Showing posts with label Jadual 9 Senarai 2 Perlembagaan. Show all posts
Showing posts with label Jadual 9 Senarai 2 Perlembagaan. Show all posts

18 April 2014

HUDUD-ANTARA REALITI & IMPIAN

Adakah pendirian kepimpinan pembangkang membenarkan kristian mengguna-pakai kalimah yang bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' PAS membolehkan tindakan hudud riddah dikenakan?
Salam 2 all.

Saya melihat mutakhir ini isu perlaksanaan hudud sekali lagi menjadi bahan bahas di medan awam. Ianya bermula apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di JPM membuat kenyataan didalam Dewan Rakyat semasa penggulungan Titah DiRaja baru-baru ini bahawa Kerajaan (bermaksud UMNO) tidak ada halangan untuk Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud, dan bersedia membantu.

Kenyataan ini disambut baik oleh YAB Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Ahmad Yaacob dengan cadangan untuk membentangkan usul perlaksanaan hudud di Dewan Rakyat melalui usul Ahli Parlimen PAS dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, kemungkinannya bulan Disember ini.

Bagaimanapun, cadangan Kerajaan PAS Kelantan menerima tentangan hebat daripada rakan sekutunya DAP dan PKR. DAP memberi amaran keras kepada PAS supaya tidak melaksanakannya, dan PKR mengingatkan PAS bahawa perlaksanaan hudud bukan agenda pakatan DAP-PKR-PAS yang telah dipersetujui.

Bermakna sebelum membuka langkah walau setapak pun, PAS perlu menyelesaikan kemelut dalaman pakatan pembangkang dahulu. Jika gagal mendapat persetujuan rakan sekongkol ini, maka PAS perlu membuat pilihan samada sanggup melangkah mayat pembangkang DAP-PKR dahulu; atau mencampakkan agenda perlaksanaan hudud ini kedalam arkib politik mereka.


HUDUD DAN PERLEMBAGAAN

Sebenarnya, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, perlaksanaan apa-apa perkara berkaitan Islam adalah bidangkuasa dan kuasa Dewan Undangan Negeri berdasarkan Bahagian VI Artikel 73-74 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual 9 Senarai II Perlembagaan.

Kerajaan Persekutuan langsung tidak ada kuasa atau bidangkuasa untuk melaksanakan hudud. Jadi tohmahan dan dakwaan menyatakan UMNO tidak mahu melaksanakan hudud di peringkat Persekutuan adalah tidak benar sama-sekali.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan bidangkuasa untuk menggubal dan melaksanakan Undang-Undang Jinayat Hudud adalah kuasa dan bidangkuasa Kerajaan Negeri melalui Dewan Undangan Negeri. Maka adalah satu tindakan tepat bagi Kerajaan PAS Kelantan untuk memulakan inisiatif membentang usul untuk perlaksanaan hudud.


KATEGORI KESALAHAN HUDUD

Hudud adalah satu bentuk perundangan jenayah (jinayat) yang memperuntukkan hukuman yang spesifik keatas 6 bentuk kesalahan (ada juga yang menambah satu lagi kesalahan iaitu bughah – pemberontakan menjadikan ianya 7 kesalahan hudud) iaitu:

1. Syurb – kesalahan berkaitan peminuman arak yang hukumannya sebanyak 40 kali sebatan (Al-Maidah 5:90) ;

2. Qazafkesalahan berkaitan membuat tuduhan zina terhadap wanita terhormat (ada yang memasukkan lelaki juga) dengan hukumannya sebanyak 80 kali sebatan (An-Nur 24:4);

3. Zinakesalahan melakukan zina oleh lelaki atau wanita Muslim tanpa nikah yang sah dengan hukumannya dengan rejam sampai mati (jika ia mohsan – pernah melakukan hubungan kelamin suami-isteri melalui pernikahan yang sah) atau disebat 100 kali (jika ia ghairu mohsan – atau belum pernah melakukan hubungan kelamin melalui pernikahan yang sah) (An-Nur 24:2);

4. Sariqahkesalahan mencuri dengan hukumannya spesifik dipotong tangan (Al-Maidah 5:38);

5. Hirabahkesalahan merompak dengan kekerasan dengan hukumannya dibunuh (jika ada yang terbunuh semasa rompakan itu) atau didipotong tangan dan kaki bersilang (jika tidak ada menyebabkan kematian) (Al-Maidah 5:33);

6. Irtiddah atau riddahkesalahan murtad iaitu keluar daripada aqidah Islam dengan niat dan sengaja tanpa paksa dengan hukumannya hendaklah dihukum bunuh jika ingkar atau enggan bertaubat (Al-Baqarah 2:217);

7. Bughah – kesalahan pemberontakan terhadap Kerajaan memerintah dengan cara kekerasan tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syari’e.


KESALAHAN HUDUD DIDALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Daripada senarai kesalahan-kesalahan hudud diatas, sebenarnya ianya sudah pun diperuntukkan didalam perundangan didalam Malaysia seperti berikut:

1. Syurb - kesalahan meminum arak – Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan dalam semua Enakmen Syariah negeri) dengan hukuman denda sebanyak RM3,000-00 atau penjara 2 tahun (jika minum) dan denda RM5,000-00 atau penjara 3 tahun dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;

2. Qazaf - kesalahan tuduhan zina – Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan dalam semua Enakmen Syariah negeri) dengan hukuman denda RM5,000-00 atau penjara 3 tahun dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;

3. Zina – kesalahan zina – Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (dan semua Enakmen Syariah negeri) dengan hukuman denda RM5,000-00 atau penjara selama 3 tahun atau sebat sebanyak 6 kali dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;

4. Sariqah – mencuri – Seksyen 379 Kanun Kesiksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 7 tahun penjara dan/ atau denda dengan penguatkuasaan di Mahkamah Sivil;

5. Hirabah – merompak – Seksyen 392 Kanun Kesiksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan/ atau denda dengan penguatkuasaan di Mahkamah Sivil;

6. Irtiddah / Riddah – murtad – terkandung didalam hamper semua Enakmen Syariah Negeri-Negeri dengan hukuman berbeza tetapi tidak melebihi denda RM5,000-00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan dengan penguatkuasaan di Mahkamah Syariah;

7. Bughah – pemberontakan – Seksyen 121 Kanun Kesiksaan dengan hukuman bunuh dengan gantung sampai mati dengan penguatkuasaan di Mahkamah Sivil.

Jadi kita dapat melihat bahawa sebenarnya kesemua kesalahan hudud iaitu syurb, qazaf, zina, sariqah, hirabah, irtiddah/riddah dan bughah sudah pun ada peruntukkan didalam undang-undang Malaysia samada dalam bentuk Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri atau Kanun Kesiksaan.

Apa yang berbeza ialah ialah hukumannya!

Ringkasnya, peruntukkan mengenai kesalahan hudud sudah ujud dan dilaksanakan dalam negara ini, cuma hukumannya berbeza.


JENAYAH SYARIAH DALAM JADUAL 9 SENARAI II PERLEMBAGAAN

Persoalannnya, mengapa ini terjadi?

Jawapannya ialah kerana didalam Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, dimana Dewan Undangan Negeri boleh menggubal dan melaksanakan perundangan jenayah atau jinayat dalam Islam tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.

Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan membenarkan semua Dewan Undangan Negeri  menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah atua jinayat Islam tetapi tertakluk kepada apa yang diberi oleh mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.

Dan undang-undang itu telah pun digubal dan dilaksanakan oleh Parlimen melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang secara umum memperuntukkan bahawa Dewan Undangn Negeri boleh menggubal dan melaksanakan apa-apa kesalahan jenayah atau jinayat Islam tetapi tertakluk kepada had hukuman tidak melebihi penjara 3 bulan, denda RM5,000-00 dan/ atau sebatan 6 kali – apa yang dikenali sebagai Formula Jinayat 356.


PERLAKSANAAN HUDUD TIDAK PERLU UNDI 2/3 MAJORITI

Berdasarkan inilah saya berpendapat tidak perlu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan mana-mana Dewan Undangan Negeri termasuk Kelantan untuk melaksanakan Hudud.

Apa yang perlu dilakukan ialah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dengan memberi bidangkuasa kepada mana-mana DUN termasuk Kelantan untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang jenayah atau jinayat Islam mengikut peruntukkan yang ditetapkan didalam syara’ seperti yang termaktub didalam Al-Quran atau Hadis.


USUL PINDAAN UNTUK MELAKSANAKAN HUDUD

Sebab itu semenjak menjadi Ahli Parlimen bagi Parlimen Kulim Bandar-Baharu dalam PRU-12 (mulai 08.03.2008 hingga 05.05.2013) saya telah secara konsisten selama 5 tahun mengemukakan usul ke dalam Parlimen dengan usul seperti berikut (boleh disemak dengan rekod pejabat Setiausaha bagi Dewan Rakyat):


  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-

‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;

dan mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.

Dan/ atau proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti berikut:

Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya atau jinayat seperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan saperti yang berlaku sekarang dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya ini boleh menjejaskan aqidah umat Islam

[ Perdana Menteri ]

Berbeza dengan pandangan popular, saya berpendapat bagi membolehkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dilaksanakan  untuk memolehkan hudud dilaksanakan, ianya tidak memerlukan undi 2/3 majoriti. Sebenarnya cukup sekadar dengan majoriti mudah 112 undi daripada kalangan 222 Ahli Parlimen sedia ada.


JUMLAH AHLI PARLIMEN ISLAM CUKUP UNTUK PERLAKSANAAN HUDUD

Dan jika dilihat dalam konteks itu, sebenarnya pindaan itu boleh dilakukan bagi sessi Parlimen ke 13 ini kerana kita mempunyai jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang mencukupi iaitu Ahli Parlimen UMNO (88), PAS (21) dan PKR (15), menjadikan jumlah 124 orang. Dan jika ditambah dengan Ahli Parlimen Islam yang lain termasuk daripada PBB dan lain-lain, jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang ada adalah lebih daripada mencukupi*.

Sebab itu untuk merealisasikan impian Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud, usulnya elok datang daripada Ahli-Ahli Parlimen PAS terutama daripada Kelantan. Tetapi PAS secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO dan PKR.

Malahan sebenarnya UMNO mahupun PKR masing-masing secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan PAS.

Apa yang penting ialah kerjasama – iaitu diantara semua Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO, PAS, PKR dan lain-lain parti.

Perlu diperingatkan apa juga usul persendirian untuk menggubal apa juga undang-undang hendaklah dibentangkan oleh seorang Menteri untuk dibahaskan, walaupun ianya datang daripada Ahli Parlimen back-bencher atau pembangkang.


CADANGAN

1. Memandangkan dua parti utama umat Melayu-Islam iaitu UMNO dan PAS sudah bersetuju, maka apa yang penting sekarang ialah penubuhan segera sebuah Jawatankuasa Induk Perlaksanaan Hudud, Qisas & Ta’zir peringkat pimpinan tinggi diantara UMNO-PAS-PKR-PBB untuk menderaf dan memperhalusi suatu Usul Perlaksanaan Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas & Ta’zir yang mahu dibentangkan ke dalam Dewan Rakyat, dan yang paling penting Jawatankuasa ini mesti memastikan mendapat jumlah sokongan daripada Ahli Parlimen masing-masing yang cukup untuk mendapatkan majoriti yang diperlukan bila ianya dibentangkan kelak;

2. Saya juga mencadangkan penubuhan segera satu Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud, Qisas & Ta’zir dengan keanggotaan daripada pakar syariah, undang-undang sivil, kehakiman dan guaman syariah dan sivil dan para  ulama’ samada mereka dari dalam negeri mahupun daripada luar membincangkan dan memperhalusi deraf Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas & Ta’zir untuk memastikan supaya ianya benar-benar mematuhi peruntukkan seperti yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Hadis;

3. Juga sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hukuman Hudud, Qisas & Ta’zir perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal perlaksanaan hukuman hudud, qisas & ta’zir dengan keanggotaan daripada pihak kehakiman dan guaman (sivil dan syariah), Polis, Penjara dan badan-badan penguatkuasaan yang lain termasuk daripada negara yang sudah punya pengalaman dalam perlaksanaan hudud, qisas & ta’zir seperti Arab Saudi, Pakistan, Aceh dan lain-lain;


RUMUSAN

Saya sebenarnya melihat tercetusnya isu hudud mutakhir ini sebagai satu ujian ukhwah dan kesatuan umat Islam di Malaysia. Ada hikmah disebalik cetusan isu ini.

Isu hudud telah sekelian lama dijadikan modal politik oleh segelintir pihak didalam PAS bagi menghalang impian mencapai kesatuan dan perpaduan umat Melayu-Islam di Malaysia.

Hudud adalah zikir harian PAS. Siang malam pagi petang tidak kira masa dan tempat, para penceramah PAS sentiasa menjadikan hudud sebagai modal membelasah UMNO.

Walaupun PAS sendiri tidak pernah melaksanakan hudud walaupun diberi amanah memerintah Kelantan selama 23 tahun; walaupun ada pimpinan PAS sendiri yang tidak bersetuju mahu melaksanakan hudud; malah rakan sekongkol PAS iaitu PKR sendiri menentang perlaksanaan hudud.

Malah PAS sendiri sebagai rakan-kongsi pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS telah bersetuju dengan Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang 20.11.2009 bahawa perlaksanaan hudud, qisas dan ta’zir tidak termasuk didalam agenda pembangkang jika membentuk Kerajaan; namun PAS masih terus-menerus menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.

Malah ukhwah dan kesatuan umat Melayu-Islam menjadi parah apabila berlaku peristiwa kafir-mengkafir oleh ahli dan pengikut PAS terhadap ahli UMNO akibat daripada isu Amanat Hadi Awang 1981 yang antara lain menyentuh isu kegagalan UMNO melaksanakan hudud dan kononnya mengekalkan ‘Perlembagaan penjajah’!

Walaupun Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 18.08.2003 menyatakan dalam Amanat Pemangku Presiden bahawa demi untuk kesinambungan talian-hayat politik pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS dalam menghadapi PRU-12, parti PAS bersedia menerima dan akan melaksanakan Perlembagaan Persekutuan seperti sedia ada!

Malahan, kekeliruan perlaksanaan hudud timbul kerana para penceramah PAS dalam siri-siri ceramah mereka hanya menumpu kepada hudud, sedangkan dalam syariat Islam sekiranya hudud tidak dapat dilaksanakan akibat beberapa kekangan yang ada, maka kesalahan hudud itu boleh dibicarakan dan dihukum dengan hukuman ta’zir. Ini terkandung dalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang digubal oleh Kerajaan PAS Terengganu.

Dan kesalahan ta’zir inilah yang terkandung didalam segala undang-undang dalam negara ini samada Kanun Kesiksaan, Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya sebut diatas. Maka sepatutnya tidak timbul soal kafir-mengkafir atau pun keengganan untuk bersatu dikalangan umat Melayu-Islam hanya kerana hudud belum dilaksanakan.

Adakah kita akan mengkafirkan sahabat Nabi iaitu Saidina ‘Umar r.a yang jelas didalam sirah semasa memegang amanah jawatan sebagai Khalifah telah menggantung perlaksanaan hudud kerana kekangan pada waktu itu tidak memungkinkan perlaksanaan hudud?

Sebab itu apabila kepimpinan UMNO dan PAS sebagai dua buah parti besar yang mewakili umat Melayu-Islam kini membawa satu suara dalam perjuangan untuk melaksanakan hudud, saya percaya ini adalah satu permulaan yang baik dan hasanah bagi umat Melayu-Islam di Malaysia terutamanya dalam soal ukhwah dan perpaduan.

Apa yang penting sekarang ialah kedua-dua pihak mengambil sikap ikhlas, husnul-dhan dan bersangka baik terhadap satu sama lain, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan cita-cita untuk perlaksanaan hudud dalam negara ini boleh dicapai; dan anggaplah ini sebagai satu permulaan kepada perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh didalam negara ini.

Dan lakukanlah ini bukan dengan semangat Islam aku sahaja yang betul, Islam orang lain tak betul; bukan dengan pemikiran sempit aku sahaja betul, orang lain salah; bukan untuk mendapat political mileage, atau untuk sebarang jawatan, kedudukan, kuasa, harta dan/ atau habuan. Jangan jadikan hudud sebagai talian-hayat politik kepartian masing-masing; tetapi jadikan usaha ini sebagai jalan mencari keredhaan ALLAH dengan ikhlas.

Semoga ALLAH memberikan hidayah dan kekuatan kepada umat Melayu-Islam dalam usaha ini insyallah.

Wallahua’lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias

Zulkifli Bin Noordin
Juma'at
18 Jamadil Akhir 1435
18 April 2014

*Artikel ini telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu (M) Berhad dalam dua siri pada 14 April 2014 (Bhg 1) & 15 April 2014 (Bhg 2).

24 September 2011

ISLAM BOLEH!

(Alamak Jah, depa nak buat hudud pulak dah!!! Mati aku Jah..mati aku!!!)

Salam 2 all.

Teringat teman satu rangkap nasyid,

Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tak boleh
Kita ada ALLAH dan Rasul
Kita ada iman & taqwa
Doa & jihad bagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh...
Umat Islam sentiasa boleh...

Teman teringatkan nasyid ini bila melihat respon kepada isu perlaksanaan hudud yang sedang dipekatakan akhir-akhir ini. Cuba kita tengok antara respon yang dibuat:

YAB Datuk Seri Azizan (MB Kedah: Kerajaan PAS Kedah tidak akan laksanakan hudud buat masa ini kerana PAS berkongsi kuasa dengan DAp & PKR. Inilah realiti politik hari ini di Kedah. Jangan samakan Kedah dengan Kelantan. Kerajaan PAS Kedah akan berunding dengan rakan Pakatan dahulu;

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor): Kerajaan PKR Selangor tidak akan melaksanakan hudud;

YB Abdul Wahid Endut (Pesuruhjaya PAS Terengganu): cadangan perlaksanaan hudud oleh Kerajaan Kelantan adalah selaras dengan Islam, dan itulah perjuangan PAS sejak ditubuhkan;

YBhg Ustadz Nasharuddin Tantawi (Ketua Pemuda PAS): perlaksanaan hudud adalah tuntutan Islam. PAS tidak akan berganjak dari tuntutan ini. Polemik hudud ini timbul mungkin kerana pilihanraya dah dekat;

YB Salahuddin Ayob (Naib Presiden PAS): isu perlaksanaan hudud hanya akan dibincangkan semula jika Pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya! Tidak guna bercakap mengenai hudud sekarang. Lebih baik fokus kepada pilihanraya umum!

YB Khalid Samad (TPJ PAS Selangor): PAS tidak akan melaksanakan hudud tanpa persetujuan DAP & PKR!

YB Dzulkifly Ahmad (AJK PAS Pusat): Pakatan akan hancur jika terperangkap dengan isu hudud yang tidak penting buat masa ini! Lebih baik fokus kepada strategi memenangi pilihanraya!

YAB Datuk Sri Najib: kita akui hudud adalah hukum yang datang daripada ALLAH, tetapi perlaksanaannya perlu dilihat kepada keadaan semasa dan realiti masakini!

YAB Tan Sri Muhyiddin: perlaksanaan hukum hudud tidak boleh dilaksanakan didalam masa terdekat ini, mungkin akan mengambil masa!

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin: hukum hudud adalah satu kewajipan, tetapi perlaksanaannya mestilah bergantung kepada suasana yang kondusif. Nabi saw sendiri pernah memerintahkan hudud tidak dilaksanakan, contohnya semasa perang!

Teman sendiri dalam kenyataan semalam: Perlu teman tegaskan bahawa teman tidak menolak hudud, atau apa sahaja undang-undang Islam. Malah teman percaya dan yakin perlaksanaan syariat Islam serta penubuhan sebuah Daulah Islamiyyah adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu umat Islam. Dan teman berpegang teguh kepada pendirian ini sejak dulu, kini dan selamanya insyallah. Dan teman tetap akan memperjuangkan kepada penubuhan sebuah Daulah Islamiyyah dan perlaksanaan syariat Islam, walaupun terpaksa berbuat sedemikian seorang diri.

Kalau kita melihat reaksi dan respon diatas, jelas kita melihat bahawa satu perkara yang jelas: kesemua mereka (termasuk teman) bersetuju kepada satu perkara, undang-undang hudud itu wajib. Cuma mereka berbeza pendapat. Ada yang tolak terus, ada yang kata perlu rujuk dan mendapat persetujuan rakan kafir harbinya, ada yang kata belum sesuai lagi, ada yang kata suasana belum mengizinkan.

Jadi rumusannya ialah, kenapa kita tidak guna "titik persetujuan" itu sebagai permulaan kepada satu perbincangan yang sihat, demi kebaikan Islam dan umatnya.

Dalam hal ini, kita kena ketepikan sentimen politik kepartian. Dan kita perlu bersangka baik. Walaupun teman mempunyai keraguan kepada niat Kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud (berdasarkan kepada politik yo-yo mereka sebelum ini), namun teman mengambil sikap husnul dhon dalam hal ini.

Memandangkan YAB Menteri Besar sendiri, yang juga mursyidul am PAS yang kelihatan bertegas mahu laksanakan hudud di Kelantan, mengapa kita tidak membantu beliau untuk merealisasikan impian kesemua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan. Kenapa tidak berikan peluang kepada Kerajaan PAS Kelantan buktikan sistem keadilan Islam; moga dengan cara itu ia menjadi model bagi kita buktikan sistem perundangan jinayat Islam boleh menjadi perungkai kepada permasalahan sosial yang kita hadapi sekarang. Sistem lain telah kita cuba, dan kelihatannya gagal. Mengapa kita tidak mencuba sistem jinayat Islam pula?

Dari segi prinsip, perlaksanaan sistem perundangan jinayat Islam didalam Malaysia tidaklah sukar. Sebenarnya teman sudah beberapa kali memabawa usul untuk perlaksanaan undang-undang jinayat Islam didalam negara ini. Berikut adalah usul yang pernah teman bawa:

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-

‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;

dan mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.

Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti berikut:

Tanpa mengambil kira apa jua peruntukkan yang bertentangan didalam mana-mana Undang-Undang, Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya saperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan dengan sengaja untuk melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya ini akan dan/ atau boleh membatalkan aqidah umat Islam

[ Perdana Menteri ]

Jadi apa perlu kita lakukan sekarang? Jawapannya mudah. Parlimen hendaklah membahas dan meluluskan usul tersebut diatas. Adakah ini boleh dilakukan? Jawapannya boleh. Kita ada 132 Ahli Parlimen beragama Islam dari pelbagai parti politik termasuk Konsensus Bebas. Pindaan Perlembagaan hanya memerlukan dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen menyokong. Jadi kita hanya memerlukan 16 sahaja lagi Ahli Parlimen untuk mencukupkan keperluan 2/3 itu. Teman cukup yakin, dengan lobi dan penerangan yang jelas, jumlah 16 itu tidak mustahil.

Apa yang perlu sekarang ialah kepimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan mesti duduk berbincang dahulu, kita kaji apa strategi yang perlu. Kita juga perlu pastikan semua prasarana dan modal insan untuk perlaksanaan itu cukup dan memuaskan. Kita perlu Hakim, Pendakwaraya, Peguam dan kakitangan sokongan yang terlatih dan mempunyai pengalaman. Bagi maksud itu, kita mungkin boleh membawa masuk para Hakim dari negara luar saperti Arab Saudi, Sudan, Yemen, Pakistan dan lain-lain yang sudah mempunyai pengalaman luas dalam perlaksanaan undang-undang jinayat Islam.

Kedua, kita perlukan prasarana dan keperluan logistik saperti Mahkamah, pihak berkuasa penyiasatan dan penguatkuasaan hukum. Kita perlu ujudkan "Polis Syarie" dan "Penjara Syarie". Tidak guna ada sistem tetapi tiada penyiasat dan penguatkuasaan undang-undang. Ini memerlukan latihan. Kita perlu hantar para pegawai polis dan penjara untuk latihan kepada sistem penyiasatan dan perlaksanaan hukuman syarie'. Kita tidak mahu apa terjadi didalam kes Kartika berulang. Mahkamah sudah jatuhkan hukuman sebat, tetapi rotan pun tiada, tukang sebat pun belum ujud. Ini memalukan kita. Ini bukan salah Islam, tetapi umat Islam yang tidak bersedia lagi!

Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh kita perbincangan disini. Tetapi yang penting, ruang sudah ada. Kesediaan Kerajaan PAS Kelantan (dan diharap mereka bukan berpolitik tetapi benar-benar ikhlas) untuk melaksanakan hudud (dan termasuk undang-undang jinayat yang lain) adalah peluang untuk kita umat Islam merealisasikan impian umat Islam bangsa Melayu yang sudah lama meninggalkan sistem perundangan Islam akibat penjajahan kafir la'natullah sekian lamanya.

Oleh itu teman sarankan kepada Kerajaan Pusat supaya segera menghantar satu pasukan petugas peringkat Menteri (mungkin boleh diminta YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom) mengetuai misi perundingan dan perbincangan dengan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan. Memang ini akan memakan masa, tetapi kita perlu bermula daripada sesuatu. Maka alangkah baiknya kita mulakan sekarang.

Kalau kaum politikus kafir atau yang sewaktu dengannya, samada DAP, PKR, MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain membantah, persetankan mereka. Berapa lama kita asyik nak bertolak ansur kerana mereka. Kita wajib buat apa yang kita wajib buat, iaitu laksanakan hukum ALLAH. Mungkin kita boleh ujudkan pasukan petugas untuk mengadakan siri penerangan & penjelasan kepada mereka. Dan memandangkan ada kaum Awnarinas yang begitu ghairah sangat nak berbaik dengan kafir harbi ini, teman cadangkan mintak mereka sahaja mengetuai pasukan petugas ini.

Apa pun, insyallah kalau kita memasang niat yang ikhlas, dan kita mahu membantu agama ALLAH, pasti ALLAH akan memantu mempermudahkan urusan kita, dan ALLAH sudah janjikan kemenangan bagi kita. Bagi teman, insyallah teman akan gunakan semua kudrat yang ada untuk merealisasikan impian untuk perlaksanaan undang-undang jinayat Islam dimuka bumi negara bertuah Malaysia ini. Moga ALLAH memaqbulkan doa dan harapan kita semua umat Islam yang masih ada sedikit keimanan. Ingatlah, kita umat Islam boleh melakukannya, ALLAH dan Rasul bersama kita, doa dan jihad senjata kita untuk mencapai cita-cita ini.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
27 Syawal 1432
25 Sept 2011