Salam 2 all.
Alhamdulillah semalam saya telah dapat mengadakan pertemuan dengan beberapa orang bloggers Muslim yang aktif. Pertemuan diadakan di Bilik Mesyuarat di Tingkat 14, Menara Parlimen.
Tujuan pertemuan ini adalah untuk menyelaras dan mendapatkan input khususnya berkaitan isu tauliah kepada penceramah untuk menyampaikan Islam.
Saperti yang sdr/i sedia maklum, saya mengambil pendirian agar keperluan tauliah ini dihapuskan dan saya menyeru Kerajaan Selangor supaya memansuhkan Seksyen 118 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor.
Pandangan saya ini dibuat berdasarkan faktor berikut:
1. Islam adalah agama risalah, agama da'wah. Adalah menjadi tanggungjawabtiap individu Muslim untuk menyebar dan menyampaikan risalah Islam.
2. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah sendiri yang menghendaki tiap umat Islam supaya menyampaikan dari Baginda saw walaupun satu ayat.
3. Ianya juga bersesuaian dengan dasar keterbukaan yang diambil oleh Pakatan Rakyat;
4. Sekiranya ada pelanggaran, saperti menyebarkan ajaran sesat dan lain-lain, kita mempunyai cukup peruntukkan undang-undang untuk kita ambil tindakan;
5. Dasar ini juga akan menjadikan kegiatan dan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau lebih aktif.
Pandangan saya ini turut dikongsi oleh beberapa rakan bloggers. Namun ada beberapa rakan bloggers yang kurang bersetuju dengan pandangan saya itu. Saya akur bahawa kesemua kita ingin melihat kegiatan da'wah dan pegimarahan masjid/ surau menjadi hidup dan aktif semula. Cuma perbezaan pendapat adalah dari segi pengurusan dan mekanisma kegiatan da'wah dan penyebaran Islam ini.
Setelah mendengar pandangan mereka yang hadir, saperti Sdr. Zainal (Mahaguru & Presiden Muslim Bloggers), Sdr. Akramsyah TS Sanusi, Sdr. Dato Kamal Amir, Sdr. Shaharudin Dato Ali, Sdri Zabarina dan lain-lain, saya mula bersetuju dengan pandangan bahawa kemungkinan ada justifikasi tentang pra-syarat tauliah ini, cuma kita perlu mencari bentuk pengurusan dan mekanisma pemberian tauliah ini dan cara untuk mengelakkan salahguna kuasa dan mempolitikkan isu pemberian tauliah ini.
Atas kesedaran ini, kami bersetuju untuk memfokuskan isu kepada cara pengurusan dan mekanisma dan pemberian tauliah, penguatkuasaannya dan mengenal pasti siapa sebenarnya dalang disebalik penyalahgunaan dan mempolitikkan isu peberian dan penguatkuasaan tauliah ini.
Insyallah kami akan mengadakan satu sesi perbincangan yang lebih besar untuk mendapatkan input yang lebih daripada para bloggers dan rakan-rakan lain berdasarkan kepada isu yang telah difokuskan tersebut.
Satu perkara yang perlu saya jelaskan, saya mengambil pendirian dalam isu tauliah ini bukan kerana menyokong Sahibul Fadhilah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Memang beliau adalah antara sahabat lama saya. Memang ada perkara dan pandangan sahabat saya SF Dr. Mohd. Asri yang saya setuju, dan ada perkara dan pandangan beliau yang saya tidak setuju. Tetapi itu bukan soalnya. Isunya ialah bagaimana mungkin seorang mantan Mufti, seorang 'ilmuan Islam, seorang pensyarah kanan pengajian Islam di menara gading boleh dinafikan tauliah, dan diperlakukan dengan begitu menghina dan 'aib sekali. Saya sendiri bertanya di Parliemn apakah kerana kononnya beliau didakwa berfahaman wahabi (dan beliau telah beberapa kali menafikannya). Jelas jawapan Menteri YB Dato' Jamil Khir dalam Parlimen bahawa tohmahan fahaman wahabi bukan isunya. Jadi apakah isu sebenarnya yang membawa kepada tragedi hitam dalam sejarah Islam negara ini. Apakah ada Iblis-Iblis Kecil yang memainkan peranan tangan ghaib dalam isu ini? Siapa mereka, dan bagaimana menangani Iblis-Iblis Kecil ini? Itu adalah satu isu yang perlu kita semua perhalusi dengan lebih mendalam lagi.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Sdr Zainal, Presiden Muslim Bloggers dan rakan-rakan lain yang sudi hadir majlis muzakarah yang bersifat brain-storming itu dan memberikan input yang sangat bermakna. Saya yakin akhir kalam, kesemua kita sangat sayangkan Islam dan sedang mencari jalan yang terbaik untuk memartabatkan agama yang agong ini. Moga ALLAH memberkati usaha kita ini.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
01 Zulhijjah 1430
19 Nov 2009
Salam 2 all.
Saya mengucapkan syukur alhamdulillah kehadrat ALLAH subhanahuwata'ala kerana memberikan anugerah kejayaan yang baik kepada anak saya MUHAMMAD AMIRUL MUQMIN yang mendapat 5A dalam keputusan UPSR yang di umumkan sebentar tadi. Nampaknya Amirul telah mengikut jejak langkah kakaknya AQILA ZULAIQHA yang juga memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR dua tahun lepas. Seramai 9 orang (4 lelaki dan 5 perempuan) daripada Sekolah Kebangsaan Taman Sri Keramat 1 yang mendapat 5A. Lepas ini pening nak carikan sekolah untuk dia pulak.
Kepada pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang, bersyukurlah kepada ALLAH dan pertingkatkan lagi pencarian 'ilmu. Ingat pesan Rasulullah, carlah 'ilmu daripada buaian sehinggalah ke liang lahad. Jangan jadikan kejayaan itu sebagai alat menyombongkan diri.
Kepada mereka yang tidak mencapai apa yang mereka harap-harapkan, jangan berputus asa. Jadikan ia sebagai medan untuk kita berusaha lebih gigih lagi, dan letakkan keyakinan kepada ALLAH.
Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya Maimun yang telah berusaha dengan gigih untuk mengajar dan memberi pengajian intensif kepada Amirul untuk menghadapi peperiksaan UPSR kali ini. Sebenarnya semasa ujian percubaan, Amirul tak dapat 5A. Jadi isteri saya turn teacher dan bagi aggressive punya drilling. Kalau harap ke saya, belum tentu lagi tu. Juga terima kasih kepada anak saya Aqila Zulaiqha yang juga mendapat 5A dalam UPSR tahun 2006, yang kuat memberi motivasi dan semangat kepada adiknya Amirul untuk berjaya. Juga kepada adiknya Azrul Muqmin (10 tahun), yang kurang mengacau abangnya walaupun takde member nak bermain. And finally kepada Aisya Zafira, our youngest darling (2 tahun). Kenakalan dan telatahnya sentiasa menghiburkan abangnya bila tiba time tension kena drill dengan maknya. You guys are aperfect family.
Adios & Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
01 Zulhijjah 1430
19 Nov 2009
Salam 2 all.
Petang tadi Rabu 30 Zulqaedah 1430/ 18 Nov 2009 semasa dalam sesi penggulungan oleh YB Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussein, saya telah membangkitkan isu berkaitan penggunaan simpanan KWSP untuk urusan haji.
Saya telah mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji penggunaan wang simpanan pencarum beragama Islam dibenarkan menjadi sandaran untuk pendaftaran haji.
Pada masa ini, Tabung Haji mewajibkan kita membayar deposit tunai sebanyak RM1,200-00 untuk tujuan mendaftar menunaikan kerja haji. Tanpa deposit tersebut, kita tidak akan dibenarkan mendaftar.
Tidak semua orang mempunyai wang sebanyak itu, dan kalau ada pun ada keutamaan lain yang perlu diberikan.
Tapi mereka mempunyai wang simpanan caruman KWSP. Dan wang simpanan ini tidak boleh dikeluarkan melainkan telah mencapai umur sekurang-kurangnya 50 tahun.
Oleh itu apa salahnya wang simpanan caruman KWSP itu dijadikan sebagai sandaran untuk mendaftar haji.
Kalau ikutkan saya berpendapat KWSP sepatutnya memberi kebenaran pencarum menggunakan wang simpanan mereka untuk mengerjakan haji apabila ianya cukup tanpa had umur. Kerana pada saya simpanan akhirat lebih penting daripada simpanan untuk hari tua! Malah saya telah mengusulkan cadangan ini tetapi ditolak oleh Kerajaan.
Jadi sekurang-kurangnua berilah kebenaran untuk simpanan KWSP dijadikan sandaran untuk pendaftaran kerja haji.
Alhamdulillah kali ini YB Timbalan Menteri telah bersetuju dengan cadangan itu dan memberi jaminan akan membawanya ke peringkat kabinet untuk mendapat kelulusan.
Saya ucapkan terima kasih kepada YB Datuk Dr Awang Adek Hussin yang bersedia untuk membawa perkara ini keatas. Moga ianya mendapat kelulusan yang diharapkan. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada seorang rakan blog zul4kulim yang telah memberikan idea cadangan tersebut. Saya tidak tahu siapa nama penuh beliau tetapi idea beliau lah yang memberikan saya inspirasi untuk mengemukakan usul tersebut kepada YB Timbalan Menteri. Sekali lagi, jazakallah.
Semoga ALLAH menganugerahkan saya lebih ramai rakan blog zul4kulim yang saperti beliau, sentiasa memberikan kritikan dan cadangan yang membina dan bermenafaat kepada umat dan rakyat. Moga ALLAH membalasnya dengan kebaikan dan keberkatan. Ameen.
Alhamdulliah & Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
30 Zulqaedah 1430
18 Nov 2009
Salam 2 all.
Sidang Parlimen hari ni Rabu 30 Zulqaedah 1430/ 18 Nov 2009 berlaku sesuatu yang sangat menarik perhatian saya.
Ini berlaku apabila YB Timbalan Menteri Kewangan yang sedang menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa menyentuh isu berkaitan hasil judi yang diperolehi Kerajaan.
Beberapa orang Ahli Parlimen daripada kalangan bukan Islam bangun dan mendesak supaya kerajaan mengkaji semula kegiatan judi dan pelesenannya, dengan menyatakan bahawa aktiviti berjudi saperti empat nombor ekor dan lain-lain telah menyebabkan kesengsaraan kepada ramai orang terutamanya kaum Cina.
Diantara Ahli Parlimen yang terlibat adalah YB Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), YB Cheong Jen Fen (DAP-Kucing), YB Fong Ko Puan (DAP-Batu Gajah) dan YB Anthony Loke (DAP-Rasah).
Mulanya kami MP Muslim dari Pakatan bercadang hendak menyertai bahas dalam isu judi ini, tapi bila dah tengok yang MP bukan Islam dah bersungguh-sungguh membangkitkan isu itu, kami rasa sudah lebih dari mencukupi.
Dan saya angkat tabik kepada Timbalan Menteri Kewangan YB Datuk Awang Adek Hussein yang telah memberi jaminan akan membawa isu itu ke peringkat kabinet dan "berjuang" untuk mencapai matlamat tersebut.
Bukan senang untuk kita melihat Ahli Parlimen bukan Islam berusaha untuk menghapuskan amalan perjudian, dan bukan senang nak tengok Menteri UMNo/Be End mengambil sikap bersetuju dan memberi jaminan akan berjuang untuk menghapuskannya.
Bravo kepada mereka semua..dan tahniah atas sikap berani dan tegas dalam menangani isu judi ini.
Dan kepada semua Ahli Parlimen yang beragama Islam, tak kira PR atau Be End, ini patut menjadi satu pengajaran bagi kita dan memberi suntikan semangat untuk melaksanakan syariat Islam. Yang penting kita memainkan peranan mendidik dan mendakwah mereka tentang kebaikan dan menafaat yang akan diperolehi rakyat tak kira apa bangsa dan agama jika syariat Islam dilaksanakan sepenuhnya. Saya yakin bila mereka diberi kefahaman yang cukup, mereka akan bersedia menerimanya..
TAPI..Mat Jais kata nak dakwah kena ada toliah pulak..hampeh.. ;//
Adios.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu
30 Zulqaedah 1430
18 Nov 2009
Salam 2 all.
Saya perturunkan dibawah tulisan SF Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin yang mengupas isu hala tuju PAS dan cabaran masakini. Saya sangat tertarik dengan pandangan beliau dalam isu ini dan berkongsi pendapat berkenaan dengan cabaran yang dihadapi oleh PAS serta halatuju yang beliau huraikan. Moga pandangan itu dapat dipertimbangkan dengan aqal waras dan dengan penuh zuhud dan tawadhu'.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Ahad
28 Zulqaedah 1430
16 Nov 2009
#############################
AGAMA BUKAN CANDU
Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Walaupun saya mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun saya akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik. Ini bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.
Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.
PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung.
Bisikan Halus
Saya berpendapat, krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS. Bisikan datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.
‘Pembisik’ hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja sekalipun menggadaikan atau menggugat keteguhan parti orang lain. Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.
Krisis kali ini agak serius. Ia mungkin boleh diramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS.
Hikmah
Saya berharap antara hikmah kejadian ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu. Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.
Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata.
Sudi Menerima Pandangan
Satu perkara yang wajar PAS akui ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul. Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS.
Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari. Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis:
“Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah..”.
Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari. Saya tidak menyatakan saya setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi saya hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan, padahal Dr Aziz Bari boleh dikatagorikan sebagai rakan mereka. Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat.
Bagaimanakah keadaan seperti ini jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan?! Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar.
Akhirnya, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.
Beberapa perkara berikut patut difikirkan oleh PAS;
* Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
* Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
* Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
* Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
* Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
* Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?
* Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?
- Dr Mohd Asri Zainul Abidin, USM
Ahad
27 Zulqaedah 1430
15 Nov 2009
*********************************************************************************
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Pucuk pimpinan Pas mahu amalan bai’ah talak tiga yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dihentikan serta-merta kerana ia bukan arahan parti selain boleh menjatuhkan martabat kaum wanita.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sejak Pas menyertai pilihan raya beberapa dekad lalu, parti tersebut tidak pernah ada bai’ah seumpama itu melainkan bai’ah rasmi yang dibaca bagi memastikan calon wakil rakyat tidak mengkhianati parti.
Beliau berkata, bai’ah rasmi itu hanya menyebut mengenai laknat Allah terhadap mereka yang khianat terhadap perjuangan parti dan langsung tidak menyatakan selain daripada itu.
“Jawatankuasa Pas Pusat tidak pernah bersetuju dan merestui bai’ah yang seperti ini dan selama ini pun kita menganggap bakal calon wakil rakyat kita menggunakan bai’ah rasmi yang disediakan.
“Atas sebab ini juga Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minta saya lakukan siasatan supaya isu yang telah mengundang persepsi negatif rakyat terhadap Pas ini dapat diselesaikan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan isu bai’ah talak tiga di ibu pejabat Agung Pas di sini hari ini.
Salam 2 all.
Dimaklumkan bahawa Sahibul Fadhilah Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis dan pensyarah Universiti Sains Malaysia akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada hari Rabu 01 Zulhijjah 1430 / 18 November 2009 jam 09.00am atas dakwaan dibawah Seksyen 118/119 Enakmen Jenayah Syariah Selangor Darul Ehsan kerana mengajar tanpa tauliah.
Bagi saudara/i yang berkelapangan, marilah hadir bersama memberikan sokongan moral kepada SS Dr. Mohd. Asri. Mahkamah ini terletak dikawasan AU2 Taman Keramat, berdepan kawasan kilang Texas terletak dibelakang stesyen minyak Petronas.
Bagi yang tidak berkesempatan, marilah bersama kita berdoa moga ALLAH memberikan kita semua kekuatan untuk istiqomah dalam perjuangan Islam dan mendapat petunjuk dan hidayah yang benar.
Seperkara yang perlu diperjelaskan, saya mengambil sikap ini bukan sahaja kerana bersimpati dengan SS Dr. Mohd. Asri, tetapi yang lebih penting dari segi prinsip pra-syarat tauliah untuk menyebarkan Islam dan berdakwah adalah satu warisan penjajah yang sudah lapuk yang perlu dihapuskan dan pada saya adalah bercanggah dengan syariat Islam sebagai agama da'wah dan agama risalah.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
25 Zulqaedah 1430
13 Nov 2009
p/s: bagi yang berminat membaca pemikiran SS Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, sila layari laman web "drmaza.com"

