Showing posts with label Mesir. Show all posts
Showing posts with label Mesir. Show all posts

14 January 2013

ENAM SOALAN!


(Bang Non, ini Enam Soalan buat Jah fenin lah..fenin!!! Amacam mau jawab Bang Non?)

Salam 2 all.

Alhamdulillah teman selamat kembali ke Malaysia selepas menyempurnakan misi Gaza. Sebagaimana Malaysia berjaya dalam misi damai Bangsamoro, teman berharap dan berdoa moga misi damai Hamas-Fatah juga akan berjaya insyallah.

Kebetulan dalam misi ini, teman sempat tinggal di bumi Musa a.s, dan berkesempatan melihat kehidupan disana. Teman dapati bukan sahaja Mesir masih mengamalkan dan melaksanakan sistem dan perundangan yang ditinggalkan penjajah British, malah hudud langsung tidak dilaksanakan.

Dalam keadaan itu, teman terkenang Amanat Hadi 1981. Bagaimana agaknya kalau kita terjemahkan Amanat Hadi 1981 itu kepada Mesir dan Ikhwanul Muslimin yang memerintah sekarang dibawah Presiden Mursi?

Jom kita semua meneliti dan memerhatikan ucapan DS Hadi yang menjadi asas kepada Amanat Hadi 1981:

"Kita (PAS) menentang dia (UMNO) ialah kerana dia (UMNO) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (UMNO)".

Bermakna kerana dakwaan UMNO mengekalkan "Perlembagaan penjajah" dan 'mengekalkan undang-undang kafir", maka UMNO akhirnya dikafirkan oleh penaksub, penyokong dan pendokong Amanat Hadi 1981.

Benarkah UMNO mengekalkan "Perlembagaan penjajah", dan mengekalkan undang-undang kafir"? Bagaimana pula dengan DS Hadi sendiri, atau PAS sendiri? Apa pendirian mereka sebenarnya?

Kalau kita menggunakan aqal yang sihat tanpa ketaksuban kepada mana-mana individu, parti dan lain-lain, sudah pasti kita akan bertanya soalan berikut kepada DS Hadi iaitu:

1. DS Hadi sendiri membuat kenyataan pada 18 Jan 2003 yang dilabel sebagai "Amanat Hadi 2003" menyatakan "peruntukkan berkenaan Islam saperti terkandung didalam Perlembagaan adalah cukup"! Bukankah ini sahaja sudah cukup membuktikan percanggahan Amanat Hadi 1981 & 2003!

2. DS Hadi sendiri menandatangani Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang pada 20 Dis 2009 bersama Anwar & Guan Eng di Shah Alam Convention Centre yang bersetuju "mempertahankan Perlembagaan sedia ada", dan "menghormati peruntukkan mengenai Islam yang sedia ada didalam Perlembagaan"! Bukankah ini bercanggah dengan Amanat Hadi 1981!

3. Mesir dimana DS Hadi memperolehi kelulusan agamanya masih mengekalkan perundangan penjajah sehingga kini! Malah hudud pun tidak dilaksanakan! Arak boleh diminum secara terbuka! Adakah Mesir yang hari ini diperintah oleh Presiden Mursi daripada Ikhwanul Muslimin juge perlu "ditentang dan dilawan"! Adakah Mesir kafir?

4. Turki yang hari ini diperintah oleh Recep Tayyib Erdogan dari Parti AK yang dikatakan Islamik masih mengekalkan perundangan penjajah dan melaksanakan amalan sekular Attarturk. Bukan sahaja hudud tidak dilaksanakan, homoseks tidak menjadi kesalahan jenayah! Adakah Turki wajib "ditentang & dilawan"! Adakah Turki juga kafir?

5. Indonesia, negara umat Islam terbesar didunia dengan 250 juta penduduk bukan sahaja masih mengekalkan perundangan penjajah, malah menjadikan Pancasila sebagai rukunegara, agama semuanya disamakan! Bukan sahaja hudud tidak dilaksanakan, malahan amalan seks bebas termasuk lesbian, gay, homoseks tidak menjadi kesalahan jenayah! Adakah Indonesia wajib "ditentang & dilawan"? Adakah Indonesia kafir?

6. Menifesto pembangkang yang diumumkan secara jelas oleh Anwar, Kitsiang dan lain-lain pemimpin pembangkang untuk PRU13 dengan secara jelas mengekalkan Perlembagaan Persekutuan sedia ada, dan menolak penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hudud. DS Hadi bukan sahaja menerima manifesto ini, malah "dah rasa syiok" nak jadi PM mewakili pembangkang!

Untuk tujuan membuka minda mereka yang masih kelabu lagi, bagaimana kalau kita adjust sikit Amanat Hadi 1981 dan memakainya untuk negara Mesir, Turki dan Indonesia yang masih "mengekalkan Perlembagaan penjajah dan undang-undang kafir" kerana mereka (iaitu Mesir, Turki & Indonesia) langsung tidak melaksanakan hudud, dan masih mengekalkan perundangan penjajah!


"Kita (PAS) menentang dia (Mesir-Ikhwanul Muslimin-Presiden Mursi) ialah kerana dia (Mesir-Ikhwanul-Muslimin-Presiden Mursi) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Mesir-Ikhwanul Muslimin-Presiden Mursi)?".

"Kita (PAS) menentang dia (Turki-Parti AK-PM Erdogan) ialah kerana dia (Turki-Parti AK-PM Erdogan) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah, dan melaksanakan perundangan sekular dan sistem Attarturk. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Turki-Parti AK-PM Erdogan)?".

"Kita (PAS) menentang dia (Indonesia-Presiden Susilo) ialah kerana dia (Indonesia-Presiden Susilo) mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah, melaksanakan prinsip Pancasila semua agama sama. Oleh kerana itulah kita (PAS) menentang mereka (Indonesia-Presiden Susilo)?".

Persoalannya, bolehkah kita berkata saperti tiga kenyataan diatas?

Teman cukup yakin jawapan diatas semua adalah TIDAK! Kalau Mesir, Turki & Indonesia tidak kafir, mengapa Malaysia dan Kerajaan UMNO kafir?

Ternyata Amanat Hadi 1981 adalah satu kesilapan besar; dan DS Hadi tidak ada pilihan selain menarik balik, bertaubat dan memohon maaf kepada umat Melayu-Islam akibat bencana yang berlaku disebabkan Amanat Hadi 1981 itu!

Ingat pesan Rasulullah saw, "jika tuduhan kafir kepada seseorang itu tidak benar, maka kekafiran itu kembali kepada penuduhnya"!

Sabda Rasulullah saw saperti yang diriwayatkan oleh Saidina Ali karamallahu wajhah (daripada Baihaqi) jelas menyatakan "seburuk-buruk manusia diatas mukabumi diakhir zaman nanti ialah ulama'. Daripada mereka datangnya fitnah, kepada mereka kembali fitnah itu"!

Adakah fitnah Amanat Hadi 1981 telah boomerang kembali kepada DS Hadi?

Moga ALLAH membuka hijab ketaksuban politik kepartian daripada jiwa kita, menjauhkan kita daripada "mempertuhankan parti", dan memberi hidayah & petunjuk serta mengekalkan iman dan aqidah kita.

Aamantu billah summastaqeem.

Yang baik datang daripada ALLAH, yang tidak kelemahan teman sendiri. Moga ALLAH memelihara aqidah dan keimanan kita, dan memberi keampunan, hidayah dan petunjuk kepada kita semua. Ameen!

Wallahua'lam & wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Rabi'ul Awal 1434
14 Januari 2013

08 February 2011

BRAVO OPS PIRAMID

(Masjid & kubu Salahuddin Al Ayubi di Kaherah - rakyat Mesir dan umat Islam memerlukan pemimpin agong saperti Sultan Salahuddin Al Ayubi)

Salam 2 all.

Teman mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir yang telah berjaya melaksanakan operasi menyelamat dan memindah pelajar dan warganegara Malaysia yang terperangkap dalam kemelut rusuhan di Mesir. Kgigihan dan komitmen mereka yang tidak kenal penat lelah sangatlah dihargai.

Mungkin ada segelintir yang memperlekehkan usaha menyelamat dan pemindahan ini, malah yang lebih teruk dan parah, ada segelintir mala'un yang cuba nak mempolitikkan musibah kemanusiaan yang menimpa rakyat Malaysia ini. Terdengar disana suara-suara sumbang yang memutarbelitkan cerita konon operasi menyelamat ini bersifat memilih, ada yang dianaktirikan kononnya (terutama mereka yang didakwa menyokong pihak tertentu); dan ada juga yang membawa cerita para pelajar dan warga dikenakan bayaran oleh Kerajaan untuk tambang dan kos menyelamat dan pemindahan ini! Begitulah segelintir pak jangoat yang tidak habis-habis nak berpolitik. Hatta dalam soal nyawa dan keselamatan rakyat pun nak main politik juga!! Memang musibat haibat mereka ini!

Sedangkan hakikatnya kesemua pelajar dan warganegara Malaysia yang secara sukarela mahu diselamatkan dan pulang ke negara telah selamat dikeluarkan dari bumi Mesir, tidak kira apa fahaman politik atau latarbelakang mereka. Lebih 11,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pemindahan ini. Yang tinggal pun adalah mereka yang memang telah membuat keputusan sendiri mahu terus tinggal di Mesir; samada dari kalangan pelajar (terutamanya pelajar perubatan yang menduduki peperiksaan) dan warga Malaysia yang berkahwin dengan rakyat tempatan. Itupun jumlahnya tidak sampai 300 orang. Yang lainnya semua telah dikeluarkan dan diselamatkan.

Sewaktu menulis ini, teman dimaklumkan operasi menyelamat & memindahkan seluruh rakyat Malaysia dari bumi Mesir telah selesai disempurnakan dan telahpun dihentikan. Kini hanya tinggal untuk membawa mereka pulang ke tanah air daripada Jeddah, yang insyallah dijangka selesai dalam beberapa hari lagi. Tetapi untuk langkah berjaga-jaga, Kerajaan Malaysia telah menempatkan dua pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia di Lapangan Terbang Kaherah untuk membolehkan tindakan serta-merta diambil jika diperlukan.

Bagi mereka yang masih kelabu dengan kehebatan dan kecanggihan operasi yang dipanggil "Ops-Piramid" ini, cuba bayangkan fakta-fakta berikut:

1. Pelajar dan warga Malaysia yang berada dibumi Mesir melebihi 11,000 orang;

2. Mereka tinggal dimerata tempat saperti Manshourah, Iskandariah, Kaherah dan lain-lain, yang jarak antaranya beraitus kilometer. Dan ditempat-tempat ini pun mereka tinggal berselerak. Ada yang tinggal di asrama, ada yang tinggal bersendirian, ada yang sudah berkahwin dan tinggal berasingan daripada orang lain. Cuba bayangkan sukarnya tugas nak mengenal pasti kedudukan mereka, mendaftarkan mereka, mengambil mereka dari tempat masing-masing, dan membawa mereka semua ke lapangan-terbang Kaherah;

3. Dan semua ini mesti dilakukan dalam tempoh beberapa hari sahaja;

4. Dan cuba bayangkan betapa sukarnya tugas ini kerana keadaan politik dan keselamatan yang tidak menentu; huru hara dan kekacauan; tembak menembak dan pembunuhan; tiadanya pihak berkuasa yang jelas, dan macam-macam lagi;

5. Cuba bayangkan urusan visa keluar-masuk sahaja sudahlah. Untuk mendapatkan visa dalam tempoh 2-3 hari bagi hampir 11,000 orang untuk masuk ke Saudi Arabia dan menetap disana selama beberapa hari bukan satu kerja yang mudah. Kalau nak yakin, cuba tanya travel agen yang mengendalikan umrah. Nak dapat 2-3 keping visa dari Kedutaan Saudi disini pun macam nak patah pinggang dibuatnya, inikan untuk 11,000 orang!, dan dalam tempoh 2-3 hari! Memang para pegawai kita cekap dan hebat!

6. Cuba bayang nak uruskan hampir 11,000 rakyat Malaysia di Madinatul Hujjaj, Jeddah dalam tempoh tak beberapa hari; alangkan Tabung Haji mengambil masa berbulan-bulan untuk merancang penempatan jemaah haji, inikan pula para pegawai Malaysia nak menyelesaikannya dalam tempoh 2-3 hari sahaja! tetapi mereka berjaya melaksanakannya dengan baik!

6. Dan untuk mendapatkan kebenaran pendaratan bagi semua kapalterbang Malaysia untuk mengambil seluruh 11,000 lebih rakyat. Bayangkan berapa penerbangan yang diperlukan. Kalau satu kapalterbang boleh memuatkan 300 orang, Kerajaan Malaysia perlu menghantar 36 penerbangan yang tiap satu mengambil masa 7-8 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur;

7. Dan yang paling hebat, bukan sahaja Kerajaan Malaysia mendapat kebenaran penerbangan keluar masuk Jeddah dalam tempoh beberapa jam, keluarga diraja Saudi telah sudi memberi sumbangan menggunakan dua buah kapalterbang mereka untuk digunakan bagi menerbangkan rakyat Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur!!

Satu rahsia besar yang ramai tidak ketahui mengenai "keajaiban" Op Piramid" ini ialah hubungan peribadi yang tersangat akrab dan baik diantara YAB Dato' Sri Najib Tun Razak dan YABhg Datin Sri Rosmah Mansor dengan keluarga DiRaja Saudi dan Emirat Arab Bersatu (UAE), yang telah memungkinkan semua perancangan dibuat tanpa kerenah birokrasi yang tidak menentu. Contohnya ramai yang tidak tahu mengenai perhubungan peribadi yang sangat akrab dan baik diantara YABhg Datin Sri Rosmah Mansor dengan isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak, keluarga DiRaja Saudi termasuk keluarga DiRaja UAE yang telah banyak membantu melicinkan usaha "Ops-Piramid" ini. Teringat teman bagaimana YABhg Datin Sri Rosmah menggunakan hubungan akrab dengan keluarga Presiden Mesir untuk membebaskan seorang rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir tidak berapa lama dahulu.

Didalam keadaan krisis saperti ini, barulah kita menyedari dan menghargai usaha dan hubungan akrab diantara YAB Perdana Menteri kita serta YABhg Datin Sri Rosmah Mansor. Komitmen dan keseriusan YAB PM dan isteri menangani krisis ini dan kegigihan untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, kaum atau status sangatlah dihargai. Teman cukop yakin mereka yang terlibat cukop memahami apa yang telah dilakukan.

Cuba bayangkan YAB Perdana Menteri telah mengarahkan seorang Menteri penuh (YB Senator Dato' Seri Jamil Khir Baharom), seorang Timbalan Menteri (YB Dato' Kohilan Pillay), Setiausaha Politik YAB PM sendiri, dan ramai para pegawai kanan Kerajaan turun sendiri ke Mesir dan Jeddah untuk membantu mengurus dan menyempurnakan "Ops-Piramid" ini! Cuba tanya negara lain samada mereka ada buat saperti yang Kerajaan kita lakukan untuk rakyat Malaysia!

Malangnya ada segelintir dikalangan poliTikus disini yang tak berhenti-henti melalak dan memekak, memfitnah dan menyebar cerita karut, tapi sepatah haram pun tak membantu. Menyusahkan orang lagi adalah! Patutnya berterima kasih lah sikit, kerana teman tahu ada diantara yang diselamatkan adalah anak-anak mereka sendiri!! Ini jangankan berterima kasih, sanggup berbohong dan memutarbelitkan fakta lagi. Tak tahulah apa nak jadi dengan spesis saperti ini. Agaknya kalau sesaat mereka tidak berpolitik mungkin boleh demam pitam jadinya! Itulah akibatnya kalau hidup cari makan dengan politik!

Sebenarnya tidak cacat dan tidak bercalar sedikit pun iman dan akhlak kita kalau berterima kasih kepada mereka yang melakukan kebaikan dan menegakkan kebenaran, walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, ataupun berlainan agama. Sebab itu walau pun sudah menjadi Ahli Parlimen Bebas, teman tidak ada keraguan mengucapkan tahniah dan terima kasih contohnya kepada Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi Awang, Ustadz Nasharuddin Tantawi, Tan Sri Lee Lam Thye dan ramai lagi jika mereka melakukan kebaikan atau menegakkan kebenaran (boleh baca sendiri tulisan, komen dan artikel teman didalam blog ini). Tetapi bagi mereka yang melakukan kemungkaran dan kebatilan, teman tidak ada keraguan sedikit pun untuk menentang mereka, dan jika perlu diperangi, pasti teman akan perangi mereka habis-habisan!!

Apa pun, tabik spring teman berikan kepada para pegawai dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir yang bekerja bertungkus lumus siang dan malam. Hampir kesemuanya bermalam berhari-hari di Kedutaan, ada yang tidak tidor pun hanya untuk memastikan usaha 'Ops-Piramid" ini berjalan lancar. Kepada mereka, rakyat Malaysia, khususnya ibubapa pelajar sangat terhutang budi. Hanya ALLAH sahajalah yang akan membalas selayaknya. Tak tahulah kot YAB PM nak berikan penghargaan negara kepada mereka, rasanya tidak menjadi masalah untuk Kerajaan dan negara memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka semua. Dan kepada kaki-bising dan kaki-rungut, mike boleh membantu dengan cuba bawak bertenang dan hentikan fitnah dan umpatan yang dibuat. Eloklah digamkan mulut tu dan bawak duduk beristighfar dan berzizir dalam masjid lagi bagus.

Wallahua'lam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
05 Rabi'ul Awal 1432
08 Februari 2011

* Gambar atas: Masjdi Sultan Salahuddin Al Ayubi yang terletak didalam kubu tentera Sultan Salahuddin dipinggir Bandaraya Kaherah yang menjadi tunggak kekuatan tentera Islam semasa Perang Salib;

*Gambar tengah: Piramid di Giza yang menjadi sumber utama kegiatan pelancongan di Mesir. Kawasan Piramid ini agak tenang semasa rusuhan kerana dikawal ketat oleh tentera Mesir;

*Gambar bawah: Kubur Sheikh Muhammad Bin Idris atau lebih dikenali sebagai Imam As-Syafi'e, Imam Mazhab Syafi'e yangb terletak didalam Masjid As-Syafie dipinggir Bandaraya Kaherah.

30 January 2011

IKTIBAR DARI BUMI FIRAUN


(Bersama Sahibul Fadhilah Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Falastin semasa misi Ramadhan di Ghozzah 1431. Jelas perjuangan membebaskan Al Aqsa terpahat didinding pejabat beliau, hanya 79.37km sahaja jaraknya)


Salam 2 all.

Semasa menyertai misi keamanan ke Falastin, khsususnya di Ghozzah bulan Ramadhan 1430 lepas, teman agak kaget dan kehairanan dengan sikap rejim Mesir yang begitu beriya-iya menyusahkan kami dalam usaha unutk memasuki Ghozzah. Bermula daripada masalah mendapatkan visa dan kebenaran memasuki Ghozzah, kemudian terpaksa melalui 18 sekatan keselamatan dalam keadaan tidak menentu, tersangkut di bandar sempadan 'Arisy, menunggu berjam-jam dipintu masuk Rafah, terpaksa membayar visa yang mahal (dan dalam Dollar Amerika) untuk melepasi sempadan, dan pelbagai lagi karenah dan mehnah mereka, sampai nak pakai muffler Falastin pun dianggap jenayah, dan jangan sebut nama Sheikh Khalid Masy'al, Syeikh Ismail Haniyeh, Almarhum Sheikh Yaasin dan lain-lain.
Dan melihat umat Ghozzah terpaksa membayar visa yang mahal untuk keluar masuk Rafah, pintu sempadan yang dibuka hanya sekejap (dan itu pun ikut suka mereka bila nak buka/ tutup), sehingga terpaksa umat Ghozzah menggali ribuan terowong untuk menyeberang (dan itu pun rejim la'natullah ini bom sehingga musnah) semata-mata untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.
Persoalan besar yang bermain difikiran teman melihat semua itu, mengapa rejim la'natullah Hosni Mubarak ini sehingga tergamak membiarkan umat Islam Ghozzah begitu menderita hidup mereka. Darah umat Islam Ghozzah bergelumang ditangan rejim sadis ini. Sedangkan diantara umat Islam Falastin dan Mesir adalah Satu: Satu Aqidah, Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Kiblat, maka sepatutnya menjadi Satu Umat. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Mengapa?
Jawapannya mudah sahaja. Kerana rejim Hosni Mubarak la'natullah bersekongkol dengan rejim Yahudi la'natullah. Kerana mahu terus memerintah, saudara sesama Islam di Falastin dijadikan musuh utama. Kerana gilakan kuasa, tali persaudaran berdasarkan aqidah diketepikan, sebaliknya mereka berpegang kepada tali nafsu dan serakah masing-masing!! Hanya kerana Hosni Mubarrak mahu terus berkuasa, mahu menjadi Presiden, dan kini mahu anak emasnya sendiri mengambil tempat menjadi Presiden, dan beranggapan persekongkolan dengan Israel kafir harbi la'natullah ini akan membantu mereka terus berkuasa, maka aqidah menjadi sampah bagi mereka!

Inilah iktibar besar dan pengajaran penting yang perlu diambil oleh umat Islam seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Persekongkolan dengan kafir harbi la'natullah adalah persekongkolan membawa rebah, satu pakatan syaitan yang jika tidak dibendung dari awal akan membawa bencana dan kehancuran kepada umat Islam.

Teman melihat sejarah harakah islamiyyah di Mesir, iaitu Ikhwanul Muslimin di Mesir. Harakah yang mempunyai nama-nama hebat saperti Assyahid Hassan Al Banna, Assyahid Syed Qutb, Sheikh Dr. Yusuf Al Qorodowi dan ramai lagi. Pergerakan yang bercita-cita untuk menubuhkan daulah Islamiyyah, sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya.

Lihat bagaimana mereka terpedaya membantu Gamal Abdel Nasser untuk menumbangkan pemerintahan Raja Farouk. Setelah itu mereka membantu pula penentangan terhadap Israel sehingga Gamal Abdel Nasser dapat berkuasa. Sebaik berkuasa, semua janji persepakatan berubah menjadi pakatan syaitan. Nasser yang mereka sokong dan bantu berubah menjadi musuh. Ikhwanul Muslimin diharamkan, pemimpinnya diburu, ada yang dibunuh, digantung, dan ramai yang terpaksa melarikan diri dan hidup dalam buangan saperti Syeikh Dr. Yusuf Al-Qorodowi. Akhirnya Ikhwanul Muslimin terpaksa bergerak secara bawah tanah, merempat dinegara sendiri.

Namun Ikhwanul Muslimin bangkit daripada kesilapan itu. Mereka menggunakan acuan tersendiri dalam perjuangan, iaitu acuan Islam. Mereka putuskan segala persepakatan dan pakatan dengan golongan kafir, musyrik, munafik dan toghut. Mereka bersaudara dengan sesama Islam. Mereka pergiatkan da'wah. Budaya usrah subur dan mekar. Al Ma'thurat menjadi zikir harian. Tahajjud menjadi teman malam, qiamullail menjadi rutin harian. Syariat dan hukum hakam dipelihara dan dijaga. Kompromi dalam hal aqidah dan feqah, apatah lagi bersama kafir harbi, langsung tidak kedengaran. Mereka benar-benar membantu agama ALLAH.

Dan kini ALLAH membantu mereka. Bukan melalui proses demokrasi. Bukan melalui kertas undi. Bukan melalui perebutan kerusi. Bukan melalui parti-partian. Tetapi melalui hati! ALLAH Raja Segala raja, Pemilik seluruh alam, Penguasa segala kuasa, Pemilik segala makhluk memilih membantu mereka dengan hanya membuka hati umat dan rakyat Mesir, dan mencampakkan perasaan takut kepada pemerintah la'natullah ini.

Siapa sangka Hosni Mubarak yang telah memerintah secara kukubesi selama lebih 30 tahun ini kini menggeletar ketakutan. Hasrat untuk anak emasnya menyambung warisan pemerintahan lebur bak pasir di gurun. Umat yang dulu ketakutan walau nak memakai muffler Falastin kini berani mendaki kereta kebal yang gah hebat di persada pertahanan sang penguasa. Rakyat yang dahulunya gerun walau nak menyebut nama Hasan Al Bana, kini menginjak gambar poster sang pemerintah. Kini Hosni Mubarak la'natullah sedang menghitung hari kejatuhan. Bumi Israel mungkin hanya satu-satunya pilihan untuk beliau menjadi pelarian!

ALLAH pernah membantu umat Islam hanya dengan angin. ALLAH pernah membantu umat muqminin hanya dengan pasir. ALLAH pernah membantu umat muqminin hanya dengan nyamuk. ALLAH pernah membantu muqminin hanyu dengan air laut. ALLAH pernah membantu umat muqminin hanya dengan teriakan. ALLAH pernah membantu umat muqminin hanya dengan burung. ALLAH boleh membantu umat muqminin hanya dengan satu kalimah "kun fayakuun".

Apa yang penting ialah kita memenuhi pra-syarat untuk mendapat bantuan ALLAH itu. Bantuan itu tidak akan tiba dengan bersekongkol dengan kafir harbi. Ia tidak akan tiba dengan berpakat dengan "Islam over my dead body". Ia tidak akan tiba dengan menjual nama ALLAH. Ia tidak akan tiba menjual dan menggadai maruah anak isteri. Ia tidak akan tiba dengan mendukung pembohong dan pembelit. Ia tidak akan tiba dengan yang halal jadi haram yang haram jadi halal; yang mungkar jadi ma'ruf, yang ma'ruf jadi mungkar. Ia tidak akan tiba dengan yang kafir harbi jadi saudara, yang sesama Islam jadi musuh! Ia tidak akan tiba kalau kita tidak berperangai saperti seorang Islam!!

Ia hanya akan tiba dengan Islam huwal Islam, Islam tetap Islam. Ia hanya akan tiba dengan kita membantu Islam. Bila bila kita sudah benar-benar menjadi seorang Muslim, maka ketika itu yakinlah bantuan ALLAH pasti akan datang.

Teman menyeru dan menasihatkan diri teman dan ikhwan supaya kembalilah kepada perjuangan Islam yang sebenarnya; yang berdasarkan kepada Al Quran & sunnah. Yang Islam huwal Islam. Kenalilah musuh sebenar kita; dan kenalilah saudara sebenar kita.

Inilah iktibar yang perlu kita ambil dari apa yang sedang dan akan berlaku di bumi Firaun la'natullah ini.

Wallahua'alam & Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
25 Safar 1432
30 Januari 2011
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
KAHERAH - Presiden Mesir, Hosni Mubarak bukan sahaja menjadi penindas rakyatnya selama 30 tahun tetapi beliau juga memainkan peranan penting dalam penyeksaan berterusan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza.

Sempadan Rafah yang terletak di selatan Gaza dan bersempadan dengan Mesir menjadi satu-satunya laluan keluar dan masuk penduduk Palestin tanpa perlu melalui sekatan rejim Zionis.

Namun, kerajaan Mesir di bawah arahan Mubarak berterusan menutup sempadan itu bagi menghalang lebih 1.5 juta penduduk Gaza daripada mendapatkan bekalan harian penting termasuk makanan dan ubat-ubatan yang disekat rejim Israel.

Sumbangan Mubarak kepada sekatan memusnahkan di Gaza tidak terhad kepada menyeksa penduduk Gaza tetapi pemerintah kejam itu turut menyasarkan bantuan luar yang dihalang daripada dihantar ke Gaza.

Mubarak yang selama ini setia mendengar arahan sekutunya Israel turut menempatkan 750polis sempadan di Rafah selepas diarah oleh Tel Aviv pada 2005.

Pada Jun 2007, Mubarak dengan persetujuan Israel mengarahkan sempadan Rafah ditutup sepenuhnya selepas kumpulan pejuang Hamas di Gaza memenangi pilihan raya dan mula memerintah wilayah Palestin itu.

Selain untuk menjaga hubungan baik dengan Israel, tindakan Mesir itu dilihat sebagai simbol ketakutan Mubarak yang ingin memusnahkan Hamas yang mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang Mesir, Ikhwan Islam.

Lebih menyedihkan dan seperti yang sudah dijangka, kesetiaan tidak berbelah bagi Mubarak kepada rejim Zionis tidak mendapat balasan yang diingini apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang kenyataan menyokong Mubarak sejak protes tercetus, Selasa lalu.