Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts
Showing posts with label Perlembagaan. Show all posts

13 November 2014

UNDANG-UNDANG GUBALAN KEHAKIMAN?


Adakah Seksyen 377B KK yang menghukum peliwat
boleh diisytiharkan tidak sah mengikut Perlembagaan
kerana ‘tidak munasabah’ sebagaimana Seksyen 66 EJSNS
yang menghukum maknyah, bapuk dan pondan?
Inilah implikasi keputusan Mahkamah Rayuan!
Salam 2 all.

Melarang lelaki berpakaian menyerupai wanita adalah hukum syara' yang qati' - tidak ada keraguan atau pertikaian padanya. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah saw bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW : عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء Maksudnya : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al Bukhari).

Bermakna Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang melarang dan menetapkan hukuman terhadap pesalah syarie' tersebut adalah menurut hukum Islam!

Kuasa dan bidangkuasa membuat undang-undang kesalahan syarie' ini adalah hak mutlak Dewan Undangan Negeri Sembilan menurut Artikel 74 dibaca bersama Jadual 9 Senarai II Perlembagaan Persekutuan.

Dan Mahkamah yang berbidangkuasa membicarakan dan menjatuhkan hukuman adalah Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Dan Mahkamah Sivil tidak boleh sama sekali mencampuri atau menganggu keputusan Mahkamah Syariah menurut Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Jadi persoalannya bagaimana kes empat orang maknyah (Juzaili & 3 yang lain) yang telah dibicarakan dan disabit kesalahan oleh Mahkamah Syariah Seremban boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rayuan yang kemudiannya telah pada 07 Nov 2014 lepas mengisytiharkan Seksyen 66 EJSNS sebagai batal dan tidak sah menurut Perlembagaan?

Mengiktu proses kehakiman, sepatutnya maknyah-maknyah ini mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Negeri Sembilan terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban terhadap mereka. Tetapi sebaliknya mereka menggunakan 'pintu belakang' dan memfailkan permohonan semakan kehakiman mencabar keabsahan Seksyen 66 EJSNS di Mahkamah Sivil.

Dan dalam keadaan peruntukkan Perlembagaan dan undang-undang yang terang lagi jelas bahawa kuasa dan bidangkuasa membuat undang-undang jenayah syarie' adalah terletak dibawah DUN Negeri Sembilan dan bidangkuasa perlaksanaannya oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, bagaimana pula Mahkamah Rayuan Sivil boleh membatalkan Seksyen 66 EJSNS?

Jawapannya ialah apa yang saya sebut 'judicial law making' - 'penciptaan undang-undang kehakiman'.

Ini kerana Mahkamah Rayuan mengguna-pakai prinsip kemunasabahan - reasonableness dalam menilai undang-undang yang telah digubal dengan sahnya oleh badan pembuat undang-undang negara ini.

Prinsipnya mudah - jika Mahkamah merasakan bahawa sesuatu undang-undang itu tidak munasabah, Mahkamah akan mengisytiharkan ianya sebagai tidak sah!

Persoalan pertama yang timbul ialah bolehkah Mahkamah di Malaysia berbuat sedemikian? Sedangkan prinsip berkerajaan di Malaysia ialah prinsip pemisahan dan pengasingan kuasa antara 3 badan iaitu Parlimen (termasuk DUN) sebagai pembuat undang-undang, Kehakiman (sebagai penjaga (custodian) undang-undang) dan Eksekutif (sebagai pelaksana undang-undang).

Pada pendapat saya didalam kes Juzaili ini Mahkamah Rayuan telah melangkaui kuasa dan bidangkuasanya kerana dalam amalan kehakiman di Malaysia, Mahkamah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI membuat, mencipta atau menggubal undang-undang sendiri!

Persoalan kedua, apakah kayu pengukur yang digunakan oleh Mahkamah Rayuan dalam menentukan samada sesuatu undang-undang itu tidak munasabah?

Didalam kes Juzaili, ternyatakayu pengukur yang diguna-pakai oleh Mahkamah ialah dengan merujuk dan menggunakan prinsip dan amalan hak asasi manusia yang diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat Barat menurut amalan dan kehidupan mereka sebagaimana yang diperuntukkan didalam Deklarasi Hak Asasi Manusia yang Malaysia tidak tandatangani dan absahkan!

Pengamalan hak asasi barat ini tidak boleh diterima bulat-bulat disini kerana Malaysia adalah sebuah negara umat Islam sebagaimana diperuntukkan dengan jelas dibawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya kalau benar pun Mahkamah Rayuan mahu menggunakan prinsip kemunasabahan didalam menentukan keabsahan sesuatu undang-undang, kayu pengukurnya hendaklah berdasarkan dan mengikut prinsip-prinsip syariah dan undang-undang Islam; bukannya kayu pengukur barat!

Jika keputusan Mahkamah Rayuan diterima, maka banjiran-perundangan akan berlaku!

Contohnya dalam kes liwat terhadap Anwar Ibrahim yang dituduh dan disabit kesalahan dibawah Seksyen 377B Kanun Kesiksaan. Adalah jelas ini adalah undang-undang yang telah digubal dan dikanunkan dengan sah oleh Parlimen Malaysia yang menjadikan liwat sebagai suatu kesalahan jenayah yang boleh dihukum berat oleh Mahkamah Jenayah Sivil.

Jika menerima pakai keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Juzaili yang mengguna-pakai kayu pengukur barat, maka adalah tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pihak membawa kes untuk membatalkan Seksyen 377B Kanun Kesiksaan sebagai melanggar Perlembagaan kerana 'tidak munasabah' berdasarkan prinsip Hak Asasi Kemanusiaan sebagaimana ditetapkan oleh barat melalui Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan; kerana barat sudah menerima amalan seks songsang, seks luar tabi'e dan kawin sejenis sebagai hak asasi mereka!

Tetapi jika kita menerima dan mengguna-pakai keputusan Mahkamah Rayuan itu, saya tidak menafikan bahawa pembatalan peruntukkan undang-undang yang melarang amalan seks songsang, seks bebas dan kahwin sesama jenis adalah suatu kebarangkalian yang hampir pasti boleh berlaku!

Persoalannya, adakah kita mahu memberi badan kehakiman kuasa membuat undang-undang seperti itu? Jawapannya pada saya jelas - TIDAK BOLEH - kerana Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa perundangan yang jelas - Pembuat (Parlimen), Penjaga (Mahkamah) dan Pelaksana (Eksekutif)! 

Prinsip pemisahan kuasa perundangan ini wajib dipelihara dan dikuatkuasakan dengan tegas!

Atas alasan-alasan diatas sahaja saya berpendapat keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Juzaili tidak boleh diterima dan hendaklah ditolak.

Saya dengan ini menasihatkan Kerajaan Negeri Sembilan supaya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan itu dibatalkan.

Adioa amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
20 Muharram 1436
13 Nov 2014

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



Dipetik dengan izin daripada http://www.tunabdulhamid.my/index.php/speech-papers-lectures/item/738-ulasan-penghakiman-kes-muhamad-juzaili

CA NO-01-498 11/2012
MUHAMAD JUZAILI BIN MOHD KHAMIS DLL
V
STATE GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN DLL

ULASAN

Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad (Mantan Ketua Hakim Negara)

Saya telah membaca “Penghakiman Ringkas” Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut.

Fakta yang tidak dipertikikan adalah Perayu-Perayu adalah lelaki, beragama Islam dan menghadapi “a medical condition” yang dikenali sebagai “Gender Identity Disorder (GID)”. Oleh sebab keadaan itu, semenjak muda, mereka berkelakuan seperti perempuan, termasuk memakai pakaian perempuan.

Mereka telah ditangkap, dihadapkan ke Mahkamah Syari’ah dan dihukum beberapa kali di bawah seksyen 66 Enakment Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (EJSNS).

Mereka membuat permohonan di Mahkamah Tinggi meminta mahkamah mengisytiharkan seksyen 66 EJSNS bercanggah dengan Perlembagaan Persekutun dan, oleh itu, tak sah dan batal.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Mereka merayu ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan membuat peritah seperti yang dipohon oleh mereka.

Seksyen 66 EJSNS memperuntukkan:

Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tiga perkara perlu diambil perhatian dari awal ialah, pertama, mereka bukan merayu terhadap sabitan dan hukuman terhadap mereka oleh Mahkamah Syariah. Mereka memohon supaya Mahkamah Tinggi (Mahkamah Sivil) mengisytiharakn bahawa peruntukan seksyen 66 itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bidangkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Demikian juga bidangkuasa mengisytihar sesuatu undang-undang itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Oleh itu, dari segi bidangkuasa, permohonan itu adalah betul.

Kedua, tidak dipertikaikan bahawa kesalahan itu adalah satu kesalahan terhadap “perintah” (“precepts”) agama Islam yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri dan bukan “undag-udang jenayah” yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Ketiga, Mahkamah mendapati peruntukan Seksyen 66 itu tak sah bukan kerana ia “undang-undang jenayah” yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan, tetapi kerana ia melanggar Perkara 5(1) (kebebasan diri), 8(1) (kesamarataan), 8(2) (diskriminasi), 9(2) (kebebasan bergerak) dan 10(1)(a) (kebebasan bercakap dan bersuara).

Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam.

Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap perintah agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerena Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu.
Sebaliknya, mereka merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain, lebih-lebih lagi merujuk dan mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court Amerika Syarikat dan India.

Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat.

Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal megenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan.

Mereka juga memakai prinsip “reasonableness” yang diketengahkan oleh Supreme Court India yang memberi kuasa kepada Hakim-Hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak sah atas alasan ianya “unreasonable”.

Itu sudah melanggar bidangkuasa Badan Perundangan (Parlimen).

Mahkamah hanya boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu tak sah jika ia bercanggah dengan Perlembagaan, bukan kerana pada pandangan seseorang Hakim undang-undang itu “unreasonable”.

Alasan-alasan yang diberi oleh mahkamah itu sangat luas implikasiya.

Apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara-negara sekular itu; apabila hukum syarak diukur dengan nilai-nilai liberal hak asasi ala-Barat; apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ianya “unreasonable” kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkann tak sah.

Menggunakan alasan-lasan yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih dari satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tak sah.

Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Nampaknya, apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku.

(Lihat kertas kerja saya “Hak Asasi Manusia: Peranan dan Fungsi Dari Perspektif Perlembagaan Malaysia.” (20 November 2013); “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (24 Januari 2014) dan “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (14 Oktober 2014), semuanya boleh didapati dalam laman web saya: www.tunabdulhamid.my

Sekian.
11 November 2014

07 November 2013

KARPAL LAGI?

Karpal dengan berani mencadangkan parti berteraskan agama seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah itu cara DAP menghargai sumbangan PAS kepada DAP dalam usaha menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO?
Salam 2 all.

Adakah Karpal bersetuju dengan cadangan supaya semua sekolah berasaskan perkauman dihapuskan; termasuk sekolah vernakular yang berteraskan perkauman wajar ditutup?

Adakah Karpal juga mahu supaya pertubuhan seperti Dong Zhong diharamkan?

Pada saya, itulah kesan kenyataan Karpal Singh yang mencadangkan supaya parti politik dan pertubuhan yang berasaskan agama atau perkauman dibatalkan atau diubahsuai untuk menerima kemasukan atau keahlian penganut agama lain ataupun kaum lain.

Mesej Karpal adalah jelas. Bermakna parti politik seperti PAS atau UMNO, atau pertubuhan seperti Perkasa dan lain-lain elok dibatalkan pendaftaran; maknanya diharamkan!

Malah Karpal secara spesifik menyebut nama parti PAS rakan sekongkol yang telah bertungkus lumus membanting tulang empat kerat bersama Karpal untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam UMNO!

Kerana apa?

Kerana mempunyai nama yang mewakili agama atau bangsa, dan secara legal mewakili kepentingan agama atau bangsa!

UMNO yang berteraskan Melayu Islam sudah menjadi tunggak pemerintahan selama lebih setengah abad. Dan UMNO berjaya membangunkan rakyat dan negara ini tanpa mengira agama dan bangsa; semuanya berasaskan kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontrak-sosial diantara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

Begitu juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara - tujuan dan matlamat serta perjuangannya adalah untuk memartabatkan, membela dan memperkasa bangsa dan institusi Melayu-Islam berasaskan kepada kerangka Perlembagaan tanpa menafikan, apatah lagi menzalimi atau merampas hak kaum atau penganut agama lain.

Sebenarnya itulah asasnya. Selagi semua rakyat dan warganegara Malaysia ini menjunjung tinggi dan menghormati serta akur kepada persefahaman, semangat dan hidup dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, selagi itulah keamanan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai agama dan kaum akan terus berkekalan.

Didalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dinafikan Islam dan Melayu memang diletakkan ditempat yang lebih istimewa dan berbeza daripada agama dan kaum lain. Dalam lain perkataan, hakikatnya Perlembagaan Persekutuan memang bersifat diskriminatori, atau apa yang saya sebutkan sebagai diskriminatori positif (positive discrimination).

Islam dan Melayu memang diberi tempat dan kedudukan istimewa didalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, mana-mana pihak, samada dalam bentuk parti politik, pertubuhan, badan bukan kerajaan, kelab sosial, universiti, kementerian, jabatan kerajaan, agensi kerajaan, GLC dan lain-lain; yang memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Islam dan Melayu adalah berbuat sedemikian dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Memperkasa, memartabat dan memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan.

Oleh itu, sebarang cadangan atau rancangan untuk mengharamkan sebarang parti politik, pertubuhan, persatuan, jabatan dan agensi kerajaan, NGO, GLC dan lain-lain daripada memperjuangkan, memartabat atau memperkasa hak dan keistimewaan Melayu-Islam adalah bercanggah sama sekali dengan peruntukkan Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui.

Dan Karpal Singh sebagai seorang peguam veteran sepatutnya dan wajar mengetahui perkara ini!!!

Malah kalau Karpal mengkaji sejarah dunia Islam, akan jelas terbukti mana-mana pemerintahan yang berteraskan Islam akan bersikap adil dan saksama. Peristiwa pembukaan Kota Jerusalem oleh Sultan Salahudin Al-Ayubi, pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh adalah bukti keadilan dan kesaksamaan Islam yang tidak boleh dinafikan.

Tetapi lihat bagaimana sejarah serangan dan penaklukan Kota Jerusalem oleh tentera salibiah dalam Perang Salib sebagai bukti jelas bagaimana umat Islam, termasuk juga penganut kristian yang tidak sehaluan dengan mereka, diperlakukan dengan begitu kejam!

Lihat bagaimana perlakuan rejim zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin!

Ini semua bukti sejarah yang tidak boleh dinafikan lagi!

Saya juga menyarankan kepada Karpal Singh supaya mencerminkan diri dan parti dia sendiri! Adakah parti DAP itu sendiri bukan sebuah parti yang secara substantif berteraskan sikap rasis, extremis dan bersifat pelampau perkauman? Masih ingat catatan sejarah peristiwa 13 Mei 1969?

Sepatutnya Karpal dan partinya DAP membuat kajian adakah keujudan sistem pendidikan vernakular yang berteraskan kepada perkauman dan etnik tertentu yang menjadi punca kepada masalah perkauman yang menjadi semakin kronik dan serius?

Cuba kaji mengapa generasi muda dari kaum tertentu semakin menebal sifat perkauman mereka; malah sampai ke peringkat begitu biadap dan secara terbuka mempersoalkan perkara-perkara fundamental yang menjadi teras kepada keharmonian antara kaum dan agama dalam negara ini?

Apapun, persoalan yang mahu saya lontarkan terutama kepada sahabat dan kepimpinan PAS khususnya para ulama yang ada; berapa lama PAS mahu bertahan dengan karenah pimpinan DAP termasuk Karpal Singh? Tidakkah PAS merasa tercabar dengan sikap rakan sekongkol mereka yang kelihatan langsung tidak menghargai sumbangan PAS dalam persekongkolan untuk menumbangkan Kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi UMNO?

Cuba lihat kerajaan DAP Pulau Pinang; walaupun hanya ada seorang sahaja ADUN PAS iaitu Datuk Ustaz Saleh Man, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang dan ADUN Permatang Pasir, namun langsung tidak diberi tempat dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang. Tidakkah itu satu gambaran jelas dimana letaknya PAS dikacamata DAP?

Terkini Pengerusi DAP Karpal sendiri begitu jelas dan terbuka tanpa sedikit keraguan mencadangkan parti seperti PAS dibatalkan pendaftaran! Adakah pimpinan PAS masih mahu berselindung disebalik jawapan standard 'itu pendirian peribadi Karpal bukan pendirian DAP?'.

Islam itu tinggi dan mulia. Yang merendahkan Islam, yang meletak Islam ketempat yang hina ialah manusia, bukan Islam itu sendiri! Islam akan terus mulia dan a'laa, yang rendah dan hina ialah penganutnya sendiri!

Wallahua'alamdan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
04 Muharram 1435
07 November 2013

24 October 2010

DI ANTARA HAK & REALITI

Salam 2 all.

Berakhir sudah perhimpunan tahunan bangsa Melayu tahun ini. Perhimpunan Agong UMNO, sebagaimana Muktamar Agong PAS, akan menjadi kayu pengukur kepada matlamat dan agenda perjuangan bangsa Melayu beragama Islam.

Ucapan dasar Presiden UMNO telah berjaya memberi satu pemetrian yang jelas tentang hak dan kedudukan Islam dan Melayu dalam kerangka Perlemabagaan negara. Setelah 53 tahun merdeka, saya jangkakan persoalan asas saperti hak Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu tidak septutnya perlu ditimbulkan lagi. Sepatutnya semua mereka yang mengaku warganegara Malaysia sudah fasih dan faham kedudukan tersebut. Ia tidak sepatutnya diperdebatkan atau diperbincangkan lagi. Sepatutnya yang perlu dan wajib dibincangkan ialah bagaimana hak dan kedudukan itu perlu diterjemahkan dalam dasar dan perlaksanaan negara.

Tetapi setelah 53 tahun merdeka, Presiden UMNO masih terpaksa mempertahankan dan membela hak dan kedudukan tersebut, didalam perhimpunan rasmi umat Melayu adalah sesuatu yang menimbulkan banyak persoalan. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena bila Presiden UMNO perlu menyatakan bahawa hak Islam dan kedudukan istimewa Melayu sudah terpahat dalam Perlembagaan, tidak siapa bileh mengubahnya walau mereka menguasai 100% Parlimen, selagi tiap seorang Raja-Raja Melayu tidak bersetuju dengannya.

Kalau begitu mantap dan jelas hak dan kedudukan Islam/ Melayu, mengapoa masih ada yang memoersoalkan dan mempoertikaikannya? Apakah sistem pendidikan dan pembelajaran kita gagal menerapkannya disekolah-sekolah, IPT dan lain-lain? Apakah keujudan sekolah aliran Cina & Tamil tidak mempunyai matapelajaran berkaitan Perlembagaan? Apakah beratus ribu kursus Biro Tatanegara gagal melahirkan warga yang memahami hak dan kedudukan istimewa Islam itu? Atau apakah umat Islam bangsa Melayu terlalu bertolak ansur sehingga hak dan kedudulan istimewanya sentiasa dipertikai dan diperlekeh? Sebagaimana sehingga ke hari ini masih ada mereka yang bermati-matian mahukan kewarganegaraan Malaysia, tetapi sepatah haram cakap Melayu pun tak tahu. Dan bila diminta menggunakan bahasa Melayu dengan pantas mereka menuding jari rasis kepada kita!

Saya berpendapat ada sesuatu yang tidak kena setelah 53 tahun merdeka Perhimpunan Agong UMNO masih terpaksa bercakap dan berbahas isu yang sudah jelas. Isu yang wajar diperkatakan 50 tahun dahulu, bukan sekarang! Mungkin kita perlu merombak semula kaedah pembelajaran tatanegara dan ketamadunan tanah Melayu disekolah-sekolah. Mungkin kita perlu bertegas mengujudkan sekolah satu aliran sahaja, iaitu aliran kebangsaan menurut Perlembagaan. Mungkin sudah tiba masanya tiap warga yang tidak tahu berbahasa Melayu dikaji semula kewargangeraan nmereka. Mungkin kita perlu bertindak tegas termasuk melucutkan kewarganegaraan mereka yang sentiasa mempertikai dan memperlekeh hak dan kedudukan istimewa Islam/ Melayu dalam negara ini!

Seperkara lagi yang perlu yang ingin saya kemukakan ialah isunya sekarang bukan soal hak dan kedudukan Islam dan Melayu dalam Perlembagaan. Hak dan kedudukan istimewa itu jelas. Dan memang siapa pun tidak boleh merombak kedudukan Perlembagaan itu kecuali dengan izin dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

Yang menjadi isu dan persoalannya ialah penterjemahan dan perlaksanaan hak dan kedudukan istimewa Islam/ Melayu didalam dasar dan perancangan pemerintah. Kalau sudah begitu jelas hak dan kedudukan istimewa Islam/Melayu didalam Perlembagaan yang tidak boleh diganggu gugat, saptutnya perlaksanaan dan penterjemahannya dalam dasar dan pernancangan pemerintah juga tidak sepatutnya diganggu gugat dan dipertikaikan. Apa yang menjadi kegelisahan dikalangan umat Islam bangsa Melayu hari ini ialah ketegasan Perlembagaan itu tidak diterjemahkan didalam dasar dan perancangan pemerintah. Malah umat Islam bangsa Melayu merasa mereka kini tersisih dan dianaktirikan.

Kini umat Islam bangsa Melayu merasakan mereka saperti warga kelas kedua dalam negara tanahairnya sendiri. Malah sudah sampai keperingkat ada dikalangan umat Islam bangsa Melayu merasakan mereka teraniaya. Hari ini cukup mudah untuk menganiaya umat Islam bangsa Melayu. Cukup dengan buat lapuran, termasuk pembohongan dan rekayarsa cerita, dengan mangatakan cikgu ni rasis, polis ni buat kenyataan berbaur perkauaman, pegwaia ini anti Cina/Tamil! Tanpa periksa, tanpa menentukan kesahihan, pemerintah kelihatan mengeletar dan menggelabah. Terus kenyataan dan tindakan diambil tanpa soal pembelaan dan hak asasi para guru, polis dan pegawai-pegawai Melayu itu diberikan.

Hanya kerana ada segelintir kaum cauvinis membuat bising dan disiarkan dilaman-laman web yang anti Islam anti Melayu, tindakan segera diambil. Maka bertukarlah seorang guru Melayu, turunlah pangkat si polis Melayu, kena tindakan disiplinlah pegawai Melayu. Malah pemimpin politik Melayu sehingga dipecat digantung kerana nak mempertahankan hak dan kedudukan agama dan bangsanya!! Tetapi bila berlaku sebaliknya, begitu lemah dan lesu tindakan dikenakan terhadap orang lain.

Bila gurubesar Melayu menegur pelajar yang memang punya masalah disiplin, lapuran dibuat kononnya guru itu rasis, akhirnya guru Melayu itu dikenakan tindakan ditukar jawatan. Tetapi bila pelajar bukan Melayu bersikap rasis dan melampau, dia sekadar diberi amaran sahaja.

Bila blogger Melayu menegur dan memperli sebuah GLC, dengan pantas dia disiasat dan diheret ke Mahkamah. Tetapi bila blogger anak Cina memaki hamun agama dan bangsa Melayu, kita terketar-ketar takut mengambil tindakan.

Bila seorang pegawai Melayu dituduh melabel bangsa lain adalah pendatang,dengan segera tindakan diambil terhadap beliau tanpa diberi peluang membela diri. Tapi bila Ketua Wanita parti Cina melabel Melayu sebagai pendatang, dia kekal dalam kabinet!

Bila wartawan Melayu menyamar masuk gereja untuk menyiasat gejala murtad, bisinglah puak-puak cauvinis ini menuntut wartawan berkenaan memohon maaf. Kelamkabutlah pihak polis buka kertas siasatan dan memanggil mereka ke balai. Tapi bila wartawan Cina menyamar bertudung menyusup masuk kedalam majlis tertutup orang Melayu dan membuat lapuran rasis, tiada langsung tindakan diambil terhadap beliau. Malah dikatakan itu kaedah kewartawanan yang sangat beretika!!

Bila anak Melayu dituduh mencemar gereja, lantas mereka dikenakan hukuman penjara bertahun. Tetapi bila anak Cina membaling botol arak dan mencemar surau dengan cat merah, mereka diberi kemaafan dan sekadar didenda!

Bila seorang dua anak Cina dan India lulus cemerlang tapi tak dapat tempat di IPTA, atau tidak mendapat biasiswa, mereka melalak macam nak runtuh langit konon teraniaya. Tapi bila ramai anak Melayu yang cemerlang tidak mendapat tempat di IPTA atau biasiswa, sunyi sepi negara macam baru dilanggar garuda walaupun itu sebenarnya hak Perlembagaan si anak Melayu. Bila seorang anak Cina cemerlang di universiti, mereka memekak dan bergendang sakan, tapi bila anak Melayu menjadi pemidato debat terbaik dunia tidak siapa peduli.

Hari ini, institusi Raja-Raja Melayu mereka berani pertikai. Mahkamah Syariah dan institusi Islam mereka perlekehkan. Institusi-institusi pemerintahan mereka hina dinakan. Institusi Polis, SPR, SPRM, dan banyak lagi menjadi bahan cemuhan mereka. Hanya kerana seorang anak Cina mati terjun tingkap, habis institusi pemerintah disingkap.

Memang benar ada segelintir Melayu haprak yang bersedia menjadi barua dan balaci mereka. Sehingga sanggup menggadai agama dan bangsa mereka sendiri. Jangankan keluarga jadi pertaruhan politik, nama Tuhan pun jadi bahan lelongan. Tetapi dimana bangsa dan tamaddun pun pasti ada bangsat-bangsat sikitol ini. Itu sudah menjadi lumrah kehidupan.

Apa yang penting ialah hak dan kedudukan istimewa Islam dan Melayu, yang terpahat kemas didalam Perlembagaan, yang tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak pun, sepatutnya diterjemahkan kedalam bentuk poerlaksanaan, dasar dan perancangan negara dan pemerintah. Anak Melayu tidak sepatutnya menagih simpati untuk mendapat biasiswa atau temoat di IPT dalam atau luarnegara. Bila mereka layak sahaja biasiswa oatut diberi secara automatik. Para penjawat awam yang mempertahankan hak dan kedudukan istimewa Melayu Islam tidak sepatutnya dikenakan tindakan, malah patut dihargai keberanian dan ketegasan mereka. Mereka yang memperikai hak dan kedudukan istimewa Islam/ Melayu hendaklah dikenakan tindakan tegas, termasuk dikenakan pendakwaan menderhaka dan treason, dan jika terbukti melampau, tindakan melucutkan kewargaenegaraan mereka hendaklah diambil, tidak kira dia bangsa Melayu atau bukan.

Pendekkata apa yang penting sekarang bukan soal mempertahan atau membela hak dan kedudukan istimewa Islam dan Melayu saperti yang terpahat didalam Perlembagaan, tetapi ini adalah masa menterjemahkan hak dan kedudukan istimewa itu dalam segala dasar dan perancangan negara. Janganlah ia hanya cantik didalam Perlembagaan sebagai hiasan sejarah, tetapi cacat dan hodoh dari segi perlaksanaan.

Semoga ALLAH menyelamatkan bangsa Melayu beragama Islam dari kehancuran mereka ditanah air sendiri, sebagaimana yang telah berlaku dibanyak negara umat Islam yang lain.

"Jika kamu tidak mengubah nasib kamu sendiri, maka Aku tidak akan mengubah nasibmu". Nasib dan masadepan bangsa Melayu terletak ditangan mereka sendiri. Ayuh bangkitlah dan poerjuangkanlah hak dan kedudukan kamu sendiri.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
16 Zul Qaedah 1431
24 Okt 2010