02 January 2013

AMANAT TENAT!

Adengan Tak Ingin Kita Lihat:
Karpal: Hardee, 1981 lu kata itu law kapir, 2003 lu kata Islamik? Apa maciam?
Hadi: Karpal, 1997 lu kata Anwar peliwat, 2008 lu jadi loyer liwat dia? Apa maciam?
Pok Nik: kito supor sokmo..ambo tau ambo nak jadi Embee laie!

Salam 2 all.

Teman tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Hadi Awang yang mendesak diberi ruang selama satu jam siaran secara langsung di media utama (RTM/TV3) untuk memberikan penjelasan mengenai isu Amanat Hadi 1981 yang mencetuskan kontroversi berikutan pendedahan pengikut taksub & ahli seumur hidup PAS Cikgu Zainon Ismail @ CN Al-Afghan melalui bukunya 'Kafirkah Aku'.

Desakan DS Hadi turut disokong oleh Datuk Nik Aziz yang menyandarkan hujahnya kepada hukum Islam yang mewajibkan semua pihak diberi hak bersuara & membela diri.

Teman pun naik pelik dengan gelagat dema ni yop. Dema nak mintak hak bercakap dan membela diri  melalui RTM? TV3? Atau mungkin juga Utusan? Mimpi ke apa ni yop?

Bukankah selama ini media-media utama ni RTM, TV3 & Utusan difitnah oleh pembangkang sebagai 'media-setan'. Diberi label TV 3/4, Utusan Setan, Utusan Meloya; sampai ada yang sanggup boikot dan bakar! Malah sampai tidak dibenarkan buat liputan dalam majlis pembangkang!

Malah teman pernah dengar sendiri pengikut taksub buat kenyataan haram tengok TV3 & RTM! Kalau orang UMNO mati, kapankan dengan kertas Utusan aje!

Tup..tup!!! Dema kebuloq nak keluar dalam RTM? Biar betoi yop. Skrew dema ni dah longgar ke atau 'alignment' politik dah gelong. Apapun, desakan dema ni membuatkan lawak Senario jadi macam cerita Doraemon je yop.

Desakan ini juga menimbulkan satu persoalan besar; adakah DS Hadi dan pimpinan pembangkang terutama PAS dah tak percaya kepada media dema sendiri Harakah! Kan bagus kalau buat penjelasan didalam Harakah; takkan Harakah pun nak putar atau edit kenyataan Presidennya sendiri kot?

Teman tidak menafikan syariat Islam mewajibkan mana-mana pihak diberi hak membela diri dan bersuara dalam mana-mana isu yang membabitkan dirinya. Malah hak asasi kemanusiaan juga menuntut seseorang diberi hak membela diri & hak bersuara. Ini hak asasi tiap individu!

Apa yang teman pertikaikan ialah amalan politik dualam, cakap tak serupa bikin & demokrasi hipokrit amalan pembangkang. Hak membela diri, hak bersuara adalah hak semua orang, bukan hak terpilih, dan bukan hanya untuk individu terpilih!

Contohnya, mengapa semasa PAS membat keputusan memecat Datuk Hasan Ali, beliau langsung tidak diberi hak membela diri dan hak bersuara.

Malah, Hasan Ali langsung tidak diberi notis tunjuk sebab atau alasan tindakan memecat akan diambil terhadap beliau.

Sehingga hari ini Hasan Ali tidak tahu apa sebab beliau dipecat!!!

Dan yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang memecat Hasan Ali tanpa notis dan tanpa peluang bela diri ialah DS Hadi sendiri, malah DS Hadi yang membuat kenyataan media selepas itu mengumumkan pemecatan Hasan Ali!

Mana suara Datuk Nik Aziz atau DS Hadi semasa itu. Bukan sahaja mereka tidak memberi hak bersuara itu kepada Hasan Ali, malah mereka turut bersekongkol dalam tindakan memecat Hasan Ali tanpa diberi sebab, tak diberi hak bela diri, tak diberi hak bersuara, malah tak diberi notis!

Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, dengan segera segala ayat Quran & hadis serta hukum Islam dicedok & digali untuk melapik tuntutan & desakan mereka! Hari ni DS Hadi pulak berkokok sakan mahu hak membela, hak memberi penjelasan, melalui siaran langsung RTM lagi! Fenin..fenin!!!

Pada teman, ini adalah amalan politik dualam, politik hipokrit dan cakap tak serupa bikin yang sangat jelas. Dan yang lebih teruk, dema mempergunakan syariat Islam hanya untuk menghalalkan kepentingan politik mereka! Bab orang lain, persetankan! Seolah-olah Quran dan syariat Islam tidak terpakai kepada Hasan Ali! Adakah hanya DS Hadi sahaja yang layak mendapat perlindungan Al Quran?

Selanjutnya, DS Hadi memberi alasan mahukan siaran langsung di media utama kerana khuatir "kenyataannya disunting" jika ianya rakaman! Ini yang dikatakan bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut! Dah kalau takut kena sunting atau kena potong, takyah lah masuk RTM atau TV3, atau Utusan! Buat sendiri kan lagi bagus!

DS Hadi perlu ingat, beliau ada ruang di Harakah & lain2 media portal pembangkang untuk memberi penjelasan. Apatah lagi dengan dunia internet, beliau boleh merakam sendiri penjelasannya dan disiarkan tanpa tapis di Youtube dan lain-lain. Malah beliau boleh duduk atas katil dalam bilik peribadi dan membuat rakaman dalam bentuk CD/DVD dan disebarkan kepada orang ramai. Siapa pun tak boleh kacau, siapa pun tak boleh edit!

Dalam keadaan ruang cukup luas ada untuk beliau memberikan penjelasan melalui media alternatif, DS Hadi memilih untuk mendesak satu jam siaran langsung di RTM! Tidakkan ini menimbulkan keraguan tentang niat sebenar beliau?

Selanjutnya, DS Hadi perlu ingat yang membongkar dan mencetuskan isu kesan Amanat Hadi 1981 itu ialah seorang pengikut taksub & bekas ahli seumur hidup PAS.

CN Al-Afghan bukan calang orang. Beliau pernah duduk dibarisan kepimpinan Pemuda PAS Negeri. Malah naqib usrah beliau ialah arwah Ustad Fadil Noor, mantan Presiden PAS! Beliau juga pejuang mujahiddin Afghanistan & Kashmir. Malah beliau hingga kini adalah pembela balu dan keluarga syuhada Memali dan tinggal bersama mereka! Dan beliau pernah ditahan ISA kerana menjadi Ketua KMM, Kumpulan Mujahidin Malaysia!

Beliau yang membongkar kesan Amanat Hadi 1981 melalui bukunya 'Kafirkah Aku'!

Beliau turut menceritakan bagaimana beliau sendiri menjadi begitu taksub dengan Amanat Hadi 1981 sehingga mengkafirkan bapa, abang; ahli keluarganya sendiri yang menjadi ahli atau penyokong UMNO! Dan kini beliau berasa berdosa, dan mahu menebus dosanya. Maka beliau membongkar perkara ini, dan mendesak DS Hadi supaya menarik balik amanat itu!

Berikutan pendedahan beliau, ramai lagi pengikut taksub PAS yang terpengaruh dengan Amanat Hadi 1981 tampil kedepan mendedahkan bagaimana mereka melalui kehidupan yang sangat menyesatkan akibat Amanat Hadi 1981 itu.

Kita dengar mereka menceritakan tentang anak mengkafirkan bapa, terpaksa bernikah kali kedua, sembelihan dari kalangan UMNO dianggap bangkai, ada imam yang enggan solatkan jenazah umat Islam dari UMNO, solat dua imam, boikot masjid dan macam-macam onak mehnah akibat Amanat Hadi 1981.

Yang menjadi mangsa, yang terpengaruh, yang mengamal, yang melaksanakan Amanat Hadi 1981 ialah ahli, penyokong, pendokong dan penaksub PAS! Bukan umat Melayu-Islam! Bukan rakyat Malaysia!

Umat Melayu-Islam tidak pernah mengkafirkan orang PAS! Umat Melayu-Islam tidak pernah menikah kali kedua walaupun di aqad-nikah oleh qadi PAS! Umat Melayu-Islam tidak ada masalah menjadi makmum imam PAS! Umat Melayu-Islam tidak ada masalah makan daging sembelihan orang PAS! Umat Melayu-Islam tidak ada masalah solat di Masjid PAS! Umat Melayu-Islam tidak pernah ceraikan suami-isteri masing-masing walaupun daripada PAS!

Pendek-kata, umat Melayu Islam tidak pernah menerima, mengikut, mengamal apatah lagi melaksanakan Amanat Hadi 1981!

Jadi pada teman, DS Hadi tidak perlu beri penjelasan kepada umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia. Umat Melayu-Islam semua dah faham bahawa Amanat Hadi 1981 itu bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam. Malah para ulama', mufti dan lain-lain telah memberikan fatwa dan pendapat yang jelas membuktikan Amanat Hadi 1981 itu bercanggah dengan syariat Islam.

Jadi umat Melayu-Islam serta rakyat Malaysia tidak perlu dengar dan diberi penjelasan oleh DS Hadi kerana umat Melayu-Islam sudah tahu. Malah umat Melayu-Islam tidak pernah menerima, menyokong, mengamalkan, mengikut apatah lagi melaksanakan Amanat Hadi 1981 itu.

Yang perlu tahu, dan yang perlukan penjelasan ialah para pengikut taksub, ahli, penyokong  dan pendokong PAS; yang sehingga ke hari ini masih ada yang terus mengamalkan, melaksanakan dan menghayati Amanat Hadi 1981 tersebut. Sehingga hari ini ada yang masih mengkafirkan saudara satu agama & satu aqidah kerana amanat itu.

Malah semasa berbual dengan beberapa sahabat daripada Baling, mereka menyatakan kerisauan tentang status "syahid" Allahyarham Ust Ibrahim Libya & 13 lain yang mati terbunuh dalam peristiwa Memali.

Kalau Amanat Hadi 1981 itu tidak betul, bagaimana keadaan jenazah mereka yang tidak dimandi dan dikafankan! Terus dikuburkan di perkuburan Parit Panjang dalam keadaan berlumuran darah kerana dikatakan mati syahid. Malah empat anggota polis yang satu aqidah turut dibunuh kononnya halal kerana "Polis UMNO"!

Apa nasib mereka ini semua? Sebab itu mereka mahu tahu apa status Amanat Hadi 1981 itu?

Kepada mereka inilah yang DS Hadi wajib berikan penjelasan.

Mereka mahu tahu benarkah UMNO kafir kerana kononnya mengekalkan dan melaksanakan Perlembagaan, undang-undang & peraturan kafir & jahiliyah! Kerana mereka tahu kalau tuduhan kafir kepada ahli UMNO tidak betul, kekafiran itu kembali kepada mereka! Mereka sendiri pun takut mati kafir, walaupun diberi jaminan masuk syurga kalau menjadi ahli dan mengundi PAS!

Kalu Perlembagaan Malaysia kafir, mereka mahu tahu mengapa pada 18 Jan 2003 DS Hadi membuat 'Amanat Hadi 2003' yang jelas menyatakan peruntukkan mengenai Islam cukup saperti yang ada dalam Perlembagaan! Malah Perlembagaan itu jugalah yang akan digunakan jika pembangkang menang pilihanraya!

Jadi mereka mahu tahu, kalau Perlembagaan Persekutuan okay, cukup peruntukkan mengenai Islam; jadi bagaimana dengan Amanat Hadi 1981 yang menyatakan Perlembagaan, undang-undang & peraturan yang ada adalah kafir, jahiliyah dan berbaur penjajah!

Itu yang para ahli, pengikut, penyokong dan pendokong PAS dan pembangkang pening. Mana satu yang betul? Perlembagaan Persekutuan kafir ke Islamik? Sebagaimana ahli, penyokong dan pendokong PAS pening dengan Karpal Singh yang pada tahun 1997 mendedahkan Anwar peliwat, tau-tau sekarang dah jadi loyer kes liwat Anwar pulak dah!

Mereka juga mahu tahu kenapa perjuangan Negara Islam dibuang! Diganti dengan negara kebajikan!

Mereka mahu tahu benarkah negara Islam tiada dalam Quran? Kalu benar, mereka mahu tahu mengapa DS Hadi melancarkan Dokumen Negara Islam pada tahun 2004?

Mereka mahu tahu apa kedudukan Dokumen Negara Islam yang digubal oleh Timbalan Mursyidul Am PAS sendiri Dato' Dr Harun Din? Apakah Dokumen Negara Islam itu kini bercanggah dengan Quran memandangkan kata DS Hadi sendiri Negara Islam rupanya tiada dalam Quran?

Mereka juga mahu tahu adakah Mesir yang masih mengekalkan undang-undang penjajah walaupun diperintah oleh Presiden Mursi daripada Ikhwanul Muslimin juga negara kafir?

Kalau Mesir masih kafir, bagaimana status kelulusan DS Hadi & ramai ustad-ustad dalam PAS yang mendapat kelulusan & ijazah daripada Mesir? Adakah kelulusan & ijazah mereka tidak mengikut syariat atau bercanggah dengan Islam kerana dikeluarkan oleh universiti negara kafir?

Mereka juga mahu tahu adakah Turki juga kafir kerana bukan sahaja mengekalkan undang-undang penjajah, tetapi meneruskan amalan sekularisma yang dipelopori oleh Mustafa Kamal Attarturk walaupun kini Turki diperintah oleh Reccep Tayyib Erdogan dari Parti AK!

Mereka juga mahu tahu adakah Indonesia, negara umat Islam terbesar didunia kafir kerana masih mengekalkan undang-undang dan peraturan penjajah Belanda & meletakkan Pancasila sebagai rukun negara Indonesia! Malah amalan homoseks bukan kesalahan jenayah di Indonesia! Apakah Indonesia juga kafir?

Para ahli, penyokong, pendokong dan penaksub PAS mahukan penjelasan adakah dengan mengambil Amanat Hadi 1981 sebagai kayu pengukur, Mesir, Turki & Indonesia adalah negara kafir, dan kerajaannya kafir kerana masih mengekalkan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan penjajah?

Kalau jawapannya Mesir, Turki & Indonesia tidak kafir, mereka mahu tahu mengapa pula Malaysia & kerajaan Malaysia kafir?

Dan yang paling penting, saperti juga CN Al-Afghan, para ahli, pengikut, penyokong dan penaksub PAS mahu tahu kalau Amanat Hadi 1981 tidak betul, mereka mahu sebelum Malaikat maut datang menjemput, mereka mahu diberi peluang dan kesempatan untuk bertaubat, memperbetulkan kesilapan, dan memohon ampun ma'af kepada mereka yang pernah dikafirkan, diboikot, dimaki hamun dan pelbagai caci-maki dan maki-hamun yang pernah mereka lakukan dan keluarkan akibat terpengaruh dengan Amanat Hadi 1981!

Sebenarnya banyak persoalan dan penjelasan yang pengikut taksub dan ahli serta penyokong PAS mahu tahu daripada DS Hadi. Bukan umat Melayu-Islam di Malaysia sebab mereka dah tahu dan memang telah menolak Amanat Hadi 1981.

Jadi DS Hadi tidak perlu risau untuk memberi penjelasan kepada umat Melayu-Islam mengenai Amanat Hadi 1981! DS Hadi tidak perlu memberi penjelasan melalui media utama RTM, TV3 atau Utusan Malaysia.

Cukop sekadar DS Hadi memberi penjelasan melalui Harakah & media pembangkang, juga melalui Youtube dan lain-lain media alternatif. Dan DS Hadi boleh kerahkan semua ahli, penyokong, pendokong & pengikut taksub PAS mengadakan perhimpunan besar untuk tujuan memberi penjelasan itu.

Dan jika DS Hadi perlukan bantuan, beliau boleh meminta bantuan Ambiga Sreenavasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut. Kan Ambiga mempunyai kepakaran untuk membuat perhimpunan, malah parti DS Hadi pun pernah angkat Ambiga sebagai kalipah untuk perhimpunan haram dema.

Boleh begitu DS Hadi?

Oh ya, teman dengar ramai guru-guru sekolah rendah kecewa dengan jawapan dan respon DS Hadi bila ditanya komennya mengenai pendedahan oleh Cikgu Non @ CN Al-Afghan, DS Hadi sekadar memperlekehkan Cikgu Non sebagai "cikgu sekolah rendah yang hanya ajar A, B, C!!".

Adakah cikgu sekolah rendah tidak layak memberi pendapat? Adakah cikgu sekolah rendah tidak layak memberi teguran? Adakah cikgu sekolah rendah hanya layak menjadi tukang tampal poster PAS? Adakah cikgu sekolah rendah hanya layak pacak bendera PAS? Adakah cikgu sekolah rendah hanya layak jadi tukang kutip derma jihat PAS? Begitu hinakah cikgu sekolah rendah pada pandangan Presiden PAS ini?

Sedangkan Saidina 'Umar ra sendiri pernah ditegur oleh seorang wanita secara terbuka diatas mimbar! Tidak pulak dengar Saidina 'Umar ra memperlekeh wanita tersebut! Malah Saidina 'Umar dengan jelas menjawab, "wanita itu betul kerana bersandarkan kepada Al Quran, 'Umar yang silap kerana bercanggah dengan Al Quran".

Nah, itulah jiwa seorang ulama'! Itulah peribadi seorang 'ilmuan! Itulah sikap sebenar seorang pemimpin Islam!

Kita ambil contoh DS Najib sendiri! Beliau sanggup meminta ma'af secara terbuka jika UMNO atau BN pernah membuat kesilapan; walaupun itu bukan kesilapan peribadinya; walaupun kesilapan itu mungkin dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang lain! Tetapi DS Najib berjiwa besar sanggup memohon ma'af secara terbuka bukan sahaja kepada umat Melayu-Islam, malahan kepada seluruh rakyat Malaysia!

Sebaliknya jawapan Presiden parti yang berlabel Islam ini jelas memperlekeh CN Al-Afghan; kenyataan yang jelas berbaur dengan keangkuhan dan kesombongan! DS Hadi perlu ingat, iblis dilaknat ALLAH akibat penyakit takburnya! Takkan itupun DS Hadi dah lupa?

Teman nak tutup dengan dengan satu persoalan besar kepada DS Hadi; kalau dia merasakan Amanat Hadi 1981 tu betul, teman cabar DS Hadi supaya mengulangi Amanat itu dihadapan Karpal Singh!

Bagitahu depan muka Karpal Singh bahawa Perlembagaan Malaysia itu kafir! Bagitahu depan muka Karpal Singh bahawa undang-undang Malaysia adalah undang-undang penjajah! Bagitahu depan muka Karpal Singh bahawa ahli PAS akan berjihad menentang Perlembagaan! Bagitahu depan muka Karpal Singh bahawa mati menentang Perlembagaan itu adalah mati syahid; tak payah dimandikan, tak payah dikafankan!

Bagitahulah semua itu dihadapan muka Karpal Singh! Kita tengok apa reaksi dan respon Karpal Singh!

Yang baik datang daripada ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri! Teman berdoa semoga ALLAH menjaga aqidah dan iman kita semua, dan memberikan hidayah serta petunjukNya! Ameen!

Aamantu billah summastaqeem!

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
19 Safar 1434
02 Jan 2013

No comments: