04 July 2010

MUHAMMAD QAYYIM


Salam 2 all.

Alhamdulillah rakan saya YB Abd. Aziz Kadir (Ketereh-PKR) telah memaklumkan kepada saya hasrat untuk mendapatkan Al Quran braille buat adik Muhammad Qayyim Nizar Bin Sarimi (11 tahun). Adik Qayyim, lahir pada 07.09.1998 adalah seorang anak yang kurang upaya penglihatan menetap bersama ibubapanya saudara Sarimi dan Puan Rozan Mohamed di Lot 188, Kg. Talang Kadok, Jalan Kuala Krai, 16450 Kota Bharu (didalam Parlimen Ketereh).

Adik Qayyim ini seorang anak yang sangat istimewa. Beliau menjadi juara muazzin dalam beberapa pertandingan azan. Beliau juga adalah naib juara program realiti Adik-Adikku anjuran JAKIM dan RTM. Kehebatan adik Qayyim membaca al Quran dan mengalunkan azan sangat mengagumkan (bagi yang mahu mendengar alunan azan adik Qayyim sila dengar di Radio Klasik Nasional ataupun Kelantan FM). Bagi yang berminat dengan adik Qayyim, sila baca lapuran yang dikepil dibawah.

Alhamdulilah saya telah dapat memperolehi naskah Al Quran braille untuk dihadiahkan kepada adik Qayyim. Naskah tersebut telah saya serahkan kepada sahabat saya YB Abd. Azizl (gambar atas) semasa sidang Parlimen Khamis lepas 01.07.2010 untuk disampaikan kepada adik Qayyim di Ketereh.

Semoga sumbangan yang sedikit itu akan dapat membantu adik Qayyim untuk terus mendalami ilmu Al Quran, dan saya doakan moga adik Qayyim akan menjadi qari yang hebat, mungkin juga seorang ulama' yang tersohor dimasa akan datang. Membaca kisah adik Qayyim mengingatkan saya kepada cerita sahabat Nabi yang buat iaitu Abdullah ibnu Maktum r.a, yang juga seorang mu'azzin Nabi selain Bilal bin Rabbah r.a.

Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Sdr. Zakaria daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Dato' Zamani dan JAKIM atas bantuan dan kerjasama yang diberikan. Buat makluman saudara/i, sekiranya ada sesiapa yang mahu memberi sumbangan kepada pihak PERTIS dan JAKIM untuk menerbit dan mencetak Al Quran Barille, atau ingin menaja mana-mana golongan kurang penglihatan mendapatkan Al Quran braille, boleh berbuat sedemikian dengan memberi sumbangan kos percetakan sebanyak RM200-00 (tidak termasuk kos hantaran) kepada PERTIS ataupun JAKIM. Buat pengetahuan semua, satu set lengkap Al Quran braille 30 juzu' mengandungi 6 naskah tiap set.

Bagi mereka yang berminat, bolehlah menghubungi terus pihak PERTIS dialamat 134-1, Taman Seri Setapak, Jalan Gombak, 53000 Kuala Lumpur.

Semoga ALLAH memberkati segala usaha dan 'amal kita yang tidak seberapa ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
21 Rejab 1431
04 Julai 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Muhammad Qayyim kanak-kanak istimewa tunggal perdengar azan di radio

KOTA BHARU 31 Jan. - Jika sesekali terdengar azan berkumandang di stesen radio Kelantan FM dan Klasik Nasional yang seakan-akan bukan suara seorang dewasa, ia sebenarnya suara milik seorang kanak-kanak, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Muhammad Qayyim Nizar, 10, yang cacat penglihatan sejak lahir, mempunyai keistimewaan tersendiri mengalunkan azan dalam pelbagai lagu dengan begitu merdu.

Sejak masuk tahun satu di Kelas Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh di sini, anak kepada pasangan pendidik itu mampu menghafal semua jenis azan dengan hanya mendengarnya sekali imbas.

Dengan hanya sedikit panduan, Muhammad Qayyim mampu memperdengarkan azan sebagaimana lagu 'Husaini' iaitu azan di Masjidilharam Mekah dan lagu azan di Masjid Nabawi, Madinah.

Keistimewaannya itu disedari gurunya, Mahyuddin Mahmud dan mulai tahun 2005, dia dibawa untuk menyertai Pertandingan Azan Subuh kategori junior bermasalah penglihatan peringkat kebangsaan dan muncul sebagai naib johan.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu seterusnya menjuarai pertandingan azan peringkat kebangsaan berturut-turut pada tahun 2006 dan 2007 dan terpilih sebagai naib johan dalam tilawah al-Quran (2007).

''Berikutan kemenangannya itu, dia diberi penghormatan memperdengarkan azan di Klasik Nasional dan Kelantan FM selepas membuat rakaman November lalu.

''Saya difahamkan dia merupakan kanak-kanak tunggal di negara ini mendapat penghormatan itu,'' ujar Mahyuddin.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Sireh, Muhammad Noor Sulaiman berkata, Muhammad Qayyim merupakan seorang daripada sembilan pelajar cacat penglihatan yang belajar dari tahun satu hingga enam di kelas pendidikan di sekolah tersebut.

''Kelas tersebut merupakan satu-satunya untuk kanak-kanak bermasalah penglihatan di negeri ini, menyediakan pengajaran dan kaedah pembelajaran bacaan dan tulisan braille," katanya.

Pembelajaran lain yang diberikan termasuk orientasi dan mobiliti iaitu kaedah bergerak dan menggunakan tongkat bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri untuk berdikari.

Beliau memberitahu, mereka ditempatkan di kelas itu sehingga berumur 13 tahun dan sejak penubuhan kelas itu pada tahun 1999, seramai enam orang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur.

No comments: