13 January 2014

SUMPAH YANG DILANGGAR!




Khalid Ibrahim mengangkat sumpah jawatan dengan memegang Tombak Sang Buana sebagai tanda tunduk kepada kekuasaan Tuanku Sultan Selangor sebagai Raja berdaulat pemerintah Selangor Darul Ehsan
Salam 2 all..

Saya mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim, YAB Menteri Besar Selangor dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor supaya memohon maaf kepada Tuanku Sultan Selangor dan umat Melayu-Islam Selangor dan meletakkan jawatan serta merta.

Ini adalah kerana beliau dan Kerajaan PKR-DAP-PAS pimpinannya gagal menunaikan sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang dilafaz dihadapan Tuanku Sultan Selangor untuk membela dan mempertahankan Islam.

Pada 14.05.2013, selepas kemenangan pembangkang DAP-PKR-PAS dalam PRU-13 di negeri Selangor, Tan Sri Khalid telah diberikan mandat untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor dengan mengangkat sumpah dihadapan Tuanku Sultan Selangor.

Upacara penuh adat istiadat kebesaran Di-Raja Selangor itu dimana Tan Sri Khalid Ibrahim mengangkat sumpah dengan memegang Tombak Sang Buana telah melafazkan 10 sumpah dan akujanji jawatan yang antara lain menyatakan:

Bersumpah menjunjung tinggi prinsip Rukunegara serta memelihara dan melindungi kesucian serta keagongan Islam sebagai agama negeri Selangor Darul Ehsan; dan berjanji mematuhi kedaulatan Institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak"

Sumpah yang tidak dilaksanakan mamanda Menteri Besar
Lafaz sumpah jawatan tersebut adalah disediakan oleh kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor sendiri yang juga telah memastikan adat-istiadat mengangkat sumpah mengikut tradisi Di-Raja Selangor termasuk Tombak Sang Buana dipatuhi dan dilaksanakan.

Tetapi terbukti pentadbiran Khalid gagal memelihara dan melindungi kesucian serta keagongan Islam; dan gagal mematuhi dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja Selangor Darul Ehsan.

Antara kelemahan dan kegagalan pentadbiran beliau dalam memartabat dan memelihara kesucian Islam dan institusi DiRaja Selangor yang sangat sangat jelas sejak daripada Mac 2008 lagi ialah:

1. Arahan mengembalikan arak yang dirampas oleh MBSA tahun 2011 yang jelas melanggar enakmen syariah Selangor dan/ atau undang-undang tubuh Kerajaan negeri Selangor;

2. Mempersalahkan JAIS dalam isu siasatan terhadap kegiatan dakyah dan cubaan memurtadkan umat Islam dibulan Ramadhan oleh Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) walaupun Tuanku Sultan Selangor menitahkan tindakan JAIS betul cuma kekurangan bukti untuk tindakan pendakwaan;

3. Mengarahkan JAIS mengembalikan bibel versi Bahasa Melayu yang dirampas di pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) walaupun jelas bible tersebut melanggar Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor 1988 kerana mengandungi istilah dan perkataan yang dilarang termasuk kalimah ALLAH;

4. Kegagalan mengambil pendirian dan tindakan tegas terhadap Paderi Lawrence Andrew & Lee Min Choon dari PBM yang secara terang-terang mencabar kedudukan Islam & titah Tuanku Sultan Selangor dengan terus menerus mahu menyalahgunakan penterjemahan kalimah ALLAH dalam upacara keagamaan kristian didalam negeri Selangor.

5. Kegagalan bertindak tegas tehadap mereka ini jelas menghina dan memperlekeh kedudukan dan kemuliaan institusi DiRaja Selangor bilamana Tuanku Sultan Selangor, sebagai Ketua Kerajaan dan Ketua Agama Islam Selangor dengan jelas menitahkan larangan penggunaan kalimah ALLAH oleh non-Muslim didalam Negeri selangor.

Pada hemat saya, ternyata pentadbiran Kerajaan DAP-PKR-PAS dibawah YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah gagal menunaikan sumpah jawatan & dan gagal mempertahankan Islam didalam negeri Selangor!

Oleh itu, saya mendesak supaya Tan Sri Khalid dan seluruh anggota jemaah Exco Kerajaan Negeri Selangor mengambil tanggunjawab dan mengambil tindakan berikut:

1. Menyembah ampun kepada Tuanku Sultan Selangor;

2. Memohon maaf secara terbuka kepada umat Melayu-Islam Selangor;

3. Meletakkan jawatan serta merta.

Sekian.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
11 R'Awal 1435
13 Jan 2014

No comments: