Saya lampirkan dibawah tulisan oleh saudara Azril Mohd Amin, ketua delegasi Muslim-UPRo ke Geneva menentang Comango yang mengupas tentang cadangan pemansuhan Akta Hasutan dan penggantiannya dengan beberapa undang-undang baru. Tulisan beliau adalah satu pembuka mata dan jiwa, dan wajib dibaca oleh semua pencinta keamanan dan keharmonian. 
Pada saya, cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perpaduan dan  Integrasi Nasinal (National Integration and Unity Commission Bill) adalah satu cubaan menghidupkan semula Malayan Union! Malah ianya lebih serius dan parah daripada Malayan Union!
RUU ini adalah piagam Malayan Union 2.0!
RUU ini satu perisytiharan "perang" terhadap umat Melayu-Islam!
RUU ini adalah satu pengkhianatan kepada umat Melayu-Islam!
Didalam PRU-12 pada 08.03.2008, parti BN dibawah kepimpinan Pak Lah hanya mendapat 140 kerusi. Walaupun masih dapat membentuk Kerajaan Persekutuan, namun buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga. Pak Lah 'dinasihatkan' supaya meletak jawatan pada 04.04.2009.
Dibawah kepimpinan Dato' Sri Najib dengan slogan 1-Malaysia, BN memasuki PRU-13 dengan keyakinan akan dapat mengambil semula Selangor, Perak dan Kedah, dan mungkin mendapat semula majoriti dua pertiga. Begitu keyakinan Bilik Perang BN dalam PRU-13.
Sebaliknya bukan sahaja tidak mendapat dua pertiga, BN hilang 7 lagi kerusi dengan mendapat 133 kerusi. Walaupun masih dapat membentuk Kerajaan, buat pertama kalinya BN tidak mendapat undi popular. Sebaliknya pembangkang DAP-PKR-PAS mendapat 52% undi popular.
BN bernasib baik kerana Malaysia mengamalkan sistem pilihanraya first-past-the-post, iaitu parti yang mendapat kerusi paling banyak melebihi 112 kerusi berhak membentuk Kerajaan.
Walaupun BN kehilangan lagi beberapa kerusi, tidak berlaku gelombang penentangan dalaman UMNO. Ini adalah kerana UMNO sendiri mendapat penambahahan kerusi daripada 81 (dalam PRU-12) ke 88 bagi PRU-13.
Kehilangan tambahan 7 kerusi dan kehilangan undi popular dituding kepada tsunami cina, iaitu penolakan hampir total oleh pengundi Cina terhadap BN. 
Sekali lagi umat Melayu-Islam telah menyelamatkan UMNO-BN dengan memberi sokongan sekaligus menambahkan kerusi UMNO.
Dalam senario itu, kita sudah pasti meletakkan harapan Kerajaan UMNO-BN akan membalas jasa umat Melayu-Islam dengan penggubalan dasar yang akan memperkasa dan memartabat institusi Melayu-Islam.
Jadi apabila beberapa kerat pelampau perkauman dan cauvinis agama yang menduduki kerusi Majlis Konsultansi Perpaduan Nasional mengemukakan deraf Rang Undang-Undang ini kepada Kerajaan, timbul keresahan dikalangan umat Melayu-Islam.
Ini adalah kerana setelah diteliti, deraf tersebut tidak ada bezanya dari segi semangat, implikasi dan kesannya sebagaimana piagam Malayan Union yang di usulkan oleh penjajah British pada tahun 1946. Malah kesannya lebih parah dan serius daripada piagam Malayan Union!
Ini kerana deraf RUU ini memberi kesan negatif secara langsung dan tidak langsung kepada institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu.
Dan bila terbongkar dalang deraf RUU tersebut adalah ciptaan dan rekaan Bar Council, persoalan besar timbul dikalangan umat Melayu-Islam ialah, adakah pemimpin Melayu sedang tidur lena?
Adakah budi umat Melayu-Islam dalam PRU-13 dibalas dengan tuba? Adakah umat Melayu-Islam sedang dikhianati?
Kita tidak mahu timbul persepsi bahawa pemimpin Melayu begitu kemaruk mahukan undi daripada kumpulan extremis agama, pelampau perkauman dan cauvinis dikalangan neo-Melayu,  non-Melayu dan non-Muslim sehingga membelakangkan maruah, kepentingan dan warisan pusaka umat Melayu-Islam sendiri?
Adakah pemimpin Melayu tidak sedar bahawa mereka duduk dikerusi empuk Putrajaya atas keringat, airmata dan darah umat Melayu-Islam?
Sebab itu umat Melayu-Islam memberi ultimatum - SILA TOLAK RANG UNDANG-UNDANG INI DENGAN SERTA MERTA TANPA SEBARANG DOLAK-DALIK LAGI!
Jika tidak, saya cukup yakin dan pasti, sebagaimana berlakunya penentangan terhadap piagam Malayan Union pada tahun 1946, umat Melayu-Islam akan bangkit menentang RUU ini dengan menggunakan apa juga cara yang perlu menurut lunas undang-undang untuk memastikan ianya tidak berjaya.
Tidak Melayu hilang didunia
begitu pesan Laksamana Hang Tuah
bila maruah pusaka dihina nista
akan ditentang walau dengan nyawa & darah 
Wallahua'lam dan wassalam
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
15 Sya'ban 1435
13 Jun 2014
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Petikan daripada http://azrilmohdamin.com/2014/06/09/8-sebab-mengapa-ruu-harmoni-harus-diwaspadai-kandungannya/
8 SEBAB RUU HARMONI HARUS DI WASPADAI
Akta
 Hasutan 1948 [Akta no. 15] mempunyai latarbelakang sejarah dan alasan 
penggubalan yang signifikan di dalam usaha membina perpaduan dan 
keharmonian Negara. Undang-undang tersebut telah melindungi asas-asas 
Negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian 
Ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoalkan sama 
sekali termasuk oleh ahli-ahli Parlimen. Pada waktu akta tersebut 
digubal, kesemua kaum di Negara ini telah bersepakat mengenai 
kepentingan kewujudannya. Perkara-perkara yang dilindungi Akta tersebut 
juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.
Susulan
 pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri pada 30 
Mei 2014 berkenaan hasrat kerajaan memperkenalkan akta baharu yang akan 
menggantikan Akta Hasutan 1948 tiga deraf rang undang-undang berkaitan 
iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang 
Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang 
undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National 
Unity and Integration Commission Bill) (selepas ini dirujuk sebagai RUU)
 telah dikemukakan dan kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara.
Selepas
 artikel ini ditulis, nama-nama RUU tersebut telah dipinda dan sekarang 
dikenali sebagai RUU Jenayah kebencian (Hate Crime) Kaum dan Agama, RUU 
Harmoni dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.
Pada
 hakikatnya, wujud beberapa asas kukuh yang menjadi sebab kebimbangan 
masyarakat Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam, tentang beberapa aspek
 yang dicadangkan, sama ada dari sudut pemansuhan Akta Hasutan 1948, 
kandungan deraf RUU tersebut serta tujuan dan fungsi “Unfair 
Discrimination Tribunal” yang dinyatakan di dalam salah satu deraf RUU 
tersebut.
Berdasarkan
 pengamatan awal penulis, berikut digariskan secara ringkas 8 sebab 
mengapa RUU Harmoni tersebut perlu diwaspadai kandungannya dan tidak 
patut diterima sewenang-wenangnya:
PERTAMA
Hakikat
 bahawa penggubalan RUU yang sangat penting tidak dibincangkan dengan 
teliti dan dirujuk kepada pihak-pihak berkepentingan terlebih dahulu 
menimbulkan pertanyaan serius tentang motifnya. RUU tersebut melibatkan 
isu-isu berkaitan agama, perpaduan antara kaum dan sebagainya, namun 
demikian tidak disembahmaklum terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja. 
Deraf tersebut juga tidak dirujuk kepada Majlis-majlis Agama Islam 
Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi 
Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama (JMPKPA) dan 
lain-lain badan berkepentingan. Sebaliknya, badan-badan yang kurang 
kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates dibiarkan 
memonopoli perbincangan isi kandungan deraf RUU tersebut.
Malah,
 RUU tersebut yang disediakan Majlis Peguam, sebagai sebuah badan 
sekular, telah diserahkan terus kepada YB Nancy, lantas mengenepikan 
khususnya institusi-institusi keagamaan yang bakal terjejas secara 
langsung oleh penguatkuasaannya kelak. Ini jelas merupakan langkah 
provokasi yang boleh mencetuskan keresahan serta kebimbangan ramai 
pihak.
KEDUA
RUU
 tersebut mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut 
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri yang 
telah termaktub di Negeri-negeri sejak berabad. Kedudukan ini tidak 
pernah diganggu-gugat oleh British dan Kerajaan Persekutuan. Selain 
Perkara 3(1), Agama Islam telah dimartabatkan sebagai Agama Negara 
dengan diberikan berbagai kedudukan terhormat dan perlindungan 
Perlembagaan seperti Perkara 11(4), 12(2), 37(1), 74(2) Jadual 
Kesembilan, 121(1A) dan Perkara 150(6A). Hatta sebelum pengiktirafan 
seumpama ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan 
agama Islam telah terlebih dahulu diperundangkan di dalam Perlembagaan 
negeri-negeri, sebagai contoh peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri 
Johor 1865 dan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911. 
Malah,
 hakikatnya Perkara 3(1) merupakan fasal pertama yang menggunakan 
istilah ‘harmoni’ dalam Perlembagaan Persekutuan. Setelah mengiktiraf 
kedudukan Islam, prasyarat pengamalan agama-agama lain dinyatakan dengan
 jelas iaitu boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana 
bahagian Persekutuan (…other religions may be practised in peace and harmony in
 any part of the Federation). Hubung kait Perkara 3(1) ini membawa 
maksud bahawa Islam tidak boleh diketepikan di dalam membincangkan usaha
 mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara agama dan kaum.
KETIGA
RUU
 Perpaduan Nasional (“National Unity Bill”) menyatakan pada seksyen 2(2)
 bahawa “Nothing in this Act derogates from the provisions of Article 
153 of the Federal Constitution”. (Perkara 153 ialah berhubung kedudukan
 istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan 
kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain). Walaubagaimanapun RUU 
Perpaduan Nasional tersebut sendiri bercanggah oleh kerana seksyen 7 
menggunakan istilah-istilah seperti ‘racial superiority”, “exclusivity 
based on religion, belief, race…” dan “…maintaining exclusive control by
 persons of a particular religion, belief, race…”. Pada hakikatnya 
penggunaan istilah-istilah sebegini merupakan kritikan dan percubaan 
merubah Perkara 153. Penggubal RUU Perpaduan Nasional ini perlu 
diingatkan tentang Perkara 38(5) bahawa “Majlis Raja-raja hendaklah 
diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar 
mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153″. Penggunaan 
istilah-istilah tersebut di atas cenderung merujuk pada sentimen dan 
faham hak asasi manusia dan boleh mewujudkan salah tafsiran terhadap 
konteks peruntukan Perkara 3(1) dan 153 di Negara ini.
KEEMPAT
Kaedah
 penggubalan ketiga-tiga rang undang-undang ini bertentangan dengan 
norma penggubalan undang-undang Negara. Penggubal yang terlibat adalah 
Majlis Peguam, yang merupakan kelompok elit kecil yang telah 
mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja di dalam Majlis Konsultansi 
Perpaduan Negara (MPKN). Hanya 3 orang pemain utama terlibat di dalam 
penggubalan deraf rang undang-undang tersebut dan kesemua ahli-ahli lain
 di dalam MPKN telah tidak dirujuk secara sepenuhnya sebelum diserahkan 
kepada YB Nancy. Majlis Peguam yang hanya mempunyai kira-kira 12, 000 
ahli (yang juga tidak dirujuk apabila mereka mengeluarkan deraf RUU 
tersebut) tidak mewakili kelompok majoriti umat Islam di Negara ini yang
 akan menerima kesan langsung dari peruntukan-peruntukan RUU tersebut. 
Malah, Majlis Peguam mengisytiharkan organisasinya sebagai badan sekular
 justeru bukanlah pihak yang berkelayakan menyentuh isu-isu keagamaan. 
Sebagai pihak yang terlibat secara langung membuat pelbagai tuntutan hak
 asasi manusia yang tidak munasabah dan anti-agama, termasuk menerusi 
keanggotaan dan peranannya di dalam gabungan NGO hak asasi manusia 
(COMANGO) menjadikannya entiti yang tidak mempunyai kredibiliti untuk 
dirujuk berhubung usaha memupuk perpaduan dan keharmonian antara agama 
di Negara ini.
KELIMA
Di
 dalam mencanang tema perpaduan dan keharmonian Negara, ketiga-tiga RUU 
tersebut jelas lebih tertumpu pada niat menjulang hak kesamarataan 
menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tetapi gagal merujuk pada 
fasal-fasal utama lain di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan 
perkara-perkara asas yang membentuk Negara ini dan asas-asas perpaduan 
dan keharmoniannya, sebagai contoh, dengan memberikan tumpuan hanya 
kepada prinsip hak kesamarataan (‘equality’) yang bersifat mutlak, 
penggubal telah mengenepikan prinsip “positive discrimination” yang 
merupakan kekecualian Perlembagaan Perlembagaan itu sendiri yang 
dimaktubkan pada Perkara 8(2).
RUU
 tersebut juga mengenepikan kedaulatan Negeri-negeri dalam perbagai 
aspek hanya kerana terpaksa tunduk kepada prinsip kesamarataan yang 
terlalu umum yang dipegang oleh penggubal. Mereka yang telah menggubal 
deraf tersebut ternyata hanya menjunjung secara melulu 
konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular 
termasuklah International Convention of Elimination of All Forms of Racial Discrimination
 (ICERD), yang asal usulnya telah disandarkan pada sentimen anti-semitik
 dan pengalaman perkauman di Negara-negara Eropah. Anti-semitik 
merupakan suatu sikap permusuhan atau prasangka terhadap kaum Yahudi dalam
 bentuk-bentuk penganiayaan/penyeksaan terhadap agama, etnik, mahupun 
kelompok ras, mulai daripada kebencian terhadap individu sehingga 
lembaga. Ia termasuklah anti Yahudi, anti Israel dan anti Zionis. Dari 
sudut sejarah, orang Arab juga Semetik kerana menggunakan bahasa Semetik
 purba. Sesiapa bercakap mengenai soal Yahudi, bangsa mereka, mengenai holocaust atau
 berkias mengenainya – akan dicap sebagai anti-semitik atau anti-Yahudi.
 Fenomena yang paling terkenal akan anti-semitisme adalah ideologi 
Nazisme dari Adolf Hitler, yang menyebabkan pemusnahan terhadap kaum Yahudi Eropah.
 Sejarah dan latarbelakang ICERD ini ternyata sangat berbeza dengan 
sejarah, latarbelakang budaya Malaysia. Malah, Malaysia tidak 
meratifikasi ICERD dan tidak perlu tunduk pada konvensyen seumpama ini 
yang belum tentu merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan dan 
keharmonian Negara.
KEENAM
Tafsiran
 ‘belief’ dan “religion” atau kepercayaan dan agama pada seksyan 4 (1) 
RUU Perpaduan Nasional dinyatakan sebagai “any religious or 
philosophical belief and a reference to belief includes a reference to a
 lack of belief” dan “any religion and includes any belief or lack of a religious belief“.
 Oleh yang demikian, tafsiran ini membuka ruang yang boleh termasuk di 
dalam tafsirannya golongan yang tidak percaya Tuhan (atheist) dan 
kebebasan meninggalkan agama. Ini ternyata bercanggah dengan prinsip 
pertama rukun Negara iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Malah, tafsiran 
sebegni cenderung pada Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) 
yang apabila dibaca bersama-sama Artikel 18 International Covenant of Civil and Political Rights (ICCPR)
 mengiktiraf fahaman tidak bertuhan dan mengizinkan kebebasan beragama 
menurut kehendak individu, termasuk kebebasan meninggalkan agama atau 
murtad. Jika tafsiran yang loggar sebegini dibiarkan, fahaman 
kepercayaan sesat juga akan diiktiraf yang pada akhirnya akan 
mengakibatkan keresahan dan kacau bilau di kalangan masyarakat berbilang
 agama.
KETUJUH
Isu-isu
 di sekitar keharmonian antara agama dan kaum adalah terlalu penting 
untuk diserahkan hanya kepada sebuah tribunal yang dicadangkan di dalam 
deraf rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional. 
Fungsi sebuah “Unfair Discrimination Tribunal” yang dicadangkan di dalam
 rang undang-undang tersebut ternyata mengambilalih peranan institusi 
kehakiman dalam memutuskan isu-isu berkaitan perlembagaan, serta peranan
 Raja-raja Melayu sebagai ketua bagi agama Islam di negeri-negeri tanah 
Melayu.
Malah,
 jika diperhalusi, kuasa dan fungsi tribunal tersebut mengingatkan kita 
kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Comission
 atau IFC) yang telah ditolak sekeras-kerasnya cadangannya oleh pelbagai
 pihak khususnya NGO Melayu Islam dan kerajaan Pusat. Bahagian 3 di 
dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional yang dicadangkan 
menyatakan kuasa dan fungsi Suruhanjaya tersebut, dan memperuntukkan 
kuasa memberikan nasihat, membantu dan mengesyorkan kepada kerajaan 
(seksyen 13 (1) (i) untuk memantau kedudukan perpaduan nasional, 
integrasi dan non-diskriminasi dan kesamarataan dan ii) untuk menyemak 
undang-undang, peraturan, polisi dan amalan berkaitan untuk memastikan 
pematuhan RUU yang dicadangkan). 
Seterusnya
 Bahagian 4 RUU tersebut seolah-oleh mengenepikan peranan pihak berkuasa
 sedia ada oleh kerana seksyen 15 (3) membolehkan Suruhanjaya tersebut 
melakukan penyiasatan sendiri apa-apa keadaan yang difikirkan sebagai 
diskriminasi tidak adil. Ini jelas bertindan dengan Seksyen 298(A) Kanun
 Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan atas alasan agama 
yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau 
permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan 
pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan. Sekiranya peruntukan 
sebegini sudahpun wujud dan pihak berkuasa boleh melaksanakan 
penguatkuasaannya, maka tidak wujud keperluan untuk memberikan kuasa 
kepada Suruhanjaya tersebut.
KELAPAN
Seksyen
 23 di dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan integrasi Nasional tersebut 
memperuntukkan kuasa tribunal yang dicadangkan penubuhannya. Kuasa yang 
sangat luas tersebut termasuklah untuk memanggil mana-mana individu 
untuk memberikan keterangan apabila sesuatu perbicaraan sedang 
dijalankan tribunal. Ini sudah pasti membolehkan tribunal tersebut 
memanggil mana-mana pihak, khususnya daripada kalangan mereka yang 
berotoriti agama Islam, termasuk mufti dan para alim ulama’ untuk 
memberikan keterangan kepada tribunal tersebut, termasuk sekiranya 
dibuat pertuduan bahawa mereka menimbulkan suasana tidak harmoni dan 
kegelisahan antara agama. Aspek ini meletakkan hal ehwal Islam di bawah 
sebuah entiti yang tidak mempunyai kompetensi dan pengetahuan selayaknya
 mengenai Islam.
Perlu
 ditegaskan bahawa cadangan tribunal ini tidak wajar berselindung di 
sebalik usaha perpaduan dan keharmonian Negara untuk mengadjudikasi 
isu-isu sensitif berkaitan agama dan bangsa. Kita mempunyai insitusi 
kehakiman yang berwibawa untuk menangani isu-isu berkait perlembagaan. 
Isu-isu berkaitan perpaduan dan keharmonian tidak sepatutnya ditangani 
melalui cara legalistik semata-mata, oleh kerana realiti sejarah, 
kebudayaan dan latarbelakang keagamaan di Negara ini terlalu bermakna 
untuk diketepikan begitu sahaja.
Peranan
 dan tanggungjawab memelihara kedaulatan Negara meliputi tugas-tugas 
melindungi institusi Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Melayu, Agama 
Negara dan Kenegaraan dan hal ini merupakan asas utama yang termaktub di
 dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara ini tidak wajar sama 
sekali disentuh atas sebarang sebab sekalipun, memandangkan 
perkara-perkara asas ini terbukti berjaya memelihara keharmonian Negara 
dan kemajuan kepada semua bangsa selama ini.
Oleh
 yang demikian pihak Kerajaan Pusat digesa untuk mendengar kegusaran 
pelbagai pihak berhubung perkembangan ini, termasuk melihat semula 
secara serius keputusan memansuhkan Akta Hasutan 1948 berdasarkan 
perkembangan mutakhir yang berlaku. Jika kerajaan meneruskan hasrat 
untuk memperkenalkan ketiga-tiga akta baharu tersebut, maka kami 
menggesa penelitian yang lebih mendalam supaya usaha menghakis asas-asas
 kenegaraan tidak berlaku atas nama menjulang hasrat perpaduan dan 
keharmonian nasional.
Pada
 hakikatnya, jika asas-asas kenegaraan terus dirobek, hasrat melihat 
perpaduan dan keharmonian tidak akan berjaya, sebaliknya, generasi akan 
datang akan menderitai kehilangan jati diri kenegaraan berdasarkan 
kerangka Perlembagaan Persekutuan yang telah sekian lama dipupuk 
berdasarkan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Negara, kematangan 
hubungan antara kaum dan kemajmukan budaya dengan Melayu-Islam sebagai 
teras kenegaraan Malaysia.
AZRIL MOHD AMIN

No comments:
Post a Comment