12 November 2013

BANGKITLAH PEGUAM ISLAM!


Majlis Peguam menyokong tuntutan gereja kristian untuk mengguna-pakai kalimah ALLAH yang bercanggah dengan aqidah Islam; apakah kita peguam Melayu-Islam mahu terus berdiam diri membisu seribu bahasa?
Salam 2 all.

Mengikut statistik terkini, jumlah peguam yang bernaung dibawah Bar Malaysia (Malaysian Bar) dan berdaftar sebagai Peguambela & Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya dalam negara ini ialah 15,519.

Walaupun tiada statistik yang sahih, namun lebih kurang 40% atau lebih 6,000 peguam berdaftar adalah berbangsa Melayu atau beragama Islam. Satu jumlah yang agak besar!

Persoalannya ialah, bagaimana mungkin badan eksekutif Bar Malaysia (Malaysian Bar) yang dikenali sebagai Majlis Peguam atau Bar Council, yang terdiri daripada 38 orang ahli Exco (atau 0.25% sahaja) boleh mengambil sikap atau pendirian yang kadang-kadang bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam sedangkan jumlah peguam Melayu beragama Islam begitu besar?

Adakah Majlis Peguam atau Bar Council tidak sensitif kepada hal ehwal Islam? Atau tidak mempedulikan langsung sensitiviti peguam-peguam Melayu-Islam? Atau adakah Majlis Peguam sudah dikuasai oleh golongan anti Islam, atau liberal?

Saya masih ingat lagi tahun 2006 semasa rayuan kes permohonan pengesahan murtad melalui penukaran kad pengenalan oleh Azlina Jailani @ Lina Joy, Majlis Peguam (Bar Council) telah menghantar wakil peguam pemerhati dan mengambil pendirian menyokong tuntutan murtad Lina Joy tanpa langsung mengambil kira kesannya kepada para peguam Melayu-Islam!

Begitu juga dalam isu promosi dan perlaksanaan Festival Seks Bebas LGBT, Bar Council mengambil pendirian menganjurkan program tersebut; walaupun jelas amalan seks songsang dan luar tabi'e ini adalah sangat bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam!

Bar Council juga mengambil pendirian menyokong tuntutan pihak gereja Titular Biskop Kuala Lumpur yang menuntut hak penggunaan kalimah ALLAH dalam bentuk kefahaman triniti walaupun ianya bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam.

Terkini dalam isu tuntutan Pakatan NGO-NGO yang melabel diri mereka Comango yang membuat desakan di sidang Universal Periodic Review, Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva menuntut antara lain supaya diberi  hak kebebasan untuk murtad dan menukar agama termasuk oleh orang Islam, kebebasan orientasi seksual termasuk antara sesama jantina, pemansuhan semua enakmen syariah yang didakwa konon melanggar hak asasi individu (seperti khalwat, minum arak dll), dan pemansuhan Seksyen 377 Kanun Kesiksaan yang menjadikan liwat atau homoseks sebagai perlakuan jenayah dengan hukuman berat!

Persoalan pokoknya ialah mana pergi suara 40% peguam-peguam Melayu beragama Islam dalam mendepani pendirian Bar Council yang bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam?

Malah bagi sesi 2012/2013 , daripada 38 ahli Exco Bar Council, ada 14 orang ahli Exco yang berbangsa Melayu atau beragama Islam! Hampir 40% Exco Bar Council adalah Melayu atau Muslim!

Dalam keadaan itu, ramai juga yang tertanya-tertanya; bagaimana dan mengapa Bar Council boleh mengambil pendirian dan sikap yang kelihatan anti-Islam, bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam; dalam keadaan 40% peguam di Malaysian Bar adalah Melayu-Islam; dan hampir 40% menduduki jawatan Exco Bar Council?

Di Malaysia, semua peguam (kecuali Peguam Syarie) tertakluk kepada Akta Profesyen Guaman 1976 (Akta 166). Kesemua peguam diwajibkan berdaftar dengan Mahkamah Tinggi Malaya pada setiap tahun dan hanya yang berkelayakan akan diberikan Sijil Amalan Guaman.

Dan kesemua Peguam yang berdaftar dengan Mahkamah Tinggi Malaya akan diurus dan diselia dibawah satu badan dipanggil Bar Malaysia (atau Malaysian Bar). Ini adalah badan induk yang menaungi semua Peguam mengikut Akta 166.

Badan induk yang dikenali sebagai Bar Malaysia atau Malaysian Bar ini pula akan diurus oleh sebuah jawatankuasa eksekutif dipanggil Majlis Peguam atau Bar Council.

Dan semua Peguam yang berdaftar ini akan dibahagikan mengikut negeri tempat amalan guaman masing-masing, dimana tiap negeri pula akan ada Jawatankuasa Peguam Negeri (State Bar Committee) masing-masing.

Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri atau State Bar Committee ini dipilih melalui proses pengundian setiap dua tahun. Semua Peguam yang mempunyai Sijil Amalan Guaman daripada Mahkamah Tinggi Malaya dan berdaftar dengan Bar Malaysia (Malaysian Bar) berhak mengundi untuk memilih anggota Exco Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri atau State Bar Committee ini.

Bagi tiap pemilihan, semua Peguam boleh memilih dan mengundi maksimum 12 orang sahaja bagi menganggotai Exco Majlis Peguam atau Bar Council ini. Manakala keanggotaan selebihnya adalah terdiri daripada Pengerusi tiap Jawatankuasa Peguam Negeri dan seorang wakil yang dipilih oleh negeri. Bermakna tiap negeri akan ada dua perwakilan iaitu Pengerusi dan seorang wakil dipilih.

Jumlah kesemuanya menjadi 38 orang yang akan membentuk barisan Exco Majlis Peguam atau Bar Council ini.

Dan anggota Majlis Peguam atau Bar Council ini pula akan bermesyuarat untuk memilih dan menentukan siapa yang akan menduduki jawatan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agong, Bendahari. Manakala Presiden sesi sebelumnya secara automatik akan menjadi anggota Exco Majlis Peguam bagi sesi berikutnya.

Pada setiap kali pemilihan, daripada lebih 15,000 peguam, saya melihat purata peguam yang mengundi untuk memilih keanggotaan Exco untuk Majlis Peguam ini sekitar 2,500 ke 3,000 orang sahaja. Maknanya lebih kurang 15-20% sahaja Peguam yang menjadi ahli Bar Malaysia atau Malaysian Bar yang mengundi. Hampir 80% lagi langsung tidak mengundi atau tidak menunjukkan minat untuk mengundi.

Sedangkan kalau kita mengambil jumlah ahli Bar Malaysia atau Malaysian Bar dari kalangan bangsa Melayu atau beragama Islam yang mencecah lebih 6,000 orang, bermakna Peguam berbangsa Melayu atau beragama Islam sudah boleh menguasai Majlis Peguam atau Bar Council dan Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri atau States Bar Committee.

Tetapi mengapa itu tidak terjadi? Mana pergi Peguam-Peguam Melayu atau yang beragama Islam ini? Tidakkah mereka berasa sangat penting untuk kita menguasai, atau setidak-tidaknya menentukan dasar, pendirian dan sikap Majlis Peguam atau Bar Council ini?

Ini adalah kerana seperti yang saya sebut didalam muqaddimah diatas, kadang-kadang ada pendirian, sikap dan tindak tanduk Majlis Peguam atau Bar Council ini boleh dipersoalkan, apatah lagi dalam isu yang membabitkan Melayu dan/atau Islam.

Sebagai contoh, saya sendiri pernah bertanding dan menduduki jawatan Exco Majlis Peguam atau Bar Council bagi sesi 2006/ 2007.

Pada masa itu, tercetus isu murtadnya Azlina Jailani yang dikristiankan dan dibaptiskan dengan nama Lina Joy oleh gereja Church of Our Lady Fatima, Brickfields.

Azlina Jailani atau Lina Joy telah membawa kes beliau ke Mahkamah untuk menuntut hak menukar nama dan status agama didalam kad pengenalan beliau daripada 'Azlina Jailani beragama Islam' kepada 'Lina Joy beragama kristian'.

Pada tahun 2006, kes itu dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Saya pada masa itu bertindak sebagai Peguam mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (pada masa itu dibawah pimpinan saudara Dr. Mohamed Yusri).

Saya terkejut pada masa perbicaraan, beberapa orang peguam bangun dan menmaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka mewakili Majlis Peguam atau Bar Council; dan mereka menyokong tuntutan Azlina Jailani atau Lina Joy bersesama dengan pertubuhan-pertubuhan keagamaan seperti Majlis Gereja Malaysia, Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha, Sikh & Tao dan lain-lain NGO termasuk SiS Forum.

Saya lantas bangun didalam Mahkamah dan mempertikaikan kedudukan mereka; dan saya maklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa saya sebagai ahli Exco Bar Council sendiri tidak pernah mendengar atau bermesyuarat untuk mengambil mereka mewakili Bar Council dan mengambil pendirian menyokong tuntutan murtad Azlina Jailani.

Saya juga memberitahu Mahkamah mana mungkin Bar Council yang juga mewakili 40% peguam beragama Islam mengambil pendirian yang jelas bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam iaitu dengan menyokong seorang Islam yang mahu murtad!

Apabila mesyuarat Exco Bar Council diadakah selepas daripada itu, saya membangkitkan isu ini dan megkritik keras pimpinan Bar Council waktu itu. Saya mendesak supaya Bar Council tidak mengambil pendirian partisan atau pendirian yang boleh memudaratkan ahlinya termasuk, dan terutama yang beragama Islam melainkan mendapat persetujuan daripada kesemua ahli atau peguam yang beragama Islam yang berdaftar dibawah Bar Malaysia.

Walaupun pendirian tegas dan keras saya itu tidak disukai oleh segelintir daripada ahli Exco Bar Council, namun selepas daripada itu dasar telah ditukar dengan pendekatan memaklumkan dan mendapatkan persetujuan mesyuarat Exco Majlis Peguam dahulu sebelum apa-apa pendirian atau sikap mahu diambil oleh Majlis Peguam.

Semasa saya menjawat jawatan Exco Bar Council, saya mengambil sikap meletakkan agama Islam sebagai prioriti dan keutmaan; seringkali saya menyebut bahawa 'I am a Muslim first, a lawyer second - saya seorang Muslim dahulu, sebagai peguam kemudian'.

Akhir-akhir ini, saya melihat pendirian dan sikap Majlis Peguam atau Bar Council ini semakin mirip dan senada dengan pembangkang; dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/ atau undang-undang negara, malah melangkaui garis panduan aqidah dan syariat Islam.

Antaranya dalam isu kalimah ALLAH, Majlis Peguam mengambil pendirian menyokong tuntutan pihak Titular Archbishop Kuala Lumpur yang mendesak kristian dibenarkan mengguna-pakai kalimah ALLAH. Tuntutan yang sama telah dibuat oleh Lim Guan Eng daripada DAP dan disokong oleh pakatan pambangkang DAP-PKR-PAS.

Walaupun jelas sebenarnya tuntutan ini bercanggah dengan Artikel 3, Artikel 11 (4) dan Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan, bercanggah dengan titah Majlis Raja-Raja dan Tuanku Sultan Negeri-Negeri, bercanggah dengan fatwa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, bercanggah dengan fatwa Mufti-Mufti Negeri, bercanggah dengan Enakmen-Enakmen Syariah Negeri-Negeri; apatah lagi bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam menurut ijma' Mufti dan Ulama-Ulama Malaysia.

Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana pihak mahu membawa apa-apa kes atau tuntutan ke Mahkamah. Itu hak yang dijamin Perlembagaan.

Apa yang saya pertikaikan ialah peranan, pendirian dan sikap Majlis Peguam (Bar Council) yang sepatutnya mengambil kira sensitiviti dan hak peguam beragama Islam sebelum mengambil apa-apa pendirian atau sikap partisan yang mungkin bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam.

Contohnya kita melihat juga bagaimana pendirian Majlis Peguam (Bar Council) menyokong tuntutan perlaksanaan seks bebas LGBT - Lesbian Gay Bisexual & Transgender dengan cubaan menganjur Festival Seks Bebas LGBT yang jelas bercanggah dengan Islam dan bercanggah dengan peruntukkan undang-undang jenayah negara yang melarang perlakuan seks songsang dan luar tabi'e!

Kita juga melihat bagaimana Majlis Peguam (Bar Council) menyokong beberapa tuntutan Pakatan NGO-NGO yang dilabel dengan nama COMANGO yang membuat beberapa usul didalam sidang UPR-Universal Periodic Review on Human Rights oleh UNHRC - United Nations Human Rights Commission di Geneva, Switzerland baru-baru ini yang antara lain menuntut kebebasan untuk murtad dan menukar agama termasuk oleh orang Islam, kebebasan orientasi seksual termasuk antara sesama jantina, pemansuhan semua enakmen syariah yang didakwa kononnya melanggar hak asasi individu (seperti peminuman arak, khalwat, seks luar nikah dll), dan pemansuhan Seksyen 377 Kanun Kesiksaan yang menjadikan liwat atau homoseks sebagai perlakuan jenayah dengan hukuman berat!

Apa yang penting diperingatkan kepada para peguam beragama Islam, ada pendirian dan sikap Majlis Peguam (Bar Council) yang terang-terang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam; selain bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Kita perlu ingat dengan sabda Rasulullah saw, 'arridho bil kufr...kufr - keredhaan kepada kekufuran maka kamu kufur'. Ini bermakna 'arridho bil syirk...syirk - keredhaan kepada kesyirikan itu maka kamu pun turut syirik'.

Bermakna kalau kita peguam Melayu atau Islam mengambil sikap tidak peduli atau tidak ambil tahu mengenai pendirian Majlis Peguam (Bar Council) ini maka kita sedang berada di jurang krisis aqidah dan keimanan kita sebagai umat Islam.

Sebab itu saya menyeru semua peguam Melayu dan beragama Islam supaya bangkit mencegah kemungkaran besar ini. Jangan kita biarkan segelintir parasit guaman menentukan aqidah dan keimanan kita.

Anggap lah ia sebagai satu jihad memperbetulkan kemungkaran dan kemaksiatan kepada ALLAH!

Ini bukan bermakna kita anti non-Muslim! Ini bukan bermakna kita anti-kebebasan! Ini bukan bermakna kita anti-hak asasi kemanusiaan!

Malahan sebenarnya melalui Islam sahajalah kita dapat membuktikan bahawa hak, kepentingan dan kebajikan non-Muslim akan terjamin; bahawa hanya melalui Islam sahajalah kebebasan dan hak asasi kemanusiaan akan terjamin. Dan Islam telah membuktikannya sejak zaman Rasulullah saw, zaman pemerintahan Jerusalem, zaman pemerintahan Andalusia, zaman pemerintahan Konstatinopel/ Istanbul, malah Islam akan terus membuktikan prinsip dan amalan berteraskan keadilan dan kesaksamaan sehingga akhir zaman!

Oleh itu, saya mencadangkan beberapa pelan tindakan yang boleh kita ambil sebagai peguam:

1. pastikan kita hanya mengundi mereka yang kita percaya boleh dan akan memperkasa, memartabat dan membela Islam untuk duduk menganggotai Exco Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri;

2. Jika berkelayakan dan berkemampuan, masuklah bertanding sebagai calon untuk mendapatkan tempat dalam barisan Exco Majlis Peguam ataupun Jawatankuasa Peguam Negeri-Negeri;

3. hadir dalam Mesyuarat Agong Tahunan Bar Malaysia dan Peguam Negeri untuk membangkitkan isu-isu berkaitan Islam;

4. kemukakan Memorandum untuk membawa usul membincangkan pendirian dan sikap Majlis Peguam yang bercanggah dan bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam;

5. hantar nota atau email kepada tiap ahli Exco Majlis Peguam terutamanya yang beragama Islam (nama dan alamat mereka di laman sesawang www.malaysianbar.org) dan nyatakan kepada mereka supaya mengambil pendirian tegas dalam memperkasa, memartabat dan membela Islam;

6. sekiranya ada keperluan dan telah disepakati, semua peguam Melayu atau Islam boleh mengemukakan notis untuk Mesyuarat Agong Tergempar Bar Malaysia untuk membincangkan pendirian dan sikap Majlis Peguam yang bercanggah dan bertentangan dengan Islam;

7. sekiranya ada keperluan dan disepakati, kita boleh memfailkan petisyen atau usul ke Mahkamah Tinggi untuk perintah sewajarnya terhadap Majlis Peguam dalam isu yang bercanggah dan bertentangan dengan Islam;

8. sekiranya keadaan memaksa dan tiada pilihan, kita boleh mengusulkan kepada Kerajaan supaya menubuhkan sebuah lagi badan yang mempunyai kuasa dan bidangkuasa seperti Malaysian Bar dan Majlis Peguam seperti yang diamalkan dibeberapa negara lain termasuk negara maju dan negara Komanwel;

9. dan yang lebih penting, kita semua peguam Melayu dan Islam wajib bersatu dan berpadu dibawah ukhwah Islamiyyah dan bertindak dengan satu suara satu nada dalam memperkasa, memartabat dan membela Islam.

Saya mengakhiri seruan ini dengan memetik Surah Al-Maidah: 54-56 bilamana ALLAH berpesan kepada kita dengan suatu ketegasan:

'Wahai orang beriman (termasuk para peguam).Barang siapa diantara kamu berpaling (atau murtad) daripada Islam, maka kelak ALLAH akan lahirkan satu kumpulan:

1. yang ALLAH mencintai mereka dan mereka mencintai ALLAH;

2. mereka bersikap lemah lembut terhadap sesama Islam yang beriman;

3. tetapi mereka bersikap keras dan tegas terhadap kaum kafir;

4. dan mereka berjihad ke jalan ALLAH;

5. dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela;

Dan ketegasan ALLAH dalam ayat 57:

'Wahai orang beriman, janganlah kamu mengambil pemimpin bagi kamu orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, iaitu diantara orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mu, dan orang-orang kafir musyrik. Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH jika kamu orang yang beriman!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
08 Muharram 1435
12 Nov 2013

No comments: