02 May 2014

HUDUD: SUATU KESEMPURNAAN

Adakah PAS benar-benar ikhlas mahu melaksanakan hudud untuk mencari keredhaan Allah atau hanya sebagai umpanan untuk mendapat political mileage dan undi umat Melayu-Islam?
Salam 2 all.

Artikel saya bertajuk "Keikhlasan PAS melaksanakan Hudud" baru sahaja disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini. Sila layari www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140502/re_05/Keikhlasan-PAS-melaksanakan-hudud.

Didalamnya saya mendedahkan 8 fakta sebagai sandaran untuk membuktikan nawaitu PAS dalam inisiatif untuk membentangkan Usul Persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan boleh dipertikaikan. Saya juga menyarankan PAS supaya melakukan 7 perkara sebelum mahu meminta sokongan UMNO bagu usaha tersebut.

Bagaimanapun portal media pro-pembangkang MalaysiaKini melaporkan bahawa pimpinan PAS telah mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan pimpinan DAP-PKR Rabu lepas di Ibupejabat PAS di Kuala Lumpur.

Menurut Teresa Kok, salah seorang pemimpin DAP yang hadir dalam taklimat tersebut, PAS memaklumkan bahawa inisiatif Usul Persendirian Perlaksanaan Hudud itu dibuat bagi mengelakkan kehilangan sokongan dan undi Melayu (lihat lapuran dibawah).

Kenyataan ini sekaligus menimbulkan persoalan serius mengenai tujuan dan nawaitu sebenar PAS dalam mahu melaksanakan hudud di Kelantan - adakah kerana mematuhi perintah Allah atau kerana politik kepartian?

PAS wajib mengeluarkan kenyataan mengenai pendedahan Teresa Kok ini supaya umat Melayu-Islam tidak terus terpedaya. Jika ianya benar, maka nawaitu PAS sangatlah diragui. Tetapi jika tidak benar, PAS wajib menyanggah kenyataan Teresa Kok dan mengambil tindakan menyelarnya.

Saya sendiri mengambil pendekatan yang diperintah Allah didalam Surah Al-Hujurat:6 yang menghendaki supaya kita memeriksa dahulu berita ini. Memandangkan berita ini bersumberkan daripada seorang kafir, maka kita harus mengesahkannya terlebih dahulu walaupun datang daripada media-portal yang tegar pembangkang!

Walau bagaiamanapun, saya semakin keliru dengan agenda politik hudud PAS ini kerana apabila meneliti kembali Enakmen Syariah (Hudud, Qisas & Ta'zir) yang dikemukakan oleh PAS, adalah jelas ianya tidak menepati undang-undang Islam sepenuhnya.

Antara perkara pokok yang terdapat percanggahan ketara ialah Seksyen 59 yang memperuntukkan Enakmen hudud ini hanya berkuatkuasa keatas orang Islam sahaja, dan orang bukan Islam ada pilihan untuk menerima atau tidak perlaksanaan hudud keatas mereka.

Ini jelas bercanggah dengan syara' dan kehendak qanun jinayat syariah sendiri yang mewajibkan perlaksanaan undang-undang jinayat keatas semua orang yang duduk dibawah pemerintahan sesuatu pemerintah yang melaksanakan undang-undang itu. Jika tidak, keadilan Islam yang mahu dicapai dengan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam tidak akan tercapai.

Contohnya kalau 2 orang lelaki mencuri, seorang Islam seorang bukan; maka yang Islam akan dihukum potong tangan jika sabit kesalahan, manakala yang bukan Islam hanya akan dipenjarakan mengikut Seksyen 379 Kanun Kesiksaan. Jadi bagaimana keadilan Islam hendak dicapai jika kita mendiskriminasi pesalah?

Bertambah serius kepincangan ini jika sepasang kekasih melakukan zina; jika wanitanya Islam dan lelakinya bukan Islam, maka hanya wanita itu sahaja yang akan dikenakan hudud, manakala lelakinya dibebaskan kerana zina bukan kesalahan jenayah dalam undang-undang sivil. Begitulah juga jika melakukan kesalahan meminum arak.

Jadi perlaksanaan undang-undang jinayat Islam seperti ini akan menimbulkan fitnah terhadap hukum Allah itu sendiri. Bukan sahaja keadilan Islam tidak akan tercapai, malah yang lebih serius qanun jinayat Islam akan menjadi bahan tertawa kepada bukan Islam!

Akhirnya bukan keredhaan Allah yang akan kita perolehi, sebaliknya murka dan la'nat Allah akan ditimpa kepada kita.

Sebab itu saya sarankan supaya PAS memperhalusi semula deraf undang-undang hudud yang dicadangkan. Terlalu banyak kecacatan yang ada yang akan meletakkan hudud sebagai bahan persenda orang ramai nanti.

Apa salahnya PAS bersabar, dan membuat sesuatu perkara secara bijaksana dan berhemah, dan bukan untuk mendapat political mileage.

Apa salahnya PAS membentangkan deraf undang-undang hudud yang mahu dilaksanakan kepada semua stakeholder dan pakar perundangan dan guaman, samada syariah atau sivil, supaya ianya boleh diperhalusi dan dipastikan benar-benar syariah compliance.

Kita lihat bagaimana Brunei mengambil masa begitu lama (lebih 30 tahun) untuk akhirnya memperkenalkan undang-undang hudud.

Itupun setelah digubal sebagai undang-undang yang perlaksanaannya berkuatkuasa semalam 01 Mei 2014, tetapi dilaksanakan secara berperingkat melalui 3 Fasa; dengan Fasa pertama hanya membabitkan hukuman rotan/ penjara sahaja. Manakala hukuman hudud yang lain ditangguhkan sehingga rakyat bersedia.

Dan hudud di Brunei terpakai kepada semua samada Islam ataupun bukan!

Jadi saya berharap supaya kepimpinan PAS akan lebih rasional dan matang dalam isu perlaksanaan hudud ini. Saya telah menyarankan dalam artikel sebelum ini supaya PAS melakukan 7 perkara dahulu sebelum Usul Persendirian Perlaksanaan Hudud di Kelantan mahu dibentangkan.

Dan saya ingin menambah satu lagi, supaya satu seminar peringkat antarabangsa dengan kehadiran ulama'-ulama' fiqh dan syariah samada daripada Malaysia mahupun daripada luar negara diadakan bagi menilai kewajaran dan kesesuaian melaksanakan hudud di Malaysia buat masa ini.

Jika ianya wajar dan bersesuaian, biarkan para ulama' dan pakar perundangan ini memperhalusi dengan teliti deraf Undang-Undang Hudud yang mahu dibentangkan supaya ianya benar-benar menepati syara'.

Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita untuk melaksanakan perintahNya, dan memberi kita kekuatan, istiqomah dan petunjuk hidayah dalam usaha kita ini insyallah.

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin 
Jumaat
02 Rejab 1435
02 Mei 2014

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Petikan daripada www.malaysiakini.com/news/261420 bertarikh Selasa 29 April 2014

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengadakan pertemuan bersama DAP dan PKR bagi memberi penjelasan khusus tentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri itu.

Wakil PAS diketuai oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Ahmad Yaacob itu memberi penjelasan kepada pimpinan bukan Islam DAP dan PKR mengenai rancangan mereka.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang bersama dalam pertemuan itu berkata, penjelasan dibuat kerana rakan-rakan Pakatan Rakyat itu ingin tahu lanjut mengenai hasrat Kelantan membawanya ke Parlimen.

"Daripada apa yang kita jelaskan pada pandangan sayalah, positiflah... mereka faham apa yang kerajaan Kelantan laksanakan walaupun pada dasarnya mereka tidak setuju, itu kita hormatilah,” katanya dipetik dari Harakahdaily.

Perjumpaan hampir dua jam di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur itu berlangsung hampir dua jam.

Sementara itu, Mohd Amar turut mengalu-alukan sesiapa sahaja pemimpin bukan Muslim lain untuk menemui mereka bagi mendapatkan penjelasan mereka.

“Soal setuju atau tidak setuju itu hak masing-masing, kita tidak akan paksa," katanya.

Turut bersama dalam perbincangan itu dua Naib Presiden PKR Tian Chua, anggota majlis pimpinan pusatnya Sivarasa Rasiah. Wakil DAP pula Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok

Liew yang ditemui berkata, pihaknya mengutarakan dalam perbincangan itu bahawa hudud bukan agenda bersama Pakatan.

Walaupun perbezaan pandangan, katanya, mereka akan mencari titik persamaan dan cuba mencari penyelesaian terbaik.

"Kita masih dalam perbincangan. Kita harap semua boleh memahami isu dan risiko politik dalam isu ini. Kita telah terangkan pendirian kita, dan kongsikan pandangan masing-masing," katanya.

Sementara itu Kok memberitahu Malaysiakini, PAS mengambil inisiatif melaksanakan hudud bagi mengelakkan kehilangan sokongan Melayu.

"Pemimpin PAS memberitahu kami kesukaran mereka dalam berdepan masyarakat kampung Melayu kerana Umno menguar-uarkan dakwaan mereka dikawal DAP.

"Mereka kata tidak boleh berdiam diri setelah menerima cabaran yang diberikan oleh Umno dalam isu hudud.

“Jika tidak respon dalam keadaan ini, lebih banyak sokongan Melayu akan hilang," kata Teresa yang juga anggota parlimen Seputeh.

[Baca berita penuh]

No comments: