Showing posts with label Sheikh Yusuf Islam. Show all posts
Showing posts with label Sheikh Yusuf Islam. Show all posts

30 December 2010

MAHER ZAIN

(Jangan jeless aarr..bersama Maher semalam di Kuala Lumpur)

Salam 2 all.

Teman bersyukur kehadrat ALLAH kerana berkesempatan bersama sahabat yang kini sangat terkenal didunia Islam sekarang iaitu Brother Maher Zain. Seorang artis yang telah berani membawa mesej dan risalah Islam menggunakan medium muzik dan lagu, dengan pendekatan da'wah yang sangat berbeza.

Fenomena Maher Zain kini adalah saperti fenomena kemunculan kumpulan nasyid Raihan dengan pendekatan lagu dan muzik yang berbeza dari irama nasyid irama padang pasir yang sudah sebati dengan masyarakat Islam. Teringat kita nyanyian dari kumpulan Al Amin, El Soraya dan lain-lain. Bezanya Raihan meletup di nusantara, Maher meletup secara global!

Kini Maher muncul dengan irama dan muzik kontemporari. Ianya satu fenomena yang sangat memberangsangkan, kerana bukan sahaja ia menarik minat remaja Muslim, malahan bukan Islam juga turut meminati lagu-lagu dendangan Maher. Ini dapat dilihat apabila Maher muncul di tempat awam di Kuala Lumpur dan beberapa non-Muslim kelihatan mendekati Maher dan menemui beliau menyatakan diri sebagai peminat lagu-lagu beliau.

Teman melihat fenomena ini lebih dari sudut uslub da'wah. Pendekatan dakwah melalui muzik kelihatannya sangat berkesan. Teman melihat sendiri pendekatan yang sama diambil oleh Sheikh Dr. Yusuf Islam @ Cat Stevens. Sambutan luar biasa yang diterima oleh Sheikh Yusuf di Melbourne Australia, dengan kehadiran warga Australia hampir 80,000 sangat menakjubkan. Ramai dikalangan mereka bukan Islam. Dan cara Sheikh Yusuf menyelitkan unsur mesej dan risalah Islam dalam konsertnya, tanpa perlu melabelnya sebagai "konsert Islam" atau sewaktu dengannya kelihatan sangat berjaya.

Contohnya cara Sheikh Yusuf menceritakan asal nama beliau "Yusuf" sebagai "Joseph" saperti yang terkandung didalam Gospel secara tidak langsung menunjukkan kepada hadirin bahawa Islam, Yahudi dan Kristianiti sebenarnya daripada risalah yang sama dari Tuhan yang sama, tanpa perlu dilabel sebagai "Konsert Islam"!. Mike boleh melihat ini dalam DVD bertajuk "Yusuf Roadsinger: Live in Australia" yang baru diterbit dan diedarkan baru-baru ini (teman dah dapat yang signed copy yop..jangan jeles aarr!!).

Teman juga teringat kata-kata Sheikh Yusuf semasa bersembang baru-baru ini. Beliau berkata mengapa kita tidak menggunakan kaedah pendekatan persamaan diantara agama Islam, Kristian & Yahudi. Contohnya Ka'bah. Mengapa kita tidak gunakan pendekatan bahawa Ka'bah itu dibina oleh Prophet Abraham, Nabi Ibrahim a.s. Bapa kepada semua agama samawi. Islam mengakui beliau sebagai Rasul, Yahudi mengiktiraf beliau sebagai Rasul, dan Kristian juga mengiktiraf beliau sebagai Rasul. Maka sebagai "rumah" yang dibina oleh Nabi semua agama, umat Islam, Kristian & Yahudi wajib memelihara dan menghormati Ka'bah itu.

Dan yang lebih hebat, kedua-dua Sheikh Yusuf Islam dan Maher Zain berjaya menyampaikan mesej da'wah dan risalah Islam dengan cara yang sangat berkesan melalui penggunaan yang mereka mempunyai kepakaran dan kehebatan - iaitu muzik. Teman teringat kepada Almarhum Buya Hamka, seorang tokoh ulama' nusantara yang sangat dihormati. Almarhum pernah menyebut bahawa beliau sangat meminati muzik mozart. Dan Almarhum antara ulama' yang menggunakan uslub da'wah yang sangat berbeza, iaitu melalui sastera, samada sajak, novel, pantun dan lain-lain. Dan ternyata pendekatan itu berjaya menarik minat ramai terutamanya dari masyarakat kampung dan desa. Cuba baca kitab Tafsir Al Azhar, karya agong Almarhum Pak Hamka. Begitu juga novel Dibawah Lambaian Ka'bah, Tenggelamnya Kapal Van Der Tjik dan banyak lagi karya beliau.

Mesejnya mudah. Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam, selain menjadi hamba ALLAH yang soleh, ialah menyampaikan risalah tauhid kepada seluruh manusia. Ringkas da'wah. Itulah antara sifat Rasulullah - tabligh. Dan penyampaian serta da'wah itu mesti secara bijaksana, benar dan amanah. Caranmya, terpulang kepada masing-masing. Selagi ianya tidak mensyirikkan ALLAH, tidak membawa kepada maksiat dan mungkar, persilakan. Daripada kita sibuk menyalahkan itu dan ini, sana haram situ haram, tapi sepatah haram ayat risalah pun tidak pernah sampai dari mulut kita kepada seorang non-Muslim. Apatah lagi kalau kita bukan sahaja tidak menyampaikan risakah Islam, kita pergi jual Islam pulak kepada non-Muslim hanya untuk dapat sedikit habuan dunia. Itu lagilah teruk.

Oh ya, jangan lupa mendengar lagu baru Maher Zain nanti, iaitu lagu "Insyallah" dalam versi Bahasa Malaysia. Memang mengasyikkan dan menginsafkan. Sangat sesuai terutamanya bagi remaja masakini yang tercari-cari jawapan kepada kekosongan jiwa walaupun kantung dan poket penuh dengan Ar-Em! Dan yang canggih, liriknya beliau sendiri yang tulis. Teman dah dengar versinya semalam semasa makan tengahari, Maher nyanyikan kepada kami. Memang tangkap sayup yop!!

Adios amigos, grasias snor.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
21 Muharram 1432
30 Disember 2010

28 November 2010

SHEIKH YUSUF ISLAM

(Sheikh Dr. Yusuf sedang menyampaikan tazkirah di Masjid UIA dengan kehadiran ribuan jemaah termasuk teman yang duduk sebelah kanan Sheikh Yusuf)

Salam 2 all.

Alhamdulillah lawatan singkat Sheikh Dr. Yusuf Islam ke Kuala Lumpur (24-27 Nov 2010) telah dapat disempurnakan dengan beberapa program yang diatur khas. Ketibaan Sheikh Yusuf bersama isteri Puan Fawzia Mubarak Ali pada pagi Rabu 17 Zulhijjah 1431/ 24.11.2010 di KLIA disambut oleh YBhg Datuk Yeop Adlan Che Rose (Pengerusi Peace Train Malaysian Chapter), Sdr. Fudzail Mohd. Nor (Pengurus) dan teman sendiri yang diamanahkan menjadi hos lawatan Sheikh Yusuf. Turut sama ialah Sdr Rusdi Shamsudin bertindak sebagai pengiring.

Alhamdulillah Sheikh Yusuf dan isteri telah berkesempatan mengadap YDP Agong Tuanku Mizan dan Permaisuri Tuanku Nur Zahirah pada hari Khamis 25.11.2010. Pertemuan lebih sejam itu membawa satu lembaran baru bagi Sheikh Yusuf dan isteri. Kami baru tahu rupanya lagu "I Look I See" yang terkenal itu dicipta oleh Sheikh Yusuf semasa melawat Trengganu beberapa tahun lepas. Pada sebelah malamnya kami sempat mengadakan rakaman untuk Sheikh Yusuf ditemubual oleh pihak TV3 bagi rancangan MHI yang disiarkan pada pagi Jumaat.

Sheikh Yusuf juga sempat mengadakan kunjungan hormat ke YAB Dato' Sri Najib dan isteri YABhg Datin Sri Rosmah Mansur pada hari Jumaat. Dalam kunjungan di Seri Perdana itu, Sheikh Yusuf dan isteri telah bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama umat Islam.

Sebelum itu Sheikh Yusuf sempat mendirikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah UIA, dan sempat menyampaikan tazkirah ringkas mengenai soal Islam & Keamanan. Teman diamanahkan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan dimana teman mengingatkan para jemaah antara lain satu perikan kata-kata Sheikh Yusuf yang sangat bermakna iaitu "manusia tanpa 'ilmu adalah manusia yang sangat berbahaya".

Sheikh Yusuf dan isteri telah berlepas ke Melbourne Australia pada pagi semalam dengan diiringi oleh Datuk Yeop Adlan, Datin Mimi, Sdr. Fudzail, Sdr. Rusdi dan teman sendiri. Kata Sheikh Yusuf dan isteri mereka sangat gembira dan berterimakasih dengan layanan baik dan mesra yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sepanjang berada di Kuala Lumpur. Walaupun singkat namun ianya membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Teman bertanya kepada Sheikh Yusuf samada beliau ada memikirkan untuk menjadikan Malaysia tempat tinggalnya. Beliau dan isteri membalas dengan memberi senyuman yang sangat bermakna. Insyallah jika tiada aral kami telah bercadang untuk mengadakan satu Konsert Tribute untuk Sheikh Yusuf di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
21 Zulhijjah 1431
28 November 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Lapuran akhbar Berita Harian 27.11.2010)

Konsep keamanan, kedamaian perlu dilihat secara mendalam

KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah antarabangsa, Dr Yusof Islam, berkata konsep keamanan dan kedamaian adalah perkara yang perlu dilihat secara mendalam dan menyeluruh kerana menjadi matlamat kesejahteraan kehidupan manusia.

Sambil merujuk dirinya, bekas penyanyi popular Britain pada 1970-an dan lebih dikenali sebagai Cat Stevens sebelum memeluk Islam, berkata demi mencari perdamaian, beliau memilih jalan dakwah kerana melaluinya persepsi yang salah terhadap Islam, khususnya yang dilemparkan Barat, dapat diperbetulkan.

“Pandangan serong itu perlu diperbetulkan. Ada lagi yang berpandangan Islam adalah musuh kepada agama lain kerana persepsi salah yang sengaja digembar-gemburkan.
“Justeru, bagi saya dakwah adalah senjata bagi menangkis tohmahan itu. Dakwah juga sebahagian daripada Islam kerana kita mengajak manusia ke arah kebaikan. Mesej Islam adalah benar dan ajarannya cukup harmoni.

“Tetapi apabila berdakwah kita perlu bercakap kepada masyarakat Islam terlebih dulu sebelum mengajak yang lain kerana itu menjadi keutamaan kerana ia akan menggalakkan perkongsian ilmu dan interaksi sesama Muslim,” katanya ketika menyampaikan tazkirah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dekat sini, semalam.

Yusof bersama isteri, Fauzia Mubarak Ali juga berkesempatan bertemu Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, kelmarin, selain turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Putrajaya, semalam.

Terdahulu ketika ditemuramah pada program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen TV3 pagi semalam, Yusof turut memberikan pandangan beliau mengenai konsep hiburan mengikut perspektif dalam medium dakwah.
Katanya, muzik itu adalah sesuatu yang cukup harmoni dan ia membentuk kedamaian dan keindahan hidup di dunia ini kalau digunakan dengan cara yang betul.

“Ketika ini masyarakat dunia sudah mulai bosan dengan peperangan dan bosan dengan isu politik dan untuk itu nilai muzik yang harmoni perlu ada,” katanya.