahaja kurang ajar dan biadap tetapi bercanggah dengan kedudukan profesion dia sebagai seorang pensyarah. Justeru dia perlu letak jawatan,*' katanya di lobi Parlimen disini hari ini."

Aziz Bari kemudiannya mengambil tindakan menyaman saya dan Utusan atas lapuran tersebut. Saya telah pun memfailkan Pernyataan Pembelaan dan bersedia untuk perbicaraan atas keyakinan saya mengambil pendirian yang betul.

Namun sebelum perbicaraan bermula, kesemua peguam terlibat termasuk Hanipa Maidin mewakili Aziz Bari, K. Mohan yang mewakili Dato' Aziz Ishak dan Utusan Malaysia bersama peguam saya telah mengadakan perbincangan dan akhirnya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes tersebut dan kemudiannya kenyataan persetujuan dibaca didalam Mahkamah dihadapan Yang Arif Hakim Puan Yeoh Wee Siam dengan terma seperti berikut:

"Perkara ini telah secara persetujuan diselesaikan tanpa apa jua pengakuan liabiliti oleh Defendan-Defendan.

Defenden-Defendan bersetuju menarik balik perkataan-perkataan berikut yang telah dituturkan oleh Defendan Pertama dan telah diterbitkan semula oleh Defendan Ketiga pada 18.10.2011; 

Bahawa kenyataan Abdul Aziz itu bukan sahaja kurang ajar dan biadap tetapi bercanggah dengan kedudukan profesion dia sebagai seorang pensyarah. Justeru, dia perlu letak jawatan** ".

Ini bermakna kes tersebut dapat diselesaikan tanpa perlu kepada perbicaraan, tanpa perlu ada pengakuan liabiliti (atau mengaku bersalah) oleh mana-mana pihak, tanpa perlu permohonan maaf, dan juga tanpa sebarang bayaran gantirugi kepada mana-mana pihak. Alhamdulillah.

Saya mengambil pendirian bersetuju untuk menyelesaikan kes ini secara sulh kerana ianya bukan sahaja sunnah yang dianjurkan, malah tiada guna lagi untuk memanjangkan isu ini. Cuba bayang bukan sahaja kes ini akan berpanjangan jika dibicarakan, mana-mana pihak yang kalah akan membuat rayuan, mula-mula ke Mahkamah Rayuan kemudian ke Mahkamah Persekutuan yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun.

Lagipun Abdul Aziz Bari sudah tidak lagi menjadi Profesor dan mengajar di UIA, Datuk Dr. Hasan Ali pun dah kena pecat, PRU-13 pun dah selesai, dan saya pun sudah kembali meneruskan karier guaman sebagai peguam; dan saya mahu memberi fokus kepada beberapa isu yang sangat penting termasuk kes kalimah ALLAH, isu pendengaran hak asasi manusia Universal Periodic Review UNHCR keatas Malaysia yang dijadualkan di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober ini, dan banyak lagi isu yang menjadi kepentingan umat Islam samada di Malaysia mahupun diperingkat antarabangsa.

Apapun perjuangan saya untuk menentang gejala murtad, gerakan kristianisasi dan aktiviti penghinaan terhadap institusi Islam, Melayu dan Raja-Raja oleh mana-mana pihak tetap saya teruskan samada dibawah NGO seperti Pembela, Perkasa, mahupun dalam kedudukan saya sebagai seorang Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan seorang Peguam Syarie.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada para peguam saya saudara Hasnul Redzua Merican dan saudara Ruzaini Zulkifli yang telah berjaya mengendalikan kes ini dengan begitu baik. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YA Hakim Yeoh Hwee Siam yang telah memulakan inisiatif supaya kes ini diselesaikan secara baik. Pada saya Mahkamah-Mahkamah di Malaysia wajar mengambil pendekatan seperti YA Hakim Yeoh Hwee Siam, kerana ianya banyak menjimatkan masa Mahkamah dan dapat menyelesaikan sesuatu kes dalam keadaan menang-menang kepada semua pihak.

Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak itu adalah kelemahan saya sendiri. Semoga ALLAH memberikan kita semua petunjuk dan hidayah, serta memberikan kita kekuatan istiqomah dalam menghadapi zaman fitan yang penuh dugaan dan cubaan ini. Ameen.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Zulhijjah 1434
07 Okt 2013

* Nota: kenyataan ini sengaja dipadamkan kerana ianya telah ditarik balik berdasarkan persetujuan pihak-pihak dalam penyelesaian kes ini.
** Inilah bahagian kenyataan (yang diwarnakan merah) yang telah ditarik balik atas persetujuan kesemua pihak.

17 October 2011

DEBAT DIRAJA?

(Tidak mustahil akan tumboh gereja biaDAP saperti ini di Malaysia satu hari nanti)

Salam 2 all.

Aziz Bari mencabar teman untuk berdebat dalam isu berkaitan titah Tuanku Sultan Selangor menyentuh mengenai siasatan JAIS terhadap kegiatan dakyah oleh gereja DUMC. Teman langsung takde masalah nak berdebat dengan pensyarah kangkong ni yop, bagitau aja dimana, no problemo. Cuma sebelum berdebat, Aziz Bari wajib mintak maaf dengan Tuanku dahulu kerana kebiadapan dan sikap kurang ajar dia mempertikai titah Tuanku. Tu saja. Sebab? Sebab teman tak berminat nak berdebat dengan orang yang derhaka kepada Tuanku Sultan Selangor. Lepas aja Aziz Bari mintak maaf dengan Tuanku, anytime yop..anytime insyallah.

Isunya mudah aje. Adakah Tuanku Sultan Selangor tidak mempunyai kuasa dan bidangkuasa untuk mengeluarkan titah tersebut? Dan adakah titah Tuanku itu satu tindakan yang tiada asas perundangan? Itu aje yop..bukan susah mana, budak Tadika PASTI pun boleh jawab yop. Kalau lepas itu pun pensyarah yang dinobat sebagai pakar perlembagaan oleh media pro-Anwar dan pembangkang ni nak berdebat, persilakan!

Titah Tuanku jelas. Tindakan JAIS menyiasat gereja DUMC ada sandaran kepada perundangan negeri Selangor, dan mempunyai asas. Ini sekaligus menafikan tohmahan dan fitnah yang dikenakan oleh kaum kafir dan penyokongnya bahawa JAIS bertindak menyerbu satu majlis yang dianjurkan oleh gereja dalam upacara kegerejaan. Seolah-olah JAIS ini macam gerombolan teroris yang menggunakan kekerasan menganggu upacara agama orang lain. Itulah yang ditohmahkan terhadap JAIS. Jadi titah Tuanku jelas merungkai tohmahan dan fitnah busuk dan jahat tersebut! Dan mengembalikan kewibawaan dan nama baik JAIS dan para pegawainya!

Cuma pendakwaan tidak boleh dibawa. Macam mane nak bawa kalau ada mereka yang terlibat yang tidak mahu memberi kerjasama. Malah ada yang mengaku sudah murtad keluar daripada Islam. Adalah sesuatu kebodohan yang melampau jika seorang pendakwaraya masih nak membawa satu pendakwaan dalam keadaan tahu saksi tidak memberi kerjasama!

Teman membuat kenyataan mencabar Aziz Bari supaya meletakkan jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Undang-Undang UIA. Ini kerana pada pandangan teman, kenyataan Aziz Bari itu adalah biadap, kurang ajar dan melampau. Konon cerita dia dinobat oleh media pro-Anwar dan pembangkang sebagai pakar perlembagaan. Siapa yang tabalkan dia sebagai pakar teman tak tahu.

Sedangkan Perlembagaan Negeri Selangor jelas memperuntukkan kuasa dan bidangkuasa Tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor. Tak payah buat PhD, apatah lagi jadi professor. Budak Tadika PASTI kalau baca pun tahu Tuanku Sultan Selangor ada kuasa dan bidangkuasa dalam hal ehwal Islam dan institusi Islam dalam Negeri Selangor.

Kalau dah ada kuasa dan bidangkuasa, dan sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, sudah tentu menjadi hak dan tanggungjawab Tuanku untuk mempertahankan, membela, memartabatkan dan menjaga Islam dan institusinya. Apatah lagi dalam keadaan menghadapi serangan golongan kafir. Dan jelas daripada kenyataan Exco Hal Ehwal Islam Selangor, YB Datuk Hasan Ali bahawa memang ada bukti dan keterangan kegiatan dakyah oleh Gereja DUMC. Kalau itu pun tak faham, tak tau lah teman apa jenis pakar perlembagaan si Aziz Bari ni!

Sepatutnya kalau benar Aziz Bari pakar perlembagaan saperti yang dinobatkan oleh media pro-Anwar dan pembangkang, beliau sepatutnya tahu yang melanggar Perlembagaan dan undang-undang ialah gereja DUMC. Sepatutnya beliau menegur dan mengkritik tindakan biaDAP gereja tersebut, dan menasihatkan mereka jangan cuba bermain api melanggar undang-undang dan Perlembagaan, menyentuh sensitiviti dan urusan Islam. Ini beliau bertindak sebaliknya, mengkritik dan mempertikai titah Tuanku yang jelas dibuat menurut undang-undang dan Perlembagaan!

Selanjutnya, teman tengok Aziz Bari ni banyak melibatkan diri dalam soal politik kepartian. Satu sikap yang tidak sesuai langsung dengan statusnya sebagai pensyarah akademik sebuah universiti tersohor negara.

Contohnya, tengok bagaimana Aziz Bari mempertikaikan kedudukan Presiden PAS Haji Hadi sebelum Muktamar Agong PAS tahun ini. Beliau mendakwa Haji Hadi tidak layak menjadi Presiden, malah mendesak Haji Hadi supaya jangan terus memegang jawatan Presiden PAS. Antara alasannya, Haji Hadi penghalang kepada 16 September 2008, dimana kegagalan Anwar menjadi Perdana Menteri diletakkan atas bahu Haji Hadi. Sedangkan satu dunia tahu Anwar menipu dan berbohong mengenai 16 September 2008!

Pokok pangkalnya, apa kena mengena isu pemilihan PAS dengan statusnya sebagai pensyarah akademik dan undang-undang di UIA. Langsung tidak ada kena mengena. Dan kenyataan beliau jelas memperlekehkan Haji Hadi sebagai Presiden PAS. Pada teman, ini adalah satu sikap yang langsung tidak menggambarkan professionalisma dalam kerjanya sebagai ahli akademik. Sebab itu teman cabar Aziz Bari supaya letak jawatan. Jangan terus berselindung dibalik jubah UIA tetapi mengambil sikap partisan didalam politik kepartian.

Pada teman, tidak salah untuk Aziz Bari kalau nak memihak kepada mana-mana pihak dalam politik kepartian, tetapi beliau sepatutnya letak jawatan dahulu sebagai pensyarah UIA, kemudian ceburlah diri dalam politik kepartian. Nak jadi ahli DAP ke, PAS ke, PKR ke, atau nak mendokong Anwar Ibrahim ke itu hak dia. Kalau berasa nak sangat jadi wakil rakyat, mintak dengan Anwar untuk bertanding mana-mana kerusi dalam PRU 13 akan datang. Nak bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu pun takde masalah. Cuma jangan guna platform sebagai pensyarah UIA, apatah lagi dengan label pakar perlembagaan, untuk mempertikai dan mencampuri urusan pentadbiran atau kepartian mana-mana parti politik, apatah lagi Tuanku Sultan. Itu je yop!

Tetapi Aziz Bari terus dengan keangkuhan beliau. Enggan meminta maaf kepada Tuanku walaupun sikap beliau itu jelas biadap dan kurang ajar. Kalau ia pun nak menegur Tuanku Sultan, ada cara dan prosedurnya. Menegur umarak ini ada adab dan caranya, kalau betul sekalipun! Membuat kenyataan untuk disiarkan oleh sebuah portal pro-Anwar dan pembangkang mempertikaikan titah Tuanku Sultan adalah suatu perbuatan yang bukan sahaja biadap dan kurang ajar; malah ianya boleh membawa kepada penderhakaan jika tidak berhati-hati!

Bagaimanapun, kalau Aziz Bari masih berminat untuk berdebat, teman tidak ada masalah. Anytime. Cuma mintak maaf dengan Tuanku Sultan Selangor dulu. Kalau nak berdebat pun biarlah kita ni mengambil sikap dan akhlak yang bertamaddun dahulu. Teman tak berminat nak berdebat dengan orang yang sudahlah biadap dan kurang ajar, kemudian angkuh tidak mahu meminta maaf kepada Tuanku Sultan yang menjalankan peranan dan tugas yang menjadi tanggungjawab Baginda menurut Perlembagaan.

Dulu teman ingat lagi, bila timbul isu Islam, terutama murtad, bila Raja-Raja Melayu dikatakan tidak bersuara, ada segelintir pak yangoat yang hentak meja marah konon Raja-Raja Melayu tidak mempertahankan Islam. Bila Tuanku bersuara, dah dituduh mencampuri isu politik, dan mengambil sikap memihak. Dipertikai peranan Tuanku dengan dakwaan konon melakukan sesuatu yang bukan kelaziman!

Ini bukan soal kelaziman. Ini soal hak dan tanggungjawab Tuanku sebagai Ketua Agama Islam. Ini hak yang diberi oleh Perlembagaan. Ini sesuatu yang sudah terlalu jelas. Kalau itu pun satu orang yang dinobat oleh media pro-pembangkang sebagai pakar perlembagaan tak tahu, teman rasa dunia akademik kita ada satu masalah besar yop!

So Aziz Bari, the ball is in your hand. You throw the ball, now rakyat want to see whether you have the ball to apologise to Tuanku Sultan. And then ,rakyat can see whether you have the ball to debate with me on this issue anytime, insyallah!

Adios amigos, grasias senor.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
19 ZulQaedah 1432
17 Okt 2011

#Kelihatan kaum kafir kini makin melampau dan biaDAP. Ini contoh satu banner mempromosi pesta arak "OctoBEER Fest" di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan!

12 October 2011

KebiaDAPan MELAMPAU!

Salam 2 all.

Teman mengutuk keras kenyataan Aziz Bari yang disiarkan oleh media-portal pro-pembangkang Malaysiakini semalam yang mempertikaikan titah yang dikeluarkan oleh Tuanku Sultan Selangor dalam menangani isu siasatan yang dibuat oleh JAIS terhadap kegiatan mendakyah keatas segelintir umat Islam oleh Gereja Methodist Damansara Utama.

Aziz Bari, yang diangkat oleh media pro-pembangkang sebagai kononnya "pakar perlembagaan" melemparkan dakwaan tidak berasas kononnya Tuanku sebagai mencampuri urusan politik dan mengambil sikap memihak (dengan maksud tidak memihak kepada pembangkang).

Pada teman, ini adalah kenyataan yang sangat biaDAP, melampau dan mempunyai unsur-unsur penderhakaan keatas titah Tuanku Sultan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menegur Tuanku Raja-Raja, tetapi biarlah dengan cara beradab, bukan biaDAP. Jangan sampai menggulingkan badan atas jalanraya saperti yang dilakukan oleh segelintir Melayu haprak yang sudah hilang siuman dan fikiran waras hanya kerana terlalu taqsub kepada pimpinan cauvinis dan rasis biaDAP! Apatah lagi membuat kenyataan yang memesong, salahrujuk dan salahfakta, dan memutarbelitkan isu!

Kalau konon Aziz Bari yang dinobat oleh media pro-pembangkang sebagai "Pakar Perlembagaan" itu benar-benar memahami Perlembagaan, beliau sepatutnya menasihatkan pihak pendakyah kristian umumnya, dan Gereja Methodist Damansara Utama khususnya supaya menghentikan serta merta kegiatan mendakyah umat Islam, kerana ianya bercanggah dengan peruntukkan dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya Artikel 11 (4).

Jelas daripada titah Tuanku bahawa memang ujud kegiatan mendakyah oleh pihak DUMC. Ini bertentangan dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor, Enakmen Anti Dakyah Selangor, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor, Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Selangor, Seksyen 298A Kanun Kesiksaan, dan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun tidak cukup bukti untuk mendakwa, tetapi jelas dari titah Tuanku ada bukti yang cukup untuk diambil tindakan pentadbiran. Aziz Bari takkan bodoh sangat. Kata pakar undang-undang.

Bukan semua kes boleh dibawa pendakwaan ke Mahkamah. Walaupun cukup bukti dan keterangan pun, tetapi kalau saksi tidak mahu bekerjasama, sudah pasti kes tidak boleh dibawa ke Mahkamah. Kalau ada juga pendakwaraya yang nak membawa kes ke Mahkamah dalam keadaan tahu ada saksi tak mahu beri kerjasama, memang bodoh benarlah Pendakwaraya tersebut. Dan pada teman, kenyataan Aziz Bari mempertikaikan titah Tuanku itu menggambarkan suatu kejahilan yang kalau disengajakan adalah sangat malang dan memalukan bagi dunia ilmuan dan akademik, kerana datangnya daripada seorang pensyarah undang-undang yang ditabal sebagai "pakar perlembagaan"!

Pertama, teman sudah menyatakan sebelum ini (sila lihat artikel "Daulat Tuanku") bahawa sudah menjadi satu tradisi warisan Kesultanan Selangor yang tidak akan teragak-agak menegur mana-mana Menteri Besar atau pentadbir Kerajaan Selangor. Samada semasa Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran UMNO/BN, mahupun dibawah pembangkang. Teman masih ingat bagaimana AlMarhum Tuanku Sultan Sallahudin yang memarahi seorang Menteri Besar UMNO secara terbuka.

Teman ingat juga bagaimana AlMarhum Tuanku Sultan Johor yang cukup terkenal ketegasannya menegur, dan kadang-kadang memarahi Menteri Besar dan Kerajaan BN/UMNO Johor. Tak pernah pulak teman dengar komplen atau komen dibuat oleh mana-mana pihak, termasuk pemimpin UMNO/BN yang ditegur atau dimarahi itu yang mendakwa Tuanku mengambil sikap memihak.

Sebaliknya teguran yang dibuat oleh Tuanku Raja-Raja biasanya diterima dengan lapang dada sebagai bimbingan yang sangat berharga, kerana kita semua tahu Tuanku Raja-Raja hanya meletakkan kepentingan negeri dasn rakyat dibawah naungan Tuanku. Pada teman, Tuanku Sultan Sharafudin hanya meneruskan satu warisan pemerintahan yang adil lagi berhemah yang menjadi tradisi Raja-Raja Melayu.

Apakah benar Aziz Bari seorang pakar undang-undang perlembagaan? Siapa yang tabal dia sebagai pakar perlembagaan? Adakah kerana hanya dia mengajar di Kulliyyah Undang-Undang UIA melayakkan dia dipanggil pakar perlembagaan?

Kalau benar dia seorang pakar, jelas dibawah Artikel 47 & 48 Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Selangor 1959 memperuntukkan bahawa hal ehwal Islam didalam negeri Selangor Darul Ehsan adalah dibawah kuasa dan bidangkuasa Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam!

Sebagai Ketua Agama Islam, dan mempunyai kuasa dan bidangkuasa mutlak dalam hal ehwal Islam di negeri Selangor, sudah tentu bukan sahaja menjadi hak, malahan satu tanggunjawab yang diletak diatas bahu Tuanku untuk membela, mempertahan, mendaulatkan dan memartabatkan Islam dan umat Islam didalam negeri Selangor.

Sudah jelas bahawa Gereja Methodist Damansara Utama terlibat dengan kegiatan dakyah terhadap umat Islam. Ini bukan sahaja kesalahan dari segi syara', malahan satu kesalahan jenayah dibawah undang-undang Selangor, menyalahi Seksyen 298A Kanun Kesiksaan, dan bercanggah dengan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Jadi dimana rasional Aziz Bari mendakwa Tuanku tidak berhak untuk membuat titah tersebut.

Bukan sahaja berhak, malahan menjadi tanggunjawab Tuanku membuat titah tersebut! Tuanku wajib mencampuri urusan tersebut. Yang tak sepatutnya mencampuri urusan isu DUMC ini ialah orang politik, bukannya Tuanku!

Teman berpendapat tindakan wajib diambil terhadap Aziz Bari ini. Teman tidak menghalang kebebasan bersuara atau mengeluarkan pendapat. Ianya hak asasi manusia, yang dihormati dan dijamin oleh Islam. Tetapi kebebasan bersuara ada hadnya, ada batasnya, dan adab peraturannya.

Apatah lagi Aziz Bari membuat kenyataan tersebut dengan menyarungkannya dengan jubah professor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa. Bertambah wajiblah dia memelihara amanah dengan kedudukan dan tanggungjawabnya sesuai dengan kedudukan dan jawatannya. Beliau patut jujur dengan ilmunya, dan menghormati kedudukan beliau sebagai professor Kulliyyah Undang-Undang UIA.

Namun teman melihat Aziz Bari telah melangkau jauh daripada kedudukan itu. Beliau pernah mencampuri urusan dalaman sebuah parti politik. Semasa isu pemilihan PAS baru-baru ini, Aziz Bari secara terbuka membuat kenyataan mempertikikan kelayakan dan kewibawaan Presiden PAS Haji Hadi, malah mendesak supaya beliau letak jawatan dan jangan bertanding.

Aziz Bari mendakwa Haji Hadi penghalang kepada cita-cita Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Beliau meletakkan kegagalan 16 Sept bulat-bulat keatas bahu Haji Hadi. Sedangkan satu dunia tahu 16 Sept adalah pembohongan besar oleh Anwar!

Adakah Aziz Bari terlalu mengagungkan manusia bernama Anwar Ibrahim ini sehingga menjadi terlalu partisan dan memihak. Beliau bukan sahaja partisan, malahan mengambil sikap partisan kepartian. Kaca dulang paku serpih, ngata orang dia yang lebih! Dia menuduh Tuanku Sultan sebagai memihak, walhal dia sebenarnya yang mengambil sikap memihak!

Sebab itu teman mendesak supaya gelaran Professor yang diberi kepada Aziz Bari oleh UIA ditarik balik. Sikap dan tindak tanduk beliau merupakan satu penghinaan kepada title Professor yang dipakai beliau. Sikap dan tindak tanduk beliau tidak memberi gambaran seorang yang layak memakai gelaran Professor.

Malahan, dengan sikap partisan kepartian yang ditunjukkan oleh Aziz Bari, teman mencabar beliau supaya meletakkan jawatan sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dan ceburkan diri dalam politik kepartian. Persilakan. Sertailah parti Anwar Ibrahim kalau mahu. Atau daftarlah sebagai ahli PAS, mahupun DAP.

Kalau tak ada parti yang mahu menerima beliau, buatlah parti sendiri. Parti tupperware pun takpe. Nanti dalam PRU 13, masuklah bertanding sebagai calon. Kalau takde sangat tempat, teman persilakan Aziz Bari bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu, atau mana-mana kawasan Parlimen yang beliau mahu. Bertandinglah mewakili parti apa yang dia nak, ataupun atas lambang apa juga dia pilih.

Janganlah cari makan di Universiti Islam yang dibiaya oleh Kerajaan Persekutuan. Janganlah berselindung dibalik jubah professor di UIA sambil syok menembak sembrono orang lain. For once, be man enough to face the people, the voters!

Adios amigos, grasias senor.

DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
14 Zul Qaedah 1432
12 Okt 2011