22 November 2013

BRAVO DATUK SERI HADI AWANG


PAS perlu buktikan mereka bukan sekadar Pak Pacak yang langsung tidak dihormati rakan sekongkol!
Salam 2 all.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan kebanyakan isi Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar ke 59 hari ini di Stadium Malawati Shah Alam, saya tetap memberi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Hadi Awang yang mengecam kumpulan dan gerakan yang mempelopori amalan seks bebas, songsang dan luar tabi'e.

Dalam ucapan dasarnya merasmikan Muktamar Agong PAS ke 59 Tahun 2013 pagi tadi, Datuk Seri Hadi menyelar kumpulan ini yang dikatakan bertindak bertentangan dengan Islam. Malah beliau mendesak Kerajaan UMNO/BN supaya jangan tunduk kepada tuntutan petualang hak asasi tanpa batas ini

Sebenarnya tanpa desakan PAS pun Kerajaan UMNO sudahpun menolak tuntutan kaum pelampau ini yang kebanyakannya adalah kumpulan pro-pembangkang! Malah Kerajaan UMNO menghantar perwakilan rasmi Kerajaan ke Geneva untuk menyatakan pendirian Malaysia!

Namun begitu Datuk Seri Hadi tidak menamakan mana-mana kumpulan atau gerakan tersebut. Walaupun umum mengetahui beberapa NGO pro-pembangkang yang membentuk badan tidak berdaftar dinamakan Comango yang telah melobi kuat semasa sidang UPR Majlis Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini di Geneva yang antara lain menuntut Malaysia menerima dan meratifikasi SOGI (Sexual Orientation & Gender Identifcation) yang akan membawa kepada penerimaan LGBT (Lesbian Gay Bisexual Transgender) dan pengiktirafan perkahwinan sama jantina.

Walaupun sedikit terkilan kerana beliau tidak memilih untuk menama dan mengecam mereka secara terbuka, namun ucapan itu sedikit sebanyak memberi gambaran fikrah Datuk Seri Hadi dalam isu seperti ini, iaitu memilih untuk menentang sesuatu yang bercanggah dengan Islam.

Saya berharap Datuk Seri Hadi istiqomah dengan pendirian itu; dan sehubungan dengan itu akan turut mengecam bukan sahaja mereka yang mempelopori amalan kehaiwanan ini, malah beliau wajib mengecam mereka yang terlibat dengan amalan seks bebas, songsang dan luar tabi'e ini.

Contohnya beberapa pimpinan pembangkang yang secara sarih dan terang-terang membuat kenyataan mengutuk undang-undang liwat sebagai sudah lapuk dan perlu dihapuskan! Mengapa Datuk Seri Hadi tidak mengecam mereka ini?

Ada juga tokoh dan pimpinan pembangkang yang pernah ditangkap berkhalwat, melakukan perbuatan tidak senonoh, malah ada yang ditangkap melalui gambar dan video melakukan perbuatan yang boleh ditakfrif sebagai amalan seks bebas, songsang dan luar tabi'e dan bercanggah dengan syariat Islam.

Kita bukan bercakap dari segi pembuktian untuk mensabitkan kesalahan jenayah seksual syarie disini, itu memerlukan pembuktian yang ketat.

Tetapi kita bercakap tentang kelayakan dan kualiti untuk menjadi pimpinan, termasuk mahu menjadi pemimpin negara umat Islam ini. Sudah tentu golongan seperti ini langsung tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai pemimpin umat Islam.

Tetapi mengapa mereka masih boleh diterima? Mereka ini sepatutnya sudah ditolak oleh PAS sejak dahulu lagi; namun sebaliknya ada yang masih duduk bersama PAS atau menjadi rakan sekongkol PAS!

Begitu juga dalam isu kalimah ALLAH yang jelas bertentangan dengan prinsip syarie. Ini adalah ketetapan Majlis Syura' PAS sendiri yang pada 13.01.2013 menegaskan bahawa kristian tidak boleh mengguna-pakai kalimah ALLAH. Malah Timbalan Mursyidul Am PAS dengan jelas menyatakan syirik bagi sesiapa yang membenarkannya.

Jadi mengapa Datuk Seri Hadi tidak menggunakan peluang dalam ucapan dasarnya untuk menegaskan bahawa beliau secara rasmi menarik balik Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-PAS pada 08.01.2013 diantara beliau, Anwar dan Kitsiang yang menerima penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian 'walaupun tidak menepati kehendak syara', sebaliknya menerima ketetapan Majlis Syura sebagai pendirian rasmi PAS!

Ini adalah soal asas dan fundamental membabitkan aqidah umat Islam. Sepatutnya wajib bagi Datuk Seri Hadi menyatakan pendirian beliau secara terbuka untuk merungkai kekeliruan dikalangan ahli dan pengikut PAS; kerana disana masih ada suara-suara parasit sumbang yang mempertikai secara terbuka ketetapan Majlis Syura sebagai bukan wahyu yang perlu diikut!

Mengambil sikap membisu atau sweep under the carpet dalam isu sebesar dan serius seperti kalimah ALLAH ini akan menimbulkan lebih banyak fitnah kepada umat Islam, selain memberi isyarat yang salah kepada non-Muslim.

Sebab itu saya menyarankan kepada muktamirin dan perwakilan terutamanya para pembahas supaya:

1. mendesak kepimpinan PAS supaya secara terbuka mengecam NGO-NGO yang membentuk Comango walaupun mereka dikatakan pro-pembangkang dan boleh membantu mendapatkan undi untuk PAS dalam pilihanraya;

2. mendesak supaya PAS memberi kata-dua dan ultimatum kepada NGO-NGO ini bahawa PAS akan memutuskan hubungan dengan mereka jika mereka tidak menarik balik tuntutan songsang dan luar tabi'e yang dibuat mereka;

3. mendesak kepimpinan PAS supaya mengkaji semula hubungan dan kerjasama kepada mana-mana kepimpinan pembangkang yang menyokong tuntutan Comango ini, dan jika mereka tidak menerima kata-dua PAS supaya menarik balik sokongan itu, PAS hendaklah memutuskan hubungan dan kerjasama dalam apa jua bentuk sekalipun dengan kepimpinan pembangkang tersebut;

4. mendesak kepimpinan PAS menerima ketetapan Majlis Syura bertarikh 13.01.2013 sebagai pendirian rasmi PAS menolak penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian;

5. mendesak kepimpinan PAS supaya menarik balik dan membatalkan Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-PAS bertarikh 08.01.2013 yang menerima penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian;

6. mendesak kepimpinan PAS supaya terlibat secara aktif, dan jika boleh mengetuai kesatuan umat Islam melalui parti politik mahupun NGO seperti Muslim-UPRo untuk mempertahankan dan memperkasa Islam termasuk terlibat secara langsung didalam prosiding di Mahkamah dan mana-mana paltform termasuk UPR-UNHRC;

7. mendesak kepimpinan PAS supaya memutuskan semua hubungan dan kerjasama politik dan lain-lain dengan DAP-PKR dan lain-lain badan atau pertubuhan sekiranya mereka tidak menghormati dan menerima keputusan Muktamar Agong PAS dalam isu-isu ini.

Semoga ALLAH menganugerahkan sifat istiqomah kepada semua pejuang Islam yang masih duduk didalam PAS untuk terus berjuang memartabat, memperkasa dan mendaulatkan Islam di muka bumi Malaysia ini insya ALLAH.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
18 Muharam 1435
22 Nov 2013

No comments: