23 January 2014

BANZAI - II

Tindakan membakar bendera Jepun ini adalah perbuatan yang bukan sahaja tidak Islamik, malah tidak bertamadun dan wajib dikutuk oleh manusia yang bertamadun.
Salam 2 all.

Kenyataan rasmi Kedutaan Jepun bahawa Anwar Ibrahim gagal membuat sebarang permohonan untuk visa khas memasukki Jepun menyebabkan dia ditahan dan dilarang memasukki Jepun Ahad 19 Januari lepas membuktikan pembohongan dan putar-belit Anwar yang dengan begitu cepat menuding jari kepada Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia sebagai tangan ghaib yang menghalang kemasukannya ke Jepun.

Beliau sedikit pun tidak mahu mencerminkan diri bahawa kegagalan dia memasuki Jepun adalah atas kegagalan dan kesilapan dia sendiri. Dan dia sedikit pun tidak mahu menginsafi bahawa dia adalah bekas banduan yang tidak dibenarkan masuk ke Jepun kecuali dengan kebenaran khas.

Kedutaan Jepun memperjelaskan bahawa Anwar, sebagai bekas banduan, pernah dibenarkan masuk ke Jepun sebelum ini kerana beliau telah memohon visa khas dan dibenarkan.

Kerajaan Jepun mensyaratkan bahawa mana-mana bekas banduan atau pesalah jenayah yang pernah disabitkan kesalahan jenayah dan dihukum melebihi sebulan penjara wajib memohon visa khas untuk memasukki Jepun.

Sepatutnya Anwar sedia maklum tentang syarat ini sebab beliau pernah memohon sebelum ini dan diberi pelepasan.

Malahan pihak Kedutaan Jepun memperjelaskan bahawa perkara itu dimaklumkan kepada Anwar sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Narita, Tokyo. Malah pihak berkuasa Jepun memberi peluang kepada Anwar untuk memohon pelepasan visa semasa di Lapangan Terbang tersebut. Namun Anwar, atas sebab yang hanya dia sendiri tahu, telah menolak tawaran itu dan memilih untuk balik ke Malaysia.

Jadi jelas dakwaan Anwar menyalahkan Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia sebagai tangan ghaib yang menyebabkan beliau dilarang memasuki Jepun adalah pembohongan dan putar-belit semata-mata.

Sebab itu saya mendesak supaya Anwar segera memohon ma'af kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun atas dakwaan beliau yang ternyata tidak benar sama sekali.

Memandangkan Anwar adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, saya juga mencadangkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia supaya mensyaratkan Anwar supaya memohon kebenaran untuk ke luar negara dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa. Ini untuk membolehkan pihak berkuasa Malaysia, samada Jabatan Imigresen atau Wisma Putra memastikan Anwar telah mematuhi dan memenuhi semua syarat untuk menuju kemana-mana destinasi yang kemungkinannya meletakkan pelbagai syarat kemasukan.

Kita mahu mengelakkan insiden memalukan seperti ini berulang kerana membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Anwar juga perlu sedar dan insaf bahawa beliau adalah bekas banduan Penjara Sg. Buloh yang telah disabitkan kesalahan jenayah oleh Mahkamah di Malaysia dengan sahnya mengikut proses perundangan negara dan dihukum enam tahun penjara.

Memang sebagai bekas banduan banyak perkara yang menjadi sekatan. Contohnya bekas banduan tidak boleh menjadi Peguam di Malaysia kerana Akta Guaman 1976 melarang bekas banduan menjadi Peguam. Jadi sedar dan insaflah bahawa sebagai bekas banduan memang ada sekatan dan halangan, termasuk untuk ke luar negara tertentu.

Saya memahami kemelut yang dihadapi Anwar; jadi menggunakan isu ini untuk mengalih isu yang sedang beliau hadapi adalah sangat convenient:

1. Anwar sedang menghadapi rayuan kes meliwat pembantunya Saiful Bukhari Azlan, yang jika disabit dengan kesalahan boleh dihukum penjara yang lama, dan akan menyebabkan beliau hilang jawatan sebagai Ahli Parlimen, Ketua Pembangkang. Ini sekali gus akan meranapkan impiannya untuk menjadi calon PRU-14 dan menjadi Perdana Menteri ke 7. Sabitan ini, jika berlaku adalah satu mimpi ngeri untuk Anwar;

2. Anwar juga sedar jika Mahkamah Rayuan menerima rayuan Pendakwaraya dan mensabitkan dia dengan kesalahan dan dihukum penjara, maka beliau tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana parti politik; sedangkan pemilihan PKR akan berlangsung pada bulan Mac 2014 dan sudah ada desakan supaya isterinya Wan Azizah berundur  dan Anwar mengambil alih jawatan Presiden;

3. Anwar juga menghadapi konflik kedegilan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak tunduk dan ta'at kepada arahannya sebagai Ketua Umum/ Penasihat PKR merangkap Penasihat Ekonomi Selangor. Anwar dengan jelas menyatakan pemecatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS adalah tidak betul dan mengarahkan Khalid supaya mengambil semula Azmin dalam Lembaga Pengarah PKNS. Sebaliknya Khalid bukan sahaja berkeras pemecatan Azmin kekal, malah menukar dengan serta merta Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS ke SUK tanpa sebarang jawatan.

Dalam keadaan itu, mencetuskan satu isu baru adalah satu taktik mengalih isu pokok yang boleh meringankan bebanan dan kemelut politik yang berat.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, arigato!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
21 Rabi'ul Awal 1435
22 Januari 2014

No comments: