UCAPAN BAHAS TITAH DIRAJA (5)
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KE 12 2010
ISU FITNAHDato’ YDP, didalam titahnya , Baginda Tuanku YDP Agong telah melahirkan kesedihan Baginda kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutamanya dimedia baru. Sebenarnya Dato’ YDP, penyakit fitnah ini sangatlah dikutuk oleh ALLAH. Didalam surah Al Hujurat ayat 12, ALLAH berfirman “Walaa tajas sasu, walaa yagh tab ba’dhukum bagh dho- Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan fitnah-memfitnah diantara satu sama lain”. Malahan memfitnah ini disamakan dengan memakan daging saudaranya sendiri.
Disebabkan itulah Dato’ YDP, saya mengambil sikap menyokong kenyataan YB Marang (PAS-Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang) dan YB Macang (PKR-Saifuddin Nasution Ismail) mengenai isu fitnah ini. Islam sangat menjaga maruah dan harga diri seseorang manusia. Kita tidak boleh menuduh seseorang berdasarkan syak wasangka, apatah lagi fitnah. Sebab itu hukum memfitnah orang ini sangat berat, dimasukkan didalam kategori hudud. Contohnya qazaf.
Sebab itu saya mengambil pendirian bahawa kita tidak sepatutnya menuduh YB Permatang Pauh dengan tuduhan liwat dibawah undang-undang sekular, iaitu menurut Seksyen 377B Kanun Kesiksaan, sebaliknya sebarang pertuduhan, jika ada, hendaklah dibawa menurut peruntukkan hukum syara’. Kita ada peruntukkan tersebut dibawah Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559). Menggunakan undang-undang sekular untuk menuduh seorang Islam dengan kesalahan hudud adalah sesuatu yang menghina Islam. Malahan kita semua melakukan dosa besar, dan kemungkinannya kufur, jika kita redho dengannya. Ini samalah dengan mengheret saya ke Lembaga Disiplin bukan Islam untuk membicarakan saya berkaitan isu Islam!
Menggunakan undang-undang sekular akan menafikan hak YB Permatang Pauh sebagai seorang Muslim. Antaranya beliau tidak dapat menggunakan pembelaan qazaf, satu pembelaan yang tidak diiktiraf didalam undang-undang sekular. Ini juga adalah satu penghinaan kepada sistem perundangan syarie yang diiktiraf didalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, saya mendesak supaya pertuduhan liwat terhadap YB Permatang Pauh di Mahkamah sekular ini ditarik balik; sebaliknya hendaklah prosiding dijalankan sepenuhnya menurut peruntukkan syarie di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa; dan ini akan membolehkan YB Permatang Pauh mendapat haknya sebagai seorang Islam, termasuk menggunakan pembelaan qazaf.
Bagi maksud itu, saya juga mendesak supaya prosiding qazaf yang sedang dibawa oleh YB Permatang Pauh di Mahkamah Syariah dibenarkan dan pendakwaan qazaf terhadap Mohd. Saiful Bukhari diteruskan demi mencari kebenaran dan keadilan secara syarie. Saya yakin Mahkamah Syariah akan dapat bertindak dengan penuh professional dan kebenaran serta keadilan akan dapat dicapai bagi semua pihak yang terlibat.
Begitu juga saya sedih melihat budaya fitnah yang kini melanda kepimpinan YAB To’ Guru Nik Aziz, pemimpin dan mursyid yang sangat saya kasihi. To’ Guru lah orang yang mengisytiharkan saya menyertai PAS pada Ogos 1998 di Kelantan. Saya tengok serangan berbentuk “character assassination” terhadap To’ Guru terutama dilaman-laman blog dan media portal sangatlah tidak wajar. Apatah lagi dilakukan oleh ahli PAS sendiri. Bagaimana seorang yang telah membawa PAS ke puncak kejayaan politik, kini dihina dan diaibkan, diftnah dengan pelbagai tuduhan yang melampau. Kepada To’ Guru, saya mendoakan semoga To’ Guru diberi perlindungan dan rahmat oleh ALLAH.
(Nota:
semasa saya mengulas isu ini, tiada seorang pun Ahli Parlimen PAS yang bangun menyokong atau mempertahankan YAB Tok Guru, walaupun ini sebenarnya peluang terbaik mereka bangun mencelah membela YAB Tok Guru).
Dato YDP, fitnah dalam apa bentuk dan terhadap sesiapa pun hendaklah dihentikan. Dato’ YDP, dalam konteks budaya fitnah ini, saya juga ingin menyentuh mengenai fitnah tidak berkesudahan yang dilempar terhadap YAB PM mengenai kes pembunuhan Altantuya. Saya hairan dengan sikap segelintir mereka yang mengaku Islam tetapi boleh menuduh seorang Islam lain sebagai pembunuh tanpa sebarang bukti dan keterangan. Malahan yang lebih malang fitnah daripada orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang persoalan lagi, hanya sekadar syak wasangka dan tohmahan. Takkanlah orang saperti Balasubramaniam boleh diterima fitnahnya tanpa usul periksa lagi.
Apakah hanya dengan sekadar membuat Surat Akuan Bersumpah dengan membayar fee sebanyak RM4, satu fitnah boleh berubah menjadi bukti dan keterangan semata-mata kerana ada cop Pesuruhjaya Sumpah? Dan punya banyak Surat Akuan Sumpah yang macam tonggang terbalik yang dibuat oleh si Bala ini, akhirnya dia sendiri pun dah macam sesumpah!
Dato YDP, saya adalah antara peguam yang pernah mengendalikan kes pembunuhan Altantuya ini. Apa yang ditohmah dan difitnah oleh Bala tidak pernah beliau bangkitkan semasa perbicaraan di Mahkamah. Malah kenyataan beliau kepada pihak polis juga tidak pernah membangkitkan isu ini. Pada saya, Bala ini hanyalah seorang opportunis, mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia.
Saya menyeru kepada semua kita yang mempunyai sedikit keimanan kepada ALLAH, yang meyakini kepada Al Quran, supaya menolak fitnah si Bala ini. Ingatlah pesan ALLAH dalam surah Al Hujurat - 6.
Saya sendiri pernah diminta untuk untuk membabitkan YAB Perdana Menteri dan isteri YBhg Datin Sri Rosmah Mansur dalam kes pembunuhan ini. Antaranya saya diminta mendapatkan pengakuan bersumpah bahawa YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansur terlibat dalam pembunuhan tersebut. Malahan saya sendiri diminta membuat satu Surat Akuan Bersumpah mengaitkan YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansur dengan pembunuhan Altantuya. Ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman!
Namun Dato YDP, saya bersyukur ALLAH melindungi saya daripada terbabit dalam fitnah ini. Sebab itulah saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes tersebut, kerana adanya gangguan daripada Pihak Ketiga; yang menyebabkan mustahil untuk saya terus bertindak secara professional sebagai peguam membela kes tersebut.
Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT tersebut sanggup dihukum mati ke tali gantung kalau benar YAB Perdana Menteri & YBhg Datin Sri Rosmah Mansor terlibat. Saya cukup yakin pasti mereka akan mendedahkannya kalau ianya benar. Dan sebagai orang Islam, kita patut mengambil sikap husnul zan; bersangka baik. Setahu saya, YAB Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau. Dan setakat ini tidak ada diantara kita yang berani bersumpah menafikannya. Oleh itu, bersangka baiklah kita sesama Islam; dan peganglah kepada Al Quran sebagai petunjuk kita. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain!
Saya juga tidak lupa sekitar tahun 2004, bilamana saya diminta mengaibkan YB Padang Rengas menggunakan kes pembunuhan Darren Kang, dimana anak YB Padang Rengas bernama Nadim ditohmah sebagai terlibat dalam pembunuhan tersebut, kerana kebetulan beliau berada dilokasi pembunuhan. Lima orang warga Thai pekerja Restoran Uncle Don di Sri Hartamas telah didakwa dan dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamh Tinggi Kuala Lumpur. Saya diminta mengaitkan Nadim dengan mereka. Alhamdulillah ALLAH sekali lagi menyelamatkan saya dari terlibat dengan fitnah ini.
Saya berharap tidak ada pihak yang meletakkan saya dalam keadaan terpaksa mendedahkan kesemua perkara mungkar yang pernah dibuat. Kerana kalau saya mengambil sikap sedemikian, letupan besar yang dibuat oleh YB Bayan Baru akan hanya sekadar menjadi kentut yang sepi!
Begitulah kotornya mainan politik negara masa kini. Sebenarnya terlalu banyak perkara yang tidak betul yang saya diminta dan di arah lakukan selama ini. Ada antaranya telah saya laksanakan, ada yang tidak saya laksanakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan kepada mereka yang telah menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. Saya berjanji akan berjumpa mereka secara peribadi untuk memperbetulkan keadaan.
Dato’ YDP, tujuan saya menyatakan ini semua kerana saya bersetuju dengan kekhuatiran yang diluahkan oleh Baginda YDP Agong tentang gejala fitnah yang sudah sampai keperingkat yang membimbangkan. Saya sendiri khuatir dengan cara berpolitik bangsa Melayu beragama Islam yang jauh daripada perintah ALLAH dan sunnah Rasulullah. Saya juga takut sekiranya kita mengambil sikap mendiamkan diri, laknat ALLAH akan menimpa kita.
****************************************************************
*Nota: ini adalah Bahagian(5) daripada 6 bahagian ucapan yang saya sampaikan dalam Bahas Titah DiRaja yang disampaikan di dalam Dewan Rakyat pada hari Rabu 09 Rab’ul Akhir 1431 / 24 Mac 2010. Bahagian dimana berlaku pencelahan atau lain-lain insiden yang direkod didalam Hansard tidak saya siarkan. Untuk butiran penuh, sila lihat Hansard Parlimen di laman web
www.parlimen.gov.my