20 May 2014

AL-FATIHAH BUAT USTAZ GHANI ABDUL RAHMAN


Salam 2 all.

Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kembali ke rahmatullah tengahari semalam Isnin 19 Rejab 1435 bersamaan  19 Mei 2014 di Hospital UKM. Allahyarham mengidap penyakit buah pinggang dan menerima rawatan dialisis sejak beberapa tahun kebelakang ini. Seminggu lepas penyakit Allahyarham Ustaz Ghani semakin kritikal kerana kuman didalam darah.

Allahyarham Ustaz Ghani pergi meninggalkan dua orang balu, Kak Aziah dan Cikgu Maya, berserta 13 orang anak termasuk anak OKU yang menjadi anak kesayangan Allahyarham Ustaz Ghani.

Harimau mati meninggalkan belang, Allahyarham Ustaz Ghani pergi dengan keharuman sebagai  seorang pejuang Islam.

Saya mengenali Allahyarham Ustaz Ghani sejak awal tahun 1990an. Semasa itu saya adalah AJK Pengurusan Masjid Jame Kuala Lumpur, dibawah pimpinan Pengerusi Almarhum Tan Sri Azmi Kamarudin (mantan Hakim Mahkamah Agong).

Imam Besar Masjid Jame ketika itu ialah Ustaz Ahmad Rosli, seorang yang sangat aktif dan pro-aktif. Kami mengadakan perbincangan dan untuk menghidupkan dan mengimarahkan Masjid Jame, kami memulakan program kuliah zohor dan tazkirah Jumaat.

Maka bermulalah era Ustaz Ghani Rahman mengajar di Masjid Jame' Kuala Lumpur. Antara pendakwah lain yang dibawa masa itu ialah Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Azhar Yaakob (sekarang Dr. Azhar Yaakob), Ustaz Zakaria Awang dan lain-lain.

Ustaz Ghani mempunyai pengikutnya tersendiri. Beliau banyak mengupas isu semasa, dan saya perhatikan ramai jemaah yang hadir didalam kuliah zohor beliau terdiri daripada anak-anak muda dikalangan profesional. Mungkin kerana style Ustaz Ghani yang keras, tegas dan bercakap tanpa selindung.

Malah itulah yang menarik saya untuk mengenali Ustaz Ghani dengan lebih dekat. Dan saya menjadi rapat dengan Ustaz Ghani apabila tercetusnya isu murtad Nor Aishah Bukhari Oktober 1997, bilamana saya menjadi peguam yang mengendalikan kes itu.

Kes Aishah Bukhari menjadi satu fenomena dan isu panas, dan tau-tau nama saya juga turut menjadi panas ketika itu sehingga beberapa kali dipanggil 'mengadap' Bukit Aman kerana siri road-show Anti-Murtad yang saya bawa.

Diwaktu itulah Ustaz Ghani mencadangkan kepada saya supaya menyertai PAS supaya saya bergerak didalam satu jemaah. Pelawaan Ustaz Ghani saya terima. Malahan Ustaz Ghani yang menjadi pencadang kepada keahlian saya dan disokong oleh Ustaz Ahmad Awang.

Saya masih ingat lagi Ustaz Ghani membawa saya berjumpa dengan Almarhum Ustaz Fadil Nor, Presiden PAS masa itu di pejabat PAS Jalan Pahang. Itulah pertama kali saya bertemu dengan Almarhum.

Ustaz Ghani yang juga Pengerusi Lujnah Kebajikan Jawatankuasa PAS Pusat telah melantik saya duduk didalam Lujnah Kebajikan PAS Pusat.

Saya kemudiannya dilantik menjadi AJK PAS Perhubungan Wilayah Persekutuan yang pada masa itu diketuai oleh Haji Subky Latif.

Ustaz Ghani kemudian menyatakan beliau mahu menumpu membangunkan PAS Melaka, negeri asalnya. Kebetulan ibu mertua saya juga berasal daripada Masjid Tanah, sama dengan Ustaz Ghani.

Lalu Ustaz Ghani meminta saya untuk mengetuai dan mengambil alih PAS Kawasan Bandar Tun Razak. Rumah Ustaz Ghani di Taman Jaya, BTR, berhampiran dengan HUKM. Beliau bukan sahaja pelopor kepada aktiviti PAS Kawasan, malahan beliau lah orangnya yang menubuhkan Surau Mustaqimah BTR, sehingga surau itu dikenali sebagai Surau Ustaz Ghani.

Surau Mustaqimah lah tempat jenazah Allahyarham Ustaz Fadil dibawa untuk disolatkan, dan turut hadir masa itu ialah Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Masalah saya pada masa itu ialah PAS Kawasan BTR sudah ada YDP iaitu Mejar (B) Haji Abdul Rashid, seorang askar pencen yang mempunyai pengikut yang ramai. Saya pula orang luar, walaupun saya penceramah tetap kuliah bulanan di Surau Mustaqimah.

Namun sokongan dan dorongan Ustaz Ghani membuatkan saya memberanikan diri. Teringat saya kata-kata semangat Ustaz Ghani memetik ayat Al-Quran, intan surullah hayyan surkum, wayusabbit aqdaamakuum - bantulah agama Allah, dan Allah akan membantu kamu.

Kata Ustaz Ghani, 'walaupun enta bukan lulusan agama, tetapi perjuangan enta mencegah mirtad dalam kes Aishah Bukhari telah membuka mata orang Melayu kepada masalah murtad. Insyallah Allah akan bantu enta.

Memang benar, saya memenangi pertandingan jawatan YDP PAS Kawasan dengan jumlah undi diluar dugaan, hampir 95%. Bermulalah era saya menjadi aktif didalam PAS Kawasan dengan memegang jawatan YDP PAS Kawasan BTR, AJK PAS Perhubungan Wilayah Persekutuan dan AJK Lujnah Kebajikan PAS Pusat.

Semasa saya ditahan ISA tahun 1998, Ustaz Ghani banyak memberi dorongan dan semangat. Teringat saya kata-kata Ustaz, 'bagi seorang pejuang, penjara itu tempat beribadat, dibuang daerah itu suatu hijrah, dihukum mati itu jalan syahid!

Ustaz Ghani Rahman seorang yang sangat aktif didalam pergerakan Islam. Allahyarham pernah menceritakan kepada saya bagaimana beliau begitu aktif didalam PMRAM di Kaherah. Malah katanya beliau pernah menjadi Presiden PMRAM.

Allahyarham sangat aktif memberi ceramah, samada kuliah suboh, kuliah zohor, kuliah magrib dan ceramah politik selepas isya. Bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah seluruh Malaysia.

Saya telah banyak kali berceramah dan berforum dengan Ustaz Ghani. Selalunya beliau suka membawa kereta sendiri, dan Ustaz Ghani kalau bawa kereta memang laju. Banyak juga saman yang Ustaz kena. Sudah banyak kali saya menaiki kereta Mercedez hijau Allahyarham berceramah di mereta tempat di Kelantan, Trengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan.

Pernah kami naik kereta sampai ke Danok, semata-mata sebab Ustaz nak makan ikan puyu telur masak asam pedas yang sedap di Danok, tak jauh daripada pagar sempadan. Memang sedap. Ustaz Ghani ni kuat makan. Seronok kalau belanja dia makan, mesti habis punya. Bila tengok dia makan pun kita boleh jadi berselera.

Pernah saya bersama dengan Ustaz Ghani berdakwah sampai ke Indonesia. Selama beberapa hari saya bermusafir dengan Ustaz Ghani. Kami pergi sampai ke Bandung. Dipertengahan jalan, tak silap saya di satu tempat bernama Puncak, Ustaz Ghani mengajak kami berhenti untuk makan sebab ada gambar ikan begitu besar terpampang kat papan iklan restoran tersebut. Bukan sahaja makanan dia sedap, pemandangan dia pun sangat mengagumkan dengan sawah padi bertingkat-tingkat atas gunong.

Semasa berhenti di sebuah kawasan gunong berapi, rasanya namanya Tangkuban Perahu, saya menunggang kuda yang ada disitu. Kebetulan saya memang biasa berkuda. Ustaz Ghani pun nak mencuba juga, tapi kuda tak mau jalan. Budak penjaga kuda tu kata pahala Ustaz berat sangat, sebab sebelum tu Ustaz memberi sedekah kepada ramai orang miskin atas gunong tu.

Ustaz Ghani ni walaupun ada sedikit kecacatan di kakinya, tapi langsung tidak menghalang dia aktif. Ustaz memakai kasut boot yang dibuat khas untuk dia. Walaupun keadaan Ustaz macam tu, tapi dia hebat main badminton. Tercungap juga kita dibuatnya kalau lawan badminton dengan Ustaz, salah satu aktiviti riadah yang Ustaz cukup suka.

Satu lagi aktiviti riadah yang Ustaz cukup suka ialah menjala, saya pulak kebetulan gila memancing. Tiap kali saya ke rumah Ustaz di Kg. Balik Batu di Tg. Bidara, mesti saya bawa joran untuk pergi memancing. Kebetulan rumah Ustaz betul-betul depan laut Selat Melaka, tidak jauh daripada rumah mak mertua saya.

Selepas saya dibebaskan daripada tahanan ISA tahun 1998, dirumah Ustaz depan laut inilah saya berehat. Tapi masa itu masih rumah kayu stail nelayan. Memang Ustaz berasal daripada Kg. Balik Batu, Tg. Bidara, tidak jauh daripada Kem Terendak.

Sepanjang mengenali Allahyarham Ustaz Ghani, saya pernah melihat hanya tiga kali Ustaz menitiskan airmata.

Pertama, semasa Allahyarham Ustaz Fadhil Nor meninggal. Mereka berdua memang sahabat baik. Kalau bercakap tu pakai ayat 'engkau aku' aje. Saya masih ingat bila rumah baru Ustaz Ghani di tepi laut tu siap, antara program pertama dibuat ialah mengadakan Ceramah Perdana. Dan saya diberi penghormatan masa itu untuk berceramah dengan Allahyarham Ustaz Fadhil. Malam tu kami diarak macam pengantin siap kompang, bunga manggar dan bunga api sampai ke tapak ceramah dipersimpangan sekolah, iaitu tanah milik Ustaz Ghani juga. Malam tu selepas ceramah saya bermalam dirumah Ustaz Ghani bersama Allahyarham Ustaz Fadhil.

Kedua peristiwa saya melihat Ustaz Ghani menitiskan airmata bila mendapat berita sahabat beliau Allahyarham Ustaz Muhammad Bin Ya dan isterinya Ustazah Kamariah Ali murtad. Kedua mereka sama belajar dengan Ustaz di Universiti Al-Azhar awal tahun 60an. Semasa Ustaz menjadi Presiden PMRAM, Ustazah Kamariah katanya adalah Ketua Biro Dakwah. Bagaimanapun kedua-duanya akhirnya memilih untuk murtad dan membuat permohonan pengesahan murtad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketiga saya melihat Ustaz menitiskan airmata apabila menceritakan tentang sakit buah pinggang dan rawatan dialisis yang beliau perlu lalui - tiga kali seminggu. Ustaz menitiskan airmata bukan kerana kesakitan itu. Malah Ustaz mengatakan penyakit itu sebagai kifarah penebus dosa, penambahan pahala dan peningkatan darjat seseorang mukmin. Yang menyebabkan Ustaz sedih adalah kerana penyakit itu membataskan dan menghadkan aktiviti dakwah dan ceramah beliau. Itu yang dia sedih.

Kegigihan dan komitmen Ustaz Ghani dalam menjalankan tanggungjawab amar ma'ruf nahi mungkar sangat saya kagumi. Siang malam pagi petang tidak kira masa dan tidak kira tempat Ustaz pasti akan cuba memenuhi semua jemputan dan undangan ceramah atau forum. Kadang-kadang dok sakit demam pun Ustaz pergi juga.

Saya pernah bertanya Ustaz tidakkah berasa penat atau keletihan. Apatah lagi kebanyakan program ceramah atau kuliah bayarannya tidak seberapa, malah kadang-kadang kita kena keluar belanja sendiri.

Saya masih ingat lagi jawapan Ustaz, 'bagi seorang pejuang Islam, didunia ini tidak ada masa rehat. Kita hanya berehat bila kita di akhirat nanti insyallah'.

Alhamdulillah perhubungan saya dan Allahyarham Ustaz Ghani bukan setakat murid dan mursyid, malah lebih sebagai sahabat dan teman. Malahan keluarga saya juga rapat dengan keluarga Ustaz.

Bagi anak-anak saya, Ustaz seperti seorang Atuk bagi mereka. Tiap kali menyambut 'Eidulfitri bila giliran di Melaka, pasti saya dan isteri serta anak-anak akan ke rumah Ustaz di Tg. Bidara. Anak-anak saya cukup suka mandi laut depan rumah Ustaz. Kadang-kadang sehari suntok kami akan duduk melepak di rumah Ustaz.

Ya Allah, sahabat dan guru ku Ustaz Ghani Abdul Rahman telah Kau panggil mengadap Mu. Aku memohon pada Mu Ya Allah, Kau terima lah dia dalam kebaikan. Masukkan lah dia dalam golongan yang berjiwa tenang. Masukkan dia dalam golongan yang Kau redhai dan dia meredhai Mu, masukkanlah dia dalam golongan hamba Mu, dan masukkanlah dia dalam syurga Mu.

Ya Allah, masukkanlah dia dalam golongan yang soleh lagi beriman, jauhkanlah ia daripada siksa kubor dan api neraka Mu, perluaskanlah kesempitan kubornya, terangilah kegelapannya, perluaskanlah kesempitannya, dan istirehatkanlah dia di alam barzakh itu, dan masukkanlah dia dalam rahmat dan jannah Mu, ameen ya rabbal 'aalamiin.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
20 Rejab 1435
20 Mei 2014

No comments: