11 May 2014

MCA TARIK DIRI?

MCA sepatutnya menggunakan medan PRK Bukit Gelugor untuk mendesak DAP supaya menasihatkan PAS melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap Anwar untuk membuktikan keikhlasan PAS mahu melaksanakan kanun jenayah syariah di negara ini!
Salam 2 all.

Saya tertarik dengan kenyataan Setiausaha Agong MCA Ong Ka Chuan semalam yang mengumumkan bahawa MCA tidak akan meletakkan calon menentang Ramkarpal Singh dalam PRK Bkt Gelugor.

MCA memberikan alasan mahu menumpu kepada isu perlaksanaan hudud yang mahu dibentangkan oleh PAS sebagai krisis nasional yang perlu ditangani.

Pada saya alasan MCA itu hanyalah satu gimik dan retorik politik semata-mata, kerana mereka tahu calon MCA tidak boleh memenangi sebarang pertandingan menentang DAP.

Dan pada saya, MCA tidak mahu membuka pekong bahawa kaum pengundi Cina telah menolak mereka; dan mendedahkan sebarang ungkapan konon pengundi Cina sudah kembali kepada MCA adalah retorik politik semata-mata.

Ini terbukti didalam PRK Kajang baru-baru ini dimana calon hebat MCA, Naib Presidennya sendiri Chew Mei Fun tumbang ditangan calon PKR. Malahan jumlah undi yang diperolehi MCA semasa PRU-13 di Kajang semakin menurun didalam PRK Kajang!

Jadi meletakkan calon di kubu kuat DAP di Bkt Gelugor akan sekadar menjadi medan pembantaian kepada survival politik MCA. Silap-silap mahu hilang deposit calon MCA!

Pada saya adalah hak MCA untuk tidak mahu meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor.

Tetapi MCA tidak ada hak untuk berselindung disebalik isu perlaksanaan hudud oleh PAS sebagai alasan tidak mahu bertanding!

Pada saya ini kenyataan paradox politik yang self-contradictory.

Sepatutnya DAP yang wajar khuatir dan risau dengan cadangan perlaksanaan hudud oleh PAS, kerana PAS adalah rakan sekongkol mereka.

Kalau menggunakan logik MCA, sepatutnya DAP lah yang tidak meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor. Sepatutnya DAP lah yang sepatutnya menarik diri dan membuat kenyataan mahu menumpu dan fokus kepada menghalang PAS daripada melaksanakan hudud.

Malah MCA sepatutnya menggunakan sepenuhnya peluang didalam PRK Bkt Gelugor untuk menyerang DAP yang kelihatan tidak mampu mengekang rakan sekongkolnya PAS daripada melaksanakan hudud.

Kalau benar MCA mahu menentang perlaksanaan hudud oleh PAS, PRK Bkt Gelugor adalah medan tempur terbaik untuk MCA membelasah DAP; bukan dengan menarik diri daripada bertanding. MCA sepatutnya meyakinkan pengundi Cina bahawa kredibiliti dan kewibawaan DAP tercalar dan tercabar kerana membiarkan PAS melaksanakan hudud.

Malah tag-line politik yang terbaik bagi MCA di Bkt Gelugor ialah "DAP membiarkan PAS melangkah mayat Karpal!".

Jadi tidak masuk akal bagi MCA tidak mahu meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor kononnya kerana mahu fokus kepada isu perlaksanaan hudud oleh PAS!

Adakah MCA takut dengan bayang-bayang sendiri?

Atau adakah MCA mempunyai agenda politik lain?

Apa pun, bagi saya MCA tidak ada hak untuk menuding jari kepada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan Barisan Nasional dan menghalang BN daripada meletakkan calon bagi PRK Bkt Gelugor, kononnya itu adalah kerusi tradisi MCA!

Kalau MCA sendiri memungkiri tradisi BN dengan enggan mahu bertanding dalam satu PRK, maka MCA tidak ada hak untuk menghalang BN daripada memungkiri tradisi dengan meletakkan calon daripada parti komponen lain atau BN-Friendly untuk bertanding dalam PRK Bkt Gelugor - kerana adalah menjadi tradisi BN untuk meletakkan calon dalam mana-mana pilihanraya!

Dan dengan keadaan kesahihan pencalonan Ramkarpal Singh sebagai calon mewakili DAP boleh dicabar kerana kasahihan CEC DAP tidak diiktiraf oleh ROS, ada kemungkinan calon BN boleh menang tanpa bertanding dan merampas semula kerusi Bkt Gelugor.

Ini peluang BN memecah kerusi tradisi DAP; dan MCA tidak patut menghalang hanya kerana kononnya Bkt Gelugor adalah kerusi tradisi MCA.

Apapun, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke 68 kepada UMNO yang menyambut ulangtahun penubuhannya sejak 11 Mei 1946 hari ini.

Sempena ulangtahun ini, mungkin UMNO perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada kepompong politik tradisi dengan meletakkan calon menentang Ramkarpal Singh.

Mana tahu berkat ulangtahun ke 68 ini, dan dengan niat jelas mahu bersama umat Islam melaksanakan hudud Islam sebagai mencari keredhaan Allah, mungkin kubu kuat DAP di Bkt Gelugor boleh bertukar menjadi kerusi UMNO, insya Allah!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

ZulkIfli bIN Noordin
Ahad
11 Rejab 1435
11 Mei 2014

No comments: