Showing posts with label Taqwim Islam. Show all posts
Showing posts with label Taqwim Islam. Show all posts

15 November 2013

IKTIBAR 'ASYURA

Nabi Isa a.s yang diangkat dan disembah sebagai anak Tuhan dengan nama Jesus oleh penganut Kristian sebenarnya telah diangkat ke langit pada Hari 'Asyura 10 Muharram mengikut aqidah Islam
Salam 2 all.

Nabi menyebut bulan Muharam sebagai Syahrullah - bulan ALLAH. Didalam bulan ini banyak perkara penting yang berlaku (senarainya seperti dicatatkan dibawah).

Apabila menjadi Khalifah, Saidina 'Umar r.a telah membuat ketetapan menggunakan kalendar Hijriah sebagai taqwim Islam. Permulaan kalendar Islam ini dikira daripada 01 Muharram; yang kini disambut setiap tahun sebagai Ma'al Hijrah, atau sambutan Tahun Baru Islam. Sebelum Taqwim Hijrah ini diperkenalkan oleh Saidina 'Umar, perkiraan kalendar dibuat menggunakan taqwim Masehi.

Didalam bulan Muharram, ada satu tarikh yang diraikan Islam iaitu Yaumil 'Asyara - atau 10 Muharram. 'Asyara bermakna 10 dalam bahasa 'arab.


Sebenarnya 10 Muharram ini juga disambut oleh agama wahyu yang lain termasuk Yahudi dengan berpuasa. Memandangkan sumber wahyu adalah sama, maka Rasulullah saw menganjurkan puasa pada 10 Muharram dengan sabda, 'sesiapa yang berpuasa pada 10 Muharram, maka terhapuslah dosanya selama setahun sebelumnya'.

Tetapi Nabi saw membezakan 'amalan Yahudi dengan Islam dengan sabda, 'bezakanlah amalan puasa 10 Muharram kamu dengan amalan Yahudi iaitu dengan menambah berpuasa sehari lagi samada pada 09 Muharram atau 11 Muharram'.

Kita dapat melihat bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat untuk membezakan Islam dengan agama lain termasuk Yahudi sehinggakan amalan sunat seperti puasa 10 Muharram juga dibezakan.

Sama seperti ketetapan Saidina 'Umar r.a untuk menggunakan kalendar hijrah sebagai Taqwim Islam. Ini dibuat semata-mata untuk membezakan amalan Kristian yang menggunakan kalendar Masehi yang dikira berdasarkan kepercayaan tahun kelahiran orang yang mereka angkat sebagai anak Tuhan iaitu Jesus Christ. Sebab itu kalendar masehi, atau dikenali juga sebagai kalendar gregorian, diakhiri dengan A.D - Anno Domini atau In the Year of Our Lord.

Iktibar daripada ini ialah jika dalam perkara sunah seperti puasa sunat 10 Muharam dan amalan perkiraan kalendar seperti Taqwim Islam kita lihat Rasulullah saw dan para Sahabat mahu membezakan Islam dengan Yahudi atau Kristian; mengapa pula dalam isu fundamental membabitkan aqidah seperti kalimah ALLAH ada antara kita begitu beriya-iya mahu samakan dengan mereka?

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Yang paling mengecewakan, golongan munafik dan hipokrit ini menjubahkan diri mereka dengan label Islam, malah menyulam hujah dan kelentong mereka dengan ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw sehingga mengelirukan pengikut mereka, na'uzubillah!

Berapa ramai pengikut dan penyokong mereka yang telah sesat dan disesatkan! Semuanya atasa nama siasah syariah - atau dalam bahasa moden Machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Wadah lebih diutamakan daripada aqidah!

Yang penting undi! Yang penting Putrajaya! Yang penting kuasa! 

Ambillah iktibar peristiwa pembunuhan Saidina Husain r.a di Karbala, yang juga berlaku pada 10 Muharram. Cucu Rasulullah saw itu dibunuh akibat perebutan kuasa.

Yang peliknya, sebenarnya peristiwa pembunuhan Saidina Husain r.a sudahpun diketahui melalui hadis Rasulullah saw sendiri yang pernah bersabda bahawa 'cucu ku ini akan mati dibunuh oleh sebahagian daripada umat Islam'.

Semasa itu siapa yang percaya akan ada umat Islam sendiri yang akan membunuh cucu kesayangan Rasulullah saw. Tetapi itulah yang berlaku dalam peristiwa Karbala. Saidina Husain r.a, anak kepada Saidatina Fatimah r.a dan Saidina Ali karamallah huwajhah syahid dibunuh oleh umat Islam sendiri!

Hari ini, umat Islam berebut kuasa untuk menjadi pemerintah, sehingga sanggup membunuh dan menjatuhkan sesama sendiri. Dan lebih teruk ialah mereka sanggup bersekongkol dengan kafir harbi dan kuasa asing untuk menghapuskan atau menjatuhkan pemerintah yang satu agama dan satu aqidah dengan mereka, na'uzubillah min zalik!
 
Semoga ALLAH memelihara kita semua daripada fitnah akhir zaman ini, semoga iman dan aqidah kita tetap terpelihara, ameen.

Apapun, marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Hari Asyura 10 Muharram sepanjang tamaddun dan sejarah kemanusiaan:

  • 10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


  • Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.



  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.


  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.


  • Hari pertama Allah menciptakan alam.

  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.

  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.

  • Allah menjadikan 'Arasy.


  • Allah menjadikan alam.

  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.

  • Nabi Isa diangkat ke langit
Semoga dengan menghayati Hari 'Asyura 10 Muharram ini ALLAH akan memberikan kita petunjuk dan hidayah, dan memelihara aqidah dan keimanan kita, dan memberikan kita anugerah istiqomah -aamantu billah summastaqeem.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
10 Muharram 1435
14 November 2013

04 November 2013

SALAM 1435 - AFSYUSSALAM

Sempenan Ma'al Hijrah 1435, marilah kita umat Islam berusaha membebaskan Masjidil Aqsa
Salam 2 all.

Aiyyuhal muqminuun...afsyussalam...afsyussalam...afsyussalam!

Wahai orang beriman...sebarkanlah salam...sebarkanlah salam....sebarkanlah salam!

Itulah ucapan pertama Rasulullah saw sebaik sahaja tiba di Yathrib dalam peristiwa yang kini diperingati oleh umat Islam sedunia sebagai peristiwa Ma'al Hirah.

Ucapan salam dengan lafaz assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh, salam sejahtera keatas kamu berserta rahmat dan keberkatan ALLAH adalah satu ucapan universal, yang bukan sahaja mendoakan sesama umat, malah ia adalah syiar kesatuan dan ukhwah Islam.

Dimana sahaja kita pergi, samada benua Eropah Barat, Australia, India, Afrika, Russia, Eropah Timur, malah segala mana ceruk dunia, sebaik sahaja mendengar ucapan salam kita tahu ianya adalah saudara satu aqidah dengan kita.

Begitulah peranan salam.

Dan itulah yang semakin ketandusan dikalangan umat Islam. Ukhwah, kesatuan dan perpaduan!

Umat Islam kini berpecah, samada dari segi mazhab, dari segi kefahaman, dari segi politik, dari segi assobiyyah kenegaraan dan kedaerahan dan segala macam lagi.

Agak ganjil bagi umat yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Aqidah, Satu Qiblat tetapi berpecah belah. Bukan sekadar bertelingkah dan berselisih faham, malah sampai membawa kepada peringkat peperangan dan pembunuhan.

Dan anasir-anasir yang tidak senang dengan Islam menggunakan kesempatan sepenuhnya peluang dan ruang itu untuk terus melunyaikan umat Islam.

Sebab itu marilah kita menggunakan kesempatan sambutan Ma'al Hirah 1435 sebagai titik permulaan untuk berusaha kearah memupuk dan menyemai ukhwah dan kesatuan kita.

Kalau umat Yathrib kaum 'Auz dan Khazraj yang telah berperang beratus tahun berjaya bersatu dan berpadu dibawah satu risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw, mengapa pula kita umat Islam, khususnya bangsa Melayu tidak boleh melakukan perkara yang sama?

Demi untuk penyatuan umat Islam dan mempunyai perasaan sense of belonging, Saidina 'Umar r.a  telah melakukan satu pembaharuan yang telah berjaya mencorakkan umat Islam supaya mempunyai identiti tersendiri - iaitu memperkenalkan Taqwim Islam dengan mengambil sempena peristiwa hijrah Rasulullah saw sebagai permulaan perkiraan kalendar Islam.

Ini dilakukan oleh Saidina 'Umar r.a kerana mahu membezakan umat Islam daripada amalan kalendar Gregorian, iaitu kalendar yang diambil sempena daripada kononnya kelahiran Jesus Christ, individu yang diangkat sebagai anak tuhan oleh kaum yang dikenali sebagai kristian hari ini. Sebab itu kalendar masihi ini disebut dengan In the Year of Our Lord - Anno Domini!

Saya menyeru umat Islam termasuk diri saya sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan penggunaan kalendar Islam. Kita boleh bermula dengan mengingatkan tarikh kelahiran kita, anak isteri kita, kaum keluarga kita dengan menggunakan kalendar Islam.

Bagi memudahkan kita yang mungkin tidak tahu, hanya perlu layari www.islamicfinder.org dan dalam ruang 'calendar', kita cuma perlu masukkan tarikh kelahiran kita dalam tahun masihi dan 'convert' ke taqwim Islam; nanti akan keluar tarikh kalendar Islam yang bersamaan dengan tarikh masihi yang kita catatkan.

Perlu juga saya ingatkan diri saya dan saudara-saudari semua, bahawa salah satu rukun zakat, selain cukup nisab, ialah cukup haul; iaitu cukup tempoh matang setahun. Dalam konteks pembayaran zakat, cukup setahun itu dikira mengikut tempoh setahun kalendar Islam, bukan kalendar masihi!

Bermakna kalau kita mengambil perkiraan setahun daripada bulan Muharram, maka nisab harta untuk dizakat hendaklah dikira tempoh haul nya daripada 01 Muharram 1434 sehingga 01 Muharram 1435. Maka jika cukup nisabnya, hendaklah dikeluarkan zakat pada 01 Muharram 1435, iaitu esok.

Kalau kita mengira mengikut kalendar masihi, bermakna tiap tahun kita kekurangan 11 hari. Kalau dalam tempoh 30 tahun, bermakna kita sudah kekurangan 1 tahun. Bermakna kita tidak membayar zakat bagi setahun hijrah. Sedangkan hukum membayar zakat itu Rukun Islam! Bermakna kita tidak menunaikan Rukun Islam untuk setahun!

Apapun, kita umat Islam seharusnya mempunyai identiti kita sendiri. Dan antara identiti kita ialah ucapan salam, dan penggunaan taqwim Islam. Begitulah uniknya kita umat Islam, yang mempunyai satu Tuhan yang disebut ALLAH. Dimana juga ceruk dunia kita pergi, sesiapa sahaja yang mengucapkan salam dan mempertuhankan ALLAH, mereka adalah saudara kita.

Sebab itu, selain menghidupkan sunnah Rasulullah saw dengan mengamalkan salam, kita juga wajib mempertahankan kalimah ALLAH sebagai benteng aqidah kita.

Justru itulah Rasulullah saw berhijrah. Bukan kerana mahukan kuasa, bukan kerana mahukan harta, bukan kerana mahukan wanita!

BUKAN! BUKAN! BUKAN!

Rasulullah ditawarkan oleh musyrikin Makkah dengan harta sebesar Jabbal Uhud, kekuasaan keatas keseluruhan masyarakat Makkah, dan wanita tercantik untuk dijadikan suri. Namun Rasulullah saw menjawab dengan satu ketegasan yang wajib menjadi pendirian kita;

Andaikata mereka memberikan aku matahari ditangan kanan ku, dan bulan ditangan kiri ku, namun aku tidak akan sekali-kali berhenti menyebarkan risalah Laa ila ha illallah - Tidak ada Tuhan melainkan ALLAH Yang Maha Esa!

Itulah matlamat kita, itulah perjuangan kita. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanyalah kerana ALLAH!
Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1435!

Assalammu'alaikum warahmatullah wabarokaatuh!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
01 Muharram 1435
05 November 2013