13 December 2010

WAKA WIKI-LEAKY LICKY

Salam 2 all.

Pendedahan oleh WikiLeaks baru-baru ini yang menyatakan bahawa Bahagian Risikan Australia dan Singapura mendedahkan mereka mempunyai "bukti teknikal" bahawa Anwar sememangnya mengamalkan kegiatan homoseksual dan dia "terperangkap dengan kegiatannya" sememangnya menggemparkan. WikiLeaks juga mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura, Senior Minister Lee Kuan Yew "mengetahui dan mempercayai Anwar mengamalkan kegiatan homoseksual".

Teman mengambil sikap bahawa sebarang maklumat daripada WikLleaks hendaklah ditapis terlebih dahulu. Ini adalah kerana ianya bersumber daripada golongan kafir. Surah Al Hujurat: 6 mengingatkan umat Islam (yang mafhumnya) "sekiranya datang kepada kamu sesuatu berita daripada golongan fasik maka janganlah kamu percaya (dan terus menerimanya), sebaliknya hendaklah kamu memeriksanya dahulu. Janganlah kamu bertindak terhadap sesuatu golongan akibat daripada itu, kelak nanti kamu yang menyesal".

Oleh itu teman mengambil pendirian untuk tidak menerima bulat-bulat apa yang didedahkan oleh WikiLeaks, sebaliknya hendaklah kita memeriksanya terlebih dahulu. Apatah lagi jika difikirkan begitu banyak maklumat yang diperolehi oleh WikiLeaks, tetapi tiada satupun mengenai zionis Israel la'natullah didedahkan. Sudah pasti komunikasi antara risikan Amerika dan zionis Israel berlambak-lambak, tapi sepatah haram pun tak disebut atau didedahkan. Ini menambahkan keyakinan teman maklumat daripada WikiLeaks perlu ditapis dan disahihkan terlebih dahulu.

Namun apa yang teman ingin bangkitkan disini ialah sikap pembohongan dan cakap tidak serupa bikin yang diamalkan oleh Anwar Ibrahim, pemimpin anugerah tuhan!

Pertama, apabila didedahkan bahawa Bahagian Risikian Australia (dan Singapura) mempunyai maklumat "bukti teknikal" pemimpin anugerah tuhan ini mengamalkan kegiatan homoseks dan mempercayai beliau memang terlibat dan terperangkap dalam amalan tersebut, Anwar terus mengambil sikap memaki dan mengkritik Australia (dan Singapura) sebagai telah "dibeli" oleh Malaysia!

Walhal baru sahaja minggu lepas apabila Ahli Parlimen Bebas Australia Senator Nick Xenophon (South Australia) dijaja sampai ke Parlimen kerana menyokong beliau. Malahan Anwar penuh kagum menyatakan Australia menyokong beliau kerana beberapa Ahli Parlimen Australia menyokong beliau, walaupun latarbelakang mereka sangatlah meragukan. Antaranya Senator Michael Danby, seorang pejuang hak golongan gay/ lesbian. Kemudian Senator Bob Brown, seorang atheist yang tidak percayakan tuhan atau apa-apa agama. Juga Senator Malcolm Turnbull, seorang pejuang perkahwinan sama seks (kahwin laki dengan laki, perempuan dengan perempun). Itu latarbelakang antara Ahli Parlimen Australia yang menyokong Anwar pemimpin anugerah tuhan.

Dan Anwar berkokok keliling kampung mengisytiharkan Australia menyokong beliau. Tetapi bila WikiLeaks mendedahkan Australia mempunyai "bukti teknikal" beliau mengamalkan kegiatan homoseks, dan terperangkap dengan kegiatan itu, tiba-tiba pemimpin anugerah tuhan ini membuat u-turn dan memaki Australia konon telah dibeli oleh Malaysia. Inilah politik cakap tak serupa bikin pemimpin anugerah tuhan ini. Kalau menyokong dia, very good! Tapi kalau menentang dia, very bad!!

Kedua, teman masih ingat bagaimana untuk meyakinkan kami dahulu berkenaan 16 September, Anwar memberitahu teman bahawa Bahagia Risikan Singapura (dan Indonesia) mengesahkan kepada beliau bahawa beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (termasuk UMNO) akan melompat kepada Pakatan pembangkang. So don't worry, by 16th Sept we will take over Putrajaya!! 

Anwar tahu mustahil untuk kami membuat cross-check untuk mengesahkan maklumat itu. Takkan kami nak pergi jumpa Bahagian Risikan Singapura & Indonesia. Kita pun tak tahu nak hubungi siapa. Satu kesilapan besar yang teman sedar sekarang ialah kami percaya bulat-bulat apa yang Anwar kelentong, tanpa periksa terlebih dahulu. Teman harap kawan-kawan dalam PAS tidak melakukan kesilapan yang sama.

Rupa-rupanya pendedahan WikiLeaks membongkar sebaliknya. Selama ini Singapura (dan Australia) memantau kegiatan homoseksual pemimpin anugerah tuhan ini. Dan mereka ada "bukti teknikal" mengenai kegiatan itu! Apa yang merisaukan teman apa 'bukti teknikal' yang Bahagian Risikan Singapura ada tentang kegiatan homoseksual itu? Adakah dalam bentuk video, gambar, dokumen dan lain-lain? Apakah benar mereka ada 'bukti teknikal' itu? Dan adakah mereka akan menggunakannya untuk memeras ugut dan akan meletakkan keselamatan negara dibawah ancaman jika pemimpin anugerah tuhan itu menjadi pemimpin negara?

Apapun, yang penting bagi teman pendedahan itu membongkar pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin anugerah tuhan ini. Ini penting kerana ada yang bertanya kenapa selama ini teman menyokong pemimpin anugerah tuhan ini dan tidak berkata apa-apa. Sebenarnya teman selama ini tidak sedar bagaimana kami semua dikelentong oleh Anwar. Termasuk berkenaan 16 Sept dan banyak lagi lain-lain hal yang kini teman tahu adalah suatu pembohongan semata-mata. Tun Mahathir pun boleh kena kelentong dengan pemimpin anugerah tuhan ini dekat 20 tahun! Inikan teman kena kelentong 12 tahun!!

Perjuangan Islam yang kononnya diperjuangkan selama ini juga terbukti suatu pembohongan apabila untuk mencapai impian menjadi Perdana Menteri, dan kerana memerlukan sokongan DAP, maka PAS diperdaya untuk menerima Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang bulan Disember 2009 yang menyatakan agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam agenda Pakatan Pembangkang jika mereka memerintah. Ini semua terbongkar akhir-akhir ini. Dan yang sedihnya ada pak jangoat memperdaya kepimpinan dan ulama' PAS untuk menerimanya, hanya kerana bernafsu nak menduduki kerusi Putrajaya!

Apapun yang jelas, kesan pendedahan WikiLeaks itu membongkar dan membuktikan sifat dan perangai sebenar pemimpin yang ditabal oleh bininya sebagai anugerah tuhan; iaitu manusia yang cukup kuat pembohongan politiknya dan cakap tak serupa bikin. Doa teman semoga kepimpinan dan ulama' serta ahli PAS akan segera menyedari mereka sedang dibawak "syibran-bissyibrin", selangkah demi selangkah ke lubang biawak. Kembalilah kepangkal jalan, kembalilah kepada perjuangan Islam berdasarkan Al Quran & Sunnah. Bantulah agama ALLAH dengan petunjuk Al Quran & Sunnah, dan ALLAH akan  membantu perjuangan Islam.

Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Rabu

09 Muharram 1432

15 Disember 2010

*Nota: gambar Senator Michael Danby, Ahli Parlimen Australia yang memperjuangkan hak gay & lesbian dan antara yang paling kuat menyokong Anwar pemimpin anugerah tuhan!

10 December 2010

PAKATAN SYAITAN BERMULA!

(Pakatan Syaitan mahu merampas Putrajaya dengan apa cara sekalipun)

Salam 2 all.

Tidak berapa lama dahulu, teman ada menulis tentang satu Pakatan Syaitan yang dibuat oleh pucuk pimpinan PKR-DAP tanpa pengetahuan PAS, dan ramai kepimpinan dan ahli PKR sendiri. Antara lain teman sebut Pakatan Syaitan itu antaranya ialah:

1. Kepimpinan DAP akan diberi kuasa autonomi untuk memerintah Pulau Pinang;

2. Kepimpinan DAP akan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri;

3. DAP akan diberi kuasa memerintah dan menjadi Menteri Besar di Perak dan Negeri Sembilan selain terus memegang kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang; juga beberapa kerusi Exco termasuk Exco agama akan diberikan kepada wakil rakyat DAP berbangsa Melayu;

4. Bagi maksud itu, DAP akan memasang strategi meletakkan beberapa calon berbangsa Melayu kerana bagi jawatan Menteri Besar, Perlembagaan negeri-negeri jelas memperuntukkan hanya mereka yang berbangsa Melayu boleh dilantik menjadi Menteri Besar;

5. Strategi awal ialah untuk juga meletakkan beberapa calon Melayu untuk bertanding dikawasan selamat bagi kerusi Parlimen untuk membolehkan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan terlebih dahulu kepada calon DAP Melayu untuk mengelakkan sensitiviti bangsa Melayu bergolak jika Pakatan Pembangkang memerintah. Hanya setelah keadaan reda dan mereka telah menguasai jentera dan institusi Kerajaan Persekutuan barulah Kitsiang akan ditabal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun pada awalnya mereka bukan sahaja menafikan pendedahan Pakatan Syaitan itu, malah memaki hamun teman dengan pelbagai makian (tanpa menjawab isu yang teman bangkitkan), akhirnya beberapa fakta yang mula berlaku menunjukkan apa yang teman sebut itu adalah benar.

Jelas daripada kenyataan Anwar pemimpin anugerah tuhan yang tanpa berselindung lagi mengisytiharkan wahyu bahawa jika Pakatan Pembangkang menang maka Kitsiang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Walaupun dibantah oleh kepimpinan PAS, malah Ketua Dewan Ulama' Dato' Harun Taib mengherdik Anwar kerana tidak menghormati kepimpinan Pakatan dengan membuat keputusan yang belum pun dibincangkan, namun pemimpin anugerah tuhan itu berkeras dengan rancangan mahu melantik Kitsiang sebagai TPM. Ianya suatu penghinaan kepada kepimpinan PAS khususnya YB Tuan Guru Haji Hadi yang kelihatan saperti dibakulsampahkan oleh pemimpin anugerah tuhan ini!

Terbaru DAP Selangor juga telah menyusun strategi dengan melantik Melayu kedalam Jawatankuasa DAP Negeri Selangor. Ean Yong Hian Wah, Setiausaha baru DAP Selangor membuat kenyataan tadi bahawa "lima ahli jawatankuasa baru yang dilantik adalah Azman Masri (ahli majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Ganabatirau Veraman (peguam, aktivis dan ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam dan bekas tahanan ISA), Lee Kee Hiong (ahli majllis Majlis Perbandaran Kajang), Ang Leng Kiat (ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Lwi Kian Keong (ahli majlis Majlis Perbandaran Sepang)”.

Dalam memasang strategi ini, kepimpinan DAP-PKR akan berkokok menyatakan DAP adalah parti multi-etnik yang sedang melakukan perubahan dan reformasi. Mereka sudah bersedia membuka pintu untuk bukan Cina khususnya Melayu menyertai dan menganggotai parti DAP dan akan diberi ruang dan peluang memegang jawatan tinggi termasuk menjadi calon pilihanraya. Mereka akan berkokok inilah sinar baru politik tanpa perkauman, walaupun merekalah sebenarnya bapak segala cauvinis dan rasis sejarah negara pernah lihat.

Selanjutnya mereka akan korbankan beberapa pimpinan kanan DAP berbangsa Cina kononnya untuk memberikan laluan kepada muka baru termasuk dari kalangan Melayu. Mereka akan dakwa ini adalah bukti serius mereka untuk mengetengahkan bangsa selain Cina terutamanya Melayu, sehingga mereka sanggup mengenepikan pimpinan Cina yang sudah lebih senior dan veteran.

Dan yang paling canggih mereka sudah atur beberapa pak jangoat untuk mengiyakan dan mena'amkan apa yang mereka lakukan. Mike semua jangan terkejut kalau ada pak jangoat yang yang mengembik mengalu-alukan transformasi DAP ini dan bukti bahawa DAP sudah berubah. Yang tidak berubahnya kata mereka ialah UMNO dan BN. DAP sudah insaf sejak menerima tarbiyyah dari pak jangoat-pak jangoat. Maka nanti bertakbirlah para pak jangoat mengusung calon DAP dalam pilihanraya nanti.

Teman berharap mike semua, khususnya umat Islam bangsa Melayu, agar tidak termakan dengan sandiawara terbaru ini. Janganlah kelak nanti kerana keghairahan melampau kita untuk memahkotakan diri di Putarajaya, akhirnya nanti kita yang rugi ternganga kosong.

Nampak gaya kepimpinan DAP telah mula mengatur strategi untuk memenuhi Pakatan Syaitan itu. Teman mendedahkan ini kerana berharap para pak jangoat semua yang terkilau bak kalkatu dengan cahaya mahkota Putrajaya supaya jangan esok bila dah terjadi baru nak ternganga mulut melopong. Ingatlah pesan ALLAH bahawa kafir sentiasa tidak redho dengan kita umat Islam dan sentiasa mereka mencari jalan dan strategi untuk merosakkan kita, "walan tardho ankal yahuudu walan nasooro hatta tat tabi'a millatahum; sesungguhnya Yahudi & Nasara (golongan kafir) sekali-kali tidak redho dengan kamu selama-lamanya sehinggalah kamu mengikut kehidupan mereka- Al Baqarah: 120".

Terbaru teman mendapat maklumat Pakatan Syaitan diantara kepimpinan PKR dan DAP telah memutuskan untuk sabotaj pilhanraya umum akan datang. Dalam perbincangan sulit yang diadakan baru-baru ini, mereka membuat keputusan sekiranya YDP Agong membubarkan Parlimen dan mengisytiharkan Pilihanraya Umum Ke 13, maka mereka akan melakukan beberapa perkara.

Apakah yang akan mereka lakukan? Apa rancangan mereka? Insyallah teman akan dedahkan dalam masa terdekat ini tentang Pakatan Syaitan ini yang sedang merancang satu Pakatan Luar Tabi'i - atau singkatannya PALAT!

Adios amigos, grasias senor & senorita.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
03 Muharram 1432
10 Disember 2010

09 December 2010

LABBAIKALLAH SAIFUL


Salam 2 all.

Labbaikallah hummalabbaik..labbaikala syarii kala-kalabbaik. Innalhamda, wanni'mataa, lakawalmulk, laa syariikalak. Ini wajah terbaru Tuan Haji Saiful Bukhori Azlan. Gambar beliau semasa mengerjakan haji yang baru lepas. Pergi menunaikan rukun Islam kelima sambil menemani nenek kesayangan. Wajah ketenangan dengan tanda sujud yang jelas didahi.

Teman memilih menulis perkara ini kerana teman masih ingat ada dikalangan pak jangoat dok bawak cerita Saiful dah lumpuh. Saiful dah kena sopak. Saiful dah tak boleh berjalan. Saiful badan penuh kudis buta. Saiful dah terbaring dengan mulut berbuih. Saiful dok terbaring menyebut-nyebut nama Bang Non..Bang Non. Saiful dok berjalan macam orang tak waras nak mintak ampun dengan pemimpin anugerah tuhan. Semuanya berpunca daripada tohmahan konon Saiful telah terkena laknat ALLAH akibat sumpah muhabbalah yang dibuat Saiful.

Saiful telah bersumpah menegaskan bahawa pemimpin anugerah tuhan telah meliwatnya. Sumpah dibuat di Masjid Wilayah Persekutuan. Dipancarkan oleh media dalam negara dan peringkat antarabangsa. Saiful menegaskan jika sumpahnya tidak benar maka laknat ALLAH keatas dirinya, dan keluarganya!

Maka pak jangoat semua menunggu laknat ALLAH keatas Saiful. Pelbagai cerita dongeng dibawa. Malah pemimpin anugerah tuhan sendiri pernah memberitahu bahawa Saiful ini tinggal masa saja untuk hancur dilaknat, begitu pemimpin anugerah tuhan ceritakan bagaimana golongan agamawan mengkhabarkan kapada pemimpin anugerah tuhan yang menyampaikannya pula kepada teman. Maka ramailah para pak jangoat yang dengan bodoh mengangguk dan mena'amkan patwa pemimpin anugerah tuhan itu; dan menunggulah para pak jangoat untuk laknat itu turun.

Tapi gambar-gambar yang dipaparkan disini menceritakan seribu kisah sebaliknya. Bukan sahaja tiada laknat. Sebaliknya wajah Saiful makin berseri dengan ketenangan. dan tanda sujud yang jelas. Berlatarbelakangkan Ka'bah, di Masjidil Haram. Diatas Jabbal Nur tempat turunnya wahyu menadah tangan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa sambil mata memandang tepat ke Baitullah. Bertawaf sambil mengiringi nenek yang sudah uzur; ditempat paling suci didunia ini. Rumah ALLAH, Baitullah. Langsung tiada tanda ia dilaknat, malah semakin mendapat keberkatan.

Dan dimana pemimpin anugerah tuhan? Dengan wajah yang semakin keruh dan kerut. Parti yang semakin hancur. Penyokong yang makin menjauhkan diri. Rakyat yang mula menyedari pembohongannya. Umat yang insaf tembelangnya. Kawan yang makin tersedar kelentongnya. Hanya golongan kafir yang makin merapati. Hanya penyokong antarabangsa termasuk dari golongan gay terus menyokong. Dan hari ini diisytihar oleh bini sendiri sebagai pemimpin anugerah tuhan. Apakah kelak nanti akan mengikut jejak Fir'aun, "ana robbukumul a'laa!!"? Na'uzubillah min zalik!!

Kepada Saiful, nasihat teman bersabarlah, tetapi istiqomah. Ingatlah pesan Rasulullah saw, do'a seorang yang dianiaya tiada hijabnya dengan ALLAH. Pasti ALLAH akan maqbulkan. Jangan lupa do'a itu senjata muqmin. Berdo'alah..aamantubillah summastaqeem - berimanlah kepada ALLAH, dan istiqomahlah. Kebenaran pasti akan datang jua insyallah. Mereka merancang dengan pelbagai rancangan, tetapi yakinlah ALLAH juga Maha Perancang, dan rancangan ALLAH mengatasi segalanya.

Kepada para pak jangoat, hentikanlah kerja fitnah dan tak berfaedah ini. Mengata dan mengumpat adalah perbuatan keji lagi terkutuk. Ianya termasuk golongan dilaknat ALLAH. Cukuplah para pak jangoat menghina ALLAH dengan memartabatkan manusia yang dituduh meliwat sebagai pemimpin anugerah tuhan. Cukuplah menggadaikan anak isteri untuk dagangan politik. Cukuplah menghina dan meludah bangsa sendiri. Cukuplah dengan menjual nama ALLAH Maha Esa untuk disyirikkan. Cukuplah menghalalkan hasil arak. Cukuplah semua itu. Jangan ditambah dengan dosa umpat dan fitnah. Kelak nanti kamu tidak terpikul bebannya diakhirat. Beban yang pemimpin anugerah tuhan pun tidak akan dapat menolong kamu. Bertaubatlah sebelum terlambat!

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
03 Muharram 1431
09 Disember 2010

SURAU AL FALAH


(Madarasatul Falah, Kg. Kerinci)
Salam 2 all.

Teman sangat dukacita dengan cadangan dan ura-ura Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk merobohkan surau Madarasatul Falah, Kg. Kerinci, Kuala Lumpur. Notis perobohan yang dikeluarkan bertarikh 10.11.2010 berakhir pada hari ini. Teman mendapat maklumat kononnya perobohan itu akan dibuat dalam beberapa hari ini dan dibuat atas nama pembangunan!

Teman membantah cadangan perobohan tersebut. Ini adalah kerana surau Madrasatul Falah telah ujud lebih daripada 12 tahun sejak 1998 lagi dan menjadi surau utama penduduk sekitar. Dan yang lebih pelik baru dua bulan lepas surau Madrasatul Falah mendapat peruntukkan daripada DBKL untuk mengecat dan membaik pulih surau.

Pihak DBKL sepatutnya lebih telus dan bertanggungjawab dalam hal ini. Teman cadangkan supaya pihak DBKL mengadakan pertemuan dengan AJK dan anak kariah surau Madrasatul Falah, dan lebih baik kalau wakil Jabatan Agama Islam Wilayah juga dijemput. Sekiranya benar ianya perlu dirobohkan, apakah alternatif yang disediakan kepada anak kariah? Dan adakah jaminan surau baru akan dibina bagi menggantikan surau tersebut jika benar ianya perlu dirobohkan?

Insyallah teman sedang berusaha untuk mendapat penjelasan daripada pihak pengurusan DBKL berserta Kementerian dan lain-lain pihak yang bertanggungjawab insyallah. Jika perlu teman akan meminta pihak DBKL dan JAWI mengadakan pertemuan dengan AJK dan anak kariah surau tersebut dalam masa terdekat ini. Sebarang maklumat akan teman salurkan secepat mungkin insyallah.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
03 Muharram 1432
09 Dis 2010

08 December 2010

SEMAKIN TERUK!

(Nick Xenophon bersama pemimpin anugerah tuhan & juak-juaknya)

Salam 2 all.

Siang tadi teman terlihat seorang Ahli Parlimen Australia di lobi Parlimen. Teman kenal Ahli Parlimen tersebut sebagai Nick Xenophon, seorang senator daripada Selatan Australia. Beliau adalah seorang Ahli Parlimen Bebas di Australia dan terkenal dengan kempen anti-judinya semasa pilihanraya Australia dahulu. Beliau juga adalah seorang peguam yang mempunyai firma sendiri. Ekor ceritanya beliau di angkut kesini oleh pemimpin anugerah tuhan untuk menghadiri perbicaraan liwat abad ke 21.

Teman pun tak tahu apa tujuan beliau dibawa kemari. Kalau ikut strategi yang teman tahu dibuat oleh Anwar dahulu, ialah dengan menggunakan sebanyak mungkin sokongan luar untuk memberi tekanan kepada Mahkamah dan Kerajaan untuk membatalkan kes liwatnya. Itu strategi yang kami buat dahulu, dan teman rasa taktik yang sama digunapakai sekarang.

Cuma teman tak sempat nak jumpa dengan Nick Xenophon tadi. Kalau jumpa tadi teman nak tanya dia tahu atau tidak siapa yang luluskan lesen judi di Sabah dan Sarawak dahulu. Sebab teman tau Nick ni memang gila babi punya anti judi. Dan teman nak tanya Nick dia tahu atau tidak pemimpin anugerah tuhan itu dituduh meliwat staf dia sendiri. Staf yang dia interview sendiri, dia bayar gaji, dan staf yang dia bawak ke Hong Kong, Bangkok & Singapura walaupun kerja dia hanya "bancuh kopi" aje katanya!

Dan samada Nick tahu dua lagi staf pemimpin anugerah tuhan itu membuat lapuran polis dipaksa membuat surat sumpah palsu untuk diguna oleh pembelaan Anwar, termasuk untuk memalukan YAB PM dan isteri! Teman juga nak tanya Nick samada dia tahu salah seorang Ahli Parlimen pemimpin anugerah tuhan ini mengaku pernah membuat gambar palsu YAB PM kononnya dengan Altantuya. Dan samada Nick tahu salah seorang Ahli Parlimen parti pemimpin anugerah tuhan ini pernah disabit kesalahan menggigit polis!!

Oh ya, jangan lupa Nick Xenophon ni juga adalah antara penentang kuat terhadap industri minyak sawit Malaysia yang didakwanya tidak sihat dan tidak baik untuk kesihatan manusia. Malah dia menganjurkan rang undang-undang dalam parlimen Australia yang menyasarkan terhadap minyak sawit.

Teman pelik dengan pemimpin anugerah tuhan ini. Sampai beriya-iya membawa orang asing untuk menghadapi pertuduhan liwat yang dihadapi. Lawan saja lah kes tu macam mana orang lain. Peguam ada, ramai pulak tu. Ni asyik tangguh je. Kan ada hadis Melayu, berani kerana benar. Takut kerana salah. Kalau rasa diri benar, apa yang takut sangat?

Susah-susah ikut aje nasihat bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin. Sumpah aje nafikan tuduhan Saiful. Lagipun Saiful dah bersumpah. Malah masa mengerjakan haji baru-baru ni pun ramai jemaah mendengar sendiri bagaimana Saiful sekali lagi mengulangi dakwaan Anwar meliwat beliau! Kat Mekah yop, bukan depan buah haji papan dam yop.

Kan senang Anwar bersumpah aje menafikan tuduhan Saiful. Lagipun kata Azizah bini Anwar yang juga mak kepada Naib Presiden merangkap Presiden parti Anwar bahawa Anwar adalah pemimpin anugerah tuhan. Sumpah ajelah guna nama tuhan tu!! Setel..habis citer. Kalau betul, Saiful akan dila'nat ALLAH. Kalau tak betul, tunggu ajelah la'nat ALLAH pulak. Tapi takkan pemimpin anugerah tuhan nak kena laknat kot, jadi apalah nak ditakutkan?

Ni sampai habis segala kapir di angkut untuk membela beliau. Sampai sikapir cauvinis Kitsiang pun nak dilantik jadi TPM! Janji sokong pemimpin anugerah tuhan ni untuk jadi PM. Teman ingat lagi beberapa bulan lepas seorang Ahli Parlimen Australia begitu kuat menyokong beliau. Bila check tengok rupanya Ahli Parlimen tersebut, iaitu Michael Danby, adalah penyokong kuat rejim Israel la'natullah dan tokoh hak asasi kaum gay/lesbian!

Seorang lagi penyokong Anwar di Parlimen Australia ialah seorang Ahli Parlimen gay yang terawal di Australia, iaitu Senator Bob Brown. Beliau juga adalah dari golongan yang tidak percaya kepada agama, atau dikenali sebagai atheist. Dan seorang lagi penyokong Anwar di Parlimen Australia ialah Malcolm Turnbull, terkenal kerana menyokong penggunaan pil untuk pengguguran bayi. Kita tak lupa seorang lagi penyokong kuat pemimpin anugerah tuhan ini iaitu Paul Wolfowitz, "pembunuh" umat Iraq yang tangannya bergelumang dengan darah umat Islam di Iraq!

Teman tahu apa dalam kepala otak Anwar; dia risau bila Perdana Menteri baru Australia Gillard datang melawat Malaysia baru-baru ni langsung tak sebut pasal betapa beruntungnya Malaysia dapat pemimpin anugerah tuhan macam yang Azizah sebut. Begitu juga bila Hillary Clinton datang langsung tak berjumpa dengan Anwar sebagaimana yang dibuat oleh Al Gore dahulu. Ini semua merisaukan Anwar. Setelah rakyat Malaysia mula hilang kepercayaan dengan beliau dengan terdedahnya banyak pekung dan tembelang dia, pemimpin anugerah tuhan ni sangat khuatir kalau-kalau kawan-kawan asing dia pun hilang kepercayaan.

Tapi percayalah, bawaklah berapa lori pun kawan asing datang menyokong. Yang pastinya rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama sudah mula muak dengan "politikus yang terlampau" ini, dan teman cukup yakin rakyat Malaysia sudah cukup matang dan dewasa untuk membuat keputusan menolak politik melampau pemimpin anugerah tuhan ini tanpa perlu campurtangan puak asing!

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
02 Muharram 1432
08 Disember 2010

07 December 2010

HIJRAH

Tola'al badru 'alayna,
min thani yaatil wada',
wajabbasy syukru 'alaina,
mada a' lillah hi da',
ayyuhal mab'uthufiina,
ji'tabil amril muto',
ji'ta syarraftal madiina,
marhaban ya khayro da'

Salam 2 all.

Hari ini Selasa 01 Muharram 1432, bersamaan dengan 07 Disember 2010, hari yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia sebagai mengenang peristiwa hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Hijrah demi menyelamatkan aqidah dan syariat, bukan demi kuasa dan kedudukan! Alhamdulillah kebetulan di hari penuh mulia menyambut Ma'al Hijrah 1432 ini, bertepatan dengan artikel ke 1000 teman menulis dilaman www.zul4kulim.blogpspot.com. Dan teman memilih untuk mengupas tentang konsep hijrah sebagai penulisan ke 1000 ini insyallah.

Rasulullah di utus membawa risalah tauhid, memperbetulkan aqidah manusia yang telah sesat. Bukannya kaum musyrik tidak menyembah ALLAH, malah ALLAH adalah tuhan yang dipertuhankan mereka. Tetapi mereka mensyirikkan ALLAH dengan ketuhanan lain, menghalalkan apa yang ALLAH haramkan, mengharamkan apa yang ALLAH halalkan!

Mereka membina patung Latta wal 'Uzza dirumah ALLAH, mereka menghalalkan pembunuhan dan penghapusan anak perempuan, mereka memperdagangkan wanita, mereka menghalalkan arak, mereka mereka bersekongkol dengan Yahudi untuk menjahanamkan risalah Rasulullah, mereka mengharamkan hubungan dengan Rasulullah kerana ketaksuban kepada kesukuan dan kepemimpinan mereka, mereka membezakan manusia kerana taraf kedudukan dan assabiyyah kesukuan, dan mereka menolak kebenaran kerana gilakan kekuasaan dan kepimpinan.

Mereka menawarkan kepada Rasulullah wanita tercantik sebagai teman, mereka menawarkan harta kekayaan sebesar Uhud, dan mereka menawarkan Rasulullah mahkota kekuasaan. Malah mereka menawarkan kepada Rasulullah untuk Islam dan syirik hidup harmoni berganding bahu bersaling tangan. Hanya dengan satu syarat, tinggalkan perlaksanaan Islam secara syumul, tinggalkan ketauhidan hanya kepada ALLAH, pendekkata tinggalkan Islam yang sebenarnya!!

Alhamdulillah Rasulullah tidak memilih berselindung disebalik topeng siasah syara'iyyah untuk bersekongkol dengan musyrikin untuk mencapai matlamat Islam. Alhmadulillah Rasulullah tidak mengamalkan sikap "nikah dulu berbalah kemudian". Alhamdulillah Rasulullah tidak terkagum dengan kilauan kekuasaan dan kedudukan. Alhamdulillah Raulullah berpegang tegas kepada Al Quran dan perintah ALLAH. Alhamdulillah Rasulullah tidak mengiyakan mereka mencemar nama ALLAH dengan kesyirikan hanya untuk mendapat sokongan mereka. Alhamdulillah Rasulullah tidak gadaikan anak perempuan dan isteri Baginda untuk pertaruhan kedudukan. Alhamdulillah Rasulullah tidak mengangguk na'am untuk mereka terus membina patung kesyirikan atas nama politik perpaduan. Alhamdulillah Rasulullah tidak menghalalkan hasil arak atas nama kesepakatan politik. Alhamdulillah Rasulullah tidak memilih bersekongkol dengan kafir musyrikin demi mengejar impian kekuasaan.

Sebaliknya apa jawab Rasulullah! "Andai mereka memberikan matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiriku, namun meninggalkan perjuangan Islam tidak sama sekali!". Rasulullah berpegang kepada firman ALLAH, "Tegaskanlah kepada kaafiruun itu wahai Muhammad, aku tidak sembah tuhan yang engkau sembah, engkau tidak sembah ALLAH yang aku sembah, aku tidak beribadah cara engkau beribadah, engkau tidak beribadah dengan cara aku beribadah. Untuk engkaulah kehidupan beragama engkau, untuk aku kehidupan beragama aku!!". Begitu ketegasan Rasulullah berdasarkan Al Quran dan perintah ALLAH, walaupun dari segi politik siasah syara'iyyah tindakan Rasulullah kelihatan saperti merugikan. Apa salahnya bersekongkol dulu dengan kaafirun itu, dapatkan kuasa dan kedudukan dulu, lepas itu kita sembang lain pasal Islam. Buat masa ni kita jadi syaitan bisu dulu. Jangan cakap pasal Islam, jangan pakai kopiah serban pun, nanti nampak macam politikus kolot dan kekampungan. Biar kita ada style dengan kot & tie.

Tidak, Rasulullah berpegang tegas kepada firman ALLAH. "Kamu tidak akan berjumpa (wahai Muhammad dan umat Islam) akan suatu kaum (atau kumpulan atau parti) yang mengaku beriman kepada ALLAH, tetapi memilih untuk berkasihsayang dengan orang (atau kumpulan atau parti) yang menentang ALLAH dan RasulNya, sekalipun orang (atau kumpulan atau parti itu) adalah bapak-bapak mereka, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun ahli keluarga mereka (termasuk laki atau bini mereka)". Firman ALLAH selanjutnya, "tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan satu kaum (kumpulan atau parti) yang dimurkai ALLAH sebagai kawan? Mereka itu bukan dari golongan kamu, dan kamu pula bukan dari golongan mereka. Dan mereka bersumpah (berpakat) untuk memperkuatkan pembohongan mereka, sedang mereka mengetahui!".

Dan Nabi saw mengingati kepada amaran ALLAH, "Syaitan telah meguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati ALLAH (termasuk lupa kepada perjuangan Islam), mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi!". Dan tegas ALLAH bahawa "ALLAH telah menetapkan: Aku dan rasul-rasul Ku pasti menang". "Sesungguhnya orang-orang yang menentang ALLAH dan RasulNya termasuk orang-orang yang sangat hina!" (Rujuk surah Al Mujaadilah 14-22).

Dan Rasulullah tidak menerima "Pakatan Syaitan" itu. Walaupun "Pakatan Syaitan" itu akan memberikan Rasulullah kedudukan, kekuasaan dan kekayaan. Rasulullah tidak menopengkan perjuangan Baginda disebalik gendang "siasah syara'iyyah". Rasulullah memilih untuk berhijrah. Berhijrah daripada kejahilan, kebatilan, ketaksuban dan kesyirikan kepada kebenaran, keilmuan, dan perhambaan hakiki hanya kepada ALLAH swt.

Yang baik dan hak itu datangnya dari ALLAH, yang tidak itu datangnya dari kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH memberikan petunjuk, hidayah, istiqomah dan keampunan. Ameen ya robbal 'alameen.

Salam hijrah. Afsyussalaam..sebarkanlah salaam. Perkukuhkanlah persaudaraan dan ukhwah. Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat..jadilah Satu Ummat dibawah naungan fiizilalil Quran.

Wassalalmmu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1432
07 Disember 2010

03 December 2010

NUJUM PAK NON!!

(Rasid Rosidi, bekas pembantu khas Anwar membuat lapuran polis beliau dipaksa buat Surat Sumpah palsu untuk pembelaan kes liwat Anwar)

Salam 2 all.

Pak Non @ Anwar semalam membuat ramalan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan bulan Mac 2011. Sifir Nujum Pak Non mudah je, sebab UMNO tangguh pemilihan mereka, maka pilihanraya akan diadakan tak lama lagi. Cukup mudah punya putarbelit. Dia berharap umpan baru ni akan mengena, dan orang akan brcakap mengenainya!

Sebenarnya ini adalah taktik Anwar untuk mengalihkan tumpuan kepada tembelang PKR yang sudah mula tidak terkawal. Konspirasi Anwar untuk menubuhkan Dinasti 3A berdasarkan konsep Ketuanan Anwar didalam PKR sudah terbongkar. Kenyataan calun Ketua AMK Badrul Hisham @ Chegu Bard mengenai campurtangan langsung Anwar dalam penentuan dan pemilihan calun wahyu dari beliau membuktikan konspirasi itu. Pembongkaran Zaid Ibrahim tentang penyelewengan proses pemilihan PKR, dan desakan beliau supaya Anwar-Azmin berundur memparahkan lagi keadaan. Akhirnya Zaid yang terbungkam!

Demonstrasi oleh ahli-ahli PKR sendiri di waktu Kongres PKR baru-baru ini, dan masih berterusan dihadapan ibupejabat PKR mendesak Anwar & Azmin berundur dengan kenyataan pedas saperti "take your love nest out of PKR" sangat membimbangkan Anwar. Tidak pernah terfikir dalam benak Anwar bahawa ahli PKR akan memberontak terhadap dirinya yang dianggap hero Hindustan "Sivaji the Boss" bagi PKR. Ego Anwar terlalu besar. Dia pemimpin "anugerah tuhan" saperti yang terpaksa diisytihar oleh bininya merangkap Presiden PKR! Mana boleh pemimpin anugerah tuhan didesak berhenti!! Anwar perlu menutup semua ini.

Apatah lagi dengan pendedahan terbaru rakan karib Anwar iaitu Dato' Sallehudin Hashim, bekas Setiausaha Agong PKR yang membongkar pembohongan dan penipuan berkaitan isu konon Timbalan Setiausaha Agong PKR Jenapala, yang bercadang brtanding jawatan Timbalan Presiden melawan Azmin anak emas Anwar, yang didakwa kononnya telah dipecat. Dan mereka menggunakan satu surat kononnya ditandatangani oleh Dato' Sallehudin. Bekas Setiausaha Agong PKR yang mengisytiharkan diri keluar PKR itu membuat lapuran polis atas aduan tandatangan beliau telah dipalsukan. Bekas rakan sekolah Anwar itu menyatakan berlaku pembohongan dan penipuan dalam isu pemecatan Jenapala.

Sudah terlalu banyak pembongkaran dan pendedahan tentang pekung dan tembelang didalam PKR khususnya kepimpinan Anwar sendiri. Dengan nafsu yang meluap-luap untuk memahkotakan dirinya sebagai Perdana Menteri anugerah tuhan ini, Anwar tidak boleh mebiarkan pembongkaran dan pendedahan ini berterusan. Apatah lagi dengan dia berhadapan dengan tuduhan meliwat kakitangannya sendiri Saiful Bukhori, yang boleh menyebabkan impian ke Putrajaya bertukar igauan ngeri ke Sg. Buloh! Diparahkan lagi dengan lapuran polis oleh dua bekas pembantu beliau Rahimi dan Rasid yang mendedahkan bagaimana mereka dipaksa membuat Surat Akuan palsu untuk digunakan dalam pembelaan kes liwat Anwar, dan cubaan untuk memalukan dan mengaibkan YAB Perdana Menteri dan isteri.

Anwar perlu berbuat sesuatu untuk mengalihkan isu daripada diri dia dan parti tunggangannya PKR kepada isu lain. Sebab itu isu Ketuanan Melayu diputar balik oleh Anwar. Isu yang dia tahu akan mengundang reaksi aggresif dari orang Melayu. Dari professor kepada penoreh, pasti orang akan bercakap mengenainya. Isu yang dia sendiri cipta dan ditunggangi semasa zaman sebagai pemimpin UMNO, konsep yang diterjemahkan dalam bentuk budaya "pink form", kini isu itu dimainkan untuk memukul gendang perkauman! Habis segala tok lebai dan pak jangoat turut terheret. Anwar pasti tersenyum sumbing melihat temberangnya mengena lagi. Beliau tahu orang Melayu pasti melompat mencabut keris tumpul mempertahankan isu Ketuanan Melayu.

Kini Anwar memukul gendang pilihanraya. Konon pilihanraya umum akan dibuat lagi 3 bulan sahaja lagi. Teman dah boleh nampak temberang Anwar. 12 tahun yop bergelumang dengan Pak Non ni, teman dah boleh baca otak Anwar. Sifir Pak Non mudah aje. Kalau umpan pilihanraya umum dia ni mengena, sudah pasti ahli PKR yang memberontak akan mula membisu, mungkin juga mula mencium tangan dan kaki pemimpin anugerah tuhan ini, kerana berharap akan dapat jadi calun pilihanraya. Lawan pemimpin anugerah tuhan kalu takde peluanglah nak jadi calun. Anwar tahu diluar sana ramai ahlinya yang terlalu ghairah nak menjadi YB. Tu yang siap sepak terajang baling kerusi bertarik rambut sampai bertumbuk nak menang jawatan sebab memegang jawatan itu laluan mudah menjadi calun YB!

Dengan meyakinkan ahlinya yang taksub bahawa pilihanraya sudah dekat, Anwar berharap tiada lagi pemberontakan terhadapnya. Tiada lagi demonstrasi, bantahan dan memorandum menuntut dia letak jawatan dan berundur. Semuanya akan jadi setan bisu, baik dok diam ada peluang jadi calun. Bising kalu tak merasa lah kawan nak dok dalam dewan rakyat dan dewan undangan negeri.

Sebenarnya inilah formula yang Anwar pakai selepas Mac 2008. Dia tahu ramai wakil rakyat yang tidak puas hati dengan isu perlantikan Menteri Besar, Exco, ahli majlis dan lain-lain. Dah mula ada yang mengutuk dan mengkritik secara terbuka. Ini perlu dibendung. Maka timbullah konspirasi 16 Sept. Paluan kompang sumbang yang pembangkang sudah ada cukup MP dari BN untuk melompat bagi membolehkan beliau ke Putarajaya. Dipusing dan diputar wayang 16 Sept ini, sehingga akhirnya ramai yang terpedaya. Maka selamatlah Anwar. Tetapi bila terbongkar pembohongannya, ramai yang memilih untuk keluar dan tidak bersekongkol lagi dengan sandiwara Anwar.

Begitu jugalah apa yang akan berlaku. Dunia sekarang adalah dunia tanpa sempadan. Dunia yang maklumat sampai dengan hanya satu klik. Dunia yang mana putar-putaran dan belit-belitan begitu mudah terbongkar. Sebab itu teman yakin, sebagaimana ranapnya PKR dan Pakatan Pembangkang selepas terbongkarnya pembohongan 16 Sept, begitu jugalah pasti PKR akan hancur selepas pembohongan dan penipuan proses pemilihan PKR baru-baru ini terbongkar! Nama-nama gah dan besar dalam PKR sudah angkat kaki. Hero hindustan PKR Zaid Ibrahim pun dah cabut. Teman tahu ada beberapa nama besar lagi akan angkat kaki tak lama lagi.

Kepada rakyat dan umat, nasihat teman janganlah terpedaya dengan mainan politik temberang dan cakap tak serupa bikin manusia bernama Anwar ini. Isu ketuanan Melayu, perlantikan Kit Siang sebagai TPM, dan terbaru konon pilihanraya umum akan diadakan bulan Mac ini, semuanya hanyalah sandiwara dan temberang Anwar untuk menutup pekung dan tembelang hanyir yang sudah terbongkar!! Teman cukup yakin akan main lebih banyak isu untuk menyelamatkan tengkuknya. Sekarang dibawa cerita kononnya dia akan digantung dari Parlimen kerana pembohongan isu APCO. Kononnya sekali lagi dizalimi dan dianiaya.

Sebenarnya bagi teman Anwar tidak patut tunggu digantung. Beliau sepatutnya mengundurkan diri dan bercuti sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang. Kerana beliau sedang menghadapi satu pertuduhan jenayah meliwat kakitangannya sendiri. Pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun! Sebagaimana pegawai dan kakitangan kerajaan akan dikenakan tindakan gantung kerja dengan setengah gaji jika dikenakan pertuduhan jenayah di Mahkamah, begitulah sepatutnya Anwar juga patut digantung dan diberi elaun setengah bulan sementara menunggu perbicaraannya selesai.

Dan kepada Anwar, terimalah nasihat ikhlas bekas Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zanul Abidin, berundurlah secara terhormat sebelum diundurkan secara yang mengaibkan. Dan nasihat teman kepada Anwar, eloklah dikala umur senja ni bermuhasabah diri banyak-banyak, pintu taubat masih terbuka. Bertaubatlah!

Adios amigos, grasias senor.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
26 Zulhijjah 1431
03 Disember 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran daripada media pro-Anwar MalaysiaKini)

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac 2011 ekoran pengumuman penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan.Menurutnya, Umno hanya pandai mengkritik PKR tetapi tidak berani mengadakan pemilihannya kerana parti itu tidak cukup kuat untuk berdepan dengan perwakilannya. Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, mesti mengadakan pilihan raya awal untuk menunjukkan beliau mempunyai mandat dari rakyat. Bagaimanapun, katanya, Najib mesti menunjukkan bahawa beliau mempunyai keazaman politik untuk membersihkan daftar pemilih sebelum pilihan raya umum diadakan. "Beliau mesti beri kita tarikh awal, March atau April, dan kita serahkan kepada rakyart untuk buat keputusan," katanya.