13 November 2014

UNDANG-UNDANG GUBALAN KEHAKIMAN?


Adakah Seksyen 377B KK yang menghukum peliwat
boleh diisytiharkan tidak sah mengikut Perlembagaan
kerana ‘tidak munasabah’ sebagaimana Seksyen 66 EJSNS
yang menghukum maknyah, bapuk dan pondan?
Inilah implikasi keputusan Mahkamah Rayuan!
Salam 2 all.

Melarang lelaki berpakaian menyerupai wanita adalah hukum syara' yang qati' - tidak ada keraguan atau pertikaian padanya. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah saw bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW : عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء Maksudnya : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al Bukhari).

Bermakna Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang melarang dan menetapkan hukuman terhadap pesalah syarie' tersebut adalah menurut hukum Islam!

Kuasa dan bidangkuasa membuat undang-undang kesalahan syarie' ini adalah hak mutlak Dewan Undangan Negeri Sembilan menurut Artikel 74 dibaca bersama Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan.

Dan Mahkamah yang berbidangkuasa membicarakan dan menjatuhkan hukuman adalah Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Dan Mahkamah Sivil tidak boleh sama sekali mencampuri atau menganggu keputusan Mahkamah Syariah menurut Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jadi persoalannya bagaimana kes empat orang maknyah (Juzaili & 3 yang lain) yang telah dibicarakan dan disabit kesalahan oleh Mahkamah Syariah Seremban boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rayuan yang kemudiannya telah pada 07 Nov 2014 lepas mengisytiharkan Seksyen 66 EJSNS sebagai batal dan tidak sah menurut Perlembagaan?

Mengiktu proses kehakiman, sepatutnya maknyah-maknyah ini mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Negeri Sembilan terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban terhadap mereka. Tetapi sebaliknya mereka menggunakan 'pintu belakang' dan memfailkan permohonan semakan kehakiman mencabar keabsahan Seksyen 66 EJSNS di Mahkamah Sivil.

Dan dalam keadaan peruntukkan Perlembagaan dan undang-undang yang terang lagi jelas bahawa kuasa dan bidangkuasa membuat undang-undang jenayah syarie' adalah terletak dibawah DUN Negeri Sembilan dan bidangkuasa perlaksanaannya oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, bagaimana pula Mahkamah Rayuan Sivil boleh membatalkan Seksyen 66 EJSNS?

Jawapannya ialah apa yang saya sebut 'judicial law making' - 'penciptaan undang-undang kehakiman'.

Ini kerana Mahkamah Rayuan mengguna-pakai prinsip kemunasabahan - reasonableness dalam menilai undang-undang yang telah digubal dengan sahnya oleh badan pembuat undang-undang negara ini.

Prinsipnya mudah - jika Mahkamah merasakan bahawa sesuatu undang-undang itu tidak munasabah, Mahkamah akan mengisytiharkan ianya sebagai tidak sah!

Persoalan pertama yang timbul ialah bolehkah Mahkamah di Malaysia berbuat sedemikian? Sedangkan prinsip berkerajaan di Malaysia ialah prinsip pemisahan dan pengasingan kuasa antara 3 badan iaitu Parlimen (termasuk DUN) sebagai pembuat undang-undang, Kehakiman (sebagai penjaga (custodian) undang-undang) dan Eksekutif (sebagai pelaksana undang-undang).

Pada pendapat saya didalam kes Juzaili ini Mahkamah Rayuan telah melangkaui kuasa dan bidangkuasanya kerana dalam amalan kehakiman di Malaysia, Mahkamah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI membuat, mencipta atau menggubal undang-undang sendiri!

Persoalan kedua, apakah kayu pengukur yang digunakan oleh Mahkamah Rayuan dalam menentukan samada sesuatu undang-undang itu tidak munasabah?

Didalam kes Juzaili, ternyatakayu pengukur yang diguna-pakai oleh Mahkamah ialah dengan merujuk dan menggunakan prinsip dan amalan hak asasi manusia yang diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat Barat menurut amalan dan kehidupan mereka sebagaimana yang diperuntukkan didalam Deklarasi Hak Asasi Manusia yang Malaysia tidak tandatangani dan absahkan!

Pengamalan hak asasi barat ini tidak boleh diterima bulat-bulat disini kerana Malaysia adalah sebuah negara umat Islam sebagaimana diperuntukkan dengan jelas dibawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya kalau benar pun Mahkamah Rayuan mahu menggunakan prinsip kemunasabahan didalam menentukan keabsahan sesuatu undang-undang, kayu pengukurnya hendaklah berdasarkan dan mengikut prinsip-prinsip syariah dan undang-undang Islam; bukannya kayu pengukur barat!

Jika keputusan Mahkamah Rayuan diterima, maka banjiran-perundangan akan berlaku!

Contohnya dalam kes liwat terhadap Anwar Ibrahim yang dituduh dan disabit kesalahan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan. Adalah jelas ini adalah undang-undang yang telah digubal dan dikanunkan dengan sah oleh Parlimen Malaysia yang menjadikan liwat sebagai suatu kesalahan jenayah yang boleh dihukum berat oleh Mahkamah Jenayah Sivil.

Jika menerima pakai keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Juzaili yang mengguna-pakai kayu pengukur barat, maka adalah tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pihak membawa kes untuk membatalkan Seksyen 377B Kanun Kesiksaan sebagai melanggar Perlembagaan kerana 'tidak munasabah' berdasarkan prinsip Hak Asasi Kemanusiaan sebagaimana ditetapkan oleh barat melalui Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan; kerana barat sudah menerima amalan seks songsang, seks luar tabi'e dan kawin sejenis sebagai hak asasi mereka!

Tetapi jika kita menerima dan mengguna-pakai keputusan Mahkamah Rayuan itu, saya tidak menafikan bahawa pembatalan peruntukkan undang-undang yang melarang amalan seks songsang, seks bebas dan kahwin sesama jenis adalah suatu kebarangkalian yang hampir pasti boleh berlaku!

Persoalannya, adakah kita mahu memberi badan kehakiman kuasa membuat undang-undang seperti itu? Jawapannya pada saya jelas - TIDAK BOLEH - kerana Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa perundangan yang jelas - Pembuat (Parlimen), Penjaga (Mahkamah) dan Pelaksana (Eksekutif)! 

Prinsip pemisahan kuasa perundangan ini wajib dipelihara dan dikuatkuasakan dengan tegas!

Atas alasan-alasan diatas sahaja saya berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Juzaili tidak boleh diterima dan hendaklah ditolak.

Saya dengan ini menasihatkan Kerajaan Negeri Sembilan supaya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan itu dibatalkan.

Adioa amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
20 Muharram 1436
13 Nov 2014

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



Dipetik dengan izin daripada http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/738-ulasan-penghakiman-kes-muhamad-juzaili

CA NO-01-498 11/2012
MUHAMAD JUZAILI BIN MOHD KHAMIS DLL
V
STATE GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN DLL

ULASAN

Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad (Mantan Ketua Hakim Negara)

Saya telah membaca “Penghakiman Ringkas” Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut.

Fakta yang tidak dipertikikan adalah Perayu-Perayu adalah lelaki, beragama Islam dan menghadapi “a medical condition” yang dikenali sebagai “Gender Identity Disorder (GID)”. Oleh sebab keadaan itu, semenjak muda, mereka berkelakuan seperti perempuan, termasuk memakai pakaian perempuan.

Mereka telah ditangkap, dihadapkan ke Mahkamah Syari’ah dan dihukum beberapa kali di bawah seksyen 66 Enakment Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (EJSNS).

Mereka membuat permohonan di Mahkamah Tinggi meminta mahkamah mengisytiharkan seksyen 66 EJSNS bercanggah dengan Perlembagaan Persekutun dan, oleh itu, tak sah dan batal.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Mereka merayu ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan membuat peritah seperti yang dipohon oleh mereka.

Seksyen 66 EJSNS memperuntukkan:

Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tiga perkara perlu diambil perhatian dari awal ialah, pertama, mereka bukan merayu terhadap sabitan dan hukuman terhadap mereka oleh Mahkamah Syariah. Mereka memohon supaya Mahkamah Tinggi (Mahkamah Sivil) mengisytiharakn bahawa peruntukan seksyen 66 itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bidangkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Demikian juga bidangkuasa mengisytihar sesuatu undang-undang itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Oleh itu, dari segi bidangkuasa, permohonan itu adalah betul.

Kedua, tidak dipertikaikan bahawa kesalahan itu adalah satu kesalahan terhadap “perintah” (“precepts”) agama Islam yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri dan bukan “undag-udang jenayah” yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Ketiga, Mahkamah mendapati peruntukan Seksyen 66 itu tak sah bukan kerana ia “undang-undang jenayah” yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan, tetapi kerana ia melanggar Perkara 5(1) (kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2) (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak) dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara).

Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap perintah agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerena Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu.
Sebaliknya, mereka merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain, lebih-lebih lagi merujuk dan mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court Amerika Syarikat dan India.

Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat.

Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal megenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.

Mereka juga memakai prinsip “reasonableness” yang diketengahkan oleh Supreme Court India yang memberi kuasa kepada Hakim-Hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ianya “unreasonable”.

Itu sudah melanggar bidangkuasa Badan Perundangan (Parlimen).

Mahkamah hanya boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu tak sah jika ia bercanggah dengan Perlembagaan, bukan kerana pada pandangan seseorang Hakim undang-undang itu “unreasonable”.

Alasan-alasan yang diberi oleh mahkamah itu sangat luas implikasiya.

Apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara-negara sekular itu; apabila hukum syarak diukur dengan nilai-nilai liberal hak asasi ala-Barat; apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ianya “unreasonable” kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkann tak sah.

Menggunakan alasan-lasan yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih dari satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tak sah.

Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Nampaknya, apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku.

(Lihat kertas kerja saya “Hak Asasi Manusia: Peranan dan Fungsi Dari Perspektif Perlembagaan Malaysia.” (20 November 2013); “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (24 Januari 2014) dan “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (14 Oktober 2014), semuanya boleh didapati dalam laman web saya: www.tunabdulhamid.my

Sekian.
11 November 2014

No comments: