03 October 2013

BRAVO PAK DUBES!

Dato' Seri Zahrain M. Hashim menerima watikah daripada YDP Agong semalam
Salam 2 all.

Dato' Seri Zahrain Mohamed Hashim, bekas Ahli Parlimen Bayan Baru telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia berkuatkuasa semalam 02 Okt 2013. Beliau menerima watikah perlantikan daripada Yang DiPertuan Agong dalam satu acara ringkas di Istana Negara.

Dikalangan parasit dan peliwat democrazy, perlantikan Dato' Seri Zahrain telah menimbulkan keresahan dan kegusaran lalu difitnah dan ditohmah sebagai habuan kerana kononnya "melompat parti" daripada PKR ke UMNO selepas PRU-12 yang lalu. Manakala bagi sesetengah pihak pula, ada yang khuatir dan mempersoalkan ketaatan Zahrain kerana beliau dilihat sebagai 'bekas orang kuat Anwar'?

Bagi saya kedua-dua tohmahan dan kekhuatiran itu langsung tidak berasas!

Pertama, perlantikan seseorang Duta adalah prerogatif seorang Perdana Menteri. Dalam menimbang perlantikan, sudah pasti PM telah menimbang pelbagai faktor dan mendapat input daripada pelbagai sumber termasuk Wisma Putra, sumber inteligen, pandangan negara hos dan lain-lain lagi.

Kriteria utama perlantikan Duta ialah samada calon yang dilantik boleh berfungsi dengan berkesan mewakili kepentingan negara di negara hos tersebut.

Dalam konteks itulah saya berpendapat pemilihan Zahrain sebagai satu pilihan yang tepat.

Pertama, Dato' Seri Zahrain, yang lahir pada 12.11.1955 adalah seorang graduan lulusan ijazah sarjana muda daripada De Montfort University, Leicester, England dengan pengkhususan dalam bidang Mathematics & Applications (kelulusan bersesuaian untuk menjadi seorang penilai).

Selain itu, beliau juga memperolehi kelulusan Advanced Diploma in English daripada The Royal Institute of English Language School di London (ini sekaligus menafikan tohmahan bodoh sesetengah pihak konon Dato' Seri Zahrain tidak boleh berbahasa Inggeris).

Sekembalinya daripada Britain, beliau ditawarkan berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (USM).

Bagaimanapun, Dato' Seri Zahrain telah menolak tawaran tersebut, sebaliknya menyertai syarikat penilaian hartanah bernama Tetuan A. Denny's & Co. Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat milik asing (milik British) yang berjaya di ambil-alih sepenuhnya oleh seorang Melayu iaitu Allahyarham Tan Sri CM Hashim, datuk kepada Dato' Seri Zahrain.

Latarbelakang keluarga Dato' Seri Zahrain juga sangat menarik. Beliau adalah cucu kepada Allahyarham Tan Sri CM Hashim, anak Melayu pertama mendapat anugerah Tan Sri di Pulau Pinang. Allahyarham Tan Sri CM Hashim adalah usahawan Melayu pertama bukan dari kalangan bangsawan yang berjaya dalam dunia korporat sejak zaman pemerintahan British lagi.

Allahyarham Tan Sri CM Hashim, Pengerusi UMNO Pulau Pinang tahun 1955, juga adalah bapa saudara kepada Allahyarham Tan Sri Harun M. Hashim (bekas Hakim Mahkamah Agong yang hebat) dan General (B) Tan Sri Zain Hashim (bekas Panglima Angkatan Tentera yang terkenal itu).

Manakala bapa Dato' Seri Zahrain ialah Dato' Zainuddin Mohd. Hashim, juga seorang penilai hartanah dan ahli korporat yang berjaya. Beliau kini adalah pemilik syarikat hartanah besar negara Tetuan A. Denny's & Co. Diantara adik-beradik Dato' Zainuddin ialah Dato' Seri Razman Hashim (anak Melayu pertama menjadi Pengarah Urusan sebuah bank asing Standard Chartered Bank), Tan Sri Kamal Hashim dan Dato' Murad Hashim.

Pendekkata Dato' Seri Zahrain bukanlah datang daripada keluarga yang lekeh dan sengkek seperti yang ditohmah oleh segelintir pihak. Sebab itu bila ada pihak yang membuat fitnah konon beliau dibayar oleh UMNO sebanyak RM2 juta untuk keluar PKR, Dato' Seri Zahrain hanya tersenyum sahaja sebab bagi beliau, jumlah itu kira celah gigi je yop.

Zahrain Mohd Hashim Bayan Baru parliamentary seat.Pada tahun 1992, diwaktu umur semuda 37 tahun, Dato' Seri Zahrain telah diberi kepercayaan oleh pimpinan negara untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dengan misi untuk menukar SPPP menjadi badan korporat melalui dasar penswastaan.

Beliau telah berjaya dalam melaksanakan misi tersebut dengan sempurna dalam tempoh satu tahun dengan menjadikan SPPP sebagai Pulau Pinang Port Sdn. Bhd. (PPSB). Atas kejayaan itu, Kerajaan telah melantik beliau sebagai Pengerusi Eksekutif PPSB. Disamping itu, beliau juga diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Lembaga Buruh Pelabuhan Pulau Pinang. Beliau kekal memegang jawatan Pengerusi Eksekutif PPSB selama tujuh tahun sejak 1992-2000.

Pelabuhan Pulau Pinang telah berkembang maju dan pesat dibawah kepimpinan Dato' Seri Zahrain.

Diwaktu yang sama, Kerajaan telah memberikan amanah dan kepercayaan kepada beliau untuk menerajui sebuah suruhanjaya dikenali sebagai Federal Malaysian Port Operating Commission. Sebagai Pengerusi Suruhanjaya ini, Dato' Seri Zahrain bertanggungjawab menyelia dan memantau kesemua pelabuhan yang ada di Malaysia, satu amanah yang besar bagi seseorang yang berusia muda.

Dalam bidang sukan Zahrain yang juga seorang peminat sukan bolasepak yang agak fanatik. Peminat setia pasukan Tottenham Hotspurs di England ini telah dilantik menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (2009).

Selama menjadi Presiden PBSPP, Dato' Seri Zahrain mengalami saat getir terutama setelah beliau menisytiharkan perang terbuka terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang. Bukan sahaja peruntukkan dana untuk PBSPP tidak diberikan, malahan caj sewaan stadium juga dinaikkan. Tetapi pengalaman sebagai seorang ahli korporat membolehkan Dato' Seri Zahrain menghadapi cabaran tersebut dan berjaya memastikan pasukan Pulau Pinang dalam keadaan selesa tanpa dibebani masalah kewangan dan politiking melampau!

Didalam bidang politik pula, Dato' Seri Zahrain mewarisi semangat perjuangan Melayu daripada datuknya Allahyarham Tan Sr CM Hashim yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang tahun 1955.

Beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian yang termuda dalam negara apabila memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanjung pada tahun 1989 diwaktu umur baru mencecah 33 tahun. Dan bintang politik beliau makin menyinar apabila dilihat sebagai orang kuat Anwar Ibrahim.

Beliau diberi kepercayaan untuk menyampaikan ucapan utama membentangkan usul penting mengenai Raja-Raja Melayu dalam Perhimpunan Agong UMNO 1990, dikala baru berumur 34 tahun. Usul itu kemudiannya diperbahaskan dan menjadi titik tolak kepada pindaan Perlembagaan untuk memperkasa dan memperkukuh institusi Raja-Raja Melayu.

Pada tahun 1992, timbul desas-desus bahawa Anwar Ibrahim mahu mencabar Allahyarham Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Dan desas-desus itu makin kuat apabila UMNO Bahagian Tanjung dibawah kepimpinan Dato' Seri Zahrain menjadi Bahagian yang pertama mencalonkan Anwar.

Keseluruhan jentera UMNO melihat ini sebagai isyarat daripada Anwar memandangkan Dato' Seri Zahrain dilihat sebagai kroni dan orang kuat Anwar. Bermula daripada itu, satu demi satu Bahagian UMNO seluruh negara mencalonkan Anwar hinggakan Allahyarham Pak Ghafar hanya mendapat dua atau tiga pencalonan sahaja. Anwar kemudiannya berjaya menewaskan Allahyarham Pak Ghafar dan menjadi Timbalan Presiden UMNO sekaligus menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Namun apabila Anwar dipecat 02.09.1998, Zahrain tidak terus menyertai Anwar atau Gerakan Reformasi. Beliau hanya menyertai Anwar sekitar tahun 2005 setelah Anwar keluar daripada penjara setelah menjalani hukuman 6 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14.04.1999 kerana sabitan kesalahan menyalahgunakan kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Cawangan Khas Polis mendapatkan pengakuan sumpah palsu daripada Umi Hafilda dan Azizan berkaitan dakwaan salahlaku seks liwat dan hubungan sulit dengan isteri orang.

Sebaik menyertai PKR, Anwar terus melantik Zahrain sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang dengan misi untuk memperkasakan PKR Pulau Pinang yang kelihatan lemah, terumbang ambing dan tanpa kepimpinan yang kuat.

Dibawah kepimpinan Zahrain, PKR Pulau Pinang mula berkembang dan menampakkan pengaruh. Zahrain dipilih sebagai calon bagi Parlimen Bayan Baru dalam PRU-12 dan memenangi kerusi tersebut pada 08.03.2008 dengan mendapat 27,618 undi mengalahkan Ooi Siew Kim, calon BN daripada MCA yang mendapat 16,589 undi.

Dato' Seri Zahrain dilihat sebagi tunggak dan tulang belakang kepada kekuatan pembangkang terutamanya dikalangan pengundi Melayu Pulau Pinang dalam menghadapi PRU-12. Dan ternyata strategi yang diatur beliau telah berjaya dan pembangkang DAP-PKR-PAS berjaya merampas DUN Pulau Pinang!

Sebaik memenangi DUN Pulau Pinang dan membentuk Kerajaan Negeri, Zahrain mula melihat belang Lim Guan Eng dan parti DAP. Semakin hari keangkuhan Guan Eng dan DAP Pulau Pinang semakin menjadi-jadi. Zahrain merasakan bahawa hak dan kepentingan orang Melayu terpinggir dan tidak terbela dibawah kerajaan DAP.

Beliau telah beberapa kali membangkitkan isu ini samada semasa mesyuarat peringkat pakatan pembangkang mahupun peringkat PKR. Semangat Melayu beliau agak kuat dan terserlah semasa itu. Kebencian beliau kepada pimpinan Guan Eng dan DAP Pulau Pinang terutama dalam hal ehwal dan kepentingan orang Melayu makin kuat.

Akhirnya pada 28.01.2010, Zahrain mengisytiharkan perang terbuka terhadap terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang dengan mengisytiharkan Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin 'diktator, cauvinis dan berotak komunis'. Tindakan Zahrain mengejutkan semua pihak kerana datangnya daripada Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, rakan sekongkol DAP!

Dalam pertelingkahan dengan DAP itu, Zahrain langsung tidak dibela atau dipertahankan oleh PKR mahupun Anwar Ibrahim. Sebaliknya Anwar telah membentuk sebuah Jawatankuasa Disiplin untuk mengambil tindakan terhadap Zahrain.

Kecewa dengan sikap PKR itu, Zahrain telah pada 12.10.2010 bertindak mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas. Beliau kemudiannya membentuk satu blok baru Ahli Parlimen Bebas dikenali sebagai Konsensus Bebas terdiri daripada 5 orang Ahli Parlimen berwibawa yang telah berjaya memberi impak dan dimensi baru kepada politik negara!

Dan penentangan Zahrain terhadap Anwar begitu jelas. Pendedahan Komplot Pembohongan 16.09 dalam ucapan pertamanya selepas menjadi Ahli Parlimen Bebas dalam Dewan Rakyat pada 18.03.2010 menggemparkan negara. Zahrain dengan tegas dan berani menggelarkan Anwar sebagai 'raksaksa pelbagai wajah'.

Ungkapan Dato' Seri Zahrain yang terkenal bila ditanya mengapa beliau, seorang yang dikenali sebagai orang kuat dan kroni Anwar sejak zaman UMNO lagi, bukan sahaja meninggalkan Anwar, malahan menjadi public enemy Anwar number one, Zahrain dengan tenang menjawab, "keyakinan telah berubah menjadi keraguan, dan daripada keraguan berubah menjadi hilang kepercayaan. Anwar adalah seorang pembohong yang tidak boleh dipercayai langsung".

Selepas daripada itu, hubungan Zahrain dengan Anwar bak kata omputeh, 'history speak for itself'. Kata peribahasa Melayu, 'berpatah arang berkerat rotan'.

Sebab itu saya tergelak juga membaca beberapa komen yang dilihat begitu dangkal, mungkin kerana kejahilan, atau kerana dengki atau busuk hati. Yang jelas, mereka bercakap seperti beruk tak gosok gigi. Sampai yang ada komen konon Zahrain tidak tahu bercakap English, macam mana nak jadi Duta. Samada yang bercakap tu masih duduk pakai cawat atas pokok, atau telah diliwat otaknya sampai tak boleh berfikir secara rasional.

Dato' Seri Zahrain bukan sahaja fasih berbahsa Inggeris, malahan beliau merupakan seorang effective negotiator, seorang perunding yang sangat efektif samada diperingkat nasional mahupun peringkat antarabangsa.

Diperingkat nusantara, Dato' Seri Zahrain mempunyai hubungan yang sangat baik dengan beberapa tokoh korporat nusantara termasuk Indonesia. Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa pimpinan politik Indonesia.

Malah dalam majlis perkahwinan anak bekas Naib Presiden Indonesia Bapak Jusuf Kalla baru-baru ini yang turut dihadiri oleh ramai kepimpinan nusantara termasuk Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Zahrain adalah jemputan khas keluarga Pak Jusuf atas kapasiti peribadinya. Anwar Ibrahim yang dikatakan punya hubungan baik dengan Bapak Jusuf Kalla pun tidak kelihatan dalam majlis itu!

Berdasarkan latarbelakang yang begitu komprehensif lagi berkaliber itu, saya yakin perlantikan Dato' Seri Zahrain sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia oleh YAB Perdana Menteri adalah satu langkah yang sangat tepat.

Saya juga yakin perlantikan itu akan menggusarkan para peliwat democrazy dan pembangkang Malaysia yang selama ini menjadikan Indonesia sebagai 'port' mereka untuk menghentam dan membantai Malaysia. Selama ini mereka ada 'freehand' kerana tiada usaha jelas dan tersusun untuk menyanggah kegiatan 'penderhakaan dan pengkhiantan' mereka disana. Itu hanya akan menjadi sejarah tidak lama lagi insyallah!

Dengan kehadiran Dato Seri Zahrain sebagai Duta Besar di Indonesia, saya yakin keadaan akan berubah. Kepakaran dan kebolehan Dato' Seri Zahrain yang telah terbukti selama ini samada dalam bidang korporat, sukan mahupun politik dilihat akan dapat membantu memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia-Indonesia, disamping mematahkan sebarang usaha untuk merosakkan hubungan baik yang sudah sedia terjalin diantara kedua-dua negara.

Perlantikan Dato' Seri Zahrain telah mendapat sambutan baik daripada pemerintah dan rakyat Indonesia apabila bukan sahaja Bapak Presiden Susilo menerima baik perlantikan itu, malahan Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR) meluluskan perlantikan tersebut dalam satu sidang DPR baru-baru ini.

Alhamdulillah Bapak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah berkenan menerima mengadap Dato' Seri Zahrain Hashim pada 18 Oktober 2013 untuk majlis penyerahan watikah perlantikan daripada YDP Agong.

Sesungguhnya perlantikan Dato' Seri Zahrain bukan sebagai habuan politik, atau meletakkan 'orang Anwar' sebagai Duta; tetapi sebaliknya perlantikan beliau adalah satu langkah bijak dan strategik yang dibuat oleh YAB Dato' Sri Najib setelah mengambil kira kepentingan negara dan kebolehan Dato' Seri Zahrain dalam melaksanakan misi untuk memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Bersama isteri tercinta Datin Seri Mahani Ismail, yang dikenali seorang yang sangat berdiplomasi, lemah lembut, fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai rangkaian networking yang sangat baik, saya percaya Dato' Seri Zahrain akan dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan untuk merealisasikan misi yang diberikan.

Daripada seorang anak pejuang Melayu, bermula sebagai seorang usahawan, ahli korporat, ahli politik kepada menjadi Ahli Parlimen, kini Dato' Seri Zahrain maju selangkah lagi dengan karier dan amanah sebagai seorang diplomat dengan perlantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia!

Tahniah Dato' Seri Zahrain M. Hashim, dan selamat bertugas demi agama, bangsa dan negara!

Moga sukses Pak Dubes!*

Wallahua'lam & wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
27 ZulQaedah 1434
03 Okt 2013

* 'Dubes' adalah singkatan gelaran 'Duta Besar' yang digunakan di Jakarta. Manakala 'Kedubes' adalah singkatan kepada 'Kedutaan Besar'.

No comments: