Showing posts with label Permatang Pauh. Show all posts
Showing posts with label Permatang Pauh. Show all posts

15 March 2014

POLITIK KITAR-SEMULA: SAY NO-2-ANWARIZAH

SAY NO2ANWARIZAH

Tanya sama Zizah

apa pasal Kajang

nanti jawab Zizah

Bang Non dah goyang



Tanya sama Zizah

apa sebab goyang

nanti jawab Zizah

Penjara nak datang

Salam 2 all.

Tindakan Anwar Ibrahim dan PKR meletakkan Wan Azizah sebagai calon untuk PRK DUN N.25 menggantikan suaminya Anwar mengitar semula kisah politik 1999 dan 2008. Pada saya Wan Azizah kekal menjadi politikus kitar-semula yang cuba menghidupkan dan menyambung talian-hayat politik Anwar.


Setelah pemecatan Anwar oleh mantan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed (sekarang Tun Mahathir) dan UMNO pada 02.09.1998 atas dakwaan amalan seks songsang dan luar tabi'e, Wan Azizah menjadi penyambung talian-hayat politik Anwar apabila ditabal sebagai Presiden PKN-Parti Keadilan Nasional (nama lama PKR) bagi pihak suaminya yang menghadapi pertuduhan meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar.

Tahun 1999 juga menyaksikan Azizah diangkat menjadi calon kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-11 menggantikan tempat suaminya Anwar yang pada waktu itu sudah dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara kerana menyalahgunakan kuasa sebagai TPM mengarahkan Cawangan Khas PDRM untuk memaksa Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar membuat Akuan Sumpah palsu untuk melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Azizan dan amalan seks songsang dengan isteri orang.

Berbekalkan paluan gendang simpati dan airmata, Wan Azizah menang selesa dalam PRU-11 di Parlimen Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang. Wan Azizah mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-12 tahun 2004 juga atas paluan simpati dan airmata, walaupun PKR kehilangan semua kerusi lain yang dimenangi dalam PRU-11.

Pada tahun 2008, setelah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam PRU-12 pada 08.03.2008, Wan Azizah sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai isteri setia telah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 31.07.2008 setelah Anwar menghadapi siasatan meliwat pembantunya Saiful Bukhori Azlan yang mengadu diliwat pada 26.06.2008.

Anwar yang telah dilepaskan daripada menjalani hukuman penjara pada 02..09.2004 telah layak untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen pada 14.04.2008 setelah tempoh moritorium kelayakan bertanding sebagai bekas banduan tamat.

Dalam menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya Saiful Azlan, kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang sangat membantu Anwar untuk mempolitikkan kes perbicaraan tersebut.

Sekali lagi isteri tercinta Wan Azizah memainkan peranan untuk menyelamatkan suami tercinta dengan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh. Dan Anwar memenangi kerusi tersebut dalam PRK P.044 pada 26.08.2008. Maka bergayalah Anwar menghadapi perbicaraan meliwat Saiful sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan meliwat Saiful atas sebab teknikaliti  pada 10.01.2012, setelah melalui proses perbicaraan yang menyaksikan rekod penangguhan lebih daripada 60 kali.

Anwar kemudiannya menghadapi proses rayuan kes meliwat Saiful. Mahkamah Rayuan telah menetapkan perbicaraan rayuan pada 05-07 Mac 2014. Dan kali ini wakil Pendakwaraya adalah peguam senior dan terkemuka Tan Sri Mohd Shafee Abdullah, yang telah diberikan fiat untuk mewakili Peguam Negara.

Team guaman Anwar tahu peguam veteran Tan Sri Shafee adalah peguam no-nonsense yang begitu fokus dan komited terhadap kes dibawah kendaliannya.

Maka Anwar memasang strategi politik. Tiba-tiba, tanpa angin tanpa pohon bergoyang, berlaku PRK DUN N.25 Kajang; kerusi yang secara tiba-tiba dikosongkan oleh Lee Chin Cheh, ADUN PKR tanpa sebarang sebab menasabah.

Bukan sahaja Anwar mencanangkan beliau yang akan bertanding dalam PRK Kajang tersebut, malahan Anwar mengompangkan kemungkinan beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Pengumuman mengejut Anwar itu menghadapi rintangan sejak daripada awal lagi.

Perancangan Anwar itu disambut hambar oleh Tan Sri Khalid yang mengumumkan dengan jelas bahawa walaupun beliau akan membantu Anwar dalam PRK DUN Kajang, namun beliau tidak akan melepaskan jawatan MB Selangor.

Ini diikuti dengan kenyataan tegas beberapa kerat pimpinan PAS terutama peringkat negeri Selangor bahawa mereka membantah cadangan Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Dan perancangan Anwar terbantut terus apabila Mahkamah Rayuan, setelah mendengar hujah Tan Sri Shafee Abdullah dan Karpal Singh yang mewakili Anwar selama tiga hari berturut-turut telah pada hari Jumaat 07.03.2014 membenarkan rayuan Pendakwaraya dan mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat pembantunya Saiful Bukhori.

Mahkamah Rayuan secara sebulat suara menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara keatas Anwar!

Memandangkan undang-undang pilihanraya Malaysia melarang mana-mana orang yang pernah disabitkan apa-apa kesalahan jenayah daripada menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya, maka perancangan Anwar untuk bertanding dalam PRK DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar ternyata gagal.

Dan kerusi DUN N.25 kekal kosong!

Dalam satu political-strike yang sepantas kilat menyambar, Anwar mengumumkan bahawa isteri tercinta Wan Azizah dipilih menjadi calon PKR untuk menentang calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun pada pengundian yang dijadualkan pada 23.03.2014.

Dan setelah selesai proses penamaan calon pada 11.03.2014, kini sah PRK DUN N.25 Kajang pada 23.03.2014 akan menyaksikan pertandingan satu-lawan-satu antara Wan Azizah dan calon Barisan Nasional Chew Mei Fun.

Dan saya yakin Wan Azizah dan PKR akan mengitar semula kempen politik simpati dan airmata, strategi yang cukup menjadi dan berkesan dalam PRU11, PRU-12, dan PRU 13.

Sekali lagi Wan Azizah terpilih memainkan peranan memberi dan menyambung talian-hayat politik, political life-line kepada Anwar Ibrahim.

Saya cukup yakin selepas ini ada keberangkalian besar akan ada political move untuk mencadangkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Malah saya tidak terkejut jika PKR memalu kompang bahawa Wan Azizah akan menjadi wanita pertama yang akan menjadi MB dalam sejarah politik Malaysia.

Maka akan diseru seluruh wanita di Malaysia bangkit menyokong cadangan itu.

Tan Sri Khalid Ibrahim pasti akan berada dalam keadaan tertekan dan political dilemma yang kronik dengan political move terbaru ini jika ianya terjadi.

Bagi Khalid, menghadapi Wan Azizah tidak sama dengan menghadapi gandingan Anwar-Azmin. Wan Azizah kurang moral & political baggage. Lagipun Wan Azizah adalah Presiden PKR, dan dikenali sebagai sekutu rapat Khalid Ibrahim! Mana mungkin Khalid membantah atau menyanggah cadangan untuk Wan Azizah menjadi MB Selangor!

Namun, Tan Sri Khalid bukan seorang yang bodoh. Dia tahu Wan Azizah bersedia berkorban apa sahaja demi menyelamatkan lakinya.

Khalid melihat sendiri bagaimana Wan Azizah sanggup mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk Anwar. Khalid melihat bagaimana Wan Azizah sanggup mengaku kepada dunia yang beliau ada menyimpan jam Omega-Eskay yang dikaitkan dengan skandal videoklip Anwar-ChinaDoll.

Pendek-kata, Khalid tahu Azizah sanggup buat apa sahaja untuk lakinya.

Khalid tahu tidak ada apa-apa yang boleh menghalang Wan Azizah mengosongkan semula kerusi DUN Kajang dan meletakkan jawatan sebagai MB Selangor sekiranya diperlukan oleh Anwar diwaktu yang bersesuaian nanti!

Kalau itu berlaku, Tan Sri Khalid akan tinggal terkonteng-konteng. Wan Azizah letak jawatan, Anwar bertanding dan menjadi MB! Dan Khalid tahu pada waktu itu, tidak ada sesiapa boleh menghalang Anwar untuk kemudiannya memberi laluan kepada Azmin Ali, blue-eyed boy Anwar untuk menduduki kerusi MB Selangor!

Itu akan menjadi mimpi ngeri dan igauan hitam bagi Tan Sri Khalid!

Sebab itu nasihat saya kepada Tan Sri Khalid, bukalah hati dan jiwa. Lihatlah kepada mainan politik yang cukup manipulatif ini.

Satu sahaja jalan bermaruah dan demokratik yang boleh diambil oleh Tan Sri Khalid, kembalikan mandat kepada rakyat.

Pohonlah perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor diwaktu Tan Sri masih lagi mempunyai kuasa dan kedudukan! Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur!

Diwaktu yang sama, saya cukup kagum dengan kesetiaan dan pengorbanan Wan Azizah dalam mempertahankan dan memberi dan menyambung talian-hayat politik kepada suaminya Anwar.

Kalau bukan kerana pengorbanan dan politik airmata Wan Azizah, saya cukup yakin hayat Anwar sudah lama ditalkinkan dan berkubur!

Anwar sangat beruntung kerana mempunyai isteri seperti Wan Azizah.

Mana nak cari isteri yang masih sanggup mempertahankan suami walaupun berdepan dengan videoklip ChinaDoll yang jelas terpampang dan diperakui 99% tulin dan sahih!

Mana nak cari isteri seperti Wan Azizah yang sanggup mengaku menyimpan jam Omega-Eskay sedangkan Datuk Eskay membuktikan bahawa jam Omega itu ada dalam simpanannya dan telah diserahkan kepada pihak Polis!

Mana nak cari isteri yang sanggup mengosongkan kerusi Parlimen, meninggalkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang wanita pertama di Malaysia hanya untuk menyelamatkan dan menyambung talian-hayat politik suaminya Anwar!

Mungkin Wan Azizah akan tertanya-tanya, kalau dia yang duduk terjebak dalam keadaan seperti Anwar, adakah Anwar bersedia melakukan pengorbanan yang sama seperti ang dilakukannya untuk Anwar?

Itu adalah persoalan untuk Wan Azizah tanya Anwar bila mereka sedang melayari bahtera diatas tilam empuk Bukit Segambut!

Tetapi apa yang menguntungkan Anwar tidak semestinya menguntungkan rakyat!

Adakah rakyat bersedia untuk kemungkinan berlaku lagi pengosongan kerusi oleh Wan Azizah dimasa hadapan?

Adakah rakyat bersedia untuk menerima apa juga kata-kata dan janji Wan Azizah dalam keadaan rakyat tahu pengakuan Wan Azizah dalam kes jam Omega-Eskay yang bercanggah dengan keterangan Datuk Eskay sendiri!

Adakah rakyat bersedia untuk menerima parti yang mengamalkan pencabulan demokrasi yang melampau hanya untuk kepentingan politik individu tertentu?

Inilah antara persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi DUN Kajang apabila turun membuang undi pada 23.03.2014 nanti.

Apa yang menguntungkan Anwar tidak semestinya menguntungkan rakyat!

Seruan saya kepada pengundi Kajang, hantarlah isyarat yang jelas kepada Anwar, Wan Azizah, pembangkang DAP-PKR-PAS; bahawa rakyat sudah muak dengan kegiatan dan aktiviti politiking melampau ini.

Sebab itu kempen PRK DUN N.25 Kajang ialah 'SAY-NO-2-ANWARIZAH'.

TOLAK WAN AZIZAH, JANGAN UNDI PKR DALAM PRK DUN KAJANG!

Tanya sama Zizah
mana jam Omega
nanti jawab Zizah
ada kat saya

Tanya sama Zizah
pasal tak percaya
nanti jawab Zizah
bukan perut dia

LOOKS LIKE ME, SOUNDS LIKE ME...BUT NOT MY TUMMY  

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
13 Jamadil Awal 1435
15 Mac 2014

19 November 2011

ANJING-ANJING PENCEN!

(Jijah tau ke you dok beraya dengan I ni Bang Non?)

Salam 2 all.

Teman merujuk kepada lapuran yang disiarkan semalam 18 Nov 2011 oleh laman portal MalaysiaKini yang pro Anwar Ibrahim bertajuk “Zul Noordin pula minta RM60,000-00” yang dipetik dari buku tulisan Syed Husin Ali bertajuk “Memoir Perjuangan Politik” yang dilancarkan semalam oleh Anwar Ibrahim. Didalam buku itu, Syed Husin Ali mendakwa mendengar cerita yang kononnya teman meminta bayaran berjumlah RM60,000-00 untuk mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding.

Teman tidak menjangka yang Anwar Ibrahim sekarang begitu terdesak sehingga terpaksa menggunakan khidmat “anjing-anjing pencen” apabila berhadapan dengan pembongkaran dan pendedahan kebenaran demi kebenaran yang sudah diketahui umum.

Daripada pembongkaran dan pendedahan mengenai fahaman pluralisma yang dianutinya saperti yang terkandung didalam ucapan beliau pada 18.03.2010 di London School of Economics yang menyatakan semua agama sama, kepada perlakuan seks beliau saperti yang didedahkan oleh rakan karibnya Datuk Eskay Abdullah, kepada kes beliau meliwat stafnya sendiri Saiful Bukhari Azlan, kepada terbongkarnya pembohongan beliau mengenai konspirasi 16 Sept 2008 saperti yang didedahkan oleh rakan baik beliau YB Datuk Seri Zahrain Hashim, dan kepada pelbagai pembongkaran dan pendedahan kebenaran makhluk yang disebut oleh Datuk Seri Zahrain sebagai “raksaksa pelbagai wajah!”.

Begitu terdesaknya Anwar Ibrahim sehingga terpaksa menggunakan khidmat “anjing-anjing pencen” untuk menyerang para pejuang kebenaran dan anti-kebatilan termasuk teman, YB Senator Ezam Mohd. Nor dan lain-lain.

Teman menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Syed Husin tesebut. Sebaliknya teman ingin menegaskan bahawa Syed Husin sepatutnya lebih tahu apa yang dikisahkan beliau itu satu pembohongan kerana sebenarnya Syed Husin sendiri yang berjumpa dengan teman mewakili Anwar Ibrahim untuk menawarkan teman supaya mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan menyatakan bahawa jika teman bersetuju mengosongkannya, Anwar berjanji akan menawarkan jawatan tinggi kepada teman didalam mana-mana GLC Kerajaan Selangor dengan imbuhan bulanan antara RM50,000—00 sehingga RM60,000-00 sebulan!

Malahan Syed Husin meyakinkan teman Anwar akan mengotakan janji tersebut kerana dia juga mendapat janji yang sama untuk mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR kerana Anwar mahukan Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden. Syed Husin memberitahu teman kalau dia mengosongkan kerusi Timbalan Presiden PKR untuk memberi laluan kepada Azmin Ali, Anwar menjanjikan dia jawatan Senator.

Syed Husin kata dia juga teringin nak menjadi Yang Berhormat tetapi bila bertanding asyik kalah, malah nak dicalonkan bertanding di Parlimen Kota Bharu pun ditolak kerana dilabel sebagai “anak kominis” oleh kepimpinan PAS pada masa itu. Jadi menjadi Senator adalah jalan mudah untuk dia menjadi Yang Berhormat melalui “pintu belakang!”.

Teman memberitahu Syed Husin bahawa walaupun teman memang bersedia mengosongkan kerusi Parlimen KBB, teman tegas menolak tawaran jawatan CEO GLC Selangor tersebut kerana perjuangan teman bukan untuk imbuhan. Kalau itu yang teman cari, lebih baik teman menjalankan khidmat sebagai seorang peguam.

Malahan teman menegaskan kepada Syed Husin Ali selama lebih 10 tahun teman menjadi antara peguam utama Anwar, sehingga disumbat dalam tahanan ISA, teman tidak pernah meminta atau dibayar walau satu sen pun daripada Anwar sebagai imbuhan fee khidmat guaman teman! Semuanya percuma dan pro-bono!

Sebenarnya teman tidak ada masalah dengan petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional Datuk Aziz Sheikh Fadzir kerana pembelaan teman mantap dan “water-tight”. Walaupun ada cubaan untuk sabotaj pembelaan teman oleh Anwar Ibrahim dan beberapa kepimpinan Pakatan pembangkang pada masa itu (yang akan teman dedahkan bila tiba masanya nanti insyallah), namun alhamdulillah teman diberi perlindungan oleh ALLAH dan berjaya akhirnya dengan izin ALLAH didalam kes tersebut.

Walaupun mempunyai pembelaan yang baik bagi kes itu, teman memang sudah bersedia mengosongkan kerusi Parlimen KBB pada masa itu kerana teman sudah mula meluat dengan sikap hipokrit dan pura-pura mereka dalam isu berkaitan Islam. Ini jelas pada peringkat awal lagi selepas 08.03.2008 apabila teman mengambil sikap mempertahankan dan membela Islam apabila rakan sekutu Anwar iaitu Bar Council & Ambiga Sreenavasan mahu mengadakan Forum Masuk Islam.

Forum yang menerima bantahan keras dari pelbagai pihak termasuk Raja-Raja Melayu, NGO-NGO, pertubuhan-pertubuhan dan tokoh-tokoh masyarakat termasuk beberapa kepimpinan pembangkang sendiri. Tindakan teman mengetuai umat Islam menghalang Forum tersebut sangat tidak disenangi, malah Anwar Ibrahim telah membentuk satu Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Syed Husin untuk mengambuil tindakan disiplin terhadap teman.

Teman masih ingat kata Syed Husin yang menyatakan bahawa Anwar mengarahkan dia supaya meminta teman meminta maaf secara terbuka kepada Ambiga Sreenavasan dan Bar Council, kerana mereka penyokong Pakatan. Mereka bagi undi kepada kita, kata Syed Husin. Tidak apa kalau meminta maaf sekarang, kerana nanti bila kita berkuasa Anwar kata “taulah kita apa nak buat dengan mereka”.

Teman menolak untuk meminta maaf, malah menegaskan kepada Syed Husin Ali bahawa bukan sahaja teman tidak kesal dengan tindakan teman mengetuai bantahan tersebut, malah kalau Bar Council buat lagi teman akan mengambil tindakan yang lebih keras dan tegas. Syed Husin menyatakan kepada teman bahawa “awak ini tidak sealiran dengan pemikiran Pakatan yang liberal”, dan beliau memberi amaran bahawa Anwar akan pastikan teman akan membayar harga yang mahal untuk sikap tegas teman mempertahankan Islam saperti ini!

Teman menjawab dengan tegas, "I am a Muslim first, Member of Parliament second. I may not be the best of Muslim, but I will do my utmost best to defend Islam!!! "Teman mengutamakan Islam dahulu, Ahli Parlimen kedua. Teman mungkin bukan Muslim yang terbaik, tetapi teman akan buat yang terbaik untuk Islam!!!.

Walaupun teman memang sudah bersedia mengosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim, namun Anwar begitu terdesak mahu pengosongan itu dibuat segera sebaik sahaja Saiful Bukhari Azlan membuat lapuran polis pada 28 Jun 2008 mengadu dia diliwat oleh Anwar Ibrahim.

Anwar sendiri selepas itu berjumpa dengan teman dan menawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah beberapa GLC ternama Kerajaan Selangor dengan tawaran gaji puluhan ribu dengan pelbagai kemudahan, syaratnya teman mesti mengosongkan kerusi Ahli Parlimen KBB dengan segera. Teman menolak tawaran jawatan dengan imbuhan lumayan tersebut, sebaliknya menyatakan teman bersedia untuk tidak membela kes petisyen tersebut dan membiarkan Mahkamah mengisytiharkan kerusi Parlimen KBB kosong untuk membolehkan satu Pilihanraya Kecil diadakan.

Namun rancangan ALLAH mengatasi segalanya. Mahkamah yang sepatutnya membicarakan kes tersebut telah menangguhkan perbicaraan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ini menyebabkan Anwar menjadi berang dan makin terdesak, kerana kata Anwar dia mahu menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang bila Pendakwaraya membawa kes pertuduhan meliwat stafnya Saiful.

Kata Anwar, kalau mereka membawa juga pendakwaan terhadapnya kerana meliwat stafnya Saiful, sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, dia akan gunakan sepenuhnya Parlimen dan Inter Parliamentary Union (IPU) dan badan antarabangsa lain untuk menekan Kerajaan Malaysia supaya tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya!

Apabila Mahkamah menangguhkan kes tersebut, teman dipanggil oleh Anwar menyatakan bahawa dia membuat keputusan untuk mengarahkan Wan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh supaya Pilihanraya Kecil dapat diadakan segera. Lagipun kata Anwar, dia kurang yakin boleh menang di Parlimen Kulim Bandar Baharu, sebaliknya yakin boleh menang di Permatang Pauh. Jadi Anwar kata tidak perlu teman kosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu!

Teman juga dipanggil oleh Wan Azizah yang memaklumkan kepada teman bahawa dia dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh. Jelas Wan Azizah berada dalam keadaan tertekan semasa perjumpaan itu kerana beliau bersedih dan menangis semasa memaklumkannya kepada teman bahawa dia dipaksa oleh Anwar untuk mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh!

Malah Wan Azizah membuat komen “apa yang I dapat berkorban macam-macam untuk Bang Non”. “Kalau I yang kena macam dia you ingat Bang Non nak berkorban macam I ke? Kata Wan Azizah sambil mengalirkan airmata! Wan Azizah memanggil Anwar dengan nama "Bang Non".

Teman memberitahu Wan Azizah supaya jangan kosongkan kerusi Permatang Pauh, malah teman bersedia kosongkan kerusi Parlimen KBB hari itu juga untuk memastikan kerusi dia selamat. Sambil berseloroh teman bagitahu Wan Azizah lagipun Anwar janji dengan teman akan diberi jawatan CEO dan Ahli Lembaga Pengarah beberapa GLC di Selangor sebagai ganti!

Teman sendiri sangat terkejut dan masih ingat jawapan spontan Wan Azizah, “takkan you percaya janji Bang Non?”.

Adalah jelas pada teman tohmahan dan tuduhan Syed Husin Ali itu direkayarsa dan dikarang sebegitu rupa untuk menyerang kredibiliti dan kewibawaan teman yang berjaya membongkar pembohongan, penipuan dan putar belit politik Anwar Ibrahim yang gagal disangkalnya dengan hujah bernas dan fakta jelas, sebaliknya digunakan “anjing-anjing pencen” untuk membuat kerja-kerja kotor.

Pada teman, rakyat semakin matang dan bijak hari ini. Mereka tidak lagi boleh diperbodohkan oleh para politikus kalkatus yang rakus mahu merampas Putrajaya dengan cara kotor dan jijik melalui politik pembohongan, penipuan, putar belit dan apa sahaja cara kotor untuk menghalalkan matlamat demi memenuhi nafsu untuk bersemayam di Putrajaya!

Pada Syed Husin, teman mendoakan supaya Pak Syed bertaubatlah segera. Pak Syed tahu apa yang Pak Syed karang itu adalah satu pembohongan dan penipuan! Janganlah digadai maruah dan harga diri rela menjadi “anjing-anjing pencen” bagi kaum yang sudah rosak akhlak, kewibawaan dan kredibilitnya.

Dikala umur sudah tiba ketahap kubur kata mari, rumah kata pergi, perbanyakkanlah beristighfar dan beribadat. Perbanyakkan solat dan berdoa, mohonlah keampunan kepada ALLAH. Pak Syed sudah mencapai impian untuk menjadi Yang Berhormat, walaupun melalui “pintu belakang”. Jangan nanti sampai orang kata gelaran “anak kominis” yang pernah diberikan oleh kepimpinan PAS suatu ketika itu kepada Pak Syed sebagi benar dan betul bila melihat gelagat dan akhlak Pak Syed bersedia menjadi “anjing-anjing pencen” untuk makhluk paling tak bermoral dan berakhlak Anwar Ibrahim!

Dan kepada Anwar Ibrahim, teman memberi amaran supaya jangan cuba nak berselindung disebalik “anjing-anjing pencen” ini untuk membuat kerja politik kotor kamu. Kalau kamu tidak ada sebarang perasaan kemaluan untuk mendedahkan segala kemaluan kamu dihadapan seorang China-Doll, maka beranilah berdepan dengan kebenaran yang terbentang luas dihadapan kamu. Jangan cuba memaksa teman mendedahkan segala kemungkaran dan pembohongan putar belit kamu.

Tetapi jika kamu terus dengan sikap politik kotor kamu ini, kamu tidak memberikan teman pilihan lain selain mendedahkan segala kemungkaran kamu itu!

The choice is yours, you want war, I will give you a war that you will live to regret forever!

Wallahua’lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Sabtu

23 Zulhijjah 1432

19 Nov 2011