Showing posts with label Gaza. Show all posts
Showing posts with label Gaza. Show all posts

12 July 2014

AIYUHAL MUSLIMIN - SAMPAI BILA?


Gaza: Palestin terus bermandi darah, angka korban bertambah
Mohd Tahir (empat, kanan) memegang poster Operasi Badar pada sidang media, semalam

Salam 2 all.

Sampai bila kita asyik nak hantar misi bantuan kemanusiaan, hantar ubat, hantar baju, hantar selimut bantal, hantar duit?

Sampai bila kita asyik nak solat hajat, nak kutip derma, nak kutuk, nak hantar memorandum, nak berdemo, nak guling atas jalan?

Sampai bila wahai saudaraku para Muslimin semua?

Sejak 02 November 1917, setelah tamat Perang Dunia Pertama, apabila Lord Balfour, Setiausaha Luar British menghantar surat kepada kepala Yahudi laknatullah Lord Rothschild menyatakan ilitizam dan komitmen British untuk membentuk sebuah negara Yahudi Israel di tanah Palestin, umat Islam Palestin tidak pernah lagi kenal keamanan!

Dokumen sehelai mukasurat yang kini dikenali sebagai Perisytiharan Balfour mengubah segala-galanya - umat Islam Palestin menjadi banduan didalam negara mereka sendiri!

Hanya dengan sekeping surat berikutan kekalahan Empayar Usmaniah dalam Perang Dunia Pertama bersama German dan Itali, kuasa penjajah British dengan wewenangnya menggadaikan tanah Palestin kepada Yahudi!

Maka terbentuklah negara jahanam Israel laknatullah ditengah bumi 'Arab; diatas bumi yang diberkati Masjidil Aqsa!

Sejak itu, nyawa umat Islam Palestin umpama dihujung tanduk!

Saya pernah beberapa kali ke Palestin, termasuk Gaza, Masjidil Aqsa, Tebing Barat, Hebron, Jericho dan lain-lain. Malah saya berkesempatan tinggal bersama mereka buat beberapa ketika.

Malah saya bersama Dato' Sri Najib dan Datin Sri Rosmah sekeluarga semasa lawatan bersejarah mereka ke bumi Palestin pada 23.01.2013.

Bayangkan kehidupan harian rakyat Palestin!

Bayangkan bekalan elektrik dan air dikuasai dan dikawal oleh Israel; mereka boleh menutupnya, dan mereka sentiasa menutupnya bila-bila masa setiap hari ikut suka mereka.

Bayangkan bekalan elektrik dipotong sewaktu pembedahan sedang di lakukan di Hospital Jabaliyah!

Bayangkan jet pejuang Israel terbang rendah diatas sekolah dengan dentuman bunyi supersonik yang memekakkan telinga!

Bayangkan penembak tepat sniper tentera Israel sentiasa menghalakan muncung senapang dan menembak bila-bila sahaja termasuk kanak-kanak kepada sesiapa sahaja ikut suka mereka!

Bayangkan kereta kebal Israel yang besar dan gah sentiasa menghalakan muncong ke arah hospital, rumah dan lain-lain dan bersedia mengebom bila-bila masa!

Bayangkan tentera laut Israel mengawal sepanjang pantai Meditteranean dan akan menembak hancur mana-mana bot nelayan Palestin yang melangkau garis larangan sempadan yang zionis tetapkan terlalu dekat dengan pantai!

Bayangkan ibu-ibu menghantar anak-anak ke sekolah tiap pagi dengan iringan tangisan dan airmata kerana tidak tahu samada dapat berjumpa semula anak itu kerana mungkin sekolah akan dibom atau anaknya ditembak mati oleh sniper Israel!

Bayangkan jemaah ke Masjid untuk bersolat belum tentu balik hidup atau dalam beg mayat!

Dan kita hanya mampu hantar ubat dan kain selimtu?

Dan kita hanya mampu kutip derma?

Dan kita hanya mampu buat solat hajat?

Dan kita hanya mampu berdemo menyerahkan memorandum mengutuk Israel?

Dan kita hanya mampu berguling atas jalan?

Lepas itu kita berkumpul ramai-ramai dikedai mamak tengok Piala Dunia FIFA!

Sedangkan kita menguasai pasaran minyak, atau emas hitam dunia?

Sedangkan kita ada jumlah tentera yang ramai jika digabungkan!

Sedangkan kita ada kumpulan komando elit yang hebat dan perkasa!

Sedangkan kita ada jumlah hampir 1.5 billion seluruh dunia!

Sedangkan kita ada senjata canggih, pesawat tempur, kapal tentera laut yang hebat!

Sedangkan  Nabi hanya ada 313 pengikut yang miskin tidak lengkap bersenjata!

Sedangkan Khalid Al-Walid hanya ada 20,000 tentera berdepan dengan 1.2 juta tentera musuh!

Sedangkan Salahudin Al-Ayubi hanya ada tentera yang berjalan kaki daripada Damsyik!

Sedangkan Muhammad Al-Fateh boleh memikul kapal perang melalui daratan!

Dan kita hanya mampu hantar selimut bantal, ubat, kutip derma sambil mendirikan solat hajat dan berdemo!

Aiyyuhal Muslimin, sampai bila?

Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Ingatlah sabda Rasulullah saw yang mafhumnya seperti berikut, 'akan datang suatu zaman nanti kafir akan bersatu menentang kamu seperti meratah makanan didalam talam. Walaupun jumlah kamu ramai diwaktu itu, tetapi ramainya hanya seperti buih dilautan. Langsung tidak ada nilai disisi Allah. Dan kamu terjadi begitu kerana kamu terkena penyakit wahan - hubbud dunya wakaro hiyatul maut - terlalu cintakan dunia dan takut mati'.

Saya tidak nafikan menderma itu penting. Saya tidak nafikan menghantar selimut bantal dan ubat-ubatan itu penting. Malah saya angkat tabik kepada NGO-NGO dan mereka yang terlibat dengan misi kemanusiaan ke Gaza ini. 

Soalnya sampai bila kita hanya sekadar menjadi tukang kutip mayat saudara-saudara kita di Gaza?

Mengapa dan kenapa kita begitu hebat dan gah bila berperang dan berbunuhan sesama sendiri?

Mana dia tentera bendera hitam ISIL? Mana dia Kalipah Al-Baghdadi? Hanya setakat hebat sembelih umat Islam Iraq dan Syria sahaja?

Kenapa kalipah Baghdadi tidak hantar segala tentera dan  mujahiddin serta pengebom berani mati ke Gaza? Berdepan dengan tentera zionis?

Mike ada otak, pikior sendirilah yop!

Wallahua'lam dan wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 Ramadhan 1435
12 Julai 2014

10 July 2014

SIAPA PELINDUNG ISRAEL?


“Saya menyokong segala usaha untuk melindungi

 keselamatan negara Israel”, tegas Anwar dalam

lapuran Wall Street Journal 26 Januari 2012.

Apakah pendirian Anwar melihat umat Islam Gaza

dibom,disembelih dan dibunuh kejam oleh

rejim zionis dalam bulan Ramadhan 1435 ini?
Salam 2 all.

Saya mengutuk keras dan mengecam tindakan zalim rejim zionis Israel yang menyerang, mengebom dan membunuh penduduk Gaza dibulan Ramadhan Al-mubarak ini.

Dikala umat Islam termasuk di Gaza sedang melalui 'ibadah puasa dengan berlapar dahaga, diwaktu itulah rejim zionis memilih untuk menyembelih umat Islam di Gaza!

Dan diwaktu yang sama gerombolan yang mengaku tentera Islam dengan seorang kalipah bernama Al-Baghdadi memilih untuk menyembelih umat Islam di Syria dan Iraq!

Kalau benar mereka ini tentera Islam pembawa bendera hitam, sepatutnya mereka pergi ke bumi Gaza mempertahankan dan melindungi umat Islam Gaza; bukannya menyembelih umat Islam lain dan mengaku sebagai kalipah!

Atau adakah mereka ini sebenarnya pelindung dan barua agenda zionis Israel?

Dan dimana Anwar Ibrahim?

Adios amigos, grasias!


Zulkifli Bin Noordin
Khamis
12 Ramadhan 1435
10 Julai 2014

03 December 2013

ALAHAI KAZIM!

Lawatan Najib ke Gaza pada 10 Rabi'ul Awal 1434/22 Jan 2013 membuka lembaran baru dunia Islam


Salam 2 all.

Saya sangat-sangat bersimpati dengan nasib pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias yang kini menjadi bahan cercaan, maki hamun dan kata nista oleh para peliwat democrazy dan pasrasit yang sedang kepanasan setelah Dato' Sri Najib mengumumkan perlantikan Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT) baru-baru ini.

Sejak pengumuman tersebut, serangan tak berhenti-henti dikenakan terhadap Ustaz Kazim Elias. Pelbagai gelaran diberikan kepada beliau; barua UMNO, anjing salakan BN, babi, dan macam-macam lagi, tak termasuk sudah dihukum masuk neraka (macam syurga tu bapak dema punya yop).

Pada saya, ini sebenarnya menggambarkan betapa gelisah, resah dan paniknya para peliwat democrazy dan pasrasit ini dengan perlantikan Ustaz Kazim ke kedudukan yang sangat tinggi didalam hieraki kepimpinan UMNO hanya dalam sekelip mata!


1. AHLI PAS DALAM KEPIMPINAN UMNO?

Ini adalah kerana perlantikan tersebut membuktikan betapa terbuka dan komitednya Dato' Sri Najib dalam melaksanakan transformasi politik yang menjadi teras kepimpinannya. Bukti jelas politik cakap serupa bikin.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah UMNO dimana bukan sahaja Presiden mengambil langkah berani melantik personaliti luar UMNO ke dalam MT, malah ianya suatu tindakan 'diluar kotak - outside the box' apabila Dato' Sri Najib melantik seorang ahli PAS kedalam kepimpinan tertinggi UMNO.

Saya tidak pernah dengar mana-mana parti politik didunia ini yang melakukan sedemikian. Namun Dato' Sri Najib dengan penuh keyakinan membuat suatu perubahan yang diluar pemikiran politik konservatif dan tradisional.

2. DASAR WASATHIYAH

Kedua, perlantikan Ustaz Kazim membuktikan keseriusan Dato' Sri Najib dalam menerapkan dasar dan pendekatan wasathiyah. Ustaz Kazim sudah memang dikenali sebagai seorang tokoh pendakwah sederhana yang mempunyai pendekatan tersendiri yang menjadi magnet dakwah kepada golongan muda terutamanya. Kalau diukur daripada hadirin dalam program ceramah beliau, kita dapat lihat kehadiran oleh mereka yang tidak termasuk dalam kategori 'jemaah tradisional' dalam ceramah agama.

Pendekatan Ustaz Kazim juga tidak seperti penceramah pembangkang yang lain yang hanya dipenuhi dengan maki hamun, kutuk mengutuk, melabel musuh dengan pelbagai panggilan yang menghina, dan lebih seronok dengan jumlah derma jihad yang bakal dikutip!

Selain Ustaz Kazim, Dato' Sri Najib juga melantik Dr. Asyraf Wajidi Dasuki, seorang lulusan Ijazah Doktor Falsafah dengan pengalaman khusus dalam perbankan Islam. Beliau kini adalah Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

Perlantikan mereka ini membuktikan betapa serius Dato' Sri Najib dalam melaksanakan dasar wasathiyah didalam kepimpinannya. Pendekatan wasathiyah ini, yang menjadi teras kepada gerakan Global Movement of Moderates yang diilhamkan oleh Dato' Sri Najib sudah diterima oleh masyarakat dunia termasuk negara-negara barat.

3. HAMAS & KHALED MISY'AL

Selanjutnya, buat pertama kali tokoh gerakan Hamas daripada Palestin, saudara Khaled Misy'al dijemput hadir dalam Perhimpunan Agong UMNO.

Khaled Misy'al, tokoh pejuang Palestin
Siapa yang tidak mengenali Khaled Misy'al. Tokoh hebat Palestin yang menjadi mimpi ngeri bagi yahudi zionis dan dunia barat. Beliau pernah menjadi mangsa cubaan membunuh dengan racun oleh zionis di Jordan! Malah beliau masih didalam senarai untuk dihapuskan sehingga kini.

Apabila beliau menerima jemputan menghadiri Perhimpunan Agong UMNO, dan sudahpun berada dibumi Malaysia, ini merupakan satu kejutan besar. Beliau tidak pernah keluar jauh daripada Ibu Pejabat Hamas di Doha Qatar kerana ancaman terhadap nyawa dan keselamatannya.

Dan siapa yang tidak mengenali Hamas dan Kerajaan Palestin di Gaza dibawah pimpinan saudara Ismael Haniyeh.

Hamas, Khaled Misy'al, Ismail Haniyeh, Gaza! Ini semua tokoh pejuang Islam yang dilabel sebagai teroris, pengganas dan macam-macam label lagi. Mereka musuh utama yahudi zionis, musuh utama dunia barat!

Dan Dato' Sri Najib mengambil langkah berani menjemput Khaled Misy'al hadir sebagai tetamu kehormat Perhimpunan Agong UMNO tahun 2013 ini!

Keberanian Dato' Sri Najib bukan sekadar kata-kata. Beliau pemimpin bukan arab pertama yang melawat Gaza dan menjejakkan kaki dibumi anbiya' itu selepas diserang oleh Israel awal tahun ini. Bukan itu sahaja, beliau pemimpin dunia pertama menziarahi bumi berdarah Gaza membawa bersama seluruh ahli keluarganya termasuk Datin Sri Rosmah dan anak-anak!

Ini membuktikan keazaman dan komitmen Dato' Sri Najib untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang bukan sahaja inklusif, malah bersedia menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah dan ukhwah Islamiyyah diperingkat kebangsaan dan antarabangsa!

4. SIAPA LEBIH ISLAMIK 

Perlantikan Ustaz Kazim Elias ke MT UMNO membuka pekong betapa tidak Islamiknya PAS:

Tiba-tiba keluar berita menyatakan bahawa Ustaz Kazim Elias telah dipecat daripada PAS atas alasan memudaratkan PAS, terutama tindakan beliau mempersoalkan persekongkolan PAS dengan DAP dan PKR. Ustaz Kazim langsung tidak diberi notis, tidak diberi surat tunjuk sebab, tidak dipanggil menghadiri apa-apa prosiding disiplin, tidak diberi peluang bela diri dan tidak diberi peluang menjawab apa-apa pertuduhan. Tau-tau dipecat.

Itu pun Ustaz Kazim kata dia hanya tahu telah dipecat melalui media!

Ajaran Islam mana yang mengajar PAS boleh pecat orang tanpa notis, tanpa hak bersuara, tanpa hak bela diri? Kitab mana yang PAS ikut untuk mengambil tindakan yang langsung tidak Islamik?

Sekurang-kurangnya semasa nak pecat Anwar Ibrahim, UMNO memberi peluang seluas-luasnya kepada Anwar untuk membela diri didalam mesyuarat MT!

Perkara yang sama berlaku kepada Dato' Dr. Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Hal Ehwal Islam Kerajaan Negeri Selangor. Dipecat tanpa notis, tanpa hak bela diri. Tau-tau kena pecat!

Begitu juga apa yang berlaku kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang dipecat daripada keanggotaan Majlis Syura' PAS tanpa notis dan tanpa peluang bela diri! Hanya kerana dilihat mesra BN, kerana gambar beliau bersama PM dan ulama' Masjidil Haram disiarkan, gambar beliau bersama PM dan Ismael Haniyeh dan pimpinan Kerajaan Palestin-Gaza disiarkan! 

5. AKHLAK BURUK
PM bersama 40 'Ilmuan Muda Islam yang menyertai UMNO

Ustaz Kazim Elias menceritakan bagaimana sebaik sahaja perlantikan beliau ke MT diumumkan, dan belum pun beliau menerima perlantikan itu; beliau menerima pelbagai macam kata-kata nista, maki hamun dan cacian. Beliau diberi gelaran anak haram, ulama' babi, ustaz khinzir, barua UMNO, penjilat Najib dan macam-macam lagi.

Malah ada yang mereke-reka cerita konon Ustaz Kazim menelefon mereka dan menceritakan bagaimana beliau mendapat habuan dan imbuhan atas perlantikan tersebut. Agamawan pun dah pandai berbohong!

Jelas mereka yang mendabik dada konon Islamik sebenarnya membawa akhlak dan perangai yang hanya memalukan Islam; yang akan membuatkan iblis dan syaitan menyeringai kegirangan!

RUMUSAN

Saya berpendapat perlantikan Ustaz Kazim Elias, dan beberapa tokoh Islam lain termasuk pimpinan muda terutama personaliti luar UMNO membuktikan pendekatan terbuka dan inklusif yang diambil oleh Dato' Sri Najib dalam memacu UMNO untuk bersedia menghadapi cabaran alaf baru politik negara.

Ini adalah satu transformasi politik yang berani dan berfikiran 'diluar kotak'.

Saya percaya Dato' Sri Najib sedia maklum bahawa PRU-13 membuktikan Tsunami Cina telah berlaku dimana pengundi kaum Cina menunjukkan penolakan total terhadap UMNO dan BN. Walaupun telah diberi pelbagai macam ganjaran, bantuan dan insentif, ternyata pengundi Cina terbuai hanyut dengan janji palsu pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Melayu-Islam yang ditunjangi UMNO.

Saya percaya Dato' Sri Najib sedar bahawa walaupun kelihatan seperti kaum lain diberi keutamaan dan dimanjakan lebih sebelum PRU-13, namun pengundi Melayu tetap setia dengan UMNO dan memberikan mandat baru dengan tambahan kerusi kepada UMNO. Orang Melayu tetap bersama UMNO, dan tidak memilih untuk mengkhianati bangsanya sendiri.

Sebab itu Dato' Sri Najib menyedari bahawa untuk UMNO kembali kuat dan bersedia menghadapi PRU-14 nanti, UMNO perlu memperkasakan dirinya dengan kekuatan perjuangan Melayu-Islam. Tidak cukup sekadar perjuangan untuk Melayu sahaja, tetapi mesti ditunjangi dengan kekuatan Islam.

Sebab itu beliau melakukan transformasi politik yang berani dengan berfikiran luar kotak melantik tokoh-tokoh dan personaliti Melayu-Islam luar UMNO kedalam kepimpinan UMNO dan arus perdana kerajaan.

Bukan itu sahaja, beliau membawa perjuangan UMNO untuk Melayu-Islam ke peringkat global dengan mendakap para pejuang Islam daripada luar termasuk daripada dunia Palestin, walaupun beliau sedar dan insaf bahawa Hamas dan Gaza adalah musuh nombor satu bagi dunia zionis dan cauvinis barat.

PAS sebagai sebuah parti politik orang Melayu yang berlabelkan Islam sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk bersama dengan kepimpinan Dato' Sri Najib demi untuk memperkasa, memartabat dan mengangkat darjat bangsa Melayu-Islam bukan sahaja di perinkat kebangsaan, malah ke pentas antarabangsa!

Kepada Ustaz Kazim, terima lah perlantikan ke MT UMNO itu dengan hati terbuka demi untuk membantu UMNO memperkasa dan memartabatkan bangsa Melayu-Islam. Anggaplah segala caci-maki, kutuk mengutuk, maki hamun yang diterima sebagai dugaan seorang da'i. Sedangkan Rasulullah saw sendiri sampai mengalir darah untuk menyebar risalah Islam, apatah lagi kita pengikutnya.

Ingatlah pesan ALLAH didalam Surah Al-Ankabut: 2-3, 'apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan 'kami telah beriman', dan mereka tidak di uji? Dan sungguh, kami telah menguji orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta'.

Ujian bagi seseorang pejuang Islam itu adalah sunnatullah. Ia bertujuan untuk mengangkat martabatnya, menambahkan pahala dan menghapuskan segala dosanya insya ALLAH.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
29 Muharam 1435
03 Dis 2013

26 October 2010

ZIONIS LA'NATULLAH


(Seorang anngota tentera zionis Israel berlaku biadap didalam rumah seorang warga Gaza di Falastin. Lihat gambar-gambar lain di laman yang dicatat dibawah) 

Salam 2 all.

Saya membaca lapuran sebuah badan bernama "Breaking the Silence" yang membuat pendedahan tentang sikap biadap dan kurang ajar tentera Zionis Israel terhadap umat Islam Falastin terutamanya di Gaza. Pendedahan ini disertai dengan gambar-gambar yang membuktikan sikap kebinatangan mrereka!! Yang hebatnya pendedahan ini dibuat oleh sebuah NGO Yaqhudi yang juga membenci sikap kehaiwanan golongan zionis la'natullah ini. Moga akan lahir lebih ramai Yahudi saperti mereka insyallah.

Malanganya umat Islam yang berbillion dimuka bumi hari ini hanya sekadar boleh mengeluh. Kekayaan hasil bumi yang diberi ALLAH kepada umat Islam hanya sekadar menjadi pengisi tembolok golongan terpilih. Angkatann tentera negara-negara Islam hanya sekadar menjadi pemerhati atau pemantau.

Dengan jumlah yang ramai, dengan kekayaan yang melimpah ruah, dengan tentera yang hebat, malah ada yang bersenjata nuklear, tetapi kini sekadar menjadi pemerhati melihat umat Islam disembeliah dan dianiaya di Falastin, Iraq, Afghanistan, Kosovo, Bosnia, Kashmir, Selatan Filipina, Selatan Thailand dan banyak tempat lagi. Apakah kita sudah menjadi umat yang terhina dan dihina? Dan yang lebih penting, apakah sebab musabab kita menjadi begitu hina? Jawapannya sebenarnya kita semua thau dan jelas. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing!!

Semoga ALLAH memelihara sedikit keimanan yang ada dikalangan segelintir kita. Ameen.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa

17 Zul Qaedah 1431

26 Okt 2010

################################

BAITULMUQADDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel, Breaking the Silence menyiarkan gambar-gambar terbaru yang menunjukkan askar Israel bergambar dengan tahanan dan merosakkan rumah orang Palestin yang dirakamkan dalam Perang Gaza 2008 hingga 2009.

Dalam satu gambar, seorang askar mengacukan raifal ke arah muka seorang tahanan yang matanya ditutup.

Sementara itu, seorang askar lain menconteng dinding sebuah rumah dengan lambang Star of David dan menulis ayat yang bermaksud dia akan datang sekali lagi.

Dalam gambar yang lain, beberapa orang askar kelihatan tersenyum dan bergaya di dalam sebuah rumah milik seorang penduduk Palestin.

Satu lagi gambar menunjukkan seorang askar menunjukkan aksinya di belakang seorang wanita bertudung yang memasak di dapur.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang komen segera mengenai gambar-gambar itu.

Pendedahan gambar-gambar itu dibuat selepas satu siri insiden yang sama berlaku dalam laman web sosial di Internet.

Pengasas Breaking the Silence, Yehuda Shaul enggan mendedahkan sumber gambar-gambar itu diperoleh.

Namun dia menjelaskan pihaknya telah menerima puluhan gambar yang menunjukkan bahawa tindakan kurang ajar askar Israel itu semakin berleluasa.

"Ia sudah menjadi norma pasukan tentera Israel. Ia adalah kesan langsung di kawasan yang kamu (Israel) kuasai setiap hari. Kamu (Israel) menjadi korup dan tidak lagi mampu melihat mereka (orang Palestin) sebagai manusia," kata Shaul.

Shaul memberitahu, pihaknya masih cuba untuk menentukan lokasi gambar-gambar itu dirakamkan.

Pada Ogos lalu, gambar-gambar di laman sosial Facebook menunjukkan seorang askar wanita bergambar dengan beberapa orang tahanan Palestin.

Satu klip video di laman perkongsian video YouTube turut menunjukkan seorang askar menari di sebelah tahanan wanita Palestin yang memakai tudung. - AFP

23 October 2010

LASYKAR SYUHADA

Salam 2 all.

Saya tertarik dengan cerpen bertajuk "Layskar Jihad" yang ditulis oleh sahabat saya Fudzail Mohd. Nor yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini. Ianya berkisar tentang kisah perjuangan di Gaza. Saya rasa cerita ini wajar dibaca sebagai satu pengajaran dan iktibar khususnya bagi bangsa Melayu beragama Islam.

Kebetulan semalam team "Viva Falastin" dari Malaysia yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan "LifeLine 5" gabungan 340 sukarelawan seluruh dunia membawa 137 kontena bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza, Falastin.

Saya dan saudara Fudzail juga kebetulan baru sahaja berada dibumi yang diberkati Gaza semasa kempen "Ramadhan di Gaza" baru-baru ini. Saya boleh merasai kegembiraan yang dilalui oleh para sukarelawan Viva Falastin yang berada di bumi Gaza bersama umat Falastin. Dan saya boleh bayang wajah-wajah ceria anak Falastian yang menyambut kedatangan konvoi tersebut. Insyallah jika tiada aral saya akan kembali ke Gaza selepas sidang Parlimen berakhir 15.12.2010 jika keadaan mengizinkan insyallah.

Diwaktu yang sama, bagi yang berminat membaca sendiri cerpen "Lasykar Syuhada", sila layari laman web www.fudzail.blogspot.com. Ada tawaran menarik bagi sesiapa yang membeli buku cerita "Trilogi Aoteroa" termasuk tiket penerbangan pergi-balik ke New Zealand, I-Pad dan banyak lagi. Buat pengetahuan, buku "Trilogi Aoteroa" akan dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia pada hari Selasa 02.11.2010 @ 3pm di Parlimen Malaysia. Jangan tak beli yop!

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 ZulQaedah 1431
22 Okt 2010

###########################

LASYKAR JIHAD
Fudzail Md. Nor

Berita Harian Sabtu 23 Oktober 2010

(1)

KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.

Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.

Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
“Fasa pertama misi sudah selesai!”

Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.

Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
“Kenderaan yang ditempah sudah menanti!”

Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.

“Kata laluan!” Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
“Angelina Jolie!”

Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.

(2)

PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.

“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”

Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.

“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”

Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.

“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”

Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.

Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.

“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Yasir bertanya.

“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Mushil.

“Tidak menyambut Syawal di sini?”

“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Imran pula menjawab.

“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”

Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.

(3)

MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.

Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.

“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”

Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.

“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”

Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.

“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”

Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.

“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.

Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.

Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.

(4)

“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.

“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”

Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.

“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.

Yasir ketawa.

“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”

“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”

Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.

“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”

Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.

Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.

“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.

“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”

Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.

“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”

Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.

“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”

Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.

“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”

Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.

“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”

Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.

“Kalian mahu mati syahid bukan?”

Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.

“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”

Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.

“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.

Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.

Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.

Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!

22 July 2010

RAMADHAN DI GAZA

Salam 2 all.

Alhamdulillah dan insyallah saya akan menyertai misi "Ramadhan di Ghozzah" bersama dengan badan Majlis Perunding Islam Malaysia" (MAPIM).

Insyallah kami akan bertolak pada hari Jumaat 25 Sya'ban/ 06 Ogos 2010 dan dijangka berada disana sehingga Rabu 08 Ramadhan 1431/ 18 Ogos 2010. Kemudian insyallah jika ada rezeki saya akan ke Baitul Maqdis pada hari Khamis 09 Ramadhan 1431 dan akan cuba mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al Aqsa pada hari Jumaat 10 Ramadhan, sebelum kembali ke tanah air insyallah pada hari Sabtu 11 Ramadhan 1431 bersamaan 21 Ogos 2010.

Misi "Ramadhan di Ghozzah ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan membuat dokumentasi yang berkaitan untuk tujuan mengenal pasti bantuan dan keperluan umat Filistin khususnya di Ghozzah.

Selain itu kami juga akan menghulurkan bantuan makanan dan perubatan yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan disana. Dan yang lebih menarik, insyallah kami akan cuba berpuasa bersama mereka pada peringkat awal Ramadhan ini.

Apa yang menarik bagi misi ini ialah ianya akan disertai oleh 40 orang delegasi termasuk dari kalangan bukan Islam, diketuai oleh tokoh pejuang Cikgu Azmi (daripada Teras). Turut menyertai misi ini ialah seorang ulama' Sahibul Fadhilah Ustadz Abdul Ghani Shamsuddin (bekas Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia) dan rakan media termasuk saudara Mohd. Nizal Mohamad (bekas wartawan TV3).

Insyallah saya berdoa kepada ALLAH semoga misi ini berjaya. Saya dan rakan-rakan yang menyertai misi ini tahu akan bahaya yang sedang menanti kami, sebagaimana yang berlaku kepada misi Flotilla baru-baru ini. Namun itu adalah risiko yang kami bersedia ambil.

Pada saya, kalau ditakdirkan ALLAH apa-apa berlaku kepada kami, termasuk kemungkinan terkorban, kami berharap ALLAH akan mencatatkannya sebagai sebahagian daripada 'amal kami yang tidak seberapa.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada misi ini, sila tuliskan cek atas nama "MAPIM-Tabung Bantuan Gaza" atau membuat bayaran terus ke akaun MAPIM di Bank Islam Malaysia Berhad Akaun No. 0801301007582.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa disebabkan misi ini, semua program tazkirah Ramadhan yang telah diatur termasuk kuliah Subuh, tazkirah Tarawih, kuliah zohor, tazkirah Jumaat, khutbah Jumaat dan program tazkirah dhuha kaum ibu di semua surau, masjid, pejabat dan lain-lain bagi bulan Ramadhan tahun ini terpaksa saya batalkan. Saya pohon maaf kepada semua sahabat yang telah menjemput saya bagi program-program tersebut (yang kebetulan telahpun penuh bagi sebulan Ramadhan 1431 ini). Saya telahpun menghubungi semua penganjur berkenaan dan makluman ini lebih kepada para jemaah supaya memakluminya.

Insyallah jika ada ruang dan keizinan, saya akan menyambung semula semua kuliah dan tazkirah bulanan sebagaimana yang dijadualkan mulai bulan Zul Qaedah 1431 ini (selepas musim perayaan 'Eidulfitr).

Semoga ALLAH memberikan kekuatan dan istiqomah kepada kita semua dan semoga kita diberi keizinan untuk melalui bulan Ramadhan 1431 ini dengan memperolehi ketaqwaan yang sebenarnya. Semoga ALLAH meredhai kita semua yang mempunyai sedikit keimanan ini dan mengampunkan kita atas segala salah dan silap selama ini. Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak adalah dari kelemahan saya sendiri.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
10 Sya'aban 1431
22 Julai 2010