Showing posts with label Azmin. Show all posts
Showing posts with label Azmin. Show all posts

28 September 2014

SANDIWARA - 2A?

Batteri 3A hidup lagi yop?
Salam 2 all.

Saya perturunkan dibawah link tulisan bernas saudara Datuk Zaini Hassan dalam kolum Cuit-Cuit Utusan Malaysia pada hari Rabu 24 Sept lepas. Terpulanglah kepada saudara semua untuk menilai analisa beliau mengenai kemelut MB Selangor.

Cuma saya agak kaget melihat adengan pada hari Isnin 23 Sept lepas!

Dalam tempoh tak sampai 6 jam Istana Selangor mengumumkan nama ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR termasuk Azizah membuat u-turn menerima pencalonan tersebut!

Tak sampai pun suku hari, kita melihat adengan yang boleh menyebabkan ada orang  boleh jadi tiga-suku!

Azmin menerima pencalonan sebagai MB dalam keadaan Saifudin Nasution, SUA PKR menegaskan bahawa PKR masih mencalonkan Azizah sebagai MB. Malahan dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Sivarasa menegaskan bahawa mereka tetap mempertahankan pendirian menamakan Azizah sebagai calon!

Jangan lupa Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat atas alasan tidak akur kepada keputusan parti menamakan Azizah sebagai calon tunggal sebagai MB.

Jadi apa yang menyebabkan pencalonan Azmin Ali, yang telah tandatangan Akuan Sumpah terima Azizah sebagai MB, tiba-tiba diterima oleh PKR sebagai calon MB sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dalam keadaan yang sama senarionya; kedua-duanya tidak akur kepada kepada arahan parti menamakan Azizah sebagai calon?

Sebab itu kupasan saudara Datuk Zaini Hassan sangat menarik dan relevan - tambahan lagi jika kita mahu meneroka lebih lanjut kepada senario yang bakal terjadi di negeri Selangor dan Malaysia terutama dalam menghadapi kes rayuan Anwar meliwat Saiful di Mahkamah Persekutuan pada 28 Okt ini; dan dalam menghadapi PRU-14!

Jika analisa Datuk Zaini ini tepat, adakah kita semua, sudah terpedaya dan tertipu dengan sandiwara politik 2A ini?

Kalau kita tersilap congak, jangan terkejut Anwar sendiri dimahkotakan di Putrajaya selepas PRU-14. Kalau Langkah 2A boleh berjaya, takat Langkah 1A dah jadi kacang putih - cut & paste je yop.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
04 Zul-Hijjah 1435
28 Sept 2014




@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Misteri MB Azmin: Langkah 2A, kisah 2 Tan Sri dan RM3.2b

Oleh Zaini Hassan

RAMAI yang terkejut Langkah Kajang berakhir dengan Azmin dan bukannya Azizah sebagai MB Selangor.

Bagi sesiapa yang mengetahui 'keakraban' Anwar-Azmin memang daripada awal menjangkakan sebenarnya Langkah-2A adalah untuk Azmin.

Begitu kelicikan politik Anwar-Azmin yang langsung tidak dihidu oleh sesiapa kecuali mereka yang kenal benar dengan 2A ini.

Anwar sanggup 'mengatur' perang dengan Pas dan Istana, sementara membisukan Azizah dengan strategi licik.

Anwar tahu jika dia terus mengumumkan Azmin pengganti Khalid, Azizah akan membantah keras.

Kelicikan Anwar ialah dia tahu mana isu itu akan 'landing'.

Dia tahu Azizah tidak akan diterima sebagai MB sama ada oleh Istana mahupun Pas.

Jadi dia menunjukkan kesungguhan mengumumkan Azizah sebagai calon MB dengan pengetahuan bahawa ia akhirnya akan ditolak, sambil memberitahu Azmin supaya 'play cool'.

Sebab itu usaha dibuat supaya Pas yang menamakan Azmin bukan PKR. Dan Pas terperangkap dengan mainan itu apabila Hadi Awang sendiri yang mengusulkan nama Azmin.

Sebab itu kaum Anwarinas bertakbir sakan apabila Hadi yang usulkan nama Azmin dalam mesyuarat Pas Pusat.

Sekarang Azizah tak boleh merajuk sebab Anwar nampak sudah berusaha keras untuk menamakan dia sebagai MB.

DAP pula menarik nafas lega! Daripada bagi ustaz Pas jadi MB lebih baik Azmin.

Kelicikan Langkah Kajang ialah apabila mereka berjaya meyakinkan UMNO bahwa kalau bubar DUN pun UMNO tidak akan menang, malahan mungkin hilang banyak kerusi lagi.

Ini menyebabkan UMNO memberi isyarat bahawa ia tidak bersedia menghadapi PRN!

Dan piala terbesar Langkah 2A ini ialah apabila pimpinan tertinggi UMNO berjaya diyakinkan bahawa Azmin adalah calon terbaik untuk penyelesaian kemelut Selangor.

Penglibatan dua orang bergelar Tan Sri yang dikatakan mempunyai talian dengan Istana melobi keras untuk Azmin menjadi MB dikatakan pengunci Langkah 2A.

Kononnya, perjumpaan mereka dengan pimpinan tertinggi UMNO Khamis lepas membawa mesej bahawa Putrajaya tidak ada bantahan jika Azmin yang dilantik sebagai MB.

Jadi pihak Istana sudah tiada pilihan. Sebenarnya Istana sudah melakukan yang terbaik.

Maklumat sahih memberitahu Tuanku telah memberi tawaran kepada ADUN Pas untuk menerima lantikan sebagai MB.

Seorang kononnya berkata semasa diinterview: "Patik ada penyakit dan tak boleh menghadapi tekanan" dan seorang lagi memberi alasan "tak sanggup terima cabaran".

Bagi Tuanku sifirnya mudah. Perkara 53 memberi kuasa kepada Tuanku melantik MB daripada mereka yang pada pandangan Tuanku mendapat sokongan majoriti ADUN.

Pas mempunyai 15 ADUN. Dan dengan sokongan ADUN UMNO (12 orang) dicampur Bebas (Tan Sri Khalid) menjadikan 28 orang. PKR pula ada 13 dicampur DAP 15 juga menjadi 28.

Tetapi jika undi dibuat, gabungan PKR-DAP akan tinggal 27 kerana Hannah Yeoh sebagai Speaker tidak boleh mengundi.

Atas dasar itu, tawaran dikemukakan kepada ADUN Pas. Malangnya, mereka mahu mendapat mandat jelas daripada muktamar agung. Sebab itu tarikh pengumuman dibuat hanya selepas muktamar.

Malangnya Muktamar Agung Pas tidak memberi mandat yang jelas dan tegas untuk ADUN mereka menerima jawatan MB.

Walaupun ada cubaan daripada Dewan Ulama untuk usul itu dibahas dan diluluskan, namun perwakilan gagal memberikan mandat yang diperlukan.

Sebaliknya menyerahkan kepada Tuanku untuk memutuskannya, ditambah dengan kenyataan jawatan MB Selangor adalah hak PKR.

Sebab itu Tuanku tiada pilihan. Azizah tidak boleh diterima. Pas sendiri tidak tegas dan jelas. UMNO pula tidak bersedia.

Dan Putrajaya pula, kononnya atas usaha gigih dua Tan Sri itu, memberi mesej boleh menerima Azmin.

Maka Tuanku berakhir dengan kedudukan tiada pilihan melainkan terpaksa melantik juga Azmin sebagai MB.

Sebab itu saya tidak terkejut setelah berhempas pulas berbulan lamanya menamakan Azizah, setelah berperang dengan Istana dan Pas, setelah memecat Tan Sri Khalid kerana tidak akur arahan parti memberi laluan kepada Azizah, akhirnya dalam tempoh tak sampai 12 jam pengumuman oleh Istana menamakan Azmin, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat dipengerusikan Anwar membuat U-Turn menerima pelantikan Azmin.

Dan yang paling klasik, Azizah membuat kenyataan menarik balik pencalonan dirinya sebagai MB.

Begitu liciknya Langkah 2A!

Dan sekarang, sudah pasti Azmin akan melantik semula Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Dan sudah pasti mereka akan memerah fikiran bagaimana wang simpanan tunai RM3.2 bilion yang dikumpul oleh Tan Sri Khalid mahu dibelanjakan.

Dan yang pastinya, 2A ini mempunyai matlamat yang jelas - Anwar tidak boleh masuk penjara, dan Anwar mesti jadi PM ke-7.

Yang akan termenung dan ternganga nanti ialah UMNO, Pas dan Azizah!

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140924/re_06/Misteri-MB-Azmin-Langkah-2A-kisah-2-Tan-Sri-dan-RM32b#ixzz3EDtyu92S
© Utusan Melayu (M) Bhd
 


22 July 2014

PENYIMPAN OMEGA JADI MB?

Kasiaan...kasiaaan...kasiaaaan...mike dah tau dia gila dok ikut buat apa lagi Min? Eloklah ikut nasihat Bonda tu!
Salam 2 all.

Rupanya artikel saya semalam bertajuk D-Day Untuk Khalid Ibrahim menjadi kenyataan. Sekarang sahih MPT PKR bermesyuarat liwat malam semalam untuk mengenepikan Tan Sri Khalid dan mengangkat Wan Azizah boneka Anwar sebagai Menteri Besar Selangor!

Satu soalan besar yang wajib ditanya oleh seluruh umat Melayu-Islam di Selangor, adakah Wan Azizah akan mengarahkan MAIS mengembalikan bibel versi Melayu kepada pendakyah kristian Bible Society Malaysia? Adakah Wan Azizah akan benarkan pendakyah kristian di Selangor mengguna-pakai kalimah Allah! Kerana inilah tuntutan cauvinis DAP terhadap Tan Sri Khalid yang gagal mereka dapat, menyebabkan cauvinis DAP marah kepada Tan Sri Khalid!

Satu soalan besar saya nak tanya Wan Azizah sebelum dia fikir dia layak jadi MB Selangor, dimana jam Omega skandal China-Doll itu? Datuk Eskay telah membuktikan jam Omega itu ada dengan dia, dan telah pun menyerahkannya kepada pihak polis. Tetapi sehingga kini Wan Azizah masih belum menunjukkan dimana jam Omega yang dia dakwa ada dalam simpanannya.

Samada Wan Azizah yang berbohong, atau Datuk Eskay yang berbohong! Tetapi Datuk Eskay sudah kemukakan bukti jam itu ada pada dia! Wan Azizah belum lagi!

Persoalan ini penting bukan kerana rakyat Selangor kemaruk jam Omega itu. Tetapi ianya menimbulkan persoalan kewibawaan, integriti, amanah dan keboleh-percayaan!

Kalau Wan Azizah gagal menunjukkan jam Omega itu, akan timbul persepsi seolah-olah Wan Azizah berbohong! Bahawa Wan Azizah Presiden PKR melindungi suami dia yang juga Ketum PKR yang telah didakwa melakukan kerja maksiat dan mungkar! Adakah Wan Azizah kelak sebagai MB Selangor akan melindungi Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor?

Kalau Wan Azizah sanggup berbohong untuk melindungi dan menyembunyikan kemungkaran dan kebatilan, bagaimana mungkin Wan Azizah fikir dia layak menjadi Menteri Besar Selangor?

Pada saya  ini satu penghinaan kepada nilai kemanusiaan & demokrasi, an insult to humanity & democracy. Suatu penghinaan kepada kewarasan kemanusiaan.  An insult to human intelligence!

Pada saya, cadangan perlantikan Wan Azizah sebagai MB Selangor membuktikan 10 perkara berikut:

1. 'Ibu Segala Nepotisma' - Anwar dan pembangkang yang selalu melalak konon UMNO dan BN mengamalkan politik kronisma dan nepotisma sekarang terbukti sebagai cakap tak serupa bikin. Saya hairan melihat PKR menjadi dungu dan bodoh, seolah-olah mereka lupa Wan Azizah adalah bini Anwar Ibrahim. Tidak ada demokrasi dalam dunia ini yang menjadikan jawatan parti atau Kerajaan warisan keluarga. Setahu saya hanya Korea Utara sahaja yang menjadikan jawatan politik sebagai milik keluarga dan boleh dipusakai turun-temurun.

Ini adalah bukti PKR mengamalkan amalan politik nepotisma yang tebal. Ini adalah 'Ibu-Segala-Nepotisma' - Mother of All Nepotisme.

2. Parti Keluarga - Cadangan perlantikan Wan Azizah adalah jelas membuktikan bahawa PKR ini hanyalah parti untuk kepentingan Anwar dan keluarganya. Tidak ada parti politik didunia demokrasi ini, samada di negara maju, mahupun negara mundur yang mana suami menjadi Ketua Umum, isteri Presiden dan anak Naib Presiden.

3. Kepentingan Keluarga - Perlantikan Wan Azizah juga adalah bukti Anwar bukannya meletakkan perjuangan untuk rakyat sebagai agenda parti. Sebaliknya Anwar menjadikan PKR sebagai medan perjuangan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja!

Saya sangat bersimpati dengan Azmin Ali yang telah begitu banyak berkorban untuk Anwar Ibrahim dan keluarganya. Angan-angan dan cita-cita Azmin untuk menduduki kerusi MB Selangor nampaknya terpadam begitu sahaja. Saya sedih membaca tweet Azmin yang dikatakan sedang berada di Mekah, yang meluahkan perasaannya setelah berita keputusan MPT PKR melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor diumumkan oleh Anwar.

Kata Azmin dalam tweetnya - orang gila kuasa sanggup buat apa saja, isteri sendiri pun diperguna untuk capai matlamat. Kesiaan!

Tunggu apa lagi Min, pergilah berunding dengan Dato' Sri Najib. Bawalah sekali rakan-rakan lain yang telah di-kencing oleh PKR untuk mengadakan kerjasama strategik dengan BN. Tidak ada guna lagi duduk mendokong biawak hidup Min. Fikirkan masa depan diri sendiri dan keluarga yop.

4. Demokrasi Lawak Senario - Tindakan PKR melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor menjadikan amalan demokrasi negara ini bahan lawak senario negara-negara didunia ini. Suami Ketua Pembangkang Parlimen dan isteri Ketua Kerajaan Negeri! Mungkin rakyat Zimbabwe pun akan terkedu melihat politik PKR ni yop!

5. Khianat Tan Sri Khalid - Habis madu sepah dibuang! Perlantikan Wan Azizah juga adalah satu pengkhianatan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, tokoh korporat yang sanggup berkorban meninggalkan kemewahan dunia korporat dengan memberi sokongan kepada Anwar-Azizah demi sebuah persahabatan. Tan Sri Khalid telah berjaya memperkukuhkan kedudukan PKR dan pakatan DAP-PKR-PAS di Selangor dengan mendapat mandat 2/3 majoriti dalam PRU-13. Setelah berada di kedudukan yang selesa, kini Tan Sri Khalid mahu diketepikan untuk memberi tempat kepada isteri Anwar Ibrahim!

6. Khianat Rakyat Selangor - Perlantikan Wan Azizah sebagai MB Selangor juga adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor yang telah memberi mandat 2/3 majoriti kepada kerajaan PKR-DAP-PAS Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Khalid. Ini adalah satu pencabulan demokrasi yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Selangor.

7. Hina Orang Selangor - Perlantikan Wan Azizah juga adalah satu penghinaan kepada orang Selangor kerana "mengimpot" orang luar untuk menjadi MB. Seolah-olah tidak ada orang Selangor yang layak menjadi MB. Selama berpuluh tahun dibawah pemerintahan BN, UMNO sentiasa memastikan jawatan MB dipegang oleh anak jati Selangor. Tan Sri Khalid adalah anak jati Selangor, sedangkan Wan Azizah adalah 'orang luar' berasal daripada negeri kerajaan Lim Guan Eng!

8. Memalukan PAS - Perlantikan Wan Azizah juga membuktikan PKR tidak menghormati PAS, malah memalukan PAS. Kerana sudah menjadi amalan dan pendirian PAS tidak menerima wanita sebagai ketua mereka. Sedangkan Kerajaan PAS Kelantan pernah mengharamkan wanita mewakili Kelantan sebagai Qariah dalam Tilawah Al-Quran. PAS pernah satu ketika melarang kepimpinan wanita duduk atas pentas bersama barisan kepimpinan lelaki. Malahan PAS pernah menjadikan wanita bahan politik dengan mensyaratkan calon PRU mengangkat sumpah talak tiga terhadap isteri masing-masing jika keluar daripada PAS. Sekarang Anwar mahu PAS menerima isterinya sebagai ketua mereka! Ini adalah satu penghinaan kepada PAS!

9. Cacing Nak Jadi Naga - Tindakan Parti Anwar menamakan Wan Azizah sebagai MB membuktikan sikap 'cengkadak naik junjong', 'cacing nak jadi naga'. Ianya bukti PKR langsung tidak menghormati PAS dan DAP yang mempunyai jumlah kerusi lebih daripada PKR.

10. Jawatan MB Hakmilik Parti - Malah tindak tanduk PKR dengan menamakan Wan Azizah sebagai MB sebelum merujuk kepada komponen seolah-olah menjadikan jawatan MB Selangor seperti milik PKR walaupun mempunyai kerusi paling sedikit dalam Pakatan DAP-PKR-PAS!

Apa pun , saya pasti rakyat Selangor khasnya dan rakyat Malaysia amnya sudah nampak pekong politik amalan Anwar Ibrahim dan pakatan DAP-PKR-PAS ini. Di Pulau Pinang, anak Ketum DAP diangkat jadi Ketua Menteri. Di Selangor, bini Ketum PKR dilantik jadi MB. Ini satu isyarat dan bukti yang Allah berikan supaya kita menggunakan akal yang diberi. Kalau ini pun masih tak nampak, saya tak tau isyarat dan bukti apa lagi yang rakyat mahukan daripada Allah.

Allah dah beri akal, fikirkan sendirilah yop!

Dan kepada Tan Sri Khalid, selamatkanlah maruah dan harga diri rakyat negeri Selangor.  Nasihat saya ialah untuk Tan Sri mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Selangor dan menasihatkan Tuanku supaya membubarkan DUN Selangor.

Kembalikan hak menentukan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat Selangor.

Daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat!

Wallahua'alam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
24 Ramadhan 1435
22 Julai 2014

21 July 2014

D-DAY UNTUK KHALID IBRAHIM?

Jah, hang jadi MB nanti jangan lupa hantar lauk ke Penjara Kajang tau! Kebuloq aku nanti!
Salam 2 all.

Panas!!! Panas!!! Panas!!!

Maklumat daripada rakan-rakan dalam pimpinan PKR memberitahu bahawa malam ini 24 Ramadhan 1435 bersamaan 21 Julai 2014 adalah malam terakhir bagi Tan Sri Khalid Ibrahim bersemayam di Istana MB Selangor.

Kata mereka Anwar Ibrahim dah panggil mesyuarat Biro Politik PKR malam ini yang dijangka akan memutuskan mendesak Tan Sri Khalid meletakkan jawatan sebagai MB dan mengumumkan Wan Azizah, isteri Anwar yang juga Presiden PKR akan ditabalkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Kata dema Anwar dah nekad kali ni. Dan dia tidak peduli kalau anak emas kesayangan dia Azmin Ali nak merajuk pun. Dengar kabar Azmin dah berada di Mekah, mungkin membawa hati yang duka lara agaknya.

Saya faham betapa desperado dan terdesaknya Anwar sekarang.

Rayuan kes liwat dia akan didengar tidak lama lagi oleh Mahkamah Persekutuan. Ini adalah pusingan akhir proses rayuan. Jika dia gagal mengenepikan sabitan kesalahan meliwat Saiful dan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan dikekalkan, Anwar akan terus dibawa ke Penjara Kajang daripada Mahkamah.

Ini yang menggerunkan Anwar. Apatah lagi peguam utama dia mendiang Karpal Singh sudah tiada. Degupan jantung Anwar rasanya sudah nak meletop!

Pada saya sifir politik Anwar mudah dibaca. Perlantikan Wan Azizah adalah sebagai satu tekanan politik kepada proses perundangan dan kehakiman, selain ianya juga satu insurans politik bagi Anwar.

Cuba bayang. Bukan mudah bagi mana-mana Mahkamah untuk mensabit dan menghukum Anwar ke penjara dalam keadaan dia adalah Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen merangkap Ketum PKR, suami kepada Presiden PKR yang juga ADUN Kajang. Dan sekarang jadi suami bakal YAB Menteri Besar Selangor.

Boleh bayang tekanan politik yang akan dihadapi oleh Mahkamah?

Diwaktu yang sama, jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dia dan Anwar disumbat ke Penjara Kajang untuk tempoh 5 tahun atau lebih, ini bermakna Anwar akan dok dalam Penjara Kajang sehingga 2019. Bermakna Anwar akan terlepas PRU-14 yang dijangka pada tahun 2018.

Kalau bukan Wan Azizah MB sekarang, sebaliknya Azmin Ali, boleh bayang apa akan berlaku jika Pakatan DAP-PKR-PAS menang lagi, na'zubillah. Azmin bukan sahaja akan terus menjadi MB, malah dia boleh gunakan kedudukan, kuasa dan pengaruhnya sebagai MB untuk mencabar jawatan Presiden PKR melawan Wan Azizah.

Azmin akan menjadi terlalu berkuasa. Mungkin semua kroni-kroni Anwar-Azizah akan diketepikan sebagai calon PRU-14, termasuk anak mereka Nurul Izzah yang juga Naib Presiden. Dan bayangkan kalau semua orang-orang Azmin yang naik.

Boleh bayang kegentaran dan keketaran Anwar jika itu berlaku?

Silap-silap Anwar boleh reput terus dalam Penjara Kajang. Mungkin termakbul Langkah Kajang Anwar - tapi dalam Penjara Kajang lah!

Sebab itu Anwar tiada pilihan. Tan Sri Khalid wajib dinyahkan sekarang! Sebab itu Wan Azizah mesti menjadi MB Selangor sekarang! Tak boleh tidak, mesti! Wajib!

Jadi apa pilihan yang ada pada Tan Sri Khalid?

Pertama Tan Sri Khalid mesti segera sedar bahawa dia sekarang dianggap oleh penyokong Anwar-Azizah sebagai penderhaka dan musuh nombor wahid bagi Istana Segambut.

Takkan Tan Sri Khalid tak nampak lagi.

Tan Sri merupakan satu-satunya MB yang tiada kuasa politik setelah dilucutkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor.

Kedua, panglima-panglima kanan Tan Sri Khalid sudah disiat-siut. Faekah sudah digantung, Mustafa sudah dilambung. Ini adalah dua orang kanan kepercayaan Tan Sri Khalid yang sudah tidak berada dalam arus perdana PKR setelah digantung keahlian.

Ketiga, DAP sudah mula membenci Tan Sri Khalid kerana dilihat rapuh dan goyang serta tidak tegas dalam kes perampasan bibel oleh JAIS/MAIS.

Keempat, PAS pula dah mula pasang angan-angan mahukan jawatan MB.

Pendek cerita, Tan Sri Khalid betul-betul dan jadi kera sumbang sebatang kara samada didalam PKR mahupun Pakatan DAP-PKR-PAS.

Cuma dua kekuatan yang ada sekarang kepada Tan Sri Khalid.

Pertama dia masih lagi MB yang sah didalam Negeri Selangor.

Kedua Tan Sri Khalid masih mendapat sokongan dan simpati sebahagian rakyat Selangor.

Faktor kedua tidak begitu signifikan bagi survival politik Tan Sri Khalid. Tetapi faktor pertama boleh menjadi penentu kepada kelangsungan Kerajaan Pakatan DAP-PKR-PAS sendiri.

Jadi apa pilihan yang ada kepada Tan Sri Khalid sekarang?

Pertama, Tan Sri boleh melepaskan jawatan sebagai MB dan menjadi ADUN biasa. Mungkin Tan Sri boleh pergi umrah dan merataplah sendirian disana.

Kedua, Tan Sri boleh cuba membuat kerjasama strategik dengan PAS, dengan menyertai PAS. Dan mendesak supaya jawatan MB diberikan kepada PAS sebagai parti terbesar dengan 16 kerusi, DAP 15 dan PKR 13.

Ketiga, Tan Sri boleh buat keras kepala dan tidak melepaskan jawatan. Dalam keadaan itu, PKR boleh mengambil tindakan berikut:

1. memecat Tan Sri sebagai ahli. Tetapi ini tidak boleh menggugat kedudukan Tan Sri sebagai MB;

2. membawa usul ke DUN Selangor untuk suatu undi tidak percaya terhadap Tan Sri. Jika ini berlaku, Tan Sri tidak ada pilihan selain mengadap Tuanku mempersembahkan bahawa Tan Sri sudah tidak mendapat undi majoriti.

Jika opsyen kedua berlaku, Tan Sri mempunyai dua plilihan. Pertama Tan Sri hendaklah mempersembahkan kepada Tuanku yang Tan Sri terpaksa melepaskan jawatan sebagai MB. Jika ini berlaku, maka Tuanku boleh menerima perletakkan jawatan Tan Sri Khalid dan melantik MB baru.

Kedua, Tan Sri boleh mempersembahkan kepada Tuanku menasihatkan untuk membubarkan DUN Selangor dan memanggil suatu Pilihanraya Negeri yang baru.

Tuanku boleh menerima nasihat Tan Sri dan memperkenan pembubaran DUN Selangor. Jika ini berlaku, suatu writ Pilihanraya Negeri perlu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya bagi Negeri Selangor dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pemberitahuan.

Saya sendiri berpendapat eloklah Tan Sri mengambil opsyen menasihatkan Tuanku Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor.

Dari segi prinsip demokrasi, Tan Sri telah diberikan mandat untuk memimpin Pakatan DAP-PKR-PAS Selangor dalam PRU-13. Tan Sri bukan sahaja berjaya, malah telah mendapat majoriti 2/3. Bermakna mandat rakyat kepada Tan Sri sangat signifikan.

Oleh itu, memaksa Tan Sri meletak jawatan peringkat ini adalah satu pengkhianatan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor yang mahukan kepimpinan Tan Sri sebagai Menteri Besar.

Ini satu pencabulan demokrasi yang sangat serius.

Oleh itu, Tan Sri mempunyai tanggungjawab politik dan moral untuk mengembalikan hak menentukan Menteri Besar dan Kerajaan kepada rakyat Selangor melalui proses pilihanraya yang baru.

Rakyat Selangor mempunyai hak untuk menentukan siapa MB dan Kerajaan yang mereka mahu bagi Negeri Selangor.

Oleh itu saya mendesak Tan Sri Khalid supaya mendengar suara rakyat, menghormati hak demokrasi rakyat dengan mengembalikan kuasa penentu kepada rakyat Selangor.

Bak kata Anwar, kerusi MB bukan milik sesiapa, bukan milik Tan Sri, apatah lagi ianya bukan milik keluarga Anwar Ibrahim. Ianya milik rakyat Selangor!

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
23 Ramadhan 1435
21 Julai 2014

22 April 2014

SARKIS DEMOCRAZY-3

Jah...hang dah jadi YB Kajang. Jangan sampai Bang Non jadi Banduan Kajang pulak!
Salam 2 all.

Saya merujuk kenyataan Anwar Ibrahim hari ini menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden PKR menentang isteri sendiri Wan Azizah.

Saya telah sebut beberapa kali bahawa ini semua sekadar sandiwara Anwar sahaja untuk memastikan Azizah terus menjadi Presiden (sila rujuk entri 'Sarkis Democrazy' bertarikh 16.04.2014 dan 'Sandiwara Terbaru' bertarikh 30.03.2014)

Dalam keadaan hukuman penjara 5 tahun sedang menanti kerana meliwat pembantunya Saiful, sudah tentu Anwar mahu pastikan hanya orang yang dia boleh percayai mengetuai PKR demi kesinambungan talian-hayat politik beliau sendiri.

Azmin walaupun anak emas Anwar, tetapi Azizah sudah terbukti kesetiaan dan kesanggupan membuat apa sahaja untuk suaminya Anwar.

Anwar mahu pastikan tahun 2020 nanti bila dia keluar daripada penjara, masih ada parti politik menunggunya.

Saya percaya Anwar membuat kenyataan menarik diri saat ini kerana Presiden Barack Obama akan datang melawat Malaysia dalam lawatan rasmi bermula Sabtu ini.

Sudah pasti Anwar tidak mahu jadi bahan ketawa Obama melihat satu sarkis demokrasi yang tidak pernah dunia lihat - suami isteri menentang satu sama lain untuk jawatan Presiden.

Apa pun, yang pastinya cita-cita Azmin untuk mencabar Azizah bagi jawatan Presiden PKR sudah berjaya dicantas. Kini Azizah sudah sah bagi jawatan Presiden.

Dan adengan seterusnya ialah memastikan Azmin terus dicantas daripada saf kepimpinan PKR.

Gabungan Saifudin Nasution-Nurul Izzah-Rafizi yang dibentuk untuk bertanding jawatan utama PKR memberi isyarat kepada ahli akar umbi bahawa Istana Segambut merestui Saifudin sebagai calon Timbalan Presiden PKR menentang Azmin.

Mana mungkin Nurul Izzah-Rafizi, anak dan orang kanan Anwar-Azizah berani bergabung dengan Saifudin untuk menentang Azmin Ali jika tidak mendapat restu Istana Segambut!

Azmin Ali sepatutnya sudah sedar bahawa statusnya sebagai 'budak-mata-biru' Anwar sudah luput. Azmin Ali kini sudah menjadi ancamana kepada survival politik Dinasti Anwar-Azizah.

Memang Anwar-Azizah tidak pernah melihat Azmin lebih daripada seorang budak suruhan. Sejak zaman Azmin menjadi Setiausaha Sulit Anwar sehingga kini, Azmin hanyalah budak suruhan Anwar. Tidak lebih daripada itu.

Tetapi Azmin sekarang bukan Azmin dahulu. Azmin hari ini dah menjadi 'war-lord PKR'. Rangkaian pengaruh politik Azmin didalam PKR cukup kuat termasuk dikalangan ADUN Selangor, Ahli Parlimen dan kepimpinan kanan PKR. Jika dibiarkan, Azmin boleh menjadi ancaman kepada dinasti Anwar-Azizah.

Apa juga cara, Azmin mesti dicantas!

Saya mendoakan supaya Azmin dapat melihat sandiwara terbaru ini dan mengambil langkah sewajarnya. Apa langkah itu, saya percaya Azmin pun tahu.

Apa pun, saya percaya gabungan Anwar-Azizah-Saifudin-Nurul sedang mengusahakan satu lagi konspirasi. Saya percaya anda semua akan terkejut dan terkedu jika perancangan ini didedahkan.

Yang pastinya Azmin tidak termasuk didalam perancangan tersebut. Dan yang pastinya Azmin akan terkeluar terus daripada saf kepimpinan PKR, kecuali jika Azmin Ali segera mengambil langkah pre-emptif dan mencantas mereka dahulu!

Saya tidak bercadang mendedahkan apa perancangan itu sekarang. Tetapi saya tahu satu perbincangan peringkat tertinggi dengan kepimpinan parti tertentu sudah dibuat. Siapa kepimpinan itu? Daripada parti mana? Dan apa perancangan mereka - tunggu saat dan tikanya pasti akan dibongkarkan insyallah.

Yang pasti apa juga perancangan mereka ialah untuk memastikan kesinambungan talian-hayat politik Anwar Ibrahim terus bernyawa!

Adios amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
22 Jamadil Akhir 1435
22 April 2014

30 November 2010

MENDAULATKAN KETUANAN 3A?!

("Kita bukan gila kuasa, tetapi kita wajib halang orang gila daripada berkuasa-mereka yang mahu memansuhkan Ketuanan Melayu dan mendaulatkan Ketuanan 3A)

Salam 2 all.

Teman tertarik dengan titah Paduka Tuanku Sultan Selangor baru-baru ini melahirkan perasaan dukacita dengan sikap biadap segelintir orang Melayu yang mempertikaikan institusi Ketuanan Melayu dan Kesultanan Melayu dalam negara ini. Institusi yang sudah dimartabatkan didalam Perlembagaan Negara itu kini menjadi bahan cemuhan dan diperkecilkan oleh segelintir petualang dan pengkhianat dikalangan bangsa Melayu sendiri!

Kebetulan semasa ucapan penutup Kongres PKR di Petaling Jaya Ahad lepas, Pakatan 3A iaitu Anwar, Azizah & Azmin berserta konco dan balaci mereka telah secara terbuka mempertikai institusi Ketuanan Melayu dan secara terbuka mengisytiharkan untuk memansuhkannya. Malahan Anwar dipetik oleh sebuah akhbar Cina tempatan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada ahlul cauvinis dan rasis Lim Kit Siang jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya umum! Bertambah parah apabila Azizah mengisytiharkan Anwar sebagai "anugerah Tuhan untuk memimpin negara!!".

Pada teman ini adalah cakap-cakap orang yang sudah desperado, yang sudah hilang kewarasan akal fikiran; pendek kata mereka sudah gilakuasa! Dalam menghadapi kemelut parti yang kian hancur, dalam menutup kelemahan peribadi dan "penyakit politik" yang dihadapi, mereka bisa melakukan apa sahaja demi survival politik dan gilakuasa mereka! Putrajaya at all cost!! Menggunakan politik sumbang pembohongan dan cakap tidak serupa bikin, hanya untuk memahkotakan diri ke Putrajaya!!

Pada teman, Pakatan 3A ini serta konco dan balaci mereka adalah orang yang paling tidak layak nak bercakap mempertikai institusi Ketuanan Melayu & Raja-Raja Melayu. Semasa dipuncak kuasa didalam UMNO, Anwarlah antara pelopor kepada konsep Ketuanan Melayu. Dialah juaranya, dialah championnya. Konsep Ketuanan Melayu dicanang dan dikompang sebegitu rupa, sehingga ianya menjadi agenda besar mereka semasa bersemayam dipuncak kuasa.

Dan dengan paluan gendang Ketuanan Melayu, ramai rakan, teman, kroni dan ahli keluarga yang telah meraih keuntungan dan menafaat yang yang tiada taranya. Kita masih ingat budaya "pink form" dizaman Anwar menjadi Menteri Kewangan UMNO dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri UMNO. Ramai rakan taulan, kroni dan teman Anwar yang menjadi kaya raya kerana anugerah "pink form" ini. Ini terbukti apabila meletusnya perang kroni pada tahun 1996-1997, dimana Anwar, yang sudah tidak sabar untuk memahkotakan diri sebagai Perdana Menteri, menyerang Tun Mahathir menggunakan isu kroni & nepotisma, dan Tun Mahathir membalas dengan mendedahkan senarai rakan, teman dan kroni Anwar yang mendapat limpah rahmat agihan kekayaan negara dari dasar "pink form" yang dipelopori Anwar menggunakan slogan Ketuanan Melayu!

Malahan teman masih lagi menyimpan beberapa dokumen yang membuktikan betapa kaya dan mewahnya golongan rakan, teman dan kroni pada masa itu. Ada diantara mereka, yang walaupun gaji dan pendapatan hanya seciput, tetapi mampu membeli perabut kulit yang diimpot dengan harga dan nilai ratusan ribu untuk menghiasi rumah mewah yang tersergam indah!!

Dan ini golongan yang hari ini mempertikai dan memperlekeh institusi Ketuanan Melayu & Raja-Raja Melayu! Sesudah mereka membuncitkan tembolok dan memenuhkan kantung dengan kompang Ketuanan Melayu, hari ini mereka menjadi saperti "anjing yang dilepaskan dari tersepit, menggigit kembali orang yang melepaskannya!".

Tidak cukup dengan menghina dan memperlekeh institusi yang memperkayakan mereka, kini mereka menambah penghinaan itu dengan mahu melantik jantan paling cauvinis dan rasis untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri jika mereka memerintah negara ini! Pengumuman Anwar bahawa Lim Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah satu penghinaan besar kepada YB Tuan Guru Haji Hadi, Presiden PAS. Nama Tuan Guru langsung tidak pernah disebut sebagai pemimpin yang berkelayakan.

Teman tahu Anwar memang cukup fobia dengan ketrampilan Tuan Guru dengan serban dan jubahnya, dengan ayat Quran dan hadis yang tidak pernah lekang dari mulut. Ini politikus kekampungan bagi Anwar, tidak layak disebut pun untuk memimpin. Sungguh malang bagi Tuan Guru Haji Hadi yang dipandang hina begitu rupa. Dan lebih malang bagi Tuan Guru Haji Hadi kerana terdapat segelintir pak jangoat dikalangan beliau yang kiblat sujud mereka adalah kepada Anwar bukannya Tuan Guru. Golongan yang menjulang Anwar tetapi menendang Tuan Guru sendiri! Bertambah naiklah tocang Anwar dan Pakatan 3A. Lim Kit Siang dicanang sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri, Tuan Guru dan PAS ditunggang dan diperkuda tanpa penghormatan sama sekali!

Ada pengikut pemimpin "anugerah tuhan' ini berkata, mengapa isu ketuanan Melayu dan Kesultanan Melayu dibangkitkan hari ini! Sedangkan dahulu institusi Raja-Raja Melayu dihina. Cuma teman nak peringatkan sikitol yang bercakap itu, siapa dia dalang UMNO pada masa itu yang menghina institusi Raja-Raja Melayu itu. Siapa dalang yang beriya-iya membawa keris UMNO mengamuk sakan semacam Hang Musibat untuk menarik balik kekebalan Raja-Raja Melayu pada lewat tahun 1980an! Padanlah Tun Mahathir kata "Melayu mudah lupa", kerana ada orang yang buat-buat gila lupa seolah-olah tidak ingat siapa dalang dan petualang itu! Kini sebaliknya cuba menuding satu jari kepada orang lain, sedang tiga jarinya menuding ke diri sendiri!!

Bagi teman, kalau Pakatan 3A ini benar-benar ada maruah, dan ada harga diri, teman cabar mereka supaya memulangkan kembali kesemua anugerah pingat dan darjah kebesaran yang di anugerahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada mereka selama ini. Mereka adalah orang yang paling tidak layak untuk terus bermuka-muka dan bermegah-megah dengan darjah kebesaran yang dianugerah oleh Raja-Raja Melayu, tetapi diwaktu yang sama memaki hamun dan memperlekeh insitusi Ketuanan Melayu.

Janganlah jadi saperti anjing yang menggigit tangan tuan yang memberinya makan! Kalau ada maruah, kalau ada harga diri, teman cabar mereka supaya serahkan kembali anugerah dan darjah kebesaran yang diberi oleh Raja-Raja Melayu itu. Dan kesemua macai dan balaci Pakatan 3A ini juga sepatutnya melakukan perkara yang sama. Kalau kamu semua mahu bersekongkol dengan Pakatan 3A ini mempertikaikan insititusi Ketuanan Melayu, memperkeleh institusi Raja-Raja Melayu, maka kembalikan semua anugerah dan darjah kebesaran yang diberi oleh Raja-Raja Melayu kepada kamu!

Malahan Anwar lebih-lebih lagi sepatutnya memulangkan darjah kebesaran yang diberi Paduka Tuanku Raja-Raja Melayu kepada beliau. Sebagai seorang bekas banduan, yang pernah dihukum penjara atas kesalahan salahguna kuasa, Anwar sepatutnya sedar diri bahawa untuk dia terus bermegah dengan darjah kebesaran anugerah Raja-Raja Melayu itu adalah satu penghinaan besar kepada institusi Ketuanan Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu. Darjah kebesaran Raja-Raja Melayu tidak sepatutnya digunapakai oleh golongan saperti ini. Apatah lagi kini Anwar sedang berdepan dengan pertuduhan meliwat kakitangan beliau sendiri. Pekerja yang beliau bayar gajinya mengadu diliwat oleh Anwar.

Ditambah pula dengan dua orang bekas pembantu khas Anwar yang membuat lapuran polis bahawa mereka dipaksa membuat Surat Akuan Sumpah palsu untuk digunakan oleh Anwar dalam pembelaan kesnya meliwat staf dia sendiri Saiful Bukhori. Akuan Sumpah palsu yang antara lain cuba memalukan YAB Perdana Menteri dan isteri. Kini semuanya terbongkar! Kalau Anwar seorang yang ada maruah, kalau Anwar seorang yang ada harga diri, teman cabar Anwar supaya kembalikan pingat dan darjah kebesaran yang diberi oleh Paduka Tuanku Raja-Raja Melayu kepada beliau! Janganlah insitusi Ketuanan Melayu & Raja-Raja Melayu terus dihina dengan permasalahan peribadi yang beliau hadapi!

Dan kepada pengikut taksub Pakatan 3A ini, teman ingin memetik peringatan wakil AMK saudara K.Subramaniam semasa berucap dalam Kongres PKR Sabtu lepas, "sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam, maka terdapatlah tanda-tanda manusia berakal agar kita sentiasa berfikir, agar minda diasuh dan terbentuk dengan baik lalu seterusnya melakarkan budaya sihat supaya tidak songsang dan tidak menyeleweng dari norma-norma kehidupan manusia yang beradab lagi bertamadun".

Jadi kepada mereka yang masih taksub mengikut Pakatan 3A ini, teman berseru gunakanlah akal yang dianugerah ALLAH, berfikirlah dengan waras, apakah kepimpinan Pakatan 3A ini benar-benar "anugerah tuhan untuk memimpin kamu", apakah mereka sedang melakar budaya sihat yang tidak songsang dan diluar tabi'i, dan adakah cara kehidupan dan politiking mereka tidak menyeleweng dari norma kehidupan manusia yang beradab lagi bertamaddun!!

Persoalan pokok yang kamu para macai dan balaci wajib tanya ialah, "adakah Pakatan 3A ini mempertikaikan Ketuanan Melayu kerana mereka mahu mengujudkan Ketuanan 3A dinegara ini!!". Dari apa yang teman lihat, itulah yang diimpikan oleh Pakatan 3A ini, itulah cita-cita mereka, mereka mahu memansuhkan Ketuanan Melayu dan mendaulatkan Ketuanan 3A!! Sebab itu teman membuat seruan, "kita bukan gila kuasa, tetapi kita wajib halang orang gila daripada berkuasa-orang yang bercita-cita mahu memansuhkan Ketuanan Melayu dan diganti dengan Ketuanan 3A !!".

Tepuk dada tanyalah keimanan masing-masing.

Wassalam, adios amigos. Grasias & jazakallah.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
23 Zulhijjah 1431
30 November 2010