Showing posts with label Tian Chua. Show all posts
Showing posts with label Tian Chua. Show all posts

08 March 2013

KONSPIRASI SI-KITOL II?

(Tanya sama Jijah, apa fasal fenin, nanti jawab Jijah, selalu kena pusing)
Salam 2 all.

Tanya sama Najib
apa pasal goyang
nanti jawab Najib
Sabah nak hilang! 

Lirik diatas adalah rangkap lagu yang sering dinyanyikan Anwar manusia rosak akhlak dalam hampir semua ceramah umum yang dihadirinya. Lagu itu dinyanyikan bukan sahaja di Sabah, tetapi di merata tempat termasuk di Semenanjung.

Selama ini kita kurang ambil peduli nyanyian itu, kerana dinyanyikan oleh orang yang meroyan nak ke Putrajaya. Namun "wamakaruwama karallah, wallah hukhoirul maakiriin - Anwar merancang tipu-daya, ALLah juga merancang, dan rancangan ALLAH mengatasi segalanya".

Peristiwa pencerobohan dan serangan pengganas subversif anasir luar daripada Filipina baru ini sehingga mengorbankan 6 orang pegawai dan anggota PDRM membongkar segalanya!

Menurut lapuran media Filipina berdasarkan lapuran risik yang mereka terima, pimpinan pembangkang Malaysia adalah dalang kepada serangan dan rancangan jahat menjahanamkan Sabah!

Malah Presiden Filipina Benigno Aquino III mendedahkan terdapat dalang yang membiayai pencerobohan terhadap Sabah tersebut; kerana tidak mungkin Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu mampu membiayai kos rancangan jahat itu kerana beliau sendiri menerima bantuan kehidupan daripada Jabatan Kebajikan Filipina, malah kos rawatan dialysis beliau ditanggung oleh Kerajaan Filipina!

Mengapa Sabah penting untuk Anwar?

Dalam menghadapi PRU-13, Anwar menyedari bahawa umumnya umat Melayu-Islam sudah muak dan menolak politik putar belit dan cakap tak serupa bikin yang diamalkannya. Ditambah dengan krisis akhlak yang jijik dan kotor, dan pendirian Anwar berdegil mahu membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH menyebabkan bukan sahaja umat Melayu-Islam, malah ahli akar umbi dan pimpinan PAS mula menolak Anwar.

Sebab itu Anwar beralih ke Sabah. Kita jangan lupa Anwar merupakan dalang utama membawa masuk UMNO ke Sabah. Dia mengenali lanskap politik Sabah dengan jelas. Anwar tahu isu-isu yang dekat dihati rakyat Sabah; dia tahu sensitiviti isu kalimah ALLAH kepada pimpinan dan penganut kristian di Sabah, dia tahu seriusnya isu pendatang Filipina di bumi Sabah!

Sebab itu semasa konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan BN melalui kaedah pintu belakang pada 16 Sept 2008, antara tumpuan Anwar adalah kepada wakil rakyat Sabah! Beberapa pimpinan UMNO Sabah mendedahkan bagaimana Anwar cuba mempengaruhi mereka. Ini termasuk Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Datuk Bung Mukhtar (Kinabatangan) dan lain-lain.

Malahan dua wakil rakyat BN daripada Parti SAPP daripada Tawau (Dr. Chua) dan Sepanggar (Dr. Eric) telah memilih keluar daripada BN dan menjadi MP Bebas yang pro-pembangkang. Mutakhir, dua Ahli Parlimen BN iaitu Lajim Ukin (Beaufort) dan Wlifred Burumbing (Tuaran) memilih keluar daripada BN dan memilih menjadi MP pro-pembangkang.

Selain daripada penganut kristian terutama dikalangan beberapa kumpulan etnik Sabah yang boleh menentukan corak politik Sabah, isu pendatang asing khususnya daripada Filipina sangat mempengaruhi dan boleh mempengaruhi politik Sabah. Pembongkaran dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai peranan beberapa tokoh politik dalam pengeluaran kad pengenalan palsu telah menggemparkan negara.

Tun Mahathir mendakwa Anwar antara dalang yang terlibat!

Jika Anwar berjaya mempengaruhi etnik penganut kristian dan kaum Sulu daripada Filipina untuk menyokong pembangkang didalam PRU-13, ianya akan memberi kesan serius kepada BN yang selama ini melihat Sabah sebagai "deposit-tetap" nya dalam mana-mana pilihanraya.

Sebab itu teman tidak hairan Anwar memainkan isu kalimah ALLAH dan isu pendatang asing Filipina. Ini semua adalah semata-mata untuk meraih undi demi memenuhi nafsunya ke Putrajaya. Anwar langsung tidak memikirkan kesan kepada rakyat atau negara ini dengan mainan politik jijik dan kotor ini. Yang penting ialah mahkota Putrajaya!

Berbalik kita kepada pendedahan media Filipina mengenai peranan pimpinan pembangkang Malaysia sebagai dalang pencerobohan dan serangan anasir subversif asing daripada Filipina, sudah pasti jika tuntutan Kiram III dibenarkan untuk mendapatkan semula Sabah untuk mengembalikan Kesultanan Sulu akan menyebabkan Sabah "hilang" daripada peta Malaysia!

Jelas tuntutan ini tidak menasabah. Rakyat Sabah sendiri melalui referendum Suruhanjaya Cobbolt telah memilih untuk menyertai Persekutuan Malaysia. Tidak ada paksaan, tidak ada peperangan, tidak ada rampasan. Ianya pilihan rakyat Sabah sendiri untuk menyertai Persekutuan Malaysia.

Kalau tuntutan Kiram III dibenarkan, bermakna Selatan Thai wajib diserahkan semula kepada Kerajaan Malaysia, Singapura wajib dipulangkan kepada Kerajaan Johor-Riau, Pulau Pinang wajib diserahkan kembali kepada Kerajaan Kedah; malah Israel wajib diserahkan semula kepada Kerajaan Palestin!

Persoalannya ialah, apa atau siapa dalang yang menyebabkan atau mendorong Kiram III memilih menceroboh dan menyerang Sabah? Apa tujuan dan matlamat dalang-dalang ini?

Teman tertarik dengan penglibatan Tianchua dan Sivarasa dalam isu Sabah ini. Sekarang sudah terbongkar kedua-dua orang kanan Anwar ini telah pergi ke Filipina. Ini diakui sendiri oleh Anwar (yang mendakwa kedua-dua Naib Presiden PKR ini pergi ke Manila untuk tujuan lain kononnya). Apa tujuan mereka? Siapa yang mereka temui?

Malah kini sudah terbongkar Anwar pernah beberapa kali bertemu dengan Nur Misuari, pemimpin Moro Nationalist Liberation Front (MNLF). Dan kini terbukti Nur Misuari adalah penyokong tegar kepada Kiram III. Dan kita tahu dalam memainkan peranan mendamaikan Bangsamoro dengan Kerajaan Filipina, Kerajaan Malaysia menggunakan networking Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan bukan MNLF yang diketuai oleh Nur Misuari!

Tian Chua dan Sivarasa? Apa penglibatan mereka dalam isu pencerobohan, serangan dan pembunuhan kejam anggota keselamatan Malaysia di Sabah? Teman mendesak Kerajaan menyiasat dengan terperinci kegiatan kedua pembangkang ini. Adaklah mereka terlibat?

Mungkin ada yang sudah lupa, inilah dua karektor antara mereka yang yang terlibat secara langsung dalam isu pemisahan Timor Timur daripada Indonesia sekitar tahun 1990an.

Pada 09 Nov 1996, kedua-dua karektor ini adalah antara mereka yang menggunakan platform pertubuhan yang tidak berdaftar Suaram menganjurkan sidang Asia Pacific Conference on East Timur 2 (dikenali dengan singkatan Sidang APCET II). Sidang ini dianjurkan di Hotel Asia di Chow Kit, Kuala Lumpur. Ianya adalah susulan daripada Sidang APCET I yang diadakan di Manila pada bulan Mei 1994.

APCET adalah forum yang digunakan untuk membawa isu pembebasan Wilayah Timor Timur daripada Indonesia. Dan gerakan ini bermula dengan pelancaran serangan bersenjata oleh pemimpin etnik Timor Timur bernama Gusmao. Serangan ini berjaya ditumpaskan oleh ABRI dan Kerajaan Indonesia. Gusmao dihadapkan ke Mahkamah Indonesia dan dihukum penjara 20 tahun.

Insiden ini dijadikan modal untuk membawa isu kemerdekaan Timor Timur. Dalang-dalang gerakan ini menggunakan tekanan antarabangsa. Antaranya mereka berjaya mempengaruhi Nelson Mandela, dan Ramos Horta untuk bersama menyokong gerakan ini. Hinggakan Gusmao diberikan anugerah Nobel untuk kononnya menghargai perjuangannya.

Kerajaan Indonesia sangat tidak berpuashati dengan tindakan Suaram dan beberapa NGO lain mengadakan Sidang APCET II di Kuala Lumpur. Indonesia merasakan sebagai negara saudara kembar yang serumpun, Malaysia tidak wajar membenarkan isu kedaulatan Indonesia dan wilayahnya dibincangkan di Kuala Lumpur.

Namun Kerajaan Malaysia yang mengamalkan sikap terbuka dan memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya, dan tidak mengenakan halangan untuk Sidang APCET II diadakan.di Kuala Lumpur. Namun diperingkat rakyat, jelas penentangan terhadap campurtangan asing dalam hal kedaulatan Indonesia membangkitkan rasa marah rakyat Malaysia.

Maka rakyat Malaysia, dipelopori oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menggerakkan massa dengan menubuhkan Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang diketuai oleh Setiausaha Kerja Pemuda UMNO masa itu Saifuddin Nasution Ismail.

BBRM telah mengadakan protes besar-besaran pada 09 Nov 1996 dihadapan Hotel Asia diwaktu Sidang APCET II sedang berjalan. Apabila penganjur dan hadirin sidang itu enggan bersurai, Saifuddin Nasution Ismail dan gerombolan BBRM telah merempuh masuk kedalam bilik sidang dan cuba menghentikan sidang tersebut. Habis kerusi meja terbalik, malah ada antara mereka berdiri diatas meja dan melaung-laungkan bantahan.

Sidang APCET II akhirnya terpaksa bersurai. Pihak polis telah membuat beberapa tangkapan, termasuk ke atas Saifuddin Nasution Ismail. Mereka dihadapkan ke Mahkamah dan dikenakan hukuman.

Hari ini Saifuddin Nasution Ismail adalah Setiausaha Agong PKR merangkap Ahli Parlimen Macang! Tianchua dan Sivarasa pula adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu & Subang bagi PKR.

Betapa ironisnya dunia politik ini. Dahulu bermusuhan sehingga bersepak terajang, hari ini bercium sekatil; sebantal!

Akhir kalam, wilayah Timor Timur diberi kemerdekaan oleh Kerajaan Indonesia pada 20 Mei 2002, setelah rakan baik Anwar Ibrahim iaitu Pak Gusdur yang buta menjadi Presiden Indonesia!

Indonesia hilang sebuah wilayah!

Tianchua dan Sivarasa adalah antara karektor yang terlibat secara langsung dalam APCET. Dan Pak Gusdur, rakan baik Anwar akhirnya memberikan kemerdekaan kepada wilayah Timor Timur dengan nama baru Timor Leste. Gusmao akhirnya menjadi Presiden pertamanya, dan Timur Leste berubah menjadi sebuah negara kristian dengan bantuan ketenteraan daripada Australia!

Apakah lirik lagu "Sabah kan hilang" yang sentiasa didendangkan oleh Anwar Ibrahim dalam siri-siri ceramahnya dimerata tempat dinegara ini sebagai satu tanda dan isyarat bahawa ada satu konspirasi jahat dan halus untuk menyebabkan Malaysia kehilangan Wilayah Sabah, sebagaimana Indonesia kehilangan Wilayah Timor Timur?

Persoalannya, adakah kita sedang berhadapan dengan satu "Konspirasi Si-Kitol II", sebagaimana yang berlaku dalam sejarah "Konspirasi Si-Kitol I" yang menyebabkan kita hilang Kerajaan Melaka dahulu?

Kerajaan Malaysia tidak sewajarnya memandang ringan perkara ini. Sebab itu suatu Suruhanjaya DiRaja wajib ditubuhkan untuk menyiasat ke akar umbi dalang sebenar pencerobohan, serangan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh pengikut Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu.

Kiat bukan berdepan dengan sebuah angkatan tentera. Kita sedang berdepan dengan penjenayah yang menceroboh, menyerang dan membunuh anggota keselamatan kita. Ini soal jenayah. Ini isu jenayah. Ianya perlu ditangani sebagaimana kita menangani penjenayah lain.

Kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Sri Najib telah mengambil pendirian yang betul dan tegas. Penggunaan pasukan keselamatan PDRM dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia dibawah "Blue-Ocean Strategy" telah berjaya membawa hasil yang dirancangkan. Penjenayah berjaya kita hapuskan, keamanan dan ketenteraman awam berjaya dipulihkan.

Sekarang adalah masa untuk Kerajaan mengambil langkah selanjutnya; mengembalikan maruah dan kedaulatan negara dengan menyiasat secara terperinci melalui Suruhanjaya DiRaja siapa dalang disebalik insiden ini! Ini adalah kegiatan pengkhianatan dan penderhakaan yang tidak boleh diampunkan!

Be Fair, but Be Firm!

Yakinlah bahawa rakyat Malaysia akan bersama dengan Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Dato' Sri Najib dalam berhadapan dengan pencabulan, pengkhianatan dan pernderhakaan ini!

Yang baik daripada ALLAH, yang tidak adalah kelemahan teman sendiri. Semoga ALLAH memelihara keamana dan kedaulatan Malaysia insyallah. Ameen!

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
25 Rabi'ul Akhir 1434
09 Mac 2013

06 March 2013

OPS DAULAT-ANGKATAN TAKBEER PAS?

(Panglima 2 Briged Angkatan Takbeer Negara sedang mengawal keselamatan kerusi harbi)

Salam 2 all.

Teman menghargai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Nasharuddin Hasan At-Tantawi yang menyatakan kesediaan beliau menghantar ahli-ahli PAS ke medan tempur di Lahad Datu dan lain-lain demi mempertahankan negara daripada pencerobohan pengganas dan anasir subversif asing daripada Filipina.

Cuma teman agak musykil dengan kenyataan Nasharudin ini dengan satu persoalan: pasukan asykar mana yang dia bercadang nak hantar tu? Dewan Pemuda PAS? Unit Amal PAS?

Kalau takat nak hantar Dewan Pemuda atau Unit Amal, teman rasa lebih baik dok jaga markas PAS aje lah. Takat kepakaran kutip derma masa ceramah, atau tukang takbeer masa penceramah dok maki hamun orang lain (termasuk bertakbeer bila penceramah harbi DAP maki orang Melayu), atau takat kepakaran buat demo haram ikut Ambiga tu, elok dok rumah ajelah. Kang tak pasal polis dan tentera kita yang sedang sibuk berperang terpaksa jaga keselamatan dema pulak dah!

Pada teman, kenyataan Nasharudin Tantawi ni menepati pepatah Melayu, "cerdik tak boleh diajar, bodoh tak boleh diikut".

Tugas menjaga keselamatan negara, termasuk berdepan dengan musuh luar adalah tanggungjawab khusus pasukan Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Mereka ada pasukan yang terlatih dalam bidang masing-masing dan mempunyai kepakaran tersendiri.

PDRM ada Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerak Khas, Komando Vat 69, Unit Tindakan Khas, Unit Cawangan Khas, Pasukan Khas Senoi Praq, Pasukan Simpanan Persekutuan dan banyak lagi unit-unit yang cukup terlatih dan mempunyai kepakaran tersendiri.

Disebelah ATM jangan cakap lagilah, selain pasukan regular saperti Rejimen Askar Melayu DiRaja (yang kawan Nasharudin Tantawi cauvinis biaDAP berangan sangat nak bubar dan hapuskan), ada pasukan Renjer, Rejimen Gerak Khas, Rejimen Askar Wataniah, Rejimen Kor Jurutera, dan macam-macam lagi. Kita ada TLDM dengan pelbagai pasukan termasuk Pasukan elit PASKAL, pasukan kapal selam KD Tun Razak (yang kekawan Nasharuddin fitnah tidak boleh menyelam), TUDM dengan Skyhawk dan F-16, dan banyak lagi yang masih belum digunakan dalam gerakan Ops-Daulat!

Pendek cerita, walaupun kita menghargai kesediaan Nasharudin Tantawi beriya nak berjihad dan nak mati syahid di Lahad Datu, kita sudah punya pasukan yang lebih daripada mencukupi untuk menangani masalah pencerobohan pengganas Sulu ini.

Apa yang penting, Nahsarudin Tantawi dan yang sewaktu dengannya perlu faham, pencerobohan oleh anasir pengganas dan subversif Sulu ini bukan satu peperangan, tetapi perlakuan jenayah. Ianya adalah jenayah untuk menceroboh negara kita yang berdaulat dan merdeka, ianya adalah satu jenayah untuk membunuh pasukan polis yang menjaga keselamatan negara. Kita sedang berhadapan dengan penjenayah, bukan pasukan tentera sebuah negara.

Sebab itu pihak Polis yang mengendalikan kes ini bukan pasukan tentera (walaupun ATM sedang membantu polis berdasarkan kerjasama strategik Blue-Ocean Strategy). Sama saperti kes pencerobohan Al-Maunah (kebetulan ahli parti Nasharudin yang banyak terlibat), kes pencerobohan Sulu adalah kes jenayah, dan saperti kes jenayah lain, ianya harus dikendalikan oleh pasukan PDRM.

Selanjutnya pada teman, daripada Nasharudin Tantawi sibuk konon nak perang jihad di Lahad Datu, eloklah Nasharudin Tantawi dan yang sewaktu dengannya pergi berperang jihad dengan Tian Chua, rakan sekongkol Nahsarudin Tantawi daripada parti manusia rosak akhlak Anwar Ibrahim!

Nasharudin Tantawi tentu sudah tahu bagaimana rakan sekatil sebantal beliau menghina pihak polis dengan mendakwa pencerobohan anasir pengganas dan subversif Sulu adalah konspirasi UMNO. Sehinggakan ada anggota dan pegawai polis yang terkorban pun nak dipolitikkan oleh rakan sebantal Nasharuddin Tantawi. Inilah politik paling sial yang pernah teman tengok dimainkan oleh haiwan politikus negara ini.

Jadi kalau Nasharuddin Tantawi berasa nak berperang jihad sangat, teman nasihatkan Nasharuddin Tantawi eloklah pergi berperang dengan rakan sebantalnya itu. Pada teman, pihak keselamatan, terutama ahli keluarga anggota polis yang terkorban akan sangat menghargai jasa Nasharudin Tantawi jika dia mengangkat pedang jihad dan bertakbeer menentang Tianchua, dan kalau jumpa dia elok Nasharuddin melempang Tianchua dua tiga kali sambil bertakebeer sakan!

Jangan Nasharudin jadi macam Nik Aziz, ketua Majlis Syura PAS yang pergi kerumah Karpal Singh membawa pisau; yang teman ingatkan nak pergi lempang Karpal Singh kerana mempertikaikan keputusan Syura PAS melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian dimana Nik Aziz pengerusinya; rupa-rupanya Nik Aziz pergi rumah Karpal bawak pisau untuk potong kek sambut birthday dihari Taipusam!

Atau elok juga Nasharuddin Tantawi mengajak Angkatan Takbeer PAS berperang dengan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang bertegas mahu kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH sapertimana perisytiharan yang turut ditandatangani (malah disediakan) oleh ketua Nasharudin Tantawi sendiri Hadi Awang pada 08 Januari 2013!

Sedangkan Nasharuddin Tantawi tahu keputusan itu bukan sahaja bertentangan dengan syara', malah bercanggah dengan pendirian Majlis Syura parti Nasharuddin Tantawi sendiri! Malah kata Timbalan Mursyidul Am Dr Haron Din, adalah syirik dan kufur untuk membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH kerana ini soal aqidah. Sampai Dr. Haron Din kata akan pertahankan kalimah ALLAH sehingga habis nyawa!

Jadi nasihat teman kepada Nasharuddin Tantawi, daripada mike sibuk nak hantar Angkatan Takbeer PAS ke Lahad Datu, eloklah mike hantar Angkatan Takbeer PAS berjihad menentang Anwar Ibrahim, Guaneng, Kitsiang, Karpal Singh, dan mungkin juga Hadi Awang (kerana sampai hari ini tak tarik balik kenyataan bersetuju dengan Anwar & Kitsiang kristian boleh pakai kalimah ALLAH, malah Anwar sampai kata baru ni Hadi Awang yang sediakan text persetujuan tersebut)!

Pada teman, kalau ditakdirkan Nasharudin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS terkorban semasa perang menentang Anwar, Guan Eng, Kitsiang dan Karpal Singh demi mempertahankan kalimah ALLAH yang disyirikkan, insyallah Nasharuddin Tantawi boleh digolongkan sebagai mati syahid!

Dan Nasharuddin Tantawi akan berjasa besar kepada negara dan rakyat Malaysia kalau dia boleh mengetuai Angkatan Takbeer PAS ke Filipina untuk mendesak dan mencari kebenaran lapuran media Filipina yang mendedahkan siasatan Bahagian Risik Filipina yang membongkar dalang sebenar disebalik serangan anasir pangganas subversif Sulu menceroboh Malaysia.

Lapuran tersebut secara jelas mendedahkan penglibatan kalipah yang disanjung oleh parti Nasharuddin Tantawi sebagai dalang dan barua kepada insiden ini. Negara dan rakyat Malaysia pasti akan berbangga dan bersyukor jika Nasharuddin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS membongkar rahsia yang didedahkan oleh media Filipina tersebut! Dan jika lapuran media Filipina itu didapati benar, negara akan sangat berbangga jika Nasharuddin Tantawi dan Angkatan Takbeer PAS mengisytiharkan perang jihad dan sanggup mati syahid menentang pengkhianat dan petualang negara ini!

Oh ya sebelum lupa, mungkin Nasharuddin Tantawi boleh menasihatkan beberapa orang rakan taulan dia dalam PAS yang begitu ghairah dan seronok menggunakan gelaran Datu (yang ditukar sendiri oleh dema lepas itu menjadi Datuk) yang konon ceritanya dianugerahkan oleh mereka yang mengaku Sultan Sulu. Teman dengar cerita dalam kepimpinan PAS pun ada yang yang pakai gelaran palsu yang tak diiktiraf ini!

Jadi Nasharuddin Tantawi, mike sebenarnya ada banyak kerja lagi nak buat. Jadi eloklah mike fikir semula niat dan cadangan nak hantar rejimen Angkatan Takbeer PAS berjihad ke Lahad Datu. Mike pun takde asykar nak hantar, yang ada pun pasukan takbeer dan pasukan demo haram.

Biarlah pasukan PDRM & ATM kita menyelesaikan masalah pertahanan negara ini.  Mike selesaikanlah masalah parti mike sendiri. Berjihad menentang pemimpin dan rakan sekongkol mike yang zalim, mungkar dan maksiat ini lebih baik daripada mike berangan nak berjihat di Lahad Datu itu.

Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH meneguhkan aqidah dan iman kita, dan menjauhkan kita daripada syirik dan kekufuran.

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
23 Rabi'ul Akhir 1434
06 Mac 2013

20 June 2010

"BATU" BELAH "BATU" TERLUNGKUP

Salam 2 all.

Isu yang hangat diperkatakan sehari dua ini adakah kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan YB Tian Chua. Apakah "Batu" Belah "Batu" Terlungkup? Ianya bertambah panas apabila YB Karpal Singh tiba-tiba membuat kenyataan menegaskan bahawa YB Tian Chua (PKR-Batu) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Dan kerusinya mesti dikosongkan dan pilihanraya kecil diadakan.

Ini adalah kerana Mahkamah Tinggi baru ini membuat keputusan menukar hukuman denda RM3,000-00 yang dikenakan terhadap Tian Chua kepada RM2,000-00.

Walaupun Hakim menyatakan tujuan hukuman itu dikurangkan supaya tiada pilihanraya kecil, tetapi masalahnya Artikel 48 Perlembagaan menyatakan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan apabila dihukum antara lain denda "tidak kurang RM2,000-00".

Pelbagai tafsiran diberi tentang keputusan ini. Termasuk Prof Dato Shad Faruqi, Dekan Undang-Undang yang menyatakan bahawa Tian Chua tidak hilang kelayakan. Pendapat ini dipersetujui oleh YB Dato' Seri Nazri Aziz. Malahan saya juga bersetuju dengan pendapat itu kerana peruntukan itu menyebut tidak kurang daripada RM2,000-00, bermakna ianya mesti lebih RM2,000-01 keatas. Pada saya Tian Chua tidak hilang kelayakan.

Namun ramai yang agak kehairanan mengapa tiba-tiba dalam keadaan semua menerima keputusan itu dan berpendapat Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen, Karpal Singh mempertikaikannya dan menyatakan Tian Chua hilang kelayakan dan satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Apakah agenda tersirat disebalik kenyataan Karpal Singh itu?

Persoalannya mengapa seorang pemimpin Pakatan Rakyat dari DAP mahukan seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengosongkan kerusinya.

Jawapannya mudah. DAP adalah aprti dominan didalam Pakatan. Dan DAP tahu Pakatan tidak lama lagi mungkin memerlukan pengganti seorang Ketua Pembangkang yang baru. DAP sebenarnya tahu Anwar akan dihukum penjara atas pertuduhan meliwat Saiful. Dan kali ini hukuman itu akan lama, kerana dahulu Anwar dihukum 6 tahun penjara. Mengikut amalan kehakiman, kali ini jika disabit kesalahan Anwar akan dihukum lebih daripada 6 tahun penjara.

Persoalan besar ialah siapa akan mengganti Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Walaupun mengikut amalan demokrasi kerusi Ketua Pembangkang sepatutnya dipegang oleh Lim Kit Siang kerana DAP punya kerusi paling banyak (28), namun PAS sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan Lim Kit Siang sebagai ketua Pakatan

Sebaliknya DAP pula tidak dapat menerima kepimpinan Pakatan diserah kepada Ustad Hadi.

Alternatif daripada PKR memang tiada. Kalau ada pun orang selepas Anwar ialah YB Azmin Ali. Sebagai Naib Presiden, beliau pemimpin paling kanan dalam PKR yang duduk dalam Parlimen.

Kedua-dua PAS dan DAP saya rasa tidak pernah terfikir pun akan dipimpin oleh Azmin, mungkin kerana usia Azmin yang masih muda walaupun berkaliber!

Maka Pakatan dijangka akan berhadapan dengan masalah kepimpinan di Parlimen bila Anwar dihukum penjara nanti. Mereka mesti mencari seorang pengganti, dan mesti segera.

Dan calon yang boleh diterima oleh DAP sebagai parti dominan didalam Pakatan sekarang ialah Zaid Ibrahim. Selain mempunyai nama bapa yang sama, Zaid dilihat mempunyai karektoristik yang sama dengan Anwar. Liberal dan tidak tebal semangat Islam dan kemelayuannya.

PAS juga boleh menerima Zaid walaupun beliau pernah mempertikai perlaksanaan enakmen hudud. Sebab itu PAS turun dengan penuh semangat takbir membantu dan menyokong Zaid semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Sebab itulah DAP melihat peluang sekali lagi muncul untuk menobatkan Zaid jika kerusi Batu dikosongkan. Sebab itu saya tidak hairan Karpal Singh mengeluarkan pendapat bahawa Tian Chua sudah hilang kelayakan dan kerusi Batu mesti dikosongkan. Ini buntuk memberi laluan kepada Zaid mencuba nasib sekali lagi!

Malahan saya mendapat maklumat jika ada Ahli Parlimen yang disabit kesalahan yang boleh membatalkan kelayakan beliau, maka elok kerusi itu dikosongkan. Apakah YB Gobalakrishnan akan terpaksa mengosongkan kerusinya? Yang pastinya YB Gobala juga telah dihukum dengan hukuman yang boleh membatalkan kelayakan beliau sebagai Ahli Palimen.

Malah tersebar bisik-bisik dikalangan mereka kemungkinan Tan Sri Khalid Ibrahim akan diminta mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid, dan memberi tumpuan kepada Selangor.

Apa pun Zaid adalah "anak emas" bagi DAP sekarang untuk menggantikan Anwar. Dan kehendak DAP terpaksa dituruti kerana mereka yang dominan sekarang didalam Pakatan.

Lagipun, memang menjadi stail kepimpinan mereka terutama dikalangan Firaun-Firaun Kecil mahukan ada isu terus hidup demi survival politik mereka. Dan lebih banyak pilihanraya kecil diadakan lebih baik bagi mereka.

Sebab itu baru-baru ini saya mencadangkan kepada Parlimen supaya menghapuskan amalan mengadakan pilihanraya kecil, sebaliknya mencari mekanisme untuk seuatu kerusi itu diganti wakilnya tanpa keperluan kepada pilihanraya kecil. Ini kerana pilihanraya kecil adalah sesuatu yang membazir, dan hanya sekadar menjadi medan politiking yang melampau.

Apa yang pasti, samada Tian Chua hilang kelayakan atau tidak, samada kerusi Batu kosong atau tidak, itu adalah hak mutlak Parlimen menentukannya dibawah Artikel 53 Perlembagaan.

Apapun, kita perlu menunggu tempoh rayuan 14 hari itu luput, kerana Tian Chua berhak merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Jika beliau merayu, maka semua isu berkaitan status kerusi Parlimen Batu adalah mainan akademik sahaja kerana sehingga keputusan rayuan dibuat oleh Mahkamah Rayuan (yang pasti akan mengambil masa bertahun), selagi itulah kedudukan Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen.

Jadi semuanya terletak kepada Tian Chua, kalau dia memfailkan rayuan, isu ini tidaklah timbul samasekali. Kita sekadar menghabiskan air liur sahaja!

Dan mengenali beliau, saya pasti Tian Chua akan berusaha mempertahankan kerusinya walau apa keadaan sekalipun.

Adios amigos.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
07 Rejab 1431
20 Jun 2010